March 31, 2010

Jodoh


Persoalan Jodoh termasuk perkara yang berada dibawah bab takdir dan telah ditetapkan oleh Allah SWT semenjak azali lagi. Memahami masalah jodoh hendaklah dengan kefahaman Ahlul Sunnah Wal Jamaah yang diajarkan oleh Rasulullah agar kehidupan kita dilalui dengan pertunjuk yang sahih dan mencapai keredhaan Allah SWT.

Salah Faham Berkenaan Jodoh

Saya sendiri pernah tersalah faham di dalam bab jodoh, ianya berlaku kepada saya sewaktu masih muda remaja dahulu dan sibuk mengejar cinta serta mengharapkan jodoh yang istimewa dan akhirnya memang saya mendapat jodoh yang benar-benar istimewa.

Saya berkahwin dengan seorang gadis arab, anak perempuan seorang ulama sunnah di Yaman. Sewaktu itu saya cukup bergembira dan merasa sangat berbangga.

Walaubagaimanapun Allah lebih menyayangi saya.

Allah swt befirman : "Boleh jadi kamu membenci sesuatu, padahal ia amat baik bagimu, dan boleh jadi (pula) kamu menyukai sesuatu, padahal ia amat buruk bagimu; Allah mengetahui, sedang kamu tidak mengetahui. " (Al-Baqarah : 216)

Allah mengehendaki kebaikan kepada saya dengan menganugerahkan kepada saya sebuah perceraian sehingga melaluinya saya dapat memahami erti sebuah jodoh dan perkahwinan.

Tanpa penceraian tersebut nescaya saya tidak akan mengetahui dan memahami maksud jodoh sehingga ke hari ini.

Alhamdulillah.

Saya diberi izin oleh Allah SWT untuk berkahwin kali kedua apabila seorang bapa yang soleh menawarkan anak gadisnya kepada saya. Ketika itu wujud perbalahan di dalam jiwa saya yang membuatkan saya berfikir panjang ini disebabkan sebagai seorang ustaz (ketika itu sudah bergelar ustaz) saya memikirkan untuk mencari seorang gadis yang sempurna, wanita yang hebat dan mampu mengubati hati saya yang terluka dan cedera akibat perkahwinan terdahulu.

Kali ini mahu mencari yang paling comel, paling gebu, paling sempurna sehingga saya gariskan ciri-ciri isteri idaman saya yang persis bidadari.

Allah menyebut di dalam Al-Quran bahawa Syaitan akan menyesatkan manusia dengan pelbagai cara antaranya ialah dengan angan-angan yang memperdayakan : "Dan aku benar-benar akan menyesatkan mereka, dan akan membangkitkan angan-angan kosong kepada mereka." (Al-Baqarah : 216)

Allah befirman : "Syaitan itu memberikan janji-janji kepada mereka dan membangkitkan angan-angan kosong pada mereka, padahal syaitan itu tidak menjanjikan kepada mereka selain dari tipuan belaka." (An-Nisa : 120)

Alhamdulillah, sekali lagi Allah memberikan kebaikan kepada saya dengan mendapat nasihat dan pertunjuk berguna daripada ulama-ulama sunnah di Yaman. Kata mereka, Allah tidak akan memberikan "bidadari" kepada anda di dunia tetapi di akhirat. Jadi jika anda mahukan wanita yang bertaraf bidadari di dunia maka kahwinilah dengan niat yang betul, jalanilah kehidupan rumahtangga dengan betul, jadilah suami yang betul dan InsyaAllah isteri anda akan menjadi bidadari di akhirat.

Daripada Ibnu Umar r.a., katanya, saya mendengar Rasulullah s.a.w. bersabda: "Setiap orang daripada kamu adalah pemimpin dan setiap seorang dari kamu akan ditanya perihal kepimpinannya. Pemimpin adalah yang bertanggungjawab memimpin dan akan ditanya perihal yang dipimpin olehnya. Seorang lelaki adalah pemimpin dalam keluarganya dan akan ditanya perihal kepimpinannya. Seorang wanita adalah pemimpin dalam rumah suaminya dan akan ditanya perihal kepimpinannya. Buruh adalah pemimpin dalam harta majikannya dan akan ditanya perihal kepimpinannya. Jadi setiap seorang dari engkau semua itu adalah pemimpin dan tentu akan ditanya perihal kepimpinannya. " (Hadis sahih Muttafaq 'alaih)

Syeikh lalu menceritakan perihal Umar RA yang turut mengalami masalah rumahtangga, bahkan rasulullah sebaik-baik manusia juga menghadapi masalah yang sama sekaligus menyedarkan saya "Mana ada manusia yang sempurna."

Diriwayatkan bahwa seorang pemuda datang ke rumah Umar bin Khatthab Radhiallahu 'anhu hendak mengadukan keburukan akhlak isterinya. Maka ida berdiri di depan pintu menunggu Umar keluar. Lalu dia mendengar isteri Umar bersuara lantang pada suaminya dan membantahnya sedangkan Umar diam tidak membalas ucapan isterinya. Pemuda itu lalu berbalik hendak pergi, sambil berkata : "Jika begini keadaan Umar dengan sifat keras dan tegasnya dan dia seorang amirul mukminin, maka bagaimana dengan keadaanku ?".

Umar keluar daripada rumahnya dan melihat ada orang beredar dari rumahnya lalu memanggil pemuda itu dan berkata : "Apa keperluanmu wahai pemuda ?" Dia menjawab : "Wahai Amirul Mukminin, pada mulanya aku datang hendak mengadukan keburukan akhlak isteriku dan sikapnya yang membantahku. Lalu aku mendengar isterimu berbuat demikian, maka aku pun kembali sambil berkata :"Jika demikian keadaan amirul mukminin bersama isterinya, maka bagaimana dengan keadaanku ?" maka Umar berkata : "Wahai saudaraku. Sesungguhnya aku bersabar atas sikapnya itu kerana hak-haknya padaku. Dia yang memasakkan makananku, yang membuatkan rotiku, yang mencucikan pakaianku, yang menyusui anak-anaku dan hatiku tenang dengannya dari perkara yang haram. Kerana itu aku bersabar atas sikapnya". Pemuda itu berkata : "Wahai Amirul Mukminin, demikian pula isteriku". Berkata Umar "Bersabarlah atas sikapnya wahai saudaraku ..." [Kitab Al-Kaba'ir oleh Dzahabi hal. 179]

Janganlah Melihat kepada Keburukkan Seseorang kerana tidak akan wujud Pengakhirannya tetapi lihatlah kepada Kebaikan yang akan membolehkan Kita menumpang dan menikmatinya.

Saya lalu terus bersetuju untuk mengahwini seorang gadis mentah, muda seusia 17 tahun untuk menjadi isteri saya tanpa teragak-agak. Alhamdulillah, setelah beberapa tahun kini dialah bidadari saya yang merupakan wanita paling indah yang pernah saya temui.

Anda yang bertanggungjawab "berusaha" menjadikan pasangan anda sebagai bidadari atau lelaki soleh yang anda inginkan melalui usaha berterusan dan perjuangan melaksanakan hal tersebut beroleh pahala.

Berdasarkan carta jodoh di atas ANDA akan mendapati bahawa JODOH kita sebenarnya sudah DITAKDIRKAN iaitu bermaksud ianya sudah ditetapkan oleh ALLAH SWT semenjak azali lagi.

Diriwayatkan dari Abdullah bin Mas’ud r.a, katanya: Rasulullah s.a.w seorang yang benar serta dipercayai bersabda: "Kejadian seseorang itu dikumpulkan di dalam perut ibunya selama empat puluh hari. Sebaik sahaja genap empat puluh hari kali kedua terbentuklah segumpal darah beku. Manakala genap empat puluh hari kali ketiga bertukar pula menjadi seketul daging. Kemudian Allah s.w.t mengutuskan malaikat untuk meniupkan roh serta memerintahkan supaya menulis empat perkara iaitu ditentukan rezeki, tempoh kematian, amalan serta nasibnya samada mendapat kecelakaan atau kebahagiaan. Maha suci Allah s.w.t di mana tiada tuhan selain-Nya." (Sahih Muslim, Kitab Takdir, no: 4781)
Tidak kira apakah jalan yang anda gunakan untuk berkahwin maka ianya sudah pun ditetapkan oleh yang demikian mengapakah kita harus menggunakan JALAN yang HARAM sedangkan dengan JALAN yang HALAL pun kita boleh mendapatkannya ?

Janganlah mencelakakan diri kita dengan memilih jalan yang haram dan berdosa kerana kelak kita akan menanggung akibatnya di akhirat.
Kenapa bimbang belum mendapatkan jodoh ?

Apakah anda akan ditakdirkan akan berkahwin atau ditakdirkan tidak akan berkahwin TERNYATA sudah tidak sepatutnya dipertikaikan lagi kerana ianya SUDAH DITETAPKAN dan hal tersebut tidak berubah.

Jadi mengapa bimbang dan risau ? Orang yang beriman kepada Takdir maka tiada kebimbangan dan kerisauan di dalam jiwa mereka kerana menyakini segala sesuatu sudah pun ditetapkan.

Nabi s.a.w yang diriwayatkan oleh Imam Ahmad dalam Musnadnya dari Abu Darda r.a dari Nabi s.a.w bersabda, ‘Tidak sekali-kali masuk ke dalam syurga (Allah), orang yang mendustakan takdir (Allah).’ (lihat: Silsilah hadis Sahihah, nombor 675).

Apa yang perlu anda risaukan ialah bagaimana harus berusaha, jalan yang perlu dipilih agar memenuhi PERINTAH ALLAH itu sahaja.

Siapakah Pasangan Anda ?

Anda tidak perlu TAKUT siapakah jodoh anda kerana pasangan anda sudah pun ditentukan oleh Allah SWT dan apa yang perlu anda lakukan ialah untuk berusaha mendapatkan calon yang soleh dan solehah sebagai memenuhi PERINTAH ALLAH dalam keadaan anda penuh sedar dan yakin ianya sudah ditetapkan.

Anda berusaha semata-mata kerana mahu memenuhi perintah Allah. SWT.

Memilih jodoh yang baik

Berdasarkan carta di atas, maka anda diharapkan dapat memahami bahawa Kehendak Allah yang disukai dan diredhai-Nya (Iradah/Kehendak Syar'iyah) dapat diketahui oleh kita dengan ILMU berdasarkan Kitab dan Sunnah.

Manakala Kehendak Allah yang menyebabkan berlakunya segala sesuatu, yang mengizinkan terjadi tiap-tiap perkara (disebut Iradah/ kehendak Kauniyah) tidaklah bermakna ianya disukai dan diredhai oleh Allah SWT.

Tiada sesiapa termasuk anda dan ulama dapat mengetahui siapakah lelaki atau wanita yang sesuai atau baik untuk anda. Mr. Right atau Mrs. Right tidak akan dapat diketahui oleh Kita selama-lamanya tanpa WAHYU di sisi.

Allah swt befirman : "(Dia adalah Tuhan) Yang Mengetahui yang ghaib ,maka Dia tidak memperlihatkan kepada seorangpun tentang yang ghaib itu." (Jin : 26)

Memandangkan Rasulullah telah wafat maka tiada sesiapa lagi boleh mengetahui siapakah yang lebih sesuai untuk kita dan siapakah pula tidak. Majoriti orang "menyelidik", "mengkaji" latar belakang calon pasangan masing-masing dengan tujuan "merisik" mencari calon yang paling sesuai dan terbaik.

Hakikatnya hanya ALlah yang mengetahui, boleh jadi setelah dikaji "di dalam makmal"maka didapati seorang wanita itu baik untuk kita atau sebaliknya namun setelah berkahwin dan hidup bersama maka dia kemudiannya berubah hati dan menjadi jahat serta menyeleweng.

“Cintailah apa yang kamu cintai sekadarnya saja, boleh jadi apa yang kamu cintai itu menjadi sesuatu yang paling kamu benci pada suatu hari nanti. Bencilah Sesuatu yang yang kamu benci sekadarnya saja, boleh jadi ia akan menjadi sesuatu yang paling kamu sukai pada suatu hari nanti.”

(HR. Tirmidzi)


Hati manusia boleh berubah ibarat pantai.

Jangan membuang masa mencari Mr. Right atau Mrs Right sehingga mengabaikan tanggungjawab kita yang banyak. Masa kita terhad, maka perlu dipergunakan semaksima mungkin di dalam gerak kerja ibadah kita seharian.

Kita harus perlu sentiasa TEGUH di atas Perintah ALLAH SWT.

Aisya ra., berkata, “Nabi SAW sering berdoa dengan mengatakan, ‘Wahai Tuhan yang membolak-balikkan hati, teguhkanlah hatiku untuk selalu taat kepada-Mu.’(hadis riwayat Ahmad dan Ibnu Abu Syaibah)

Ambilah iktibar dari Kisah Ummu Habibah (Ummul Mukminin), Ramlah binti Abu Sufyan yang telah mengahwini Ubaidullah bin Jahsy, seorang muslim seperti beliau. Tatkala kekejaman kaum kafir terhadap kaum muslimin, Ramlah hijrah menuju Habsyah bersama suaminya. Disanalah beliau melahirkan seorang anak perempuan, yang diberi nama Habibah. Dengan nama anaknya inilah beliau dijuluki (Ummu Habibah).

Allah menguji beliau dengan situasi yang dahsyat apabila suaminya murtad daripada Islam sewaktu berada di Habsyah dan berusaha memurtadkannya. Beliau tetap istiqamah di atas Islam dan akhirnya berpisah dengan suami tercinta kerana agama. Hal ini akhirnya menjadi PELUANG kepadanya untuk menjadi Ummul Mukminin apabila beliau kemudiannya dipinang oleh Rasulullah SAW. Rasulullah bertemu dengannya pada tahun ke enam atau ke tujuh Hijriyah. Waktu itu Ummu Habibah berumur 40 tahun.

Islam Mengizinkan Lelaki Mukmin berkahwin dengan Wanita Ahli Kitab
"Pada hari ini dihalalkan bagimu yang baik-baik. Makanan (sembelihan) orang-orang yang diberi Al Kitab itu halal bagimu, dan makanan kamu halal (pula) bagi mereka. (Dan dihalalkan mangawini) wanita yang menjaga kehormatan* diantara wanita-wanita yang beriman dan wanita-wanita yang menjaga kehormatan di antara orang-orang yang diberi Al Kitab sebelum kamu, bila kamu telah membayar mas kawin mereka dengan maksud menikahinya, tidak dengan maksud berzina dan tidak (pula) menjadikannya gundik-gundik. Barangsiapa yang kafir sesudah beriman (tidak menerima hukum-hukum Islam) maka hapuslah amalannya dan ia di hari kiamat termasuk orang-orang merugi.” (Al-Maidah : 5)

Mengapakah Allah mengizinkan lelaki yang beriman mengahwini wanita ahli kitab ? Jawapannya kerana persamaan Aqidah di antara kita dan mereka. Perbezaan di antara ahli kitab dan umat Islam ialah berkait masalah syariat demikian yang dimaksudkan dengan keizinan bolehnya berkahwin di antara lelaki muslim dan ahli kitab iaitu mestilah ahli kitab yang memiliki kepercayaan Aqidah yang sahih dan benar berdasarkan kitab samawi terdahulu bukannya merujuk kepada ajaran Yahudi dan Kristian yang SYIRIK dan mensyirikkan Allah di dalam ajaran mereka sehingga menjadikan mereka orang musyrikin dan bukan lagi ahli kitab.

Di dalam “Sahih Bukhari” terdapat sebuah riwayat yang berasal dari Abdullah bin Umar r.a. bahawasanya ia pernah ditanya tentang perkahwinan antara lelaki muslim dan wanita nasrani atau yahudi, Abdullah bin Umar menjawab : “Allah mengharamkan wanita musyrik dikahwini oleh lelaki muslim, Aku tidak tahu syirik apakah yang lebih besar daripada seorang isteri yang mengatakan bahawa Tuhannya ialah Isa, padahal beliau itu adalah salah seorang dari hamba Allah s.w.t. Jika ia tidak mengatakan hal itu, ia tetap dipandang sebagai wanita ahlul kitab, walaupun ia meyakini kesucian Isa al Masih atau meyakini kesucian bondanya Maryam atau meyakini kesucian roh kudus dalam bentuk yang berlainan dari kepercayaan orang muslim; selama ia tidak menyekutukan Allah”. (hadis Sahih Bukhari)

Hal ini membuktikan bahawa Islam menganggap perkahwinan itu cuma alat dan tools untuk merealisasikan perjuangan dan tuntutan ibadah bagi menyalurkan keperluan fitrah manusia ke arah yang halal.

Lantas untuk orang yang sedar akan segera memahami bahawa adalah tidak perlu untuknya mengambil masa yang lama untuk memberi respon kepada jemputan atau pinangan perkahwinan apabila dirinya dipinang jika cara dan kaedah yang digunakan adalah menurut syarak.

Manfaatkan sahaja peluang dan rezeki yang diberikan untuk digunakan ke jalan Allah SWT.

Semuanya berbalik kepada diri kita sendiri apakah kita sebenarnya mahu atau mampu menjadi hamba Allah yang soleh dan solehah bukan melihat kepada orang lain untuk dijadikan alasan di atas kegagalan kita.

Asiah merupakan isteri Firaun, tetapi dia berjaya menjadi wanita yang solehah dan memasuki syurga Allah.

Allah befirman : "Dan Allah membuat isteri Fir'aun perumpamaan bagi orang-orang yang beriman." (At-Tahrim : 11)

Manakala Isteri Nabi Luth pula merupakan ahli neraka sekalipun suaminya ialah Rasul dan Nabi.

Allah befirman : "Kecuali isterinya. Kami telah menentukan, bahwa sesungguhnya dia itu termasuk orang-orang yang tertinggal (bersama-sama dengan orang kafir lainnya)." (Al-Hijr : 60)

Allah befirman : "Maka Kami selamatkan dia beserta keluarganya, kecuali isterinya. Kami telah mentakdirkan dia termasuk orang-orang yang tertinggal (dibinasakan)." (An-Naml : 57)

Hal ini sebenarnya bertitik tolak kepada ILMU dan kefahaman yang sahih menurut Kitab dan Sunnah untuk menyedari kewajipan dan peranan kita di dalam agama.

Tugas anda ialah berusaha mengikut cara yang sahih dan menjalani ibadah dengan segigih mungkin kepada Allah SWT manakala bakinya berserah kepada Allah untuk menetapkan keputusan di atas usaha kita.

Kita sudah berusaha dan akan terus berusaha, resultnya bukan urusan kita.

tulisan diatas diambil pada suatu ketika dahulu..sumbernya tidak pasti..

March 29, 2010

Buat ayah dan mak




Hanya rindu & doa buatmu
semoga mak dan ayah tenang dan bahagia
setitis air mata mak dan ayah yang gugur kerana kesedihan
segaris luka di hati mak dan ayah kerna kederhakaan
tertutup pintu syurga jika tiada keampunannya
azimat ini ku tanam di lubuk hati yg dalam
Di tirai malam aku bersandarkan pada dinding kepiluan
bersenandungkan merdu suaramu terlena di rajukkan rindu
tiada yg terindah didunia dapat mengganti hilangmu
pilahan yg terbaik takkan dapat mengisi relung hatiku..

SEJARAH ITU INDAH

Dengan nama Allah yang Maha Penagsih lagi maha Penyayang. Semoga kalian dalam rahmat dan redha Nya.

Pengalaman hidup merupakan acuan yang mencorak seorang manusia, hasil dari pengalaman seorang manusia tercipta, pengalaman mencorakkan pemikiran, pengalaman mencorakkan sikap, penglaman rujukan untuk setiap perbuatan. Bak kata pendeta sesiapa yang melupakan sejarah dia akan mengulangi sejarah.

Pengalaman layaknya dikongsi bersama, kerana setiap orang pengalamannya tidak sama, ada orang hidupnya lama tapi pengalamannya sama semuanya. Ada orang hidupnya singkat tapi pengalamannya menarik. Kepelbagaiaan ini membawa kepada satu perkara yang berguna andai digabung dan direnung.

Kebanyakkan manusia begitu suka bercerita tentang pengalaman manis kerana ianya membawa tawa membawa bahgia kadang yang manis itu satu kebanggaan baginya. Tidak ramai yang tegar berkongsi pengalaman buruk yang selalunya membawa aib dan derita.
Persoalannya bukanlah baik buruk pengalaman itu yang menjadi ukuran tapi sejauh mana pengalaman itu memberi kesan.

Sedarkah kita pengalaman yang sama memberi kesan yang berbeza. Bergantung bagaimana kita menerima pengalaman itu.

Ada sebuah cerita. Menarik, kerana bagi yang melaluinya dia terasa kesannya. Dua perkara yang sama berlaku dalam hidupnya tapi kedua-duanya memberi erti dan kesan yang sangat berbeza, sangat berlainan antara satu sama lain.

Ceritanya bermula begini.

Dia merupakan anak kepada guru besar di sekolahnya. Dia dikenali oleh seluruh pelajar sekolahnya. Dia seorang budak biasa, mestipun anak kepada seorang guru besar, namun disekolah tiada apa yang istimewa baginya cumanya setiap hari dia akan ke bilik guru besar untuk meminta belanja.

Mungkin sesetengah manusia dan pelajar lain melihat ada sesuatu yang istimewa menjadi dirinya. Masakan tidak, bersekolah di sekolah ibu bapanya. Tidak baginya bapanya berkali-kali berpesan bahawa itu sekolah jemaah bukan sekolah keluarga, tiada apa-apa yang istimewa untuk kami sekeluarga, kami hanya pemegang amanah yang tidak mempunyai hak apa-apa!. Jangan berlagak atau buat suka-suka.

Dia adalah generasi pertama, pelapor kepada sekolah itu. Bila tertubuhnya satu badan yang merupakan nadi pada setiap sekolah, badan pengawas, dia terpilih mungkin kerana ada bakat kepimpinan kononnya, mewarisi ayah yang merupakan pemimpin jemaah. Mejalankan tugas sebaiknya, menonjol dan mendahului dalam setiap perkara, itulah dia.

Namun malang sekali, kerana dia bukan malaikat, ada kelemahan yang sangat ketara kenakalannya mengatasi kepimpinannya, seorang yang panas baran dan acap kali mengamuk kepada rakan sekelas kerana sebab-sebab yang kecil. Suatu ketika dimana kesemua koleksi pemadam yang dikumpul dirampas oleh ibunya lantaran hasil pengaduan yang dibuat oleh rakan sekelasnya yang juga seorang pengawas. Seusai kelas dia mengamuk habis semua kerusi dan meja, ini semua salah rakannya yang mentertawakannya, akibatnya kena teruklah menangis bagaikan budak diluar pintu kelas.

Situasi ini kerap berlaku sebenarnya, sifat panas barannya sukar dikawal ditambah dengan keberanian yang dimiliki sesiapa yang mencari pasal sudah pasti akan merasa. Guru melihat, kawan melihat, ibunya juga melihat apa yang dilakukan. Sikap begini tidak boleh dibiarkan!

Suatu petang, kelas sudah habis dia baring dibilik guru besar sambil menanti ibunya yang bermesyuarat diluar. Sayup-sayup dia terdenagr hasil mesyuarat itu. Namanya disebut-sebut, dia terus mendengar kali ini lebih teliti mencari butir-butir yang penting untuk memahami isi mesyuarat tersebut. Ternyata itu mesyuarat untuk memecat pengawas dia mendengar, dia tahu, siapa yang benar-benar ingin membuangnya. Dia tahu dan dia dengar juga siapa yang mempertahankannya. Hasil mesyuarat itu dia tahu! Kini dia menanti masa.

Bila tiba masanya, pengalaman itu membunuh moralnya, kehidupan selepas itu ternyata berubah baginya. Dia tidak lagi menonjol dan menunjukkan kepimpinanya. Dia berubah tapi saynag bukan kepada sesuatu yang lebih baik, selalu merasa diri rendah dan kurang upaya dalam melakukan apapun. Ternyata pengalaman ini membuatkan dia menjadi orang lain.

Dia mengharungi zaman sekolah menengah di sebuah sekolah asrama yang agak jauh dari rumahnya. Banyak benda yang berubah jika dulu dia seorang pengawas kini seorang pelajar yang melawan pengawas. Jika dulu dia berkata-kata dihadapan kini dia orang yang sekadar berborak di belakang. Jika dulu semua guru mengenalnya kerana bakatnya kini mengenalnya kerana kenakalannya. Dulu dia seorang yang tinggi cita-cita kini hanya seseorang yang tiada arah tujuan.



Dia mengambil masa tiga tahun untuk menyedari untuk bangkit dan berubah. Di tahun keempat di sekolah menengah dia agak menonjol terutamanya didalam kelas, dia mula menjadi dirinya suka berhujah dan mynyatakan pendapat.

Ternyata keyakinan kian terbina kebaranian datang semula. Dia kini gembira dengan dirinya. Matrikulasi menjadi satu medan kebangkitan yang ditagih bagi seseorang
sepertinya. Syukur.



Kini kejadian berulang dia dipecat lagi. Peristiwa yang sama berlaku ketika dia di universiti. Ketika dia bergalar mahasiswa. Baru lebih kurang dua bulan dia menjadi Jawatankuasa Kolej Mahasiswa (JKM) sebuah kolej.

Cumanya kali ini penerimaan berbeza dia bangga dipecat lantaran merasakan atas dasar kebenaran dia dibuang. Dibuang kerana berbeza pandapat dengan pengetua, dibuang kerana tidak menyokong gagasan pengetua yang baginya tidak sama dengan islam, prinsip dan pegangannya. Baginya akan dibuang segala kesenangan dunia kerana tujuannya akhirat kelak.



Satu pengorbanan yang mungkin orang lain menganggap hina. Masih terkesan dihatinya bila masa seorang sahabatnya sendiri menyatakan “kalau boleh ana tak nak letak jawatan macam enta, ana nak letak dengan cara baik”.

Ingatlah kita adalah anak-anak panah dalam perjuangan yang sedia dilepaskan kepada sesiapa saja. Kita adalah biduk-biduk catur yang sedia diatur. Kadang-kadang kita harus dikorbankan untuk kemenangan andai kata kita tidak sedia bukankah kita penyebab kekalahan?. Ujian tidak datang dengan bentuk yang kita suka melainkan untuk menjarakkan kita dengan-Nya.

TRIBUTE BUAT DIA


Yang dicari walau bukan putera raja,

Biarlah putera agama,

Yang diimpi biarlah tiada rupa,

Asal sedap dipandang mata,

Yang dinilai bukan sempurna sifat jasmani,

Asalkan sihat rohani,

Yang diharap,

Bukan jihad pada semangat,

Asal perjuangan ada matlamat,

Tak perlu rijal yang gemilang,

Kerana nisa’ dengan silam yang kelam,

Yang dinanti bukan lamaran dengan permata,

Cukuplah akad dan janji setia,

Dan yang terjadi andai tidak sama kehendak hati,

Redhalah ketetapan ilahi.

*segala yang diatas merupakan kandungan mesej yang diterima penulis =)
. sekalung kasih kepada penghantar mesej

March 3, 2010

Ekonomi negara sudah pulih?



2 MAC — Pengumuman dibuat oleh YAB PM DS Najib beberapa hari lalu bahawa ekonomi telah pulih tentunya merupakan satu berita gembira.

Dalam suku terakhir tahun 2009, ekonomi mencatat pertumbuhan sebanyak 4.5 peratus, meskipun mengalami penguncupan sebelumnya; penguncupan tiga suku sebelumnya, iaitu 6.2 peratus pada suku pertama, 3.9 peratus pada suku kedua dan 1.2 peratus pada suku ke tiga.

Bagi tahun 2009, ekonomi negara mencatat penguncupan sebanyak 1.7 peratus, iaitu lebih rendah daripada penguncupan 3 peratus yang diunjurkan sebelum ini. Untuk pengetahuan umum, pertumbuhan adalah sebanyak 4.6 peratus dalam tahun 2008.

Ekonomi telah pulih tegas Najib dan pimpinan kerajaan seperti Menteri Besar Pahang yang kurang arif tentang ekonomi lantas menyebutkan bahawa ini semua adalah kerana kebijaksanaan Najib mengurus ekonomi negara.

Penulis tidak suka untuk menganggu keseronokan dan euporia ini. Rakyat telah lama terhempit dengan pelbagai penderitaan hidup. Mereka mahukan satu suntikan harapan. Najib pula sangat berhajat untuk membuktikan bahawa beliaulah penyebab pemulihan ekonomi ini dan dialah harapan untuk rakyat.

Malangnya penulis terpaksa berterus terang bahawa Najib tersilap dalam membuat rumusan bahawa ekonomi telah pulih, kecuali dalam erti yang terlalu ‘teknikal’. Lebih silap lagi ketika dia dan pimpinan Umno/BN menyangka bahawa dialah pencetus dan pemangkin kesemua ini.

Yang layak disebut Najib hanyalah bahawa ekonomi tumbuh pada 4.5 peratus dalam suku keempat 2009 dan keseluruhan 2009 mencatat penguncupan pada paras 1.7 peratus, iaitu lebih baik dari penguncupan 3peratus yang dijangkakan. Ada pun sebab utama pertumbuhan 4.5 peratus yang dicapai tidaklah kerana apa jua langkah ajaib dan keberkesanan pendekatan Najib mengurus ekonomi kecuali kerana permintaan global pada suku akhir 2009 sememang meningkat dan ini disaksikan di semua negara.

Meletakkan punca utama kerana suntikan rangsangan fiskal seperti didakwa Najib agak tidak tepat kerana dari jumlah RM 67 bilion yang diperuntukkan dalam dua pakej rangsangan fiskal itu, sehingga akhir September 2009, hanya RM8.2 bilion sahaja yang dibelanjakan (ms 3, Dalam Laporan Ekonomi Kementerian Kewangan Malaysia 2009/2010).

Najib mutakhir ini pula mendakwa telah membelanjakan RM17bilion dari pakej tersebut, dengan jumlah bayaran setakat ini sebanyak RM13.9bilion. Puratanya sebanyak RM1bilion disuntik sebulan dakwa beliau dalam 13 bulan lalu.

Dengan mengambil kira kesan berganda kegiataan ekonomi akibatnya, mungkin ada kesannya sedikit terhadap pertumbuhan KDNK dalam sebuah ekonomi yang KDNKnya ialah anggaran RM700 bilion. Penulis boleh akui.

Namun pertumbuhan 4.9 peratus suku akhir 2009, tegasnya adalah akibat permintaan global yang semakin pulih dan kesemua negara-negara Asean seperti Indonesia, Vietnam dan Singapura mengalami pertumbuhan yang lebih baik dan rancak lagi. Ini tidak termasuk China dan India yang mengalami pertumbuhan yang lebih mantap.

Pun begitu, apakah dengan pertumbuhan 4.5 peratus dalam suku akhir 2009 lalu maka kerajaan BN di bawah Najib ini mampu berkokok seluruh kampung yang ekonomi telah ‘pulih’? Tambahan pula kalau seperti didakwa mereka bahawa ini adalah hasil suntikan pakej rangsangan kerajaan kerana kaedah rangsangan adalah kaedah ‘pump-priming’ atau ‘mengepam’ ekonomi. Ia adalah tidak mapan, tidak lestari atau ‘sustainable’ dan bersifat jangka pendek.

Tidak ada yang boleh di sorak atau diberikan tepukan gemuruh akibat ‘kejayaan’ pertumbuhan ini! Pemulihan sebenar ekonomi perlu menggarap beberapa persoalan asas yang bersifat fundamental dan struktural yang telah mengakibat ekonomi negara, seperti diakui oleh Menteri Kewangan kedua-2 sebagai mengalami satu dekad ‘kebekuan’ atau ‘stagnation’.

Paling asas adalah menangani persoalan struktural yang telah terperangkap dalam satu model ekonomi berpendapatan rendah, berprestasi rendah di segi nilai tambah yang rendah dan produktiviti yang juga rendah. Bagaimanakah kerajaan mampu menjana ekonomi berpendapatan tinggi yang memilikki kegiatan ekonomi bernilai tambah tinggi sekaligus menghasilkan produktiviti yang tinggi?

Itu adalah model ekonomi yang dihajati negara untuk keluar dari perangkap modal lama. Ia tentunya perlu menggarap kegiatan bidang selain dari ekonomi seperti pendidikan dan latihan yang menghasilkan warga kerja dan buruh berkemahiran tinggi (supply-side economics) bersekali dengan mencapai pertumbuhan mapan dan lebihan bajet yang mampu dilaburkan bagi memacu pertumbuhan seterusnya.

Pemulihan ekonomi secara jangka-panjang dan mapan adalah jawapan kepada permasalahan ekonomi negara. Pastinya ‘pemulihan’ atau ‘recovery’ tidak hanya sekadar merujuk kepada perbandingan angka pertumbuhan dalam dua suku. Itu ‘pulih’ secara ‘teknikal’ sahaja.

Tambahan kalau ekonomi masih di belenggu dengan segala kegiatan yang tidak menghasilkan dayasaing atau ‘competitiveness’ dengan polisi yang mengutamakan kroni, perlindungan industri yang tidak berdaya maju, monopoli, pemberian subsidi pada sasaran yang salah, pengurusan timpang yang tiris dan bocor yang sarat dengan amalan rasuah.

Kedua, kenaikan lebihan dagangan luar (external trade surplus) pada tahun 2009 sebanyak RM118.35 bilion tidak diikuti dengan peningkatan sejajar simpanan asing (foreign reserve). Simpanan asing pada tahun 2009 menokok hanya USD5 bilion pada jumlah USD96.7 bilion pada tahun Dis 2009 dari USD91.5 bilion pada tahun Dis 2008.

Pakar-pakar ekonomi amat runsing dengan ketidaksejajaran atau kesenjangan ini yang sekaligus memaparkan bahawa di sana terdapat aliran keluar dana lebih banyak dari kemasukan dana ke dalam negara. Bank Negara Malaysia juga turut runsing dengan fenomena ini yang sekaligus mengisyaratkan ‘kehilangan keyakinan’ pelabur terhadap ekonomi negara.

Dengan ekonomi yang telah sekian lama dipacu oleh perbelajaan kerajaan atau faktor “G” dalam formula KDNK yakni KDNK= C + G + I + (X-M), di mana C- adalah Perbelanjaan (awam), G – perbelanjaan kerajaan, I – pelaburan swasta (luar dan dalam) dan (X-M) atau (Ekpsot – Impot), ia telah mengakibatkan defisit belanjawaan selama 13 tahun dan ke paras 7.4 peratus bahkan ada yang menyebutkan sebagai 8peratus tahun 2009.

Justeru itu kerajaan tidak lagi mampu melakukan ‘pengepaman’ atau ‘pump-priming’ dalam menjana pertumbuhan. Hutang kerajaan Persekutuan tahun 2009 adalah ke tahap RM362,520bilion atau bersamaan 55.2 peratus KDNK, berbanding RM306,437 bilion pada 2008. Faktor “G” tidak lagi mampu digunakan untuk menjana pertumbuhan KDNK.

“I” seperti dalam KDNK ialah pelaburan swasta samada dari sumber luar atau asing dan tempatan. Sumbangan pelaburan swasta di negara kini hanya pada paras 10peratus berbanding lebih dari 30peratus dalam tahun 90an. Hakikat ini mesti diakui oleh kerajaan BN sekarang ini.

Kehilangan dayasaing negara telah meletakkan negara bukan sahaja gagal mengamit pelaburan asing langsung (FDI) bahkan sebaliknya mengalami aliran keluar dana tempatan sebanyak RM9.14 bilion pada tahun 2007, RM26 bilion pada tahun 2008 dan RM14.6 bilion untuk 9 bulan dalam tahun 2009.

Fenomena pengaliran keluar dana tidak boleh lagi dihujjahkan sebagai pelabur tempatan mahu menyambut seruan menjadi pelabur global. Ketika kerajaan tidak lagi mampu memacu pertumbuhan dengan “G” kerana melebarkan defisit, maka “I” diperlukan. Namun “I” tidak mampu memacu pertumbuhan kerana pelaburan swasta tidak dapat dijana.

Kelembapannya akan menjejaskan penjanaan kerja, pelaburan dalam kegiatan ekonomi bernilai tinggi untuk merancakkan pencapaian ke arah ekonomi berpendapatan tinggi dan akhirnya pertumbuhan yang mapan.

Sementara itu model ekonomi negara yang bergantung kepada pendapatan sumber minyak dan gas sudah tidak lagi wajar dan tidak mapan (sustainable) kerana telah ke paras 45 peratus dari seluruh pendapatan negara.

Akhir sekali, andainya inflasi terus meningkat kerana antara lainya, kenaikan cukai, seumpama kesan GST, penarikan subsidi seumpama bahan bakar, kenaikan tarif utiliti seperti elektrik, maka rakyat akan terus kehilangan kuasa membeli. Dengan itu peningkatan ‘C’ atau perbelanjaan akan turut terjejas.

Kesan ini akan menjejas ‘demand side’ atau permintaan. Sedikit sebanyak faktor ‘C’ atau perbelanjaan inilah, yang telah membantu peningkatan pertumbuan dalam suku akhir 2009. Namun sayugia dingatkan bahawa ‘gaji sebenar’ atau ‘real wages’ buruh atau ‘labour’ di negara ini hanya mengalami peningkatan sebanyak 2.6peratus mengikut Bank Dunia dalam 1994-2007. Dengan kata lain faktor ‘C’, akibat dari ‘gaji sebenar’ dan gaji ‘boleh berbelanja’ (disposable income) yang tidak meningkat, akan mengekang pertumbuhan yang lebih rancak.

Kita beraleh kepada faktor (X-M) atau Ekspot tolak Impot. Lebihan dagangan telah penulis sebutkan di atas. Sememangnya kita adalah sebuah negara yang bergantung kepada ekspot. Itu tidak salah. Dan inilah juga yang memacu pertumbuhan dalam suku akhir tahun lalu ini secara signifikan. Tetapi sebaliknya pula, selama manakah produk-produk negara boleh terus berdayasaing, kalau kita terperangkap dengan nilai-tambah yang rendah dengan pelaburan swasta (I) serta ekonomi domestik mandom dan lembap?

Fikirkan. Mampukah kita melonjakkan dayasaing negara atau ‘competitiveness’ dalam mendepani persaingan global yang semakin sengit dan getir?

Kesemua penghujjahan dan senario ini membuktikan bahawa ekonomi negara belum pulih dalam erti yang sebenarnya. Sedarlah wahai semua! Kesedaran adalah titik bermula perubahan dan reformasi tulen.