January 30, 2011

Erti Sebuah Revolusi-Ibrah dari 1952



Menyoroti rangkuman berita semasa cukup ramai yang menggumam tentang Revolusi, yang mana berlaku di banyak tempat sekarang ini. Yang paling menarik tidak lain tidak bukan di bumi Anbiya’ Mesir. Revolusi di Mesir menunjukkan tanda-tanda yang sangat memberangsangkan, kebangkitan rakyat Mesir tidak mampu disekat lagi. Kezaliman yang dilakukan pemerintah selama ini ditentang rakyat dengan demonstari besar-besaran di sekeliling Mesir.

Di Malaysia ramai yang menunujukkan pelbagai reaksi terutamanya di laman sosial Facebook. Ada yang begitu bersemangat dan sangat berharap apa yang berlaku di Mesir akan menular ke Malaysia kerana terlalu ingin akan perubahan. Tidak kurang juga yang menyatakan syukur kerana berada di negara aman seperti Malaysia tanpa menyedar bahawanya keamanan ini adalah anugerah dari rakyat yang takut melawan kezaliman pemerintah.

Saya tidak ingin mengulas panjang akan Revolusi yang berlaku di Mesir sekarang kerana masih kurang matlumat dan bahan. Yang ingin saya nyatakan apa pernah berlaku di Mesir pada 59 tahun dahulu di Mesir.1952

Sejarah. Jangan pernah lupakan sejarah, kerana sejarah itu mahal harganya sejarah bukan sekadar tarikh, nama, dan tempat. Sejarah lebih dari itu, diumpamakan sejarah itu ibarat cermin sisi dan cermin pandang belakang kereta, jika ingin kedepan perlu pandang belakang terlebih dahulu. Sejarah itu semangat.



Revolusi 1952

Segalanya berpunca dari pemerintahan beraja di Mesir mengamalkan rasuah, pro-British dan gaya hidup mewah bertentangan dengan pergerakan pegawai pembebasan hidup dalam kemiskinan. Mereka dilihat hanyalah boneka kepada penjajah Britain. Beberapa institusi Mesir seperti polis, istana dan malah parti politik dilihat rasuah.

Kehilangan 78 % tanah Palestin dalam Perang Arab-Israel 1948 menyebabkan rasa tertekan di kalangan pegawai tentera dan rakyat Mesir. Pergerakan ini dipimpin oleh Gamal Abdel Nasser. Mereka menggunakan nama jeneral tentera, Muhammad Naguib kerana mempunyai pengaruh besar di kalangan tentera.

Kronologi

Pada 26 Julai 1952, Mohamed Naguib telah menemui Raja Farouk I meminta raja turun tahkta. Pelbagai alasan diberikan. Antaranya kehidupan raja mewah amat bertentangan kehidupan rakyat jelata miskin. Rasuah berlaku di mana-mana terutama di kalangan polis, tentera, pegawai dan parti politik. Malahan Perang Palestin 1948 menerima kekalahan tidak sepatutnya kerana berlaku kebocoran maklumat dan rasuah.

Pada 25 Januari 1952 tentera British menyerang berek polis Mesir di Ismailia selepas polis itu enggan menyerah. 50 pegawai polis Mesir terbunuh dan 100 tercedera. Peristiwa ini mencetuskan kemarahan rakyat Mesir. Rusuhan-rusuhan berlaku di Kaherah dilihat permulaan berakhir pemerintahan beraja.

Pada 26 Januari 1952 ("Sabtu Hitam"), rakyat Mesir melihat berlakunya revolusi kedua selepas Revolusi Mesir 1919. Perusuh di Kaherah menyerang kepentingan dan syarikat asing. Perusuh mensasarkan kepentingan British, pejabat syarikat penerbangan, hotel-hotel, filem-filem, tiang-tiang, Hotel Shepheard, pejabat-pejabat BOAC, dan Kelab Kuda British khususnya. Pemerhati melihat rusuhan ini telah dirancang dengan teliti. Raja Farouk disingkirkan dari kerajaan pimpinan Perdana Menteri Mesir Mustafa el-Nahhas. Kerajaan selepas itu ialah Ali Maher (27 Januari – 1 Mac), Ahmed Naguib El-Hilali (2 Mac – 29 Jun, dan 22–23 Julai) dan Hussein Sirri (2–20 Julai). 3 kerajaan ini gagal mengekang rasuah berleluasa.

Pada 16 Julai Raja Farouk I membatalkan pilihan raya dan melantik dirinya dan cuba mengawal semula angkatan tentera.Rancangan kudeta diadakan pada 5 Ogos.Tetapi apabila Jeneral Muhammad Naguib pada 19 Julai menyatakan mempunyai senarai pegawai tentera terlibat, maka pemimpin rampasan kuasa bertindak pada malam 22 Julai.

Pada pagi Rabu, 23 Julai 1952, rampasan kuasa tentera terjadi di Mesir, dilakukan oleh Pegawai Pembebasan diketuai oleh Jeneral Muhammad Naguib, tetapi kuasa sebenar di belakang rampasan kuasa tentera adalah Gamal Abdel Nasser. Pada 7:30 am, siaran stesen televisyen memberitahu tentang revolusi pimpinan Jeneral Naguib.Berita revolusi itu dibacakan oleh Anwar Sadat yang kemudian menjadi Presiden Mesir.



Pembabitan Ikhwan Muslimin.

Gamal Abdel Nasser dan beberapa orang tertinggi tentera sendiri datang menemui Sayyid Qutb untuk bersama-sama dalam menjalankan Revolusi 1952, yang mana Sayyid Qutb gerakkan ikhwan sendiri bersetuju untuk menyokong dan menyertai revolusi 1952 dengan harapan agar sebuah kerajaan yang adil menurut prinsip-prinsip Islam dapat ditegakkan.

Dalam revolusi ini Sayyid Qutb terlibat secara langsung termasuk sebagai perancang kepada Revolusi ini. Pada malam tercetusnya Revolusi, sepasukan tentera dan beberapa kereta kebal datang ke rumah Sayyid Qutb dan membawa beliau ke markas tentera untuk membincangkan aspek-aspek praktikal dan langkah-langkah terakhir bagi menjayakan Revolusi.


Pasca Revolusi 1952.

Selepas kejayaan Revolusi 1952 Sayyid Qutb diangkat sebagai salah seorang tokoh penting yang mana beliau diarak seluruh Mesir untuk memberi ceramah tentang isu semasa dan pelbagai aspek Islam dalam mengisi Revolusi.

Namun mimpi indah sebuah Revolusi hanyalah sebuah mainan politik keji Gamal Abdel Nasser, Sebuah negara yang diharapkan pemerintahannya mengikut landasan Islam terpesong jauh. Gamal Abdel Nasser mula mengarahkan kiblat ke Moscow, beliau melantik golongan Sosialis dan Nasionalis dalam kabinetnya. Sayyid Qutb yang ditawarkan menteri pendidikan pada masa itu menolak atas dasar prinsip malahan menyatakan tentangan secara terbuka kepada regim Gamal Abdel Nasser.

Hasil Revolusi 1952 ialah dengan Syahidnya Sayyid Qutb, Muhammad Yusuf Hawwash dan Abdul Fatah Ismail. Disamping itu beribu penyokong ikhwan dihumban dalam penjara menerima azab siksaan.

Kesimpulan.

Akhir sebuah Revolusi 1952 adalah tertubuhnya jahiliyyah baru diatas keruntuhan jahilyah lama. Bagaimana pula Revolusi yang berlaku pada hari ini, revolusi yang tercetus lantaran ketidakpuasan hati rakyat terhadap pemerintahan yang sedia ada, tercetus dek kerana kezaliman yang berlaku. Saya menanti dengan tadahan doa agar sebuah negara Islam tertegak diatas keruntuhan Jahiliyah yang berlaku pada hari ini.

Sesungguhnya Islam itu bersifat berdiri diatas keruntuhan Jahilyah. Semoga pengorbanan dan setiap keringat yang dicurahkan demi sebuah Keadilan mendapat bayaran yang setimpal dengan bangunnya sebuah kerajaan yang adil dan berkebajikan. Sesungguhnya tiada kerajaan yang lebih adil dan berkebajikan selain kerajaan ISLAM!