October 21, 2010

Islam itu ganas?

Bercakap mengenai sebab dan punca berlaku keganasan dan cara mengatasinya suka saya kaitkan dengan islam, hal ini adalah kerana meneliti sorotan berita yang berlegar dalam aturan massa dewasa ini, islam seolah-olah sentiasa berada dalam kandang pesalah dalam setiap aktiviti keganasan yang berlaku di muka bumi Allah ini. Pada setiap pelosok muka bumi, baik di dalam negara yang ditadbir oleh orang islam mahupun bukan islam, setiap aktiviti keganasan dikatakan islam. Adakah perkara ini satu kebenaran?

Hakikat Islam


Bukankah islam adalah satu agama yang digambarkan sebagai rahmatan min rabbi alamin yang mana membawa maksud islam sebagai rahmat yang menyelamatkan umat ini dari kebinasaan? Suka saya untuk meletakkan perumpamaan ibarat hujan yang mencurah dari langit, yang membawa seribu kebaikan kepada manusia dan semua kehidupan di dunia ini. Islam merupakan agama yang menyeluruh, dan melengkapi segala aspek kehidupan manusia dari bangun tidur sehinggalah tidur kembali islam mengatur dan menyusun hidup manusia untuk kebaikan dan kemaslahatan manusia itu sendiri.

Terkenang akan peristiwa dalam lipatan lembaran sirah Rasulullah S.A.W, yang mana setibanya Rasulullah di Madinah rakyat Madinah menuturkan nasyid yang mengibaratkan Rasulullah ibarat bulan purnama yang bersinar menyinari alam. Begitu jugalah islam, islam umpamanya sebuah bulan purnama yang menyinari hidup manusia. Yang mana datangnya islam untuk membawa rahmat kepada sekalian manusia, sebaimana firman
Allah dalam surah Al-Anbiya ayat 107 ;

Dan tiadalah kami mengutus kamu, melainkan untuk (menjadi) rahmat bagi semesta alam.

Ayat ini menunujukkan sifat islam sebagaimana yang saya nyatakan di atas tadi iaitu rahmatan min rabbi alamin.

Keganasan


Sejak dari dulu, islam kerapkali dijadikan kambing hitam dalam isu-isu keganasan. Ini kelihatan lebih ketara sejak berlakunya peristiwa 11/9/01. Yang mana ini merupakan satu tarikh satu peristiwa besar berlaku, pada tarikh ini runtuhnya World Trade Center di New York dan serangan di Pentagon dan White House. Yang mana isu ini tidak habis setakat ini malahan sehingga hari ini kesan dari peristiwa ini ada seorang paderi yang bernama Terry Jones bercadang untuk membakar Al-Quran bersempena dengan peristiwa ini. Bayangkan berapa umat islam berada di Amerika pada masa itu. Dan betapa mereka berdepan dengan tekanan fizikal dan mental hasil dari peristiwa ini.

Dalam isu ini islam disalahkan secara langsung dan umat islam seluruh dunia dibantai semahunya oleh Amerika dan sekutunya. Buktinya perkara yang berlaku pasca 11/9 adalah serangan terhadap negara-negara umat islam seperti Afghanistan dan Iraq, yang beralasankan ingin memerangi keganasan penganas, tapi hakikatnya yang dibunuh dan dinoda adalah rakyat jelata yang merupakan orang islam! Meneliti perkara dan situasi kini saya melihat pihak ‘polis dunia’ hanya menggunakan isu 11/9 sebagai alasan untuk membantai umat islam, persoalan yang timbul adalah, adakah isu 11/9 ini merupakan satu perancangan untuk membantai umat islam. Sebagaimana pepatah inggeris yang berbunyi ‘you wanna make an omelet, you gotto break some eggs.’



Doktor Yusuf Al-Qadrawi, seorang tokoh Ikhwanul muslimin Mesir menyatakan bahawa, pengganas adalah adalah orang yang sengaja membunuh manusia tanpa membezakan orang awam atau tentera, tanpa mengira mangsanya bersalah atau tidak bersalah, tidak melihat apakah ia pihak yang dizalimi atau pelaku kezaliman. Pengganas menganggap remeh masalah nyawa manusia. Ternyata keadaan menunujukkan bahawa orang yang menyatakan islam itu pengganas kelihatan lebih cocok dengan gelaran pengganas.

Mengapa dan kenapa.


Persoalan yang besar yang bermain di fikiran saya adalah mengapa islam dikaitkan secara langsung dengan keganasan yang berlaku dalam era globalisasi ini. Adakah ini satu kebenaran atau mainan persepsi yang dimainkan oleh musuh-musuh islam unruk memburukkan islam dan demi untuk menyakiti dan menganiayai umat islam itu sendiri.
Biarpun banyak kita lihat gerakkan-gerakkan pengganas yang berorentasikan islam tapi kita harus menilai kenapa timbulnya kumpulan seperti ini. Saya ambil (Gerakan Acheh Merdeka) GAM sebagai contoh, kalau kita lihat apa yang dikehendaki oleh kumpulan ini adalah kemerdekaan Acheh demi untuk membina sebuah negara Islam di Acheh. Kerana segala tekanan dan peninidasan yang diterima muncullah gerakan gerila ini.



Bila berkata mengenai punca dan sebab berlakunya keganasan suka saya untuk melihat akan situasi semasa. Yang pertamanya adalah kerana tekanan dan penindasan. Sebagai mana yang kita lihat, setiap gerakkan yang muncul hasil dari tekanan dan penindasan yang diterima. Hasil dari penindasan dan tekanan ini muncul satu semangat untuk melepaskan diri dari segala penderitaan yang diterima. Muncullah gerakkan yang ingin membawa golongan mereka keluar dari penderitaan yang diterima, bila keganasan sahaja yang dilihat sebagai satu-satunya cara untuk melepas diri dari penindasan ini maka jalan itulah yang menjadi pilihan mereka. Sebagai contoh apa yang berlaku di semasa zaman kemerdekaan yang mana muncul gerila seperti komunis dan sebagainya.

Yang keduanya adalah adalah keinginan mencapai matlamat. Setiap orang mempunyai matlamat masing-masing. Setiap kumpulan ada matlamat tertentu, dalam usaha mencapai matlamat kita dapat lihat pelbagai cara yang digunakan tidak kiralah sama ada baik atau tidak. Bila mana cara yang dipilih adalah keganasan maka muncullah kumpulan-kumpulan pengganas yang rakus membantai orang yang dilihat menghalang kepada tercapainya matlamat yang dituju. Sebagai contoh penjajahan secara fizikal yang berlaku satu ketika dulu, yang mana negara-negara yang menjajah dilihat rakus mencabul hak-hak asasi manusia. Kerana ketamakkan dan gila kuasa mereka hilang akan norma-norma kehidupan yang sepatutnya menjadi tunjang dalam sebuah negara yang makmur.

Islam sebagai cara mengatasi


Islam berperanan sebagai penyelesai masalah sebagai mana yang dinyatakan dalam surah An-Nisa ayat 59

Hai orang-orang yang beriman, taatilah Allah dan taatilah Rasul (nya), dan ulil amri di antara kamu. Kemudian jika kamu berlainan pendapat tentang sesuatu, Maka kembalikanlah ia kepada Allah (Al Quran) dan Rasul (sunnahnya), jika kamu benar-benar beriman kepada Allah dan hari kemudian. yang demikian itu lebih utama (bagimu) dan lebih baik akibatnya.

Segala kalau bilau dan huru hara yang pada hari ini adalah kerana meninggalkan islam. Islam mengatur cantik segala bentuk kehidupan seorang manusia, islam lengkap sebagai satu manual kehidupan jika kita tidak ikut manual rosaklah kehidupan. Sebagai contoh jika kita menggunakan sebuah kereta tetapi tidak mengikut apa yang ada dalam manual sudah pasti kereta itu akan rosak dan yang susah akhirnya kita sendiri.

Islam itu bersifat waqi’ah ataupun setempat. Yang mana islam mengikut situasi dan budaya tempat tanpa lari dari dasar islam itu sendiri. Sebagai contoh dalam usaha dakwah islam kita haruslah mengikut keadaan semasa, tidak semestinya melalui perang. Islam sendiri tidak menggalakkan perang malahan islam cukup melarang kepada pembunuhan sebagaimana yang disebut dalam Al-Maidah ayat 32;
Oleh Karena itu kami tetapkan (suatu hukum) bagi Bani Israil, bahwa: barangsiapa yang membunuh seorang manusia, bukan Karena orang itu (membunuh) orang lain atau bukan Karena membuat kerusakan dimuka bumi, Maka seakan-akan dia Telah membunuh manusia seluruhnya dan barangsiapa yang memelihara kehidupan seorang manusia, Maka seolah-olah dia Telah memelihara kehidupan manusia semuanya. dan Sesungguhnya Telah datang kepada mereka rasul-rasul kami dengan (membawa) keterangan-keterangan yang jelas, Kemudian banyak diantara mereka sesudah itu sungguh-sungguh melampaui batas dalam berbuat kerusakan dimuka bumi.

Islam sendiri meletakkan beberapa disiplin dalam peperangan yang mana disiplin-disiplin ini seharusnya diikuti oleh semua pejuang-pejuang islam. Dari zaman Rasulullah sehinggalah sekarang disiplin ini tidak pernah berubah.

Kesimpulan


Apabila manusia lari dari kehendak tuhan berlakulah kerosakkan yang tidak dapat dielakkan kecuali kembali kepada islam itu sendiri. Keganasan dan pengganas yang ada pada hari ini adalah salah satu dari sikap manusia itu sendiri. Sebagaimana yang saya katakan diatas tadi kembalilah kepada islam yang sebenarnya demi untuk keamanan. Dan disini juga saya ingin menegaskan bahawa segala keganasan yang dikaitkan dengan islam itu adalah satu propaganda dan mainan persepsi yang dimainkan oleh para musuh islam demi untuk memburukkan islam.

Islam itu indah seindah bulan di langit, islam itu adil seadil Allah yang meredhainya sebagai agama.

Islam for ALL~

October 19, 2010

Rindukan Diskusi Iman

Teringat akan ketika bergelar seorang pelajar tahun pertama di semester pertama. Saat itu hingga sekarang saya masih menjadi seorang yang aktif mengikuti program persatuan terutamanya persatuan islam. Ini adalah hasil dari didikan supaya meletakkan islam dan dakwah adalah perkara yang terpenting dalam hidup. Hasil dari didikan yang berterusan di sekolah dan dirumah, apabila menjejakkan kaki ke alam menara gading jiwa pasti akan terasa kosong tanpa pengisian. Saya isi akan kekosongan itu dengan menyertai program-program persatuan-persatuan islam di universiti. Alhamdilillah setakat ini diri terjaga dari cabaran yang telah mengoyahkan dan menghayutkan sejumlah pelajar beragama islam.

Sepanjang bergelar mahasiswa dan sepanjang menjalankan program berbentuk kerohanian dan dakwah saya merasa amat sedih dan kecewa akan sambutan yang diberi oleh warga universiti. Kebanyakkan program lebih kerusi dari orang jarang yang mendapat sambutan yang menggalakkan. Hasil dari sembang-sembang dengan sahabat lain kampus, saya menyedari bahawa situasi ini biasa dan berlaku di kampus-kampus lain. Biar digula-gula dengan pelbagai benda, sijil manhupun makanan namun program-program seperti ini masih gagal untuk menarik orang ramai.

Pada tahun pertama semester pertama di UTM saya diamanahkan untuk menjadi ahli jawatankuasa sebuah program Diskusi Iman yang dianjurkan oleh Jawatan kuasa Saudara Kita(JKSK), sekarang dikenali sebagai KSK. Tanggapan pertama saya sudah sepastinya sambutan yang diterima tidak lain dengan program-program sebelum ini. Programnya hebat tapi sambutannya hambar.



Petang sebelum program tanggapan saya masih sama, petang itu saya bersama ajk yang lain menyusun kerusi. Sudah pasti saya hanya menyusun ala kadar, agar tidak nampak sangat kurangnya kehadiran, saya agar risau sebenarnya kerana penceramah yang dipanggil hebat, Mr Lim Jooi Soon yang juga merupakan seorang pendakwah bebas dan bekas paderi . Malulah jika kehadirannya kurang. Jika kurang kerusi yang disusun maka tidak nampak sangatlah akan kurangnya orang.

Program dijangkan bermula tidak lama lagi, setengah jam sebelum program saya agak terkejut tetapi gembira kerana sambutan dilihat sangat menggalakkan. Penuh mahasiswa membanjiri perkarangan luar Dewan Seri Meranti di KRP. Sebagai kerusi ditambah, sehingga penuh dewan malahan ada hadirin yang berdiri pada ketika itu. Ceramah berlangsung dengan jayanya, begitu menarik penyampaian penceramah.

Seusai program saya terfikir akan program ini yang berjaya membawa begitu ramai mahasiswa. Hasil sembang-sembang dengan ahli-ahli JKSK saya dapat matlumat bahawa program ini berlangsung setiap semester.

Kini sudah dua semester berlalu, malangnya sejak itu tiada langsung penganjuran diskusi iman. Saya masih menanti sehingga hari artikel ini ditulis masih tiada diskusi iman yang kedua sejak saya berada di bumi UTM ini.

Persoalannya kenapa dan apakah yang telah berlaku?

Benarkah ini pengurusan pihak Pusat Islam UTM yang teruk sebagaimana yang dikhabarkan oleh orang dalam KSK sendiri?

Andai ini sebabnya saya sebagai mahasiswa merasa amat kecewa, Pusat Islam sepatutnya mengambil berat dalam pelaksanaan program-program kelab dibawahnya. Terutamanya program-program yang mendapat sambutan seperti Diskusi Iman.

Saya sama skali tidak menyalahkan Pusat Islam, tetapi segala perkhabaran yang saya dengar amat tidak menyenangkan hati, pada saya pusat islam seharusnya memainkan peranan sebagai penaik nama mahasiswa bukan gunakan mahasiswa untuk manaikkan nama pusat Islam. Hal ini adalah kerana Pusat Islam pada hakikatnya berperanan sebagai pusat penyuburan islam kepada semua warga universiti terutamanya mahasiswa.

Ada apa pada nama..?!

October 12, 2010

Kisah Siti Fatimah RA Dan Pembantu Rumah

Gembira hatinya, gembiralah Rasulullah SAW. Tertitis air matanya, berdukalah baginda.

Dialah satu-satunya puteri yang paling dikasihi oleh junjungan Rasul selepas kewafatan isterinya yang paling dicintai Siti Khadijah.

Itulah Siti Fatimah RA, wanita terkemuka di dunia dan penghuni syurga di akhirat.

Bersuamikan Saidina Ali bukanlah satu kebanggaan yang menjanjikan kekayaan harta. Ini adalah kerana Saidina Ali merupakan kalangan sahabat yang sangat miskin berbanding dengan yang lain.

Namun jauh di sanubari Rasulullah SAW tersimpan perasaan kasih dan sayang yang sangat mendalam terhadapnya.

Rasulullah SAW pernah bersabda kepada Saidina Ali, "Fatimah lebih kucintai daripada engkau, namun dalam pandanganku engkau lebih mulia daripada dia." (Hadis Riwayat Abu Hurairah)

Fatimah mewarisi akhlak ibunya Siti Khadijah. Tidak pernah membebani dan menyakiti suami dengan kata- kata atau sikap.

Sentiasa senyum menyambut kepulangan suami hingga hilang separuh masalah suaminya.

Dengan mas kahwin hanya 400 dirham hasil jualan baju perang kepada Saidina Usman Ibnu Affan, dia memulakan penghidupan dengan wanita yang sangat dimuliakan Allah SWT.

Bukan Sayyidina Ali tidak mahu menyediakan seorang pembantu untuk isterinya tetapi sememangnya beliau tidak mampu berbuat demikian.

Meskipun beliau cukup tahu isterinya saban hari bertungkus-lumus menguruskan kerja rumah.

Suami mana yang tidak sayangkan isteri. Ada ketikanya bila Saidina Ali berada di rumah, beliau akan turut sama menyinsing lengan membantu Siti Fatimah menggiling tepung di dapur.

"Terima kasih suamiku," bisik Fatimah pada suaminya.



Usaha sekecil itu, di celah-celah kesibukan sudah cukup berkesan dalam membelai perasaan seorang isteri.

Suatu hari, Rasulullah SAW masuk ke rumah anaknya.

Didapati puterinya yang berpakaian kasar itu sedang mengisar biji-biji gandum dalam linangan air mata.

Fatimah segera mengesat air matanya tatkala menyedari kehadiran ayahanda kesayangannya itu.

Lalu ditanya oleh baginda, "Wahai buah hatiku, apakah yang engkau tangiskan itu? Semoga Allah menggembirakanmu."

Dalam nada sayu Fatimah berkata, "Wahai ayahanda, sesungguhnya anakmu ini terlalu penat kerana terpaksa mengisar gandum dan menguruskan segala urusan rumah seorang diri. Wahai ayahanda, kiranya tidak keberatan bolehkah ayahanda meminta suamiku menyediakan seorang pembantu untukku?"

Baginda tersenyum seraya bangun mendapatkan kisaran tepung itu.

Dengan lafaz bismillah, Rasulullah SAW meletakkan segenggam gandum ke dalam kisaran itu.

Dengan izin Allah, maka berpusinglah kisaran itu dengan sendirinya.

Hati Fatimah sangat terhibur dan merasa sangat gembira dengan hadiah istimewa dari ayahandanya itu.

Habis semua gandumnya dikisar dan batu kisar itu tidak akan berhenti selagi tidak ada arahan untuk berhenti, sehinggalah Rasulullah SAW menghentikannya.

Berkata Rasulullah SAW dengan kata-kata yang masyhur, "Wahai Fatimah, Gunung Uhud pernah ditawarkan kepadaku untuk menjadi emas, namun ayahanda memilih kesenangan di akhirat untuk keluarga kita."

Jelas, Baginda Rasul mahu mendidik puterinya bahawa kesusahan bukanlah penghalang untuk menjadi solehah.

Ayahanda yang penyayang itu terus merenung puterinya dengan pandangan kasih sayang lalu berkata, "Puteriku, mahukah engkau kuajarkan sesuatu yang lebih baik daripada apa yang kau pinta itu?"

"Tentu sekali ya Rasulullah," jawab Siti Fatimah kegirangan.

Rasulullah SAW bersabda :

"Jibril telah mengajarku beberapa kalimah. Setiap kali selesai sembahyang, hendaklah membaca 'Subhanallah' sepuluh kali, Alhamdulillah' sepuluh kali dan 'Allahu Akbar' sepuluh kali. Kemudian ketika hendak tidur baca 'Subhanallah', 'Alhamdulillah' dan 'Allahu Akbar' ini sebanyak tiga puluh tiga kali."

Ternyata amalan itu telah memberi kesan kepada Siti Fatimah RA. Semua kerja rumah dapat dilaksanakan dengan mudah dan sempurna meskipun tanpa pembantu rumah.

Itulah hadiah istimewa dari Allah SWT buat hamba-hamba yang hatinya sentiasa mengingati-Nya

sumber : sini

October 5, 2010

Masalah Etika Halal dan Haram

Halal merupakan satu perkara yang cukup penting bagi umat manusia. Islam menganjurkan umatnya untuk makan makanan yang halal dan baik. Hal ini adalah kerana makanan merupakan salah satu keperluan asasi dalam kehidupan manusia, yang mana apa yang dimakan akan menjadi darah daging manusia itu sendiri. Makanan juga memberi kesan yang besar dalam hidup manusia, jika baik makanan seseorang itu maka baiklah jasad dan peribadi seseorang itu.

Islam mewajibkan kepada umatnya supaya makan makanan yang halal. Ini ditegaskan oleh Rasulullah s.a.w dalam hadisnya iaitu,” setiap daging yang tumbuh dari sesuatu yang haram, api nerakalah lebih baik untuknya, ” ini menunjukkan bahawa wajib bagi seseorang itu memilih makan makanan yang halal.

Makanan Haram.


Haramnya sesuatu makanan itu bergantung pada dua perkara, yang pertamanya adalah berdasarkan asal makanan itu sendiri, yang mana makanan itu berasal dari perkara-perkara yang diharamkan. Sebagai contoh makanan yang didalamnya ada dimasukkan babi.
Yang keduanya adalah haram disebabkan oleh perbuatan, contohnya makanan yang dicuri. Disini saya akan lebih menekankan haram atas sebab yang pertama.

Melihat dari zahir makanan itu sukar untuk kita bezakan status sesuatu makanan itu terutamanya yang bercampur aduk dengan bahan-bahan yang lain. Ini adalah sesuatu yang membimbangkan kerana ada kemungkinan makanan yang kita makan adalah berasaskan dari sumber yang haram.



Logo Halal


Rakyat Malaysia sangat beruntung kerana di negara kita setiap makanan yang halal disertakan dengan logo, yang mana ini sangat membantu dalam memilih makanan yang halal. Logo halal memberi satu kemudahan kepada kita untuk mendapatkan makanan yang halal, ia juga menjadi satu keyakinan kepada rakyat Malaysia dalam mendapatkan makanan yang halal.

Masalah Etika Penguatkuasa dan Pengeluar


Permasahan akan berlaku bila mana logo halal ada pada makanan yang tidak halal ataupun logo halal diragui penggunaannya. Pada hemat saya perkara ini berpunca dari dua faktor iaitu faktor dalaman dan luaran. Yang mana faktor dalaman melibatkan penguatkuasa yang tidak menjalankan kerja dengan amanah dan faktor kedua adalah orang yang diberi logo halal menyalahgunakan logo tersebut.

Merujuk faktor yang pertama, terdapat laporan yang menyatakan bahawa logo halal boleh dibeli dan diberi sewenang-wenagnya kepada sesebuah pengeluar tanpa pemeriksaan yang ketat. Dalam hal ini saya tidak ada matlumat dan fakta yang tepat, ainya hanya persepsi dan andaian masyarakat umum. Tetapi kesan daripada cerita-cerita sebegini membuatkan logo halal diragui oleh masyarakat umum, apakah ertinya logo halal andainya ianya tidak dipercayai?

Persepsi ini dilihat semakin meruncing apabila datangnya laporan-laporan tentang makanan yang dikeluarkan oleh pengeluar-pengeluar yang mendapat logo halal. Sebagai contoh pengunaan usus babi dalam sosej yang mempunyai logo, dan juga pembongkaran jenis-jenis bahan yang tidak halal ada pada makanan yang mempunyai logo halal seperti aiskrim.

Merujuk kepada faktor yang kedua yang mana pengeluar sendiri yang menyalah gunakan logo halal, yang mana mengunakan logo tersebut pada makanan yang tidak halal. Tidak kurang juga yang mengeluarkan logo halal ciptaan sendiri, walaupun logo halal sudah seragamkan, malangnya masyarakat masih mempercayai logo yang lain dari kepunyaan jabatan agama islam itu sendiri. Hasilnya makanan yang tidak halal juga mempunyai logo halal dan digunakan oleh orang- orang islam sendiri.



Kesimpulan.


Masalah etika pengunaan logo halal adalah satu masalah yang tidak boleh dipandang remeh. Apa yang dimakan itulah yang membentuk seseorang insan itu. Mungkinkah masalah sosial pada hari ini adalah kesan dari kita memandang remeh isu halal haram ?. Penguatkuasaan dan pendidikan pada masyarakat perlu dilakukan demi menjamin masa depan rakyat yang sihat dan berkhlak tinggi.