November 30, 2011

ISMP, KPM, dan Masa Depan Anak Bangsa.

Pendidikan merupakan satu perkara yang amat penting dalam sesebuah negara, pendidikanlah yang mencorakkan pemikiran dan tanpa pendidikan yang sempurna risikonya pada generasi akan datang. Kita akan melihat satu kerosakkan dari sudut akhlak dan moral yang dasyat jika pendidikan yang ada pada hari ini tidak bersifat mendidik dan hanya bertumpu kepada kecemerlagan akedamik semata-mata. Persoalannya adalah bagaimana dengan pendidikan dalam negara kita? 

Kerjaya Graduan ISMP

Isu yang menjadi polemik baru-baru ini ternyata mencalar reputasi dan prestasi Menteri Pelajaran dan Kementeriannya. Isu penempatan graduan Ijazah Sarjana Muda Pendidikan(ISMP) bukanlah satu isu baru, hakikatnya sudah berlarutan beberapa tahun, malahan sudah lebih 7000 orang guru menganggur akibat daripada masalah ini. Ternyata andai diperhati dengan teliti masalah ini berpunca dari Kementerian Pendidikan itu sendiri.

Perkara pokok tentang permasalahan ini adalah tiadanya persefahaman antara dua kementerian dalam satu kerajaan, hal ini berlaku antara Kementerian Pelajaran dan Kementerian Pengajian Tinggi. Yang mana satu ketika dulu kedua-dua kementerian ini bernaung bawah satu kementerian yang sama iaitu Kementerian Pendidikan. 

Kesan dari tiada kesefahaman ini, mangsanya adalah rakyat. Pertamanya graduan ISMP itu sendiri, terutamanya yang belajar dengan mengunakan duit pinjaman, yang mana mereka ini akan keluar tanpa jaminan sebagai seorang guru. Mereka ini terang-terang dianaktirikan oleh Kementerian Pelajaran, keutamaan mereka untuk diberi penempatan diletak tempat yang terakhir sekali. Sebaik mana pun prestasi mereka ruang dan peluang sudah tertutup awal-awal dek kerana yang menjadi keutamaan adalah prioriti bukan prestasi.

Manakala golongan yang kedua menanggung kerugian adalah rakyat, mahasiswa pembelajarannya sebahagian besar ditanggung kerajaan. Ini sudah jelas tertulis dibawah surat tawaran ke IPTA bahawasanya sebahagian besar kos pembelajaran ditanggung oleh kerajaan. Wang kerajaan bukanlah wang kocek pak-pak menteri, bukan juga hasil infak ikhlas menteri pelajaran, tetapi wang kerajaan adalah wang dari kocek rakyat, termasuklah dari petani yang membanting tulang ditengah panas, dari para nelayan yang mengharung ombak, dari penoreh getah yang digigit sejuk saban pagi.

Jika KPM ingin mengunakan guru sendiri  tidak mahu dari sumber lain mengapa tidak ditutup sahaja semua kursus perguruan dalam IPTA? Sekurag-kurangnya harus ada penyelarasan antara KPM dan KPT sebagai contoh sebanyak lapan puluh peratus guru yang diambil dari IPG dan selebihnya hasil dari IPT. Barulah dapat ditentukan jumlah pengambilan pelajar untuk satu-satu kursus pendidikan. 

Prasarana tidak sesuai

Masalah prasarana yang tidak sesuai di sekolah-sekolah, ini dapat dilihat dari tiadanya penyelarasan antara kawasan luar bandar dan dalam bandar. Sebagai contoh di dalam bandar yang punyai ramai penduduk dibina hanya dua blok untuk kelas, manakala diluar bandar yang kurang penduduknya dibina tiga blok kelas. Hasilnya adalah disekolah luar bandar yang sedikit muridnya jumlah kelas berlebihan manakala yang didalam bandar kelas tidak cukup. Inilah punca kenapa jumlah kelas boleh mencapai sehingga lima puluh lima orang, sedangkan jumlah sepatutnya hanyalah dua puluh lima orang hinggalah tiga puluh lima orang setiap kelas.

Jumlah kelas berkait rapat dengan jumlah guru, yang mana jumlah guru dalam sesuatu sekolah bergantung pada jumlah kelas, jumlah guru bagi setiap sekolah adalah jumlah kelas didarab dengan satu perpuluhan lima. Jika satu kelas mencapai sehingga lima puluh lima orang murid, kesannya jumlah guru dan murid tidak sepadan, maka secara tidak langsung beban guru meningkat dan peluang pekerjaan kian tertutup.

MBMBI ganti PPSMI

Pelaksanaan dasar baru iaitu MBMBI yang dilihat tidak menyelesaikan kelompangan dalamPPSMI tetapi  menambah beban guru, setelah pemansuhan PPSMI pelaksaan MBMBI dilihat menambah waktu mengajar seorang guru. Secara tidak langsung beban seorang guru bertambah. Penambahan beban sepatutnya selari dengan penambahan tenaga kerja, jika tidak maka ini satu penginayaan.

Sedangkan tugas guru sebelum ini sudah cukup membebankan, bukan sekadar di kelas malahan guru terpaksa berhempas pulas di luar masa kerja demi untuk menyiapkan tugasan yang diberi dan memuaskan hati ibu bapa dan murid. 

Cadangan untuk menambah masa bertugas guru kepada sembilan jam untuk memartabatkan tugas guru adalah satu perkara yang tidak boleh diterima akal dan menghina tugas guru itu sendiri. Seolah-olah tugas guru selama ini tidak bermartabat!

Pencen 60

Tidak cukup dengan itu penambahan umur pencen sehingga enam puluh tahun juga satu perkara yang akan menyebabkan peluang penempatan semakin kurang. Kebanyakkan kaki tangan kerajaan pada hari ini akan mempertimbangkan untuk mengambil had umur maksimum berikutan beban hutang dan kos sara hidup yang tinggi pada hari ini.  


Guru luar

Pengunguman kerajaan untuk membawa masuk guru dari Amerika juga sepetutnya menjadi satu kerisauan. Kita tidak nafikan dari satu sudut ada bagusnya terutamanya dalam peningkatan penguasaan bahasa inggeris, tetapi tolong jangan pisahkan antara pelajaran dengan pendidikan. Realiti hari ini ibu bapa sibuk dengan kerjaya masing-masing  dan masa seorang murid lebih di sekolah, jika kita pisahkan pelajaran dengan pendidikan maka lahirlah satu generasi yang hebat dari sudut pengusaan ilmunya tetapi kurang dari segi akhlak dan moralnya.

Malahnya satu pelaburan yang besar dilaburkan kearah ini, sebanyak 18 juta dihabiskan demi untuk menjayakan perancangan ini. Persoalannya adakah pelaburan ini berbaloi? 

Kesimpulan

Perlunya satu perancangan dan mantap dalam menyelesaikan semua krisis ini, dunia pendidikan yang dicorak dan dibentuk oleh kementerian pelajaran dilihat sakit tenat. Segala permasalahan yang berlaku akan memberi kesan kepada generasi akan datang. Bayangkan dengan beban tugas yang tidak masuk akal sudah pasti akan mengurangkan kuailiti seorang guru. Bila guru tidak berkualiti kesannya adalah pada murid. 

Suasana pembelajaran yang tidak kondusif juga akan memberi kesan, contohnya bilangan ahli kelas yang berlebihan. Ini akan menyebabkan guru tidak dapat memberi tumpuan sepenuhnya kepada semua murid dan murid juga tidak selesa.

Perlunya pada rombakkan kabinet pada hari ini, yang mana kementerian yang begitu penting ini dipegang oleh seorang yang berkelayakkan, kerana masa depan generasi akan datang bergantung kepada pencoraknya, jika jahil pencoraknya jangan harapkan keindahannya.

Kata kunci bagi penyelesaian semua ini adalah perancangan, tanpa perancangan yang teliti dan jauh kedepan maka akan timbullah pelbagai masalah, bila ada masalah maka akan adanya mangsa. Yang menderita biasanya mangsa, yang kerugian biasanya mangsa. Biasanya mangsa akan mencari perancang, dan perancang yang tidak baik perancangannya akan tumbang. Dalam kes sesebuah negara perancangnya adalah kerajaan sedangkan mangsanya adalah rakyat. Kerajaan salah perancangan maka tunggulah saatnya pasti akan tiba.

November 7, 2011

Sempena AidulAdha1432: Pengorbanan dan Kesabaran

AidilAdha merupakan salah satu hari raya yang kita sambut saban tahun, yang mana peristiwa disebaliknya adalah kisah pengorbanan Nabi Allah Ibrahim A.S dan keluarganya. Andai kita teliti dan fahami kita akan dapat lihat betapa banyaknya dan hebatnya kisah pengorbanan Nabi Ibrahim dan keluarganya.

Bermula dengan sejak lahirnya Nabi Ismail, Allah telah memerintahkan supaya Nabi Ibrahim meninggalkan anak dan isterinya di satu padang pasir yang kontang. Pengorbanan pertama ini bukanlah satu perkara yang mudah, Nabi Ibrahim sendiri yang ketika itu baru sahaja mendapat cahaya mata terpaksa meninggalkan permata hatinya tanpa dapat melihat Nabi Ismail membesar. Yang lebih menakjubkan adalah jawapan Siti Hajar tatkala mendengar bahawasanya ini perintah Allah, beliau redha dan yakin Allah akan menjaganya.

Telaga zam-zam
Hasilnya Allah bangunkan dan majukan kawasan itu, bermula dari padang pasir yang kontang akhirnya menjadi satu bandar yang maju. Berkat telaga zam-zam yang tidak pernah kering, tanah Mekah membangun dengan pesatnya. Saat ini Nabi Ibrahim datang menjenguk keluarganya yang ditinggalkan dahulu, tidak berapa lama setelah bertemu turunlah ayat memerintahkan supaya Nabi Ibrahim menyembelih anaknya Nabi Ismail, sebagaimana Allah rakamkan dalam Al-Quran;

Maka tatkala anak itu sampai (pada umur sanggup) berusaha bersama-sama Ibrahim, Ibrahim berkata: “Hai anakku Sesungguhnya Aku melihat dalam mimpi bahwa Aku menyembelihmu. Maka fikirkanlah apa pendapatmu!” ia menjawab: “Hai bapakku, kerjakanlah apa yang diperintahkan kepadamu; insya Allah kamu akan mendapatiku termasuk orang-orang yang sabar”
(Ash Shaffat:102).
Dalam kisah ini ada dua persoalan besar yang harus kita rungkai dan fikirkan. yang pertama bagaimana menjadikan diri sanggup berkorban dan yang kedua adalah bekal apakah yang terbaik untuk menghadapi kesan berkorban.

Kesanggupan Berkorban
Tidak ramai yang sanggup berkorban terutamanya bila melibatkan perkara yang kita sayang, dalam kes di atas Nabi Ibrahim dan Siti Hajar mengorbankan keluarga mereka demi untuk mematuhi sagala perintah Allah, dan Nabi Ismail mengorbankan nyawanya demi mematuhi perintah Allah.

Bagaimanakah mereka ini sanggup berkorban, bukankah hasinya tidak dapat kita rasa dengan pancaindera kita. Apa guna tinggal anak isteri di padang pasir yang kontang? Apa faedah sembelih anak yang baru sahaja berjumpa?

Tak semua sanggup berkorban
Semua ini tidak akan dapat dicapai melainkan dengan keimanan dan keyakinan yang tinggi kepada Allah s.a.w. Seumpama seorang kekasih yang menanti kekasihnya dengan keyakinan bahawa kekasihnya akan kembali kepadanya, walaupun dia sendiri tidak tahu akan keadaan kekasihnya.

Laksana kereta diatas jalanraya yang memerlukan minyak, pengorbanan juga seperti itu ia memerlukan bekal untuk orang yang berkorban terus yakin dan redha dengan janji Allah. Persoalannya apakah bekal yang patut ada pada orang yang berkorban?


Bekalan Pengorbanan
Melihat ayat di atas Nabi Ismail rela berkorban kerana dia termasuk golongan orang yang sabar, ya! sabar adalah bekal kepada sebuah pengorbanan jika ingin berkorban maka perlu ada sabar. Lumrahnya pengorbanan  merupakan perkara yang menyakitkan, jadi sabar adalah ubat yang terbaik untuk menghadapi kesakitan.

Jadilah seorang yang penyabar kerana dalam kehidupan banyak pengorbanan yang perlu dilakukan. Tidak rugi sabar, kerana dalam kesakitan bersabar dihujungnya ada manis yang tidak terduga.

Perjalan yang panjang perlukan kesabaran
Sabar itu bukanlah berdiam diri, sabar juga bukan hanya redha tidak tentu hala. Tetapi sabar yang sebenar adalah dengan mengubah sesuatu itu mengikut landasan islam walau apa pun cubaan mendatang. Sebagai contoh bapa dan anak, jika anak nakal, seorang bapa yang sabar bukanlah hanya dengan melihat kenakalan anak tetapi sabar mengubahnya menjadi baik.

Kesimpulan

Jadi tunggu apa lagi? bersedialah untuk berkorban dan siapkanlah sabar sebagai bekalan. Andai kita punya pilihan untuk sebuah pengorbanan, maka renung dan fikirlah kisah Habil dan Qabil, yang mana kedua-duanya menyediakan korban kepada Allah, dan sudah semestinya yang terbaik itu menjadi pilihan.

November 4, 2011

Realiti Senang Lepas Susah

Hidup bahagia selalu, tiada kesusahan dan cabaran, tiada watak jahat yang selalu mengancam, tiada masalah yang memeningkan, hati senang, jiwa lapang. Siapa yang tidak mahu selalu hidup begini?Jika di tanya sudah pasti semua mahu akhir hidup bahagia dan gembira.

Kebahagiaan itu apabila kita mengingati Allah
Setiap kesusahan yang menimpa kadang-kadang akan membuatkan kita hampa dan kecewa, malahan ramai manusia yang kecundang sehingga sanggup menggadai prinsip dan iman di dada, demi hanya melepaskan diri dari sensara dunia. 

Sunnatullahnya setiap perkara tiada yang sempurna, sudaah pasti akan ada cabaran dan dugaannya. Tiada manusia yang tidak pernah merasa kesusahan, walau dia seorang yang punya harta, namun kadang-kadang jiwanya tidak tenang kerana memikirkan hartanya, yang punya banyak teman pun kadang-kadang ditikam dari belakang.

Kita sebagai manusia tidak dapat lari dari perasaan takut untuk menghadapi ujian, lebih-lebih lagi apabila berlaku ancaman, sebagai contoh, apabila seorang perempuan diancam tentang masa depannya akan berkahwin dengan lelaki tidak guna sudah pasti akan menimbulkan kerisauan dan ketakutan dalam hidupnya.   

Jadi bagaimana penyelesaiannya?

Carilah kebahagiaan dalam kesusahan
 Sebelum kita memikirkan cara untuk lari dari masalah yang berat ini suka saya bawakan beberapa contoh kisah para sahabat dan nabi terdahulu untuk kita sama-sama fikir dan renungkan.

Kisah Asiah seorang wanita solehah yang dipaksa berkahwin dengan sejahat-jahat manusia, firaun. Asiah seorang yang cantik dan baik namun nasibnya tidak beberapa baik, perkahwinan dengan firaun ternyata tidak membawa kebahagiaan. Firaun juga menyalibnya sehingga mati apabila beliau mengaku beriman kepada Allah. Sejak perkahwinannya dengan firaun sehingga hujung nyawa ternyata Asiah tidak bahagia.

Kedua kisah Nabi Yusuf yang mana pada mulanya baginda menjadi anak kesayangan Nabi Ya'akub, tetapi kerana cemburu abang-abangnya kisah duka hidup Nabi Yusuf bermula, baginda dijual, difitnah, dan dipenjara. Namun dipenghujungnya Nabi Yusuf akhirnya menjadi salah seorang pembesar di Mesir.

Seterusnya kisah Khadijah Bt Khuailid, isteri kesayangan baginda Rasulullah s.a.w. jalan dakwah ternyata tidak mudah, malah menuntut pengorbanan yang tiada tara. Khadijah seorang jutawan dan hartawan pergi menemui tuhan dalam keadaan tiada harta, hasil infak ke jalan dakwah.

Dari cerita di atas kita dapat lihat realiti kesuahan selepas kesenangan yang Allah janjikan dalam surah Insyirah ayat 5 dan 6 yang bermaksud;

"Karena Sesungguhnya sesudah kesulitan itu ada kemudahan. Sesungguhnya sesudah kesulitan itu ada kemudahan."

Realiti yang pertama adalah kemudahan yang datang selepas kesusahan itu kita dapat rasa dan lihat didunia, sebagai contoh kisah Nabi Yusuf, yang mana sebelum menjadi pembesar mesir baginda di buang, di jual, di fitnah, dan di penjara.  Realiti seperti inilah yang ramai dari kita harapkan, kita sentiasa mengharapkan kebahagiaan yang kita dapat rasai dan kita nampak didunia. Tidak salah kerana ini fitrah, tetapi keadaan tidak selalunya bergini. Takut-takut kita berputus asa dengan tuhan.

Realiti kedua adalah sebagaimana yang dilalui oleh Asiah dan Khadijah, pada penghujung hayat dua tokoh besar ini kita dapat lihat mereka tidak bahagia. Tapi anda bahawasanya Allah telah sediakan satu istana untuk Asiah didalah syurga? dan Khadijah antara wanita pertama yang masuk syurga.

Keindahan Istana di syurga berkali ganda!
Realiti yang kedua inilah yang selalu kita tertinggal, ramai yang ingin bahagia di dunia tetapi lupa akan akhirat, sedang akhirat itu adalah sesuatu yang abadi. Hidup dunia hanyalah sementara, apa salahnya kita menanggung ujian yang merupakan kasih sayang Allah kepada kita, sehingga akhir hayat, sedang disana syurga menanti kita.

Sedarkah kita walau hidup Asiah dan Khadijah pada mulanya kelihatan sensara namun dalam hati mereka penuh kebahagiaan dan keyakinan akan janji Allah dihujungnya. Hakikatnya bahagia itu adalah ketenangan jiwa dan jiwa yang tenang adalah jiwa yang mengingati Allah.

"Apakah manusia itu mengira bahwa mereka dibiarkan (saja) mengatakan: "Kami Telah beriman", sedang mereka tidak diuji lagi? Dan Sesungguhnya kami Telah menguji orang-orang yang sebelum mereka, Maka Sesungguhnya Allah mengetahui orang-orang yang benar dan Sesungguhnya dia mengetahui orang-orang yang dusta."
(Surah al-Ankabut, ayat 2-3).




November 1, 2011

Politik itu Bukan Ghanimah tapi Amanah

Bila kita sebut mengenai politik pada hari ini, ternyata ramai yang sudah tidak berminat dan ingin ambil tahu dengannya. Fenomena ini kelihatan sangat ketara pada anak muda masa kini. Kebanyakkan dari anak muda sudah tidak mahu ambil cakna apatah lagi berkecimpung dalam arena politik.

Ini dapat dilihat dari kadar pendaftaran pengundi baru, yang mana ramai anak muda yang dilaporkan tidak mendaftar undi. Hinggakan Suruhan Jaya Pilihanraya(SPR) terpaksa turun ke kampus-kampus dan kampung seluruh Malaysia demi untuk memastikan golongan ini mendaftar undi. Walaupun kadar penambahan pengundi baru naik mendadak, ini dipercayai disebabkan oleh isu yang lain. 

Kadang kita dirantai kiri-kanan.
Persoalannya pentingkah politik?

Perlukah kita mengambil tahu atau terlibat secara langsung atau tidak?

Punca hilangnya anak muda dalam politik.
Perkara ini adalah berpunca dari persepsi anak muda terhadap politik, yang mana suasana yang ada pada hari ini menyebabkan politik itu kelihatan kotor dan menjijikkan. Pemainan media massa yang terlalu membawa agenda parti pemerintah turut memberi sumbangan, sehinggakan berita yang tidak sepatutnya menjadi tajuk utama. 
Benarkah berpolitik buang masa?

Politik dimata anak muda adalah satu perkara yang sia-sia dan membuang masa. Politik tidak dilihat sebagai medan untuk membawa perubahan tetapi medan untuk mengaut keuntungan. Anak muda hari ini terutamanya yang berada di kampus lebih senang untuk mengsingkan diri dengan politik.

Walaupun hakikatnya mereka ditekan dan ditindas dengan dasar-dasr yang menjerut tengkuk mereka sendiri, tetapi bagi mereka langkah yang selamat adalah berdiam diri. Ugutan dan undang-undang yang dicipta untuk mengekalkan kuasa pemerintah itu berjaya menimbulkan ketakutan dihati anak muda di kampus.

Hasilnya mereka menolak keterlibatan dalam politik sama ada di kampus atau luar kampus. 

Kesan ketidakan penglibatan anak muda.
Kesan daripada perkara sebegini adalah negara akan kehilangan stok pemikir dari golongan anak muda di kampus. Malahan lebih teruk lagi kehilangan stok pemimpin masa akan datang. Bayangklan andai kata kutu rayau dan kutu lepak sahaja yang berminat dengan politik, sudah pastilah yang akan menjadi pemimpin adalah dari golongan ini.

Anak muda harus bangkit dari lena!
Anak muda juga gagal memainkan peranan sebagai golongan yang menjayakan agenda kerajaan, yang mana anak muda sebagai penggerak untuk memastikan agenda kerajaan berjalan dengan lancar dan berkesan. Dalam masa yang sama peranan sebagai satu golongan yang bersifat bebas dan tidak kepartian juga tidak akan berjalan. 

Golongan ini merupakan check and balance kepada kepimpinan kerajaan dan situasi politik semasa. Yang mana golongan ini adalah bersifat pro rakyat, setiap perkara yang berlaku dan memberi kesan kepada rakyat akan menjadi satu perkara yang penting kepada golongan ini. Peranan ini kita dapat lihat berjalan dengan berkesan pada era 60an, dan 70an. Yang mana mahasiswa pada masa itu merupakan pembela rakyat.

Tapi hari ini?

Penyelesaian.
Segalanya terletak di tangan anak muda itu sendiri, masalahnya bukan politik tetapi persepsi mereka terhadap politik. 

Anak muda harus memainkan peranan penting untuk mengubah persepsi ini, yang mana politik itu bukanlah ghanimah, tetapi amanah. Ghanimah adalah perkataan yang membawa maksud harta rampasan perang, apabila politik itu dikatakan ghanimah, ini beerti sesiapa yang ingin terlibat dalam politik adalah kerana kepentingan meterial semata-mata.

Realitinya zaman sekarang ini itulah yang berlaku, yang mana orang politik menyapu bersih segala harta dan kekayaan yang dibuka depan mata semahu-mahunya. Meskipun tindakan itu bersalah dengan undang-undang ataupun hukum agama.

Amanah itu berat
Politik adalah amanah yang mana sesiapa yang diberi mandat adalah khadam rakyat. Amanah adalah sesuatu yang berat dan haruslah dijaga sebaiknya. Kerana amanah ramai yang tersungkur di pintu syurga, malah kerana suka mengkhianati amanah golongan munafik dicampak ke dasar neraka.

Kesimpulan.
Apabila kita faham akan politik itu adalah amanah secara tidak langsung kita akan dapat membersihkan politik. Akan timbul rasa tanggungjawab dan masing-masing akan memainkan peranan dengan baik. Berkecimpung dalam politik bukanlah satu pilihan tetapi kewajiban kepada anak muda.

“Sesungguhnya kami pikulkan amanah kepada langit dan bumi dan gunung-gunung semuanya enggan memikulnya dan rasa khawatir akan kesanggupanya dan diterima oleh manusia, sayang manusia itu zalim dan jahil”
Al Ahzab-72