May 31, 2010

Makanlah Budu


Misteri yang baru terungkap. Khazanah yang belum dikenali ramai tapi sudah lama diamalkan di Pantai Timur. Budu atau sos bilis yang berasal dari negeri Trg dan Klate ini mendapat perhatian dan menjadi kajian para ahli pemakanan berkhasiat Jepun, Amerika , Australia , New Zealand dan Jerman.

Penemuan baru-baru ini membuktikan kandungan budu memiliki Gluthaione sebagai bahan antioksidan, mengeluarkan sisa toxic dan meningkatkan daya tahan tubuh (immune) yang dapat memerangi pelbagai penyakit merbahaya dan menghalang kanser. Kenyataan ini bagaikan satu kejutan bagi golongan yang selama ini memperlekehkan kewujudan budu yang dianggap makan "kuno". Budu berpotensi untuk melawan radikal bebas sehingga dapat menghalang proses penuaan dan mencegah koroner jantung, diabetes, kanser dan selainnya pada peringkat lebih awal.

Kajian mendalam juga mendapati budu turut mengandungi zat antibakteria penyebab diare, penurunan kolestrol darah, pencegah penyakit jantung dan hipertensi. Budu memiliki zat gizi yang lebih mudah dicerna,diserap dan dimanfaatkan oleh tubuh berbanding jenis protein yang lain. Khasiat budu yang diproses dari ikan bilis yang diperam terbukti mampu mengatasi masalah kanak-kanak yang menderita penyakit diare kronis akibat kurang zat pada tubuh. mampu menggalakkan pertumbuhan berat badan bagi golongan yang menderita penyakit diare kronis ini serta menyembuhkannya dalam waktu singkat.



Ia juga dapat mempertingkatkan IQ kepada sesiapa yang memakannya,kerana ia merangsangkan sel-sel otak dan
akan memperkukuhkan ikatan di antara neuron-neuron serta menguatkan neuron2 yang lemah.Pemakanan budu turut bertindak membantutkan pertumbuhan bakteria raffinosa dan stokiosa, penyebab Utama gejala flatulensi dan kembung perut bagi kanak-kanak dan orang dewasa.

2 kelompok vitamin yang terdapat pada budu iaitu,vitamin larut air(vitamin B Kompleks) dan vitamin larut lemak (vitamin A,D, E dan K). Budu merupakan sumber vitamin B yang paling banyak menyumbang kepada pecahan lain seperti vitamin B1 thiamin), vitamin B2(riboflavin), asid pantotenat, asid niasin, vitamin B6 dan vitamin 12 (sianokobalamin). Secara saintifik, budu merupakan penyumbang utama vitamin B12 yang dihasilkan oleh bakteria klebsiella pneum! oniae dan Citrobacter frundiin - yang mana Vitamin B12 ini tidak dimiliki dari mana-mana sumber makanan laut, ikan-ikan dan daging-daging lain. Ianya perlu untuk pembentukan sel darah merah, di mana kekurangan vitaman ini mengakibatkan terjadinya penyakit anemia perisiosa (pucat), sakit perut dan berat badan menurun.

Kadar Vitamin B12 dalam budu adalah di antara 1.5 sehingga 6.3 mikrogram per 100 gram bagi setiap satu hidangan atau 2 sudu besar. Jumlah ini jauh lebih cukup untuk keperluan badan manusia dalam sehari. Dengan adanya vitamin
B12 para pengamal diet jaga badan) tidak perlu lagi merasa khuatir akan kekurangan vitamin B12 di dalam badan. Selain pembekal kepada protein yang tinggi, ia turut mengandungi mineral makro dan mikrodalam jumlah yang cukup. Jumlah mineral zat besi, kalsium dan magnesium adalah sebanyak 9,39, 2,87 dan 8.05mg bagi setiap 100 gram budu. Budu juga mengandungi zat antioksidan dalam bentuk isoflavon. Seperti halnya vitamin C, vitamin E dan karotenoid, isoflavon juga merupakan antioksidan yang sangat diperlukan oleh tubuh untuk menghentikan reaksi pembentukan radikal bebas.

Radikal bebas merupakan atom atau molekul yang mempunyai satu atau lebih elektron yang tidak berpasangan, sehingga menjadi sangat aktif hingga menyebabkan ketumbuhan tumor, kanser, penuaan dan kematian sel. Radikal bebas didapati berpunca dari makan seharian yang dimakan dan juga dari reaksi yang terjadi di dalam tubuh. Adanya antioksidan didalam budu akan mencegah pembentukan radikal bebas tersebut. Kebiasaannya di dalam apa jua jenis ikan terdapat 3 jenis isoflavon! (unsur antioksidan) iaitu daidzein,glisitein dan genistien. Pada budu, di samping 2 jenis unsur ini, terdapat juga antioksidan faktor 11 (6, 7, 4 trihidroksi soflavon) yang mempunyai sifat antioksidan paling kuat dibandingkan isoflavon dalam ikan-ikan lain.

Penelitian yang dilakukan di University North Carolina , Amerika Syarikat menemukan bahawa unsur genestein dan phytoestrogen yang terdapat pada budu terbukti dapat mencegah penyakit kanser, proses penuaan dan kanser payudara. Penyakit jantung koroner (PJK) merupakan salah satu bentuk kelainan pembuluh darah koroner akibat penumpuan lemak di dalam dinding pembuluh darah iaitu satu keadaan yang disebut aterosklerosis. Ini mungkin disebabkan oleh faktor usia, pemakanan, jantina dan keturunan.

Manakala faktor dimodifikasi adalah peningkatan kadar lipida darah (hiperkolestrolemia), hipertensi, obesiti, stress dan kurang aktiviti lasak.Pemakanan budu yang mempunyai sifat hipokolesterolemik (menurunkan lemak darah) seperti kandungan protein,serta makanan, niasin, vitamin E, karotenoid dan kalsium. Satu ujikaji rambang yang dijalankan mendapati pengambilan budu sebanyak 150 gm sehari selama 2 minggu dapat menurunkan kadar kolestrol ke tahap luar dari jangkaan. Selain dari sumber protein yang berkualiti tinggi,budu turut dikenali sebagai sumber serat(dietary fiber) yang baik.

Kandungan serat didalam budu mampu mencapai di antara 8 hingga 10% bagi setiap 100 gm. Ia menyumbangkan kepada 30% dari jumlah serat yang dianjurkan oleh National Cancer Reserach. Berbanding serat di dalam ikan-ikan atau sumber protein lain, serat pada tempe (Farmasi Anis: tempe atau budu?) lebih mudah untuk dicernakan. Dari apa yang dinyatakan ini jelas sekali bahawa khasiat serta kebaikan sepiring budu yang dimakan bersama hidangan nasi pagi, tengahari dan malam melampau jangkauan yang anda fikirkan.

Budu umpama seteguk air multivitamin yang menyumbang kepada pelbagai keperluan untuk tubuh badan. so minumlah budu mcm minum air mineral

May 29, 2010

Sedingin Cinta Ibrahim

Cinta seperti hujan yang berkunjung renyai-renyai dalam kebun hidupnya. Sungguh wajah Ibrahim seperti awan rendah yang meneduhkan. Dia suka memandang wajah itu, setiap hari dan saban malam. Tak pernah jemu, kerana wajah itulah yang tak putus-putus menghantar kedinginan dan keredupan, hujan cinta yang renyai-renyai. Wajah itu adalah cinta tak berbelah bahaginya.



Dia tidak punya harta yang banyak, juga pendidikannya hanya cukup sekadar membolehkan dia membaca dan mengaji dengan fasih. Dia lahir tidak sempat mengingat wajah abah dan umi. Bahkan dia tidak mengenali mereka, hanya beberapa orang penjaga dan teman-teman segelanggang di rumah kebajikan anak-anak yatim. Harta yang dia ada, cumalah cinta yang menyala-nyala itu. Cinta kepada Tuhan yang Maha Pengasih, cinta kepada rasul yang mengasihi, juga cinta kepada kekasihnya, Ibrahim. Suami yang tercinta, yang mengajar dia mengenal makna cinta itu, berlapis-lapis, dan dalam sekali.

“Keimanan itu bukan sekadar ikrar dengan lisan dan bukti melalui perbuatan, tetapi juga hati yang yakin dan mencintai,” pesan Ibrahim.

Dia cintakan suara itu. Tiap malam sesudah Maghrib Ibrahim bersila di hadapannya. Sederhana, berbaju melayu dan berkopiah putih. Bauan harum yang dipakai suaminya semerbak sekali membuatkan dia jadi tenteram dan bahagia. Lalu mereka sama-sama menekuni kitab Allah dengan khusyuk dan kerendahan. Helaian demi helaian. Ibrahim mengajarnya pelbagai perkara, tentang langit dan bumi, tentang kelahiran dan kematian, tentang manusia dan hati. Juga tentang kisah para nabi dan rasul yang sangat gemar didengarinya. Dia ralit mendengar kisah Nabi Ibrahim dan isterinya Sarah berkali-kali, berulang-ulang. Seperti seorang kanak-kanak, dia akan duduk diam di hadapan Ibrahim dengan senyuman manja sambil mendengar setiap satu kata yang diucapkan Ibrahim. Kadang-kala diulangnya suara Ibrahim, sehingga suaminya turut tersenyum. Alangkah, cintanya menyala-nyala; tidak membakar tetapi mendinginkan.



“Sekarang baru kau tahu, Ibrahim. Bersungguh-sungguh sangat hendakkan dia. Sekarang lihatlah, kau sudah tidak ada generasi untuk menyambung keturunan kau. Ini semua salah anak yatim tu.”

“Ya Allah. Jangan cakap begitu Kak Senah. Siapa sangka, mungkin saya sendiri yang kurang upaya. Rezeki itu di tangan tuhan. Diberi dan diambil atas iradat-Nya.”

Ibrahim mengajarnya tentang keyakinan itu. Penyerahan dan kesabaran itu adalah kecintaan yang gagah, yang tulus buat Tuhan.

Dia cintakan Ibrahim, juga Ibrahim sangat mencintai. Itu yang dibisikkan Ibrahim tiap-tiap pagi ketika dahinya dikucup sebelum Ibrahim berangkat ke tempat kerjanya. Seperti dituangkan air yang dingin, dia merasai kasih sayang Ibrahim mengalir ke seluruh tubuhnya, seluruh hati dan jiwa raganya. Lalu tumbuh sepohon yang rendang, di situlah dia tumpang bernaung dari kepanasan dunia yang semakin melemaskan. Alangkah tulusnya.

Ibrahimlah yang membawa dia ke dunia yang serba cukup ini. Dia tidak mahu rumah mewah, atau kereta besar, atau barangan kemas yang membukit kerana dia sedar itu semua bukanlah rezeki selayak untuknya. Dia hanya mahu merasai nikmat kasih sayang, memiliki keluarga dan insan untuk dicurahkan isi jiwa wanitanya. Terlalu lama dia kekontangan itu semua, ibu bapanya meninggal sejak dia kecil lagi. Rumahnya hangus dalam kebakaran besar-besaran di kampung, menelan seluruh cinta yang ada. Kakak sulungnya turut terkorban. Tinggal dia sendirian yang tuhan panjangkan nyawa. “Bersyukurlah kepada-Nya atas nikmat usia ini. Ajal dan maut ditentukan sejak azali lagi. Begitu jugalah kita dijodohkan hari ini, atas kasih Tuhan,” pesan Ibrahim dengan penuh cinta.

Rindunya hanya kepada suaminya, tumpah melimpah-limpah. Itulah amanah yang ditetapkan oleh Tuhan buatnya.

“Tak mungkin salah kau pula, kau tu lelaki Ibrahim. Kau perasan tak, sejak dia masuk ‘operate’ dulu, kau dengan dia dah tidak menjadi? Mesti ada masalah dengan dia. Dia sudah tidak subur lagi tu.”

“Itulah silapnya Kak Senah, orang Melayu ni. Asalkan tak ada rezeki saja, disalahkan orang perempuan. Apa-apapun dituduhnya orang perempuan. Kak Senah tahu, dari kajian perubatan, masalah ini 40 peratus berpunca dari pihak lelaki, 40 peratus dari yang perempuan. Selebihnya, berpunca dari kedua-dua pihak. Paling utama, itu semuakan aturan tuhan?” Ibrahim hanya tersenyum melayan kerenah kakak tunggalnya itu.

“Lagipun Kak Senah, operation yang dijalani isteri saya tu, tak sepatutnya menjejaskan kesuburannya itu. Dia masih berupaya melahirkan seperti seperti sebelumnya.” Kak Senah hanya mencebik masam.

Kadang-kala dia juga mengenang sendirian, layakkah dia untuk menelan segenap cinta yang Ibrahim curahkan itu. Dia bukanlah jodoh yang terbaik buat Ibrahim. Ibrahim seorang pakar perubatan kanak-kanak, paediatrician, juga lepasan luar negara. Berpendidikan tinggi, berkelulusan tinggi, juga punya maruah dan martabat yang tinggi.

Dia bukanlah segagah Sarah, wanita yang terbaik buat menggalas cinta Ibrahim.

Malam itu perjalanan takdirnya telah dibuka oleh tuhan seluas-luasnya. “Ini ujian tuhan buat kita yang lemah,” pesan Ibrahim sentiasa.

“Kepunyaan Allah-lah kerajaan langit dan bumi, Dia menciptakan apa yang Dia kehendaki, Dia memberikan anak-anak perempuan kepada siapa yang Dia kehendaki dan memberikan anak-anak lelaki kepada siapa yang Dia kehendaki. Atau Dia menganugerahkan kedua jenis laki-laki dan perempuan (kepada sesiapa yang dikehendaki-Nya), dan Dia menjadikan mandul siapa yang dia kehendaki. Sesungguhnya dia Maha Mengetahui lagi Maha Kuasa (Asy Syuura: 49-50)”

“Ibrahim, isteri kau mengalami ectopic pregnancy di tiub Fallopio kanannya. Dia sudah mengalami rupture dan pendarahan serius selama beberapa jam yang lepas, salpingectomy harus disegerakan!”

Ibrahim hanya akur. Dia sebagai salah seorang pakar perubatan yang penuh pengalaman sangat mengerti akan situasi yang dihadapkan padanya detik itu. Pendarahan akibat ectopic pregnancy terlalu besar kemungkinan untuk meragut nyawa isterinya. Bila-bila masa sahaja! Wajah isterinya yang pucat ditenung dengan senyuman yang kelat. Sebelum disorong ke bilik bedah, Ibrahim sempat mengucup dahi isterinya- ada doa di dalamnya dingin meresap jauh ke nubari isterinya.

Mujur saja sebenarnya Ibrahim seorang doktor yang cekap. Beberapa jam sebelum itu, isterinya telah disyaki menghidap appendicytis setelah mengadu sakit-sakit di kanan perutnya, bahkan hampir saja dihantar ke Operation Theatre untuk dijalankan appendectomy. Tetapi Ibrahim mencegah, aduan isterinya beberapa hari lalu tentang kitar haid yang sudah terganggu selama 6 minggu menyebabkan dia menangguhkan pembuangan appendix isterinya. Alangkah, tindakan Ibrahim itu sungguh berbaloi.

“Saya mahu dia diperiksa sekali lagi, dengan transvagial Ultrasound Scan! Saya rasa ini bukan appendycitis,” arah Ibrahim kepada doktor yang bertugas malam itu.

Ibrahim menanti, hatinya tawakal bahawa Tuhanlah pemilik segala cinta.
“(tetapi mereka tidak mahu makan), kerana itu Ibrahim merasa takut terhadap mereka. Mereka berkata: ‘Janganlah kamu takut’. Dan mereka memberi khabar gembira kepadanya dengan (kelahiran) seorang anak yang alim (Ishak). Kemudian isterinya datang memekik (tercengang) lalu menepuk mukanya sendiri seraya berkata: ‘Aku adalah seorang perempuan tua yang mandul’. Mereka berkaa: ‘Demikianlah Tuhanmu menfirmankan’ sesungguhnya Dialah Yang Maha Bijaksana lagi Maha Mengetahui. (Adz-Dzaariyat: 28-30)”

Terlalu lama mereka bersama dan dia sungguh-sungguh dapat membaca keresahan hati suaminya. Dialah yang mengubat sepi Ibrahim selama ini. Dan dia juga tahu, Ibrahim terlalu merindukan zuriat untuk menyambung legasi dan keturunannya. Ibrahim amat menghasratkan suara kanak-kanak dapat memeriahkan rumah mereka yang sederhana itu. Cahaya mata yang menjadi tanda dan anugerah buat cinta yang menyatukan mereka. Cinta yang menyala-nyala. Kerana naluri cintanya kepada kanak-kanak itu jugalah Ibrahim menjadi paeditrician.

Lalu dia sering menyalahkan dirinya. Kata-kata Kak Senah kadang-kadang menghantukkan jiwa wanitanya. Alangkah dia mahu jadi setabah Sarah, tidak pernah putus mendedikasikan ketaatan dan kekuatan buat Ibrahim terus berdiri. Saban malam dia memanjatkan seribu doa buat tuhan agar dipinjamkan sedikit jiwa wanita terpuji itu- agar dia menjadi seorang Sarah buat Ibrahim.

Dia mahu cintanya adalah cinta seorang Sarah buat Ibrahim.

“Cuba kita renungkan betapa kekuasaan tuhan yang menciptakan Adam. Juga kelahiran Isa yang tidak berbapa dari seorang wanita solehah bernama Maryam,” kata Ibrahim sambil bersila di hadapannya sesudah maghrib. Sederhana, berbaju melayu dan berkopiah putih.

“Jadi tidak mustahil juga Allah yang Maha Penyayang menganugerahkan zuriat kepada nabi Ibrahim dan isterinya Sarah, serta kepada nabi Zakaria dan isterinya, Ishba, walaupun mereka dalam usia yang sudah lanjut. Merekalah insan-insan yang diceritakan dalam Al Quran, yang telah tuhan uji dengan tanpa mendapat zuriat.”

“Tentu lama mereka terpaksa menanti sebelum kelahiran zuriat pertama itu, kan Abang?”

“Kesabaran dan keyakinanlah yang menggagahkan mereka. Kecintaan mereka kepada tuhan tidak akan pernah dilupakan oleh Pencipta Seluruh Alam, lantas kerana kekuatan mereka itu, Tuhan bukan sahaja menganugerahkan anak, tetapi zuriat yang bakal menjadi keturunan yang soleh dan mulia, termasuklah para rasul dan nabi. Moga-moga tuhan juga mengizinkan zuriat yang baik dan soleh buat kita,” ujar Ibrahim lagi sambil tersenyum. Senyuman itulah yang dia simpan saban hari, setiap malam untuk mengubat luka dan kecewanya.

Pernah juga suatu hari rakannya, yang juga rakan sekerja Ibrahim mencadangkan kaedah reproduktif alternatif kepada mereka. Dia sendiri sudah jenuh memujuk Ibrahim agar menerima kaedah persenyawaan in vitro (IVF) dan artificial insemination (AI). Kata rakannya, kaedah itu halal selagi menggunakan benih dari kedua-dua suami dan isteri dalam tempoh perkahwinan yang sah. Tetapi Ibrahim terlalu tegas menolak.

Ibrahim tidak mahu mendapat zuriat dengan kaedah tersebut. Masih belum tiba masanya, kata suaminya.

Dia terlalu cintakan Ibrahim, namun hati wanitanya kadang kala bergetar juga. Dia bukannya Sarah, juga bukanlah Ishba yang gagah. Kekurangan dirinya itu selalu menakutkan tatkala dia melayan perasaannya yang sering resah. Dia bimbang jika cintanya yang satu ini dibawa pergi oleh Ibrahim, meninggalkan dia kembali seperti mana dia suatu ketika dahulu. Dia takut api cintanya yang menyala itu terpadam. Lalu dia beristikharah pada tuhan, memohon petunjuk dan kegagahan. Dengan seribu upaya, dan sejuta air mata dia membulatkan cintanya! Pengorbanan harus dibuat.

“Tidak! Janganlah cakap begitu lagi. Bersabar dan yakinlah, seperti yakinnya Sarah dan Ibrahim,“ suara suaminya mula keras.

“Tapi abang, Sarah juga merelakan suaminya mengahwini Hajar lantas berkat perkahwinan itu mereka dikurniakan Ismail oleh tuhan. Izinkan saya menjadi Sarah buat abang. Saya tak sanggup lagi melihat hasrat yang telah lama abang simpan itu jadi angan-angan kerana kekurangan saya ini.”

“Rezeki dan jodoh kita telah ditentukan. Ketika tuhan menyelamatkan kamu sewaktu mengalami pendarahan di dalam rahim kerana ectopic pregnancy dulu merupakan rezeki yang tak terhingga untuk abang. Sehingga kini abang tak terbalas cinta Tuhan kepada kita. Itu sudah memadai.” Sungguh-sungguh senyuman Ibrahim itu selalu saja membuatkan dia kelu. Dia tewas.

Namun dia tidak pernah putus asa. Kadang kala dia meminta pertolongan Kak Senah untuk meyakinkan Ibrahim yang tegas itu. Tiada masalah bagi Kak Senah. Kak Senah cukup suka jika Ibrahim berkahwin seorang lagi. Sebelum Ibrahim melamarnya, keluarga Ibrahim pernah menjodohkannya dengan anak gadis ketua kampungnya. Semestinya tindakan Ibrahim mengahwini dirinya, seorang gadis yatim yang sekadar berkerja sebagai pembantu di rumah kebajikan bukanlah sesuatu yang diharapkan oleh keluarga Ibrahim yang besar itu.

Usaha Kak Senah juga tidak mendapat hasil yang memuaskan, bahkan Ibrahim dengan tenang dan tersenyum memberikan pelbagai alasan. Tentang kerjayanya yang semakin sibuk, tentang gajinya yang tak seberapa, dan bermacam lagi. Masakan Ibrahim mampu untuk melayan dua orang isteri. Namun dalam hati dia tahu Ibrahim cuma berdalih, tidak disangka begitu kejap setia Ibrahim, sehinggakan dia acapkali menangis terharu. Begitu besar kasih yang dicurahkan Ibrahim demi membahagiakannya, namun dia tidak dapat memberikan Ibrahim sebarang zuriat meskipun sudah hampir 8 tahun mereka bersama. Alangkah hati wanitanya pecah.

“Bersyukurlah dengan rezeki yang tuhan perkenankan untuk kita. Anak-anak itu rezeki, tetapi usia juga rezeki, bahkan iman dan Islam yang tertanam di dada ini adalah rezeki tak terhingga buat kita.”

Lalu Ibrahim menceritakan pula kisah Nabi Ayub yang mulia, tentang tuhan yang menguji baginda dengan penyakit. Segala nikmat harta, ladang-ladang dan anak-anak ditarik tuhan lalu baginda bersabar tanpa kesal dan kesah.
“dan (ingatlah kisah) Ayub, ketika ia menyeru Tuhannya: ‘(Ya Tuhanku), sesungguhnya aku telah ditimpa penyakit dan Engkau adalah Tuhan yang Maha Penyayang di antara semua penyayang.’ Maka Kamipun memperkenankan seruannya itu, lalu Kami lenyapkan penyakit yang ada padanya dan Kami kembalikan keluarganya kepadanya, dan Kami lipatgandakan bilangan mereka, sebagai suatu rahmat dari sisi Kami dan untuk menjadi peringatan bagi semua yang menyembah Allah. (Al Anbiyaa: 83-84)”

Cintanya masih menyala-nyala; tidak membakar tetapi mendinginkan. Seperti Sarah dan Ibrahim, di antara mereka adalah keyakinan dan kesabaran. Ibrahim bukan sahaja suami, tetapi adalah guru dan cintanya.

Cinta tuhan, adalah cinta yang tak terjangkau. Dia sujud dengan sejuta penyerahan.
“Ibrahim! Isteri kau pitam tadi! Kami baru balik dari klinik.”

“Ha?! Kenapa Kak Senah? Apa dah jadi?” gagang telefon dipegang erat. Cemas tiba-tiba berleluasa.

“Tahniah Ibrahim!”

“Kenapa Kak Senah? Isteri saya macam mana?”

“Dia sihat. Ibrahim, mulai dari hari ni kau jangan biarkan dia buat kerja rumah berat-berat lagi! Dia kena banyakkan rehat. Alhamdulillah, rezeki kamu berdua telah diperkenankan tuhan setelah lama menanti, sudah 7 minggu dia mengandung,” Kak Senah mengusik sambil ketawa kecil.



Ibrahim terdiam, dalam senyum itu ada syukur yang tumbuh berkuntum-kuntum. Di dalam rahim isterinya kini semakin sejuk sesudah sekian lama, diisi dengan kasih sedingin

“Dan Kami telah memberikan kepadanya (Ibrahim) Ishak dan Yaakub, sebagai suatu anugerah (daripada Kami). Dan masing-masing Kami jadikan orang-orang yang soleh. (Al-Anbiyaa’ : 72)

Alangkah, Dia yang maha Menganugerah, pemilik segala Cinta, pemilik segala Rahsia.

*Fahd Razy merupakan pelajar di Royal College of Surgeon in Ireland, Dublin. Juga merupakan Penasihat bagi Grup Karyawan Luar Negara, http://gkln.blogspot.com. Tulisannya berupa artikel, cerpen, dan puisi banyak tersiar di majalah dan akhbar dalam dan luar negara. Cerpen ini disiarkan di majalah Anis, Ogos 2006

May 18, 2010

Lelaki Soleh

Kesolehan seseorang lelaki menjadi idaman setiap isteri dan tidak dapat dinilai dari segi lahiriah semata-mata, tentu ada beberapa kriteria Lelaki soleh.
Lelaki soleh menurut Abu Mohd Jibril Abdul Rahman sesuai dengan yang dimaksudkan di dalam Al Qur’an dan Al Hadis.

1. Sentiasa taat kepada Allah swt dan Rasullulah saw.
2. Jihad Fisabilillah adalah matlamat dan program hudupnya.
3. Mati syahid adalah cita cita hidup yang tertinggi.
4. Sabar dalam menghadapi ujian dan cobaan dari Allah swt.
5. Ikhlas dalam beramal.
6. Akhirat manjadi tujuan utama hidupnya.
7. Sangat takut kepada ujian Allah swt. dan ancamannya.
8. Selalu memohon ampun atas segala dosa-dosanya.
9. Zuhud dengan dunia tetapi tidak meninggalkannya.
10. Solat malam menjadi kebiasaannya.
11. Tawakal penuh kepada Allah taala dan tidak mengeluh kecuali kepada Allah swt
12. Selalu berinfaq dalam keadaan lapang maupun sempit.
13. Menerapkan nilai kasih sayang sesama mukmin dan ukhwah diantara mereka.
14. Sangat kuat amar maaruf dan nahi munkarnya.
15. Sangat kuat memegang amanah, janji dan kerahasiaan.
16. Pemaaf dan lapang dada dalam menghadapi kebodohan manusia, senantiasa saling koreksi sesama ikhwan dan tawadhu penuh kepada Allah swt.
17. kasih sayang dan penuh pengertian kepada keluarga.

Selain daripada ciri-ciri diatas, orang orang yang soleh juga merupakan insan insan yang senantiasa mendapat ujian dan cobaan daripada Allah swt. Para nabi nabi dan orang orang yang mulia Mereka menghadapi segala ujian tersebut dengan hati yang tabah dan tetap teguh dalam keimanan serta pendirian. Mereka tidak mudah menyerah kalah dari keganasan dan tekanan musuh.

Tugas tugas dan kewajiban Lelaki Soleh :

1. Mencari nafkah ( belanja hidup)
2. Berjihad Fisabilillah.
3. Melindungi dan membela kaum yang lemah dan tertindas.
4. Memimpin, mendidik dan berlaku adil terhadap isteri.


Berdasarkan kriteria di atas maka jelaslah bahwa suami yang soleh tidak dapat memberikan sebagian besar dari kehendak duniawi isteri. Isteri tidak perlu mengeluh sebaliknya bersyukur karena doa untuk mendapat suami yang soleh mungkin sudah dikabulkan Allah. Ingatlah, Isteri -isteri Rasulullah SAW sendiri pernah ditawarkan kesenangan dunia atau akhirat. Maka akhirnya isteri baginda memilih akhirat.

Wanita seharusnya juga bermuhasabah apakah layak untuk mengimpikan Suami semulia Saidina Ali Karamullah Wajhah padahal Wanita tidak setaat Saidatina Fatimah Az-Zahrah..?


http://arifbastari.multiply.com/journal/item/117/LELAKI_SOLEH

May 6, 2010

Sayangi Ibu Ayah




Hari ini saya nak bercerita tentang kisah seorang sahabat saya cik gu 'S" . Mungkin kisah ini akan menjadi pengajaran kepada kita. Saya sempat menziarahi cik gu 'S' yang terlantar kerana sakit akibat kemalangan jalanraya. Kakinya patah dan dimasukkan besi. Dia juga menghidap sakit kencing manis. Apa pun yang hendak saya kongsikan dengan pembaca, bagaimana anak isteri beliau tidak menghiraukan dengan keadaan beliau yang sakit itu.

Di biarkan sahaja cik gu 'S' terlantar di bengkel buruk ini tanpa diberi perhatian sewajarny;Tidur baring di atas tilam lusuh. Mujurlah ada kawan yang simpati membenarkan beliau untuk tinggal disitu dan menjaganya seperti berada di wad hospital. Makan minum dan gantian pampers dilakukan oleh kawan, bukan anak isteri yang sepatutnya mengambil berat hal ini. Cik gu 'S' mempunyai dua buah rumah, tetapi tidak dapat menikmati keselesaan hasil usahanya. Isteri beliau yang kasar dan tidak mempunyai belas kasihan langsung tentangnya terus tidak mengambil kisah. Malah anak-anaknya yang telah menamatkan pelajaran Universiti juga menganggap bapanya seperti orang lain saja.

Namun difahamkan sehari sehari sebelum meninggal dunia anak-anaknya menjengahnya dan sempat menyuapkan nasi ke mulut bapanya. Dihari kematiannya saya dan sahabat menziarahi beliau. Pada masa itu, beliau tindur nyenyak dan mendengkur. Kami tidak menganggunya sehingga petang itu saya terkejut diberitahu beliau telah meninggal dunia di Hospital.

Untuk membawa mayatnya dari bilik mayat kami berusaha menghubungi anak-anaknya untuk mendapatkan kebenaran mengkebumikan. Walau bagaimana pun lewat juga menanti anak-anaknya untuk membawa mayat allahyarham ke rumahnya.Isterinya dengan nada yang serius agar mengkebumikan cik gu "S' malam itu juga, kerana esuk dia akan bekerja sebagai alasan. Itulah sikap seorang isteri yang angkuh dan sombong walaupun suaminya telah pergi buat selama-lamanya.

Pengajaran yang dapat diambil dari kisah ini, walaupun hidup bersuami isteri dan mempunyai anak yang terpelajar, berjawatan tinggi, namun kehidupannya tidak semudah itu. Derita mengakhiri kematian. Ilmu Islam sangat penting dalam melayari kehidupan berumahtanga.

diambil dari blog http://n51pasirpanjang.blogspot.com/.sayangilah ibu bapa kita selagi mereka masih hidip bila sudah tiada tiada gunanya lagi. disini saya letakkan lirik lagu azimat ibunda sebagai renungan



Azimat Ibunda
Album : Halawatul Iman
Munsyid : Far East
http://liriknasyid.com


langit kirmizi menghantar dirimu menuju jln pulang
hari-hari indah bersamamu bertaburdi tanah kenangan
wajah berona simpati kau tatapi buatkali t'akhir
sedih & sayu dari kamar atma mengundang air mata

Hanya rindu & doa buatmu
semoga kau tenang dan bahagia
agar syurga menjadi milikmu
bukan hanya di telapak kakimu

menumpang di segenap ruang yg ada di lubuk p'kasihan
begitu indah setiap detik di dlm rahimmu
sehingga teramat asyik setiap saat di pangkuanmu
keperitan itu kau rasa indah demi anakmu

setitis air mata ibu yang gugur kerana kesedihan
segaris luka di hati ibu kerna kederhakaan
tertutup pintu syurga jika tiada keampunannya
azimat ini ku tanam di lubuk hati yg dalam

di tirai malam aku bersandarkan pada dinding kepiluan
bersenandungkan merdu suara alam terlena di rajutan rindu
tiada yg terindahdiduni dapat mengganti hilangmu
pilahan yg terbaik takkan dapat mengisi relung hatimu

May 5, 2010

Sunnah Perjuangan-Buatmu Teman

Perjuangan itu tidak datang dengan karpet merah, tidak dihampar dengan seribu kesenangan dan keseronokkan, namun dengan seribu onak yang mencalarkan seisi anggota badan.

Sesungguhnya kesusahan dalam perjuangan sangat berbeza letih letihnya bersukan, dengan penatnya menulis helaian kertas, kerana perjuangan itu adalah ujian, andai kata anda minat untuk berjuang, dengan berjuang anda tidak akan dapat merasa kepuasan minat.

Hakikat perjuangan ianya datang dengan seribu ujian, namun kemanisan di penghujung jalan. Anda boleh berhenti di tengah jalan namun madunya takkan dapat anda hirup dengan penuh nikmat ketenangan. Ingin merasa manisnya berjuang, tunggu hingga hujung jalan.

Lihat dan tataplah Al-Quran, saat utusan tuhan sedih dan bersendirian, turunlah wahyu yang menceritakan tentang pahitnya perjuangan orang yang sebelumnya.

Buat sahabat dan teman ku nukilkan sejarah ini buat tatapan semoga thabat dalam perjuangan, sesungguhnya ujian ini hanya kecil andai hendak dibanding dengan kasih sayang tuhan.



Mus’ab bin Umair

Mus’ab bin Umair adalah sahabat Rasulullah S.A.W. yang sangat berjasa dan menjadi teladan kepada umat Islam sepanjang zaman. Sebelum memeluk Islam, dia berperawakan lemah lembut, suka berpakaian kemas, mahal dan indah. Malah dia selalu bersaing dengan kawan-kawannya untuk berpakaian sedemikian. Keadaan dirinya yang mewah dan rupanya yang kacak menyebabkan Mus’ab menjadi kegilaan gadis di Makkah. Mereka sentiasa berangan-angan untuk menjadi isterinya.

Mus’ab sebenarnya adalah anak yang paling disayangi ibunya berbanding adik beradiknya yang lain. Apa sahaja permintaannya tidak pernah ditolak. Oleh itu tidaklah menghairankan apabila ibunya begitu marah selepas mendapat tahu Mus’ab telah menganut Islam. Ibunya telah mengurung dan menyeksa Mus’ab selama beberapa hari dengan harapan dia akan meninggalkan Islam. Bagaimanapun tindakan itu tidak sedikit pun melemahkan keyakinannya. Pujukan dan ancaman ibunya tidak berkesan. Mereka sudah habis ikhtiar lalu membebaskannya buat sementara.



Tindakan ibunya tidak sedikit pun menimbulkan rasa takut pada Mus’ab, sebaliknya dia tidak jemu-jemu memujuk ibunya memeluk Islam kerana kasih pada ibunya. Mus’ab membuat pelbagai ikhtiar tetapi semua tindakannya hanya menambahkan lagi kemarahan dan kebencian ibunya.

Pada suatu hari Mus’ab melihat ibunya dalam keadaan pucat lesu. Dia pun bertanyakan sebabnya. Kata ibunya, dia telah berniat di hadapan berhala bahawa dia tidak akan makan dan minum sehingga Mus’ab meninggalkan Islamnya. Cuba bayangkan bagaimana jika anda berada di tempat Mus’ab ketika itu, berhadapan dengan ibu yang hanya hampir tinggal nyawa ikan? Apakah jawapan anda? Tergamakkah anda membiarkannya terlantar begitu? Atau apakah ada jawapan lain yang lebih menggembirakan? Dengarlah jawapan Mus’ab kepada ibunya: “Andaikata ibu mempunyai seratus nyawa sekalipun, dan nyawa ibu keluar satu demi satu, nescaya saya tetap tidak akan meninggalkan Islam sama sekali”.

Apa lagi, lemahlah siibu mendengar jawapan sianak. Dengan jawapan tersebut juga, Mus’ab dihalau daripada rumah ibunya. Tinggallah Mus’ab bersama-sama Rasulullah dan sahabat-sahabat yang sangat daif ketika itu. Untuk meneruskan kehidupannya, Mus’ab berusaha sendiri bekerja mencari nafkah dengan menjual kayu api. Apabila sampai berita ini kepada ibunya, dia merasa amat marah dan malu kerana kebangsawanannya telah dicemari oleh sikap Mus’ab. Adik-beradik Mus’ab juga sering menemui dan memujuknya supaya kembali menyembah berhala. Tetapi Mus’ab tetap mempertahankan keimanannya.

Sewaktu ancaman dan seksaan kaum Quraisy ke atas kaum Muslim menjadi-jadi,
Rasulullah telah mengarahkan supaya sebahagian sahabat berhijrah ke Habysah. Mus’ab turut bersama-sama rombongan tersebut. Sekembalinya dari Habsyah, keadaan beliau semakin berubah. Kurus kering dan berpakaian compang-camping lantaran penyiksaan Quraisy ke atasnya. Keadaan itu menimbulkan rasa sedih di dalam hati Rasulullah. Kata-kata Rasulullah mengenai Mus’ab sering disebut-sebut oleh sahabat:

Segala puji bagi bagi Allah yang telah menukar dunia dengan penduduknya. Sesungguhnya dahulu saya melihat Mus’ab seorang pemuda yang hidup mewah di tengah-tengah ayah bondanya yang kaya raya. Kemudian dia meninggalkan itu semua kerana cinta kepada Allah dan Rasul-Nya”.

Apabila ibu Mus’ab mendapat tahu mengenai kepulangannya, dia memujuk anaknya supaya kembali kepada berhala. Dia mengutuskan adik Mus’ab yang bernama Al-Rum untuk memujuknya. Namun Mus’ab tetap dengan pendiriannya. Bagaimanapun tanpa pengetahuan ibunya, Al-Rum juga sudah memeluk Islam tetapi dia merahsiakannya. Mus’ab, adalah orang pertama diutus oleh Nabi ke Madinah untuk berdakwah. Hasil dakwahnya, pada tahun tersebut 12 orang Madinah Masuk Islam dan bertemu dengan Nabi di Musim Haji untuk mengikat janji setia dengan Nabi(Perjanjian A’qabah 1). Pada tahun berikutnya 70 lagi orang Madinah masuk Islam dan datang ke Mekah di musim Haji untuk berjanji setia dengan Nabi(Perjanjian A’qabah 2).Kejayaan cemerlangnya inilah, pembuka jalan kepada Nabi dan para sahabat untuk berhijrah ke Madinah.

Sewaktu berlaku peperangan Uhud, Mus’ab ditugaskan memegang bendera-bendera Islam. Peringkat kedua peperangan telah menyebabkan kekalahan di pihak tentera Muslimin. Tetapi Mus’ab tetap tidak berganjak dari tempatnya dan menyeru: Muhammad adalah Rasul, dan sebelumnya telah banyak diutuskan rasul.



Ketika itu, seorang tentera berkuda Quraisy, Ibn Qamiah menyerbu ke arah Mus’ab dan menetak tangan kanannya yang memegang bendera Islam. Mus’ab menyambut bendera itu dengan tangan kirinya sambil mengulang-ulang laungan tadi. Laungan itu menyebabkan Ibn Qamiah bertambah marah dan menetak tangan kirinya pula. Mus’ab terus menyambut dan memeluk bendera itu dengan kedua-dua lengannya yang kudung. Akhirnya Ibn Qamiah menikamnya dengan tombak. Maka gugurlah Mus’ab sebagai syuhada’ Uhud.

Al-Rum, Amir ibn Rabiah dan Suwaibit ibn Sad telah berusaha mendapatkan bendera tersebut daripada jatuh ke bumi. Al- Rum telah berjaya merebutnya dan menyaksikan sendiri syahidnya Mus’ab. Al- Rum tidak dapat lagi menahan kesedihan melihat kesyahidan abangnya. Tangisannya memenuhi sekitar bukit Uhud. Ketika hendak dikafankan, tidak ada kain yang mencukupi untuk menutup jenazahnya. Keadaan itu menyebabkan Rasulullah tidak dapat menahan kesedihan hingga bercucuran air mata baginda. Keadaannya digambarkan dengan kata-kata yang sangat masyhur:

Apabila ditarik kainnya ke atas, bahagian kakinya terbuka. Apabila ditarik kainnya ke bawah, kepalanya terbuka. Akhirnya, kain itu digunakan untuk menutup bahagian kepalanya dan kakinya ditutup dengan daun-daun kayu.



Penutup.

Semoga kisah Mus'ab menjadi pedoman, buat insan yang inginkan penghujung yang indah. Mus'ab si anak kesayangan namaun cinta tuhan melebihi segalanya, bahagialah Mus'ab disana.

Kasih Sayang


A male cat has amazed some onlookers with his behaviour to a female cat after she was hit by a car and left dead on the street in Kızılsaray district of Antalya, southern Turkey. Having seen the darling lying on the ground, the male cat started making massage-like movements, to bring the beloved back to life. The scene was likened to a cardiac massage one by onlookers. Even though some people tried to help him, the male cat wouldn't let them come near for two straight hours.The female cat was taken to a veterinary polyclinic for treatment but died there.