February 26, 2011

Jagalah Hati

Dalam sebuah buku tulisan Dr. Aidh Al-Qarni, yang bertajuk As’ad Al-Mar’ah Fil Alam menyatakan; Jangan biarkan hatimu dihancur oleh tanganmu sendiri.

Persoalannya bagaimanakah yang dikatakan menghancurkan diri dengan tangan sendiri? Jawapan kepada persoalan ini adalah hati. Hati adalah suatu rahsia kepada setip manusia, apa yang ada dalam hati memang tidak akan diketahui oleh khalyak umum kecuali memang dikhabarkan oleh pemilik hati.



Andai hati bermasalah ianya akan memberi satu implikasi yang besar, segala pergerakkan akan menjadi tidak lancar dan segalnya akan timbul masalah.

Dalam sebuah hadis nabi juga mengingatkan tentang satu daging yang ada dalam diri manusia, jika buruk, maka buruklah semuanya dan jika baik maka baiklah semuanya, itulah hati.

Dek kerana hati yang masalah pejuang boleh hilang matlamat, penyayang boleh menjadi garang, pemurah kan menjadi bakhil, bahkan ikhlas kan hilang tanpa dikenang.
Kita menhancurkan diri sendiri bila hancurnya hati, untuk menjaga hati ada lima perkara yang perlu kita jaga;

  • Jangan resah da gelisah- usah selalu mengeluh dengan keadaan kerana ramai lagi yang lebih malang daripada kita
  • Jangan sedih dan berasa derita- hapuskan perasaan ini dengan istigfar, doa dan memohon pertolongan dari Allah
  • Jangan lemah dan malas- aktifkan diri dengan ibadat, berzikir, mencari ilmu, berkerja dan beriadah
  • Jangan banyak berhutang- nafsu andai dituruti tidak akan pernah merasa puas. Akibatnya hidup tidak akan tenteram jika terlalu mengejar dunia.
  • Jangan kedekut dan menjadi pengecut- rezeki yang Allah kurniakan kepada kita bukanlah milik kita sahaja malahan didalam itu terdapat hak kepada orang lain. Begitu juga tanggungjawab kita pada orang disekitar kita.

Rasulullah S.A.W mengajar kita satu doa untuk menyelamatkan kita dari perkara-perkara yang merosakkan hati:

'Ya Allah aku berlindung kepadamu dari rasa resah dan gelisah, dari sedih dan derita, dari kelemahan dan kemalasan, dari sifat kedekut dan pengecut dan daripada hutang dan ancaman manusia.'

February 22, 2011

Wehdah Para Pejuang- Tribute buat aktivis Pro-M

Dalam gegak gempita menggegar alam,
Dalam sahut-sahut penuh pujian kepada tuhan,
Dalam renungan mata penuh semangat dan keyakinan.

Aku mula terbayang,
Terbayang saat kalian mencurah keringat.
Terbayang saat kalian bertungkus lumus,
Terbayang saat kalian mengadu akan sakitnya badan,
Terbayang saat kalian menyatakan akan tiadanya tenaga,
Terbayang saat kalian penat memikirkan,
Terbayang saat kalian tidak tidur malam,
Terbayang saat kalian diancam para penzalim,
Terbayang saat kalian merasa keseorangan.



Pada masa itu sendu menguasai diri,
Mengenang kalian gagah bertahan,
Mengenang kalian kuat pendirian,
Mengenang kalian penuh kesabaran,
Mengenang kalian menahan tangis berpanjangan,
Mengenang kalian terus kehadapan.


Sungguh aku teharu,
Walau dihadapan kalian arus kuat menentang,
Walau dihadapan kalian penuh ancaman,
Walau dihadapan kalian para penzalim-penzalim,
Walau dihadapan kalian para pembuli-pembuli jalanan,
Walau dihadapan kalian seribu satu mehnah dan ujian.

Malam itu,
Dalam ungkapan penuh semangat,
Dalam penuh syukur dan penghargaan,
Mula bertiup ruh-ruh perjuangan,
Menggegar hati dan jiwa perjuangan.


Malam itu bukan kesedihan menguasai kami,
Malam itu bukan kemurungan yang kami rasai
Dalam jiwa yang satu hati,
Kami mula mengakui,
Bahawasanya..
Pro-Mahasiswa menang di hati KAMI

Saasatul Ibaad,
Muhammad Ibrahim Khalil B. Noh
08:28
22/02/11
G32/208B, KRP, UTM


February 16, 2011

Tunggu Teduh Dulu


Sahabat..
Masih lagi aku ingat,
Petang itu damai mencengkam,
Angin menderu menampar lembut pipi,
Indah, sungguh indah,
Damai merasuki hati,
Atas bukit itu,
Dihadapan hamparan hijau itu,
Kita menikmati indahnya alam,
Berteduh di sebuah bangsal usang,



Sahabat..
Tiba-tiba,
Alam yang tenang menjadi kelam,
Gerimis mula bercucuran,
Kelihatan ribut bakal mendatang,
Kau bangun mengajak aku pulang,
Kau nekad untuk meredah gerimis petang,
Sebelum ianya bertukar menjadi ribut garang,
Lantas tangan engkau aku gengam,
Melahirkan semangat dan harapan,
Menyalur tenaga dan kekuatan,
Dalam senyuman penuh kegusaran,
Lalu aku tuturkan dengan keyakinan,



Sahabat..
Tunggu teduh dulu,
Dalam ribut yang tiada kasihan,
Kita bersama mencari kekuatan,
Menanti teduh yang mendatang,
Saat ribut menghilang,
Muncullah pelangi petang,
Indah dan rupawan,
Penuh dengan wana kehidupan,
Lantas mencullah mentari menyinari,
Memberi cahaya dan harapan,



Sahabat..
Andai ribut mendatang,
Andai takdir tidak menyenangkan,
Jangan kau lari tinggalkan,
Tunggu teduh dulu,
Pasti pelangi akan mewarnai hidupmu,
Pasti mentari menyuluh jalan.


Yang benar,
Saasatul Ibaad,
Muhammad Ibrahim Khalil b. Noh
10.29 AM
16/02/11
G32/208B KRP UTM

February 15, 2011

Mawaddah, Rahmah dan Valentine.

14 febuari, tarikh ini saban tahun akan diadakan sebuah sambutan yang dinamakan Valentine Day. Pada tarikh ini para pencinta manusia mula bersorak gembira, meluahkan rasa membuktikan cinta. Tradisi ini mula menjalar dan mencengkam masyarakat kini. Bila Islam ditolak tepi lahirlah para jahiliyyah yang mengikut adad jahiliyyah yang lain, tanpa panduan dan pedoman mereka ini sesat lagi menyesatkan.

Dapat dilihat dalam sejarah bahawasanya Hari Valentine ini merupakan satu hari untuk memperingati sesuatu yang langsung tiada hubung kaitnya dengan Islam malahan dewasa ini mereka sendiri sudah melupai sejarah ini. Dewasa ini sambutan Hari Valentine tidak lebih dari orang mengenal Valentine melalui kad ucapan, pesta persaudaraan, bertukar-tukar memberi hadiah dan sebagainya tanpa ingin mengetahui latar belakang sejarahnya lebih dari 1700 tahun yang lalu.

Dari sini dapat diambil kesimpulan bahawa waktu ini hanyalah tidak lebih bercorak kepercayaan atau animisme belaka yang berusaha merosak 'akidah' muslim dan muslimah sekaligus memperkenalkan gaya hidup barat dengan bertopengkan percintaan, perjodohan dan kasih sayang.



Kasih dan Sayang dalam Islam.

Islam merupakan agama yang melengkapi fitrah manusia. Islam tidak menghalang tetapi memurnikan. Islam melarang keras zina tetapi menghalalkan malahan menggalakkan perkahwinan.

Kepada muslimin dan muslimat, kita selalu bermain dengan persoalan hati, yang mana sebagai insan hati kita perlukan teman untuk berkasih sayang, lihatlah sejarah ayah kepada seluruh umat manusia, Adam a.s, baginda dicipta dalam sebuah daerah yang tidak tergambar keindahannya. Apa yang tiada dalam syurga? Sedangkan Adam rindukan Hawa.



Mawaddah dan Rahmah.

Sedarkah kita dalam menempuhi kehidupan didunia ini kita bertemu dengan pelbagai ragam manusia. Terutamanya yang berada dalam alam perkahwinan, ada sesetengah pasangan bercinta sekian lama namun perkahwinan hanya bertahan sebentar. Ada yang bahagianya berpanjangan bersama hingga hujung nyawa.

Bagaimanakah untuk mencapai kebahagiaan sedang hidup tidak selalunya menjanjikan kesenangan, hidup seumpana garis tanpa jangkaan, kita boleh membuat seribu perancangan namun mungkin tidak dapat dilaksakan dek kerana takdir yang tidak terjangka, takdir itu rahsia tuhan dan tuhan penuh rahsia.

Tidakah kita perhatikan akanpasangan orang tua yang hidup bahagia bersama bukankah saat itu kecantikan dan kacak telah pudar?

Perhatikanlah pasangan yang sangup menjaga pasanganya yang sakit teruk bukankah masa itu kesihatan sudah hilang?

Perhatikanlah pasangan yang hidupnya susah tetapi tetap bersama dimanakah ruang kebahagiaan?

Pernahkah terfikir dimana datangnya pengorbanan?

Dari mana datangnya perjuangan?

Renungilah dan fahaminya firman Allah dalam surah Ar-Rum ayat 21; Dan di antara tanda-tanda kekuasaan-Nya ialah dia menciptakan untukmu isteri-isteri dari jenismu sendiri, supaya kamu cenderung dan merasa tenteram kepadanya, dan dijadikan-Nya diantaramu rasa Mawaddah dan Rahmah. Sesungguhnya pada yang demikian itu benar-benar terdapat tanda-tanda bagi kaum yang berfikir.

Sesungguhnya Allah dengan segala limpah dan kasih-Nya menjanjikan kepada kita dua perkara iaitu Mawaddah dan Rahmah. Mawaddah ini datangnya disaat masing-masing senang, sihat dan punya rupa. Datang kerana terpikat dek kelebihan masing-masing. Sedang Rahmah datangnya tatkala susah, tatkala salah seorang terbaring tidak terdaya, kerana berkatnyanya rahmah salah seorang lagi tetap setia menjaga.

Yang susah itu indah.

Marilah bersama kita renungi kisah Rasulullah dan Khadijah, pernahkah kita mendengar hadis tentang Rasulullah berkejaran dengan Khadijah? Bergurau senda penuh manja?. Yang selalu kita dengar adalah pengorbanan Khadijah saat islam bermula, bagaimana Khadijah menyelimutkan Nabi dengan penuh kasih sayang saat wahyu pertama menjelang, bagaimana khadijah menawarkan tulang-tulangnya untuk perjuagan Islam.

Saat bersama Khadijah dakwah Rasulullah susah, hidup sebgai pendakwah juga penuh cabaran dan ujian. Dimanakan ruang bahagia dan kenangan indah?

Tapi bukankah Khadijah yang paling Rasulullah sayang dan kenang?

Sesungguhnya yang susah itu indah.

Kesimpulan.

Andai kita menganggap untuk mendapatkan kasih sayang cukup hanya dengan menyambut hari Valentine, ataupun kita meraikan hari Valentine untuk membuktikan kasih sayang kita termasuk dalam golongan orang yang melakukan kesilapan besar.

Sesungguhnya islam adalah satu atur cara hidup yang menyebarkan mesej cinta, jangankan cinta manusia itu lebih dari cinta Allah, cinta atas dasar Allah, disandarkan kepadanya akan dikurnia rahmah. Cinta yang dasarnya cinta Allah, kerana yang maha esa ia tetap berpanjangan. Cinta boleh pudar tetapi belas kasihan atas nama Allah akan berkekalan.

February 11, 2011

Cara untuk HUSNUZON.

Yang dikatakan Husnuzon itu adalah berbaik sangka kepada orang lain, ini adalah perbuatan yang dituntut dalam Islam, kerana berbaik sangka ini lebih baik dan dapat mengelakkan dari menuduh orang lain berbuat jahat. Kata Saidina Umar bin Al-Khattab ra :
“Jangan kamu membuat sangkaan terhadap satu kalimah yang keluar daripada seorang saudara mukminmu kecuali kebaikan selagi kamu masih ada cara untuk meletakkannya di tempat yang baik”.



Orang yang berburuk sangka seolah-olah memfitnah orang, kerana buruk sangkanya tidak mempunya bukti yang kukuh, ini dikuatiri terjadinya fitnah, kerana Islam sangat melarang umatnya memfitnah orang lain. Firman Allah yang bermaksud :
“Dan janganlah Engkau mengikut apa Yang Engkau tidak mempunyai pengetahuan mengenainya; Sesungguhnya pendengaran dan penglihatan serta hati, semua anggota-anggota itu tetap akan ditanya (di akhirat) tentang apa Yang dilakukannya.” (Al-Isra : 36)

Bersangka baik merupakan satu tuntutan dalam agama Islam.Di bawah saya senaraikan cara-cara untuk bersangka baik kepada sesiapa pun, dengan harapan ianya dapat dijadikan amalan dan saham di akhirat nanti.



Jika engkau bertemu dengan seseorang, maka yakinilah bahawa dia lebih baik darimu.
Ucapkan dalam hatimu :"Mungkin kedudukannya di sisi Allah jauh lebih baik dan lebih tinggi dariku".

Jika bertemu anak kecil, maka ucapkanlah (dalam hatimu) :"Anak ini belum bermaksiat kepada Allah, sedangkan diriku telah banyak bermaksiat kepadaNya. Tentu anak ini jauh lebih baik dariku".

Jika bertemu orang tua, maka ucapkanlah (dalam hatimu) :"Dia telah beribadah kepada Allah jauh lebih lama dariku, tentu dia lebih baik dariku."

Jika bertemu dengan seorang yang berilmu, maka ucapkanlah (dalam hatimu) : "Orang ini memperoleh kurnia yang tidak akan kuperolehi, mencapai kedudukan yang tidak akan pernah kucapai, mengetahui apa yang tidak ku ketahui dan dia mengamalkan ilmunya, tentu dia lebih baik dariku."

Jika bertemu dengan seorang yang bodoh, maka katakanlah (dalam hatimu) : "Orang ini bermaksiat kepada Allah kerana dia bodoh (tidak tahu), sedangkan aku bermaksiat kepadaNya padahal aku mengetahui akibatnya. Dan aku tidak tahu bagaimana akhir umurku dan umurnya
kelak. Dia tentu lebih baik dariku."

Jika bertemu dengan orang kafir, maka katakanlah (dalam hatimu) : "Aku tidak tahu bagaimana keadaannya kelak, mungkin di akhir usianya dia memeluk Islam dan beramal soleh. Dan mungkin boleh jadi di akhir usia diriku kufur dan berbuat buruk."

Baca. Faham. Amal. Siiru ala barakatillah.

February 2, 2011

Tenang Ditimpa Bala?


Usai sudah pilihanraya kecil Dewan Undangan Negeri Tenang. Namun hujan msih belum reda, air naik, jumlah kehingan jiwa sudah dilaporkan tiga orang kerugian tidak dapat dijangka. Banyak kawasan-kawasan yang menjadi pulau dek kerana kawasan sekeliling ditenggelami air.

Dari matlumat yang saya dapat ramai yang terkandas didalam hujan, petugas-petugas yang pergi ke DUN Tenang terpaksa menunggu sehingga air surut untuk balik pulang ke tempat masing-masing.



Labis bukanlah kawasan banjir, jarang sekali berlaku banjir di Johor yang selalu kita dengar di pantai timur, Kelantan dan Terengganu. Hinggakan ada dikalangan pemimpin negara yang mengkritik sistem peparitan dan saluran disana.

Persoalannya apakah disebalik banjir ini?

Fenomena biasa alam atau ini merupakan amaran dari pencipta?

Islam menganjurkan umatnya berfikir dan merenung dalam setiap kejadian yang berlaku. Setiap yang berlaku apakah nikmat mahupun bala dari Allah. Andai kata nikmat hendaklah kita zahirkan rasa syukur dengan menambah iman dan taqwa, dan andai kata bala hendaklah kita ambil sebagai peringatan dari Allah dan berubah sebelum terlambat. Sebagaimana firman Allah dalam surah Ibrahim ayat 7 yang bermaksud; "Dan (ingatlah juga), tatkala Tuhanmu memaklumkan; "Sesungguhnya jika kamu bersyukur, pasti kami akan menambah (nikmat) kepadamu, dan jika kamu mengingkari (nikmat-Ku), Maka Sesungguhnya azab-Ku sangat pedih".


Saudaraku ingatlah, saat kaum Nabi Nuh mengutuk dan mengancam dakwah baginda, Allah tenggelamkan mereka, saat Aceh berseronok dengan pesta maksiat Allah hantar Tsunami menyapu habis semuanya.

Ingatkah kepada kaum Nabi Luth yang mati semuanya mendengar pekikan yang kuat lantaran nafsu yang songsang?

Ingatkah kepada Firaun yang ditenggelamkan dalam laut mati kerana keangkuhan dan kezalimannya sehingga mengaku tuhan?

Kenapa semua ini berlaku kepada mereka?

Tidak lain tidak bukan kerana mereka melawan Allah dan menzalimi utusan Allah.Allah berfirman; “Dan Allah telah membuat suatu perumpamaan dgn sebuah negeri yg dahulu aman dan tenteram rezeki datang kepada mereka melimpah ruah dari segenap tempat tetapi penduduk mengingkari nikmat-nikmat Allah kerana itu Allah menimpakan kepada mereka kelaparan dan ketakutan disebabkan apa yg mereka perbuat.”

Perhatikan apa yang terjadi di Tenang, bagaimana hukum aurat dan sentuhan antara bukan muhrim dipermainkan, hukum Allah diinjak-injak dan dihina. Tahukan anda apa yang diucap Menteri Besar Johor? Katanya andai menang PAS di Tenang habislah semua kudung tangan! Sedarkah hukum Hudud bukan hukum PAS tetapi hukum Allah. Tidak cukup dengan itu tarian bogel yang diadakan dalam kempen cukup kurang ajar!



Pada rakyat dan pengundi Tenang ingatlah ini amaran Allah, sedarlah kalian sebelum Allah hantarkan tenteranya untuk meranapkan kalian.

Kesimpulan.

Ingatlah saat bala Allah datang tiada siapa yang mampu menghalang. Kepada para petugas dakwah sesungguhnya jalan dakwah ini masih panjang. Rakyat masih digauli dengan nafsu serakah pemerintah. Akhirnya hidup dalam Jahiliyyah.

Bala Allah tidak datang kepada pendosa-pendosa yang lupa daratan sahaja tetapi kita semua. Ayuhlah wahai para pendakwah, disana gelaran syahid sentiasa menunggumu.

Banjir dan keputusan N59 Tenang.



30 Januari 2011, merupakan tarikh pilihan raya kecil Dewan Undangan Negeri (Dun) Tenang di Johor. Keputusan pilihan raya yang lalu sebagaimana yang dijangkan. Kemenangan berpihak kepada Barisan Nasional dengan majoriti yang cukup selesa.

Barisan Nasional (BN) bukan saja berjaya mengekalkan kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Tenang pada pilihan raya kecil DUN, malah berjaya menambah majoriti undi hampir 50 peratus berbanding Pilihan Raya Umum 2008.

Pada pilihan raya kecil itu, calon BN, Mohd Azahar Ibrahim, 39, menewaskan calon PAS, Normala Sudirman, 38, apabila memperoleh 6,699 undi, mengatasi bekas guru itu yang mendapat 2,992 undi dengan majoriti 3,707.

Sejumlah 63.4 peratus daripada 14,753 pemilih berdaftar keluar mengundi pada pilihan raya kecil itu yang diadakan berikutan kematian penyandang daripada BN, Datuk Sulaiman Taha pada 17 Disember lalu. Daripada jumlah undi semalam, 142 undi ditolak.

Pada Pilihan Raya Umum 2008, Sulaiman menang dengan kelebihan 2,492 undi, mengatasi Md Saim Siran, juga daripada PAS. Sulaiman memperoleh 6,367 undi, manakala Saim mendapat 3,875 undi.

Jelas dapat dilihat undi BN naik sebanyak 332 undi, manakala undi PAS berkurang sebanyak 883.

Manakala jumlah keluar mengundi kali ini lebih rendah berbanding 73.52 peratus daripada 14,511 pemilih pada pilihan raya umum Mac 2008. Pada pilihan raya kecil kali ini sebanyak 64.30 peratus yang keluar mengundi.



Sebagaimana yang diketahui umum pilihan raya kecil kali ini turut disertai hujan dan banjir, persoalannya sejauh mana hujan dan banjir memberi kesan kepada keputusan pilihanraya?.

Persoalan ini berlegar lama dalam fikiran saya apakah benar hujan dan banjir ini memberi kesan?

Melihat kepada jadual ada perkara yang saya terfikir mengapa peratus keluar mengundi di felda-felda cukup tinggi andai dibandingkan dengan dengan kawasan lain, manakala kawasan yang majoritinya penduduk cina dan india menunjukkan peratusan keluar mengundi yang rendah, rujuk kawasan Labis dan Ladang Bukit Dato dalam jadual.

Adakah berlaku diskriminasi ketika bantuan menghantar pengundi, yang mana pengundi di kawasan kuat diutamakan berbanding dengan kawasan lain?

Saya tinggalkan persoalan ini untuk pembaca fikirkan.



Melihat kepada sejarah dan situasi semasa sudah pasti mustahil untuk PAS mencatat kemenangan di Tenang, bak kata seorang sahabat, kaalau menang PAS kat Tenang kiamat alamatnya. Namun saya yakin dan percaya jika dapat capai 82 peratus jumlah undi sudah pasti keputusan berlainan, meskipun masih kalah tetapi dengan majoriti yang lebih kecil mungkin. Walaupun kalah tetapi Pas dilihat masih dapat mengekalkan undi yang diterima pada 2008, sedangkan BN hanya meningkat sebanyak 332 undi sahaja.

Kesimpulan.

Kemenangan BN pdi Tenang haruslah dilihat sebagai nikmat kepada masyrakat kerana dari segi politiknya Pakatan Rakyat sudah pasti akan ditekan dengan cukup dalam pilihan raya umum hebat jika menang di Tenang.

Ingatlah tugas kita hanyalah usaha menang atau kalah itu milik Allah. Teringat kata-kata azimat dalam Pihanraya Kampus 2010, kalah itu pasti menang satu anugerah.

February 1, 2011

Hidup sama hidup, mati sama mati-Memoir Cinta Zulkifli Muhammad

Add Image

Dalam sebuah perjuangan yang memenatkan, perjuangan yang panjang dan penuh onak, tercatat satu kisah cinta yang hebat. Manis untuk dikenang, sayu saat mengenang. Moga kisah cinta yang saya catatkan ini menjadi contoh dan tauladan kepada pemuda dan pemudi yang menyambung rantai perjuangan pasangan ini.

Zulkifli Muhammad mungkin satu nama yang kurang dikenali pada zaman ini, sedangkan beliau merupakan seorang tokoh besar yang juga merupakan seorang pejuang kemerdekaan. Tulisannya tentang falsafah, akhlak, ekonomi, kemerdekaan, pendidikan, bahasa, kebudayaan, dan politik islam menyerlahkan lambang kekatan pemikiran dan kekentalan perjuangan. Pidatonya memukau hadirin, beliaulah yang berucap empat jam tanpa henti dalam parlimen ketika membentangkan rang undang-undang di Dewan Rakyat.

Kisah percintaan

Kalau ada Hajar disebalik perjuangan Nabi Ibrahim, kalau ada Khadijah disebalik perjuangan Rasulullah, maka disebalik perjuangan Zulkifli Muhammad berdiri teguh Asiah Kamaruddin yang merupakan seorang isteri yang setia hingga hujung nyawa.

Zulkifli selalu berkata “ Asiah ni kalau tak ada dia entahlah saya, dialah yang memimpin saya berjalan kesana kemari”

Pernah juga orang-orang kampung berkata “Zulkifli ini, dimana ada Asiah adalah dia”,jawab Zulkifli “kami ni, hidup sama hidup, mati sama mati.”

Asiah Kamaruddin juga merupakan saudara kepada Zulkifli yang mana selalu datang kerumah Zulkifli untuk menuntut pelbagai ilmu termasuk Bahasa Arab. Beliau merupakan gadis tercantik yang menjadi kegilaan di Kuala Kangsar Perak ketika itu, banyak ibu-ibu yang ingin menjadikan dia sebagai menantu.

Beberapa minggu sebelum ke Mesir, cinta mula hadir diantara Asiah dan Zulkifli. Namun perasaan fitrah itu di jaga dengan penuh hati-hati. Mereka bercinta dengan penuh ketenangan, tidak tergopoh-gopoh dalam membuat keputusan dan tidak kalut dalam bertindak. Nilai cinta mereka cukup tinggi dengan adab dan batasan syariat, mereka tidak pernah keluar berdua-duan yang menjadi penghubung hanyalah surat-surat cinta.

Saat berada di Mesir Zulkifli dikejutkan dengan berita pertunangan Asiah, saat itu Zulkifli mula dilanda murung dan sentiasa mengeluh, namun nama dan pujian buat Allah tidak pernah luput dari bibir dan hatinya, walau apa pun perjuangannya tetap diteruskan. Pada waktu itu juga Zulkifli dilamar oleh seorang gadis yang kagum akan dirinya namun dia menolak, pernah Zulkifli nyatakan jika dia tidak akan berkahwin jika tidak dapat mengahwini gadis yang dicintainya.

Rencana Allah siapa yang dapat menduga, andai sudah jodoh tidak akan kemana. Tidak lama selepas itu Zulkifli jatuh sakit dan pulang ke tanah air, manakala Asiah memutuskan pertunangan kerana pertunangan itu bukanlah pilihan hatinya. Allah membalas keteguhan cinta mereka dengan menyatukan mereka dengan pertemuan seindah bayangan firdausi, akhirnya mereka diijabkabulkan sebagai suami isteri.



Alam Rumah Tangga.

Rumah tangga Zulkifli dengan Asiah dihias dengan begitu cantik sekali, asasnya adalah iman dan taqwa. Sebagai isteri seorang pejuang Asiah memainkan peranan dengan cukup baik, sehinggakan ada yang mengatakan Ustazah Asiah merupakan setiausaha sulit Professor Zulkifli.

Bagi Asiah rumahtangga yang dibina seolah-olah gedung ilmu baginya, Zulkifli sebagai guru baginya segala ilmu yang ada dikongsi dan diturunkan kepada masyarakat dan zuriat.

Sebagai isteri seorang pejuang tiada istilah cemburu bagi Asiah dalam kamus hidupnya, Asiah bangga menjadi pembantu perjuangan Zulkifli Muhammad. Asiah juga tidak bangga diri dengan kedudukannya sebagai Ketua Muslimat Pas pada waktu itu, dan juga tidak bangga diri sebai isteri seorang negarawan ulung.

Pernah beberapa wanita Umno bertemu dengannya dan beramah mesra, namun beliau hanya mengenalkan diri sebagai Asiah.

Sudah sunnah berjuang, Asiah dahulunya berasa takut kerana ditinggalkan suaminya ketika berjuang dimalam hari, naman perasaan itu hilang ketika mempunyai anak malahan dia merelakan pemergian suaminya untuk berbakti pada nusa dan agama

Hidup sama hidup, mati sama mati.

Pagi itu, ketika Zulkifli pulang dari pasar dia melihat Asiah dan dua orang puterinya berada dalam kereta untuk pulang ke Perak.

Ketika sampai dihalaman rumah, Zulkifli berkata “hai..Asiah nak balik?”

Asiah menjawab “ Asiah nak balik la biar Aisah balik dahulu petang ni, nanti Nyah nak balik juga”

“Asiah nak biar Nyah mati sorangkah? Biar kita mati bersama”
ujar Zulkifli dengan penuh cinta sambil tersenyum.

Mendengar kata-kata Zulkifli, dengan muka yang manis Asiah turun daripada kereta dengan dua puteri mereka.

“Biarlah Asiah balik dengan Nyah
”, katanya.

Beberapa jam selepas itu mereka meninggalkan rumah di Bachok dengan sebuah kereta Fiat kecil bernombor JB9977.

Ketika di Kuantan disebuah jalan yang sempit muncul sebuah landrover yang dipandu laju, lantas menghentak kereta Professor Dr Zulkifli Muhammad dan Ustazah Asiah. Professor Dr Zulkifli yang menjadi pemandu ketika itu terperosok di bawah stereng dan Ustazah Asiah terjatuh di atas ribanya, pergilah isteri yang setia itu diatas riba suaminya dan Professor Dr Zulkifli meninggal ketika dalam perjalanan ke hospital.



Kisah ini berakhir dengan perginya dua orang kekasih dan perjuang, hidup mereka bukan hanya untuk berkasih sayang dan mati dalam mendapatkan cinta masing-masing sebagaimana Romeo dan Juliet, Laila dan Majnun, tetapi hidup mereka penuh dengan pengorbanan, saling bantu membantu dalam menegakkan agama Allah dan mencapai redha Allah. Cinta sepatutnya begini, penuh dengan pengorbanan dan Syurga menjadi tempat berkasih sayang

Professor Dr Zulkifli Muhammad dan Ustazah Asiah Kamaruddin pergi pada 6 Mei 1964, mereka disemadikan di Kuala Kangsar Perak dalam satu liang.

"Mereka sama-sama berjanji untuk sehidup semati dan sama-sama memegang janji untuk itu, bahagialah mereka, "Muhammad Haji Arshad .

P/S: ini merupakan kisah benar yang penulis ambil dari buku Wasiat Perjuangan Zulkifli Muhammad.