June 29, 2012

Monolog II

kata-kata Syed Qutb :

"Manusia yang hidup untuk dirinya sendiri..usianya amatlah pendek..bermula dari hari kelahirannya dan tamat ketika maut..akan tetapi..bagi mereka yang hidup untuk PERJUANGAN..usianya panjang, sepanjang perjuangan itu. Bermula dari hari diciptakan ADAM, berakhirnya ketika Dia memusnahkan alam."

Aku sedang hidup untuk perjuangan dan aku ingin terus hidup untuk perjuangan. Hati ini telah jauh ku buang untuk perjuangan.

June 16, 2012

Cinta Mutiara

Saya percaya cinta itu umpama sekalung mutiara, yang mana tali yang mengikat cinta itu adalah cinta kepadaNya, tanpa cintaNya mutiara tidak akan tersusun dengan indahnya.

Cinta itu umpama sekalung mutiara,
Kadang-kadang ia putus,
Dan kita perlu mengarangnya semula,
Kadang-kadang ia hilang,
lalu kita harus mencarinya semua,

Tetapi,
Kadang-kadang kita tidak akan menemuinya lagi,
Walau dimana-mana pun,
Walau sampai bila-bila pun,

Atau,
Mungkin kita akan menemui mutiara yang lain,
Lalu perlu kita karangkan semula cinta baru itu,
Dan sematkan dihati kita..

Dapatkah kau merasa?

Makin rapat dengan ku mengapa semakin mudah aku menyakitimu?
 
Makin rapat dengan ku mengapa makin sukar kuungkapkan kata sayang padamu? 
 
Makin rapat dengan ku mengapa makin sukar kuluahkn kata pujian buatmu? 
 
Andai aku menjauh bukan bermakna aku tidak suka, 
 
Tapi tidak mahu kau terluka, 
 
Aku juga sengsara, 
 
Dapatkah kau merasa apa yg aku rasa.... 

فقلبي

 
 
بانت سعاد فقلبي اليوم متب
متيم إثرها لم يفد مكبول
 
Bila jauh aku dari kekasihku, hari demi hari..
 
 aku merasa sakit yang hanya aku yang tahu..
 
Andai ingin kau tukar dia dengan bidadari..
 
Ketahuilah itu bukan kemahuanku..

Rindu Itu Umpama Mati,Cinta itu Umpama Mimpi

"Kau ingat Tashbih"?  saya menerima pesanan ringkas seorang kawan. Ketika kami membicarakan persoalan tentang mati.

"Tak..apa dia?" saya bertanya kembali. Sebagai seorang yang telah lama meninggalkan pengajian bahasa arab, saya betul-betul tidak ingat. Pengajian bahasa arab saya bermula sejak dari darjah dua lagi sehingga tingkatan lima. Tapi selepas SPM saya tidak lagi kerana saya sendiri kurang minat pada masa itu.

"Tashbih ni perlambangan, contohnya perempuan umpama bunga, Ahmad umpama singa" terangnya ringkas.

"Owh..ingat rasanya kenapa?" tanyaku kembali.

"Tau tak Arab sebut, al-mishqu kal maut..(rindu itu umpama mati) sebab rindu itu datang tiba-tiba kita tak jangka dan tak sedar", terangnya lagi.

Saya terdiam dan berfikir, bahasa arab begitu hebat sasteranya, betul-betul mengagumkan saya, perlambangan yang hebat. Tiba-tiba sekelumit rasa menyesal datang dalam diri, saya mempunyai peluang yang begitu besar untuk mendalami bahasa Al-Quran ini, namun hanya kerana minat saya tiada pada masa itu saya meninggalkan bahasa yang hebat ini.

Dalam kehidupan ini kita sering kali bertemu dengan banyak perkata yang menakjubkan, malangnya kita yang sering kali terlepas dan tidak perasan kerana kita sibuk mengejar perkara yang kita tidak nampak. Sebab itu orang yang sentiasa berfikir dan memerhatikan sesuatu perkara akan memperolehi banyak kebaikan.

Kita juga seringkali bergerak dan juga mengambil kuputusan berdasarkan minat semasa kita. Ini lebih bahaya kerana kita akan menjadikan hidup kita terumbang ambing tanpa matlamat yang jelas.

Kerana cinta itu umpama mimpi, kadang-kadang datang dan akan pergi bila-bila masa sahaja, jangan
bila kita tersedar dari tidur kita akan menyesal di alam realiti kerana mengikuti mimpi yang berkunjung sebentar sahaja.

Suara Orang Buangan

Sinopsis
Nasr Hamid Abu Zaid telah dipaksa meninggalkan Universiti Kaherah kerana dianggap tersesat. jenayahnya? Nasr menyebut dalam tulisannya bahawa sejarah dan budaya turut diambil kira dalam mentafsirkan al-Quran. Selain itu Nasr juga menghujahkan bahawa dalam penafsiran al-Quran, ayat-ayat suci itu harus difahami secara tamsilan (metafora) dan bukan secara kaku dan hurufiah. 

Pada Jun 1995, Mahkamah Rayuan Kaherah menjatuhkan hukum bahawa tulisan-tulisan di dalamnya dan dengan sendirinya membuktikan beliau sebagai seorang murtad. Golongan Islamis mengancam nyawanya Dia tidak lagi dapat mengajar. Para pengawal lengkap bersenjata berkawal sekeliling rumahnya. Para peguam cuba memisahkan Nasr dan isterinya, juga seorang profesor di Universiti Kaherah. Semuanya bersandarkan alasan bahawa seorang wanita Muslim tidak boleh berkahwin dengan Non-Muslim. 

Nasr Justeru telah diisytiharkan sebagai murtad tidak boleh lagi dikira sebagai seorang Muslim. Urutan dari itu kedua-dua mereka telah melarikan diri ke Belanda. Sejak itu Nasr mengajar bahasa arab dan pengajian Islam di Universiti Leiden.

Pandangan Peribadi
Setelah menghabiskan bacaan buku ini, saya mempunyai pandangan tersendiri, memang saya akui beberapa pandangan Nasr amat kontroversi dan sukar untuk diterima. Saya amat bersetuju dengan beberapa pandangan Nasr dan cara Nasr mentafsir Al-Quran, idea pembaharuan Nasr pada pandangan saya amat membantu dalam dakwah.

Nasr mempunyai kajian yang mendalam dalam perkara ini, hujah dan rasional yang dikemukakan Nasr boleh diterima dan selayaknya dibincangkan secara akademik dan intelektual. Dunia Islam seharusnya menghargai idea pembaharuan seperti ini.

Walau bagaimana pun ada beberapa  perkara yang saya tolak secara total dalam pemikiran Nasr, terutamanya dalam mentafsir perundangan Islam, Nasr kelihatan lebih meletakkan apa yang ada didalam Al-Quran seperti Hudud lebih kepada budaya Arab. Nasr juga menyatakan bahawa hukum syariah lebih kepada hasil perbincangan ahli feqah, ini saya tolak secara total, kerana sebagaimana yang saya fahami dalam Al-Quran terkandung ayat-ayat yang tersurat dan tersirat, malah ada sesetengah hukum yang ditetapkan secara tetap.

Nasr lebih mengutamakan nilai dalam penetapan sesuatu hukum dan ternyata Nasr tertinggal banyak lagi hikmah yang ada dalam penetapan hukum Islam Nasr dilihat sedikit tertutup dalam mentafsir hukum.

Apa pun pandangan Nasr pada pandangan saya Nasr tidak selayaknya dilayan sebegitu, seharusnya hujah akademik beliau di tangani dengan kaedah dan pendekatan lebih sesuai. tindakan yang dilakukan oleh golongan radikal di sana akan menyebabkan Islam kelihatan sangat tertutup dan lebih menampakkan Islam agama tertutup dan tidak ilmiah, sekaligus menutup keindahan dan keanjalan Islam dalam menghadapi arus semasa.

Tindakan seperti ancaman bunuh dan arahan penceraian dilihat agak keterlaluan dan lebih bersifat politik dan bertujuan menghapuskan karekter Nasr. 

Kesimpulan
Islam itu bersifat murunah iaitu anjal dan berubah-rubah tanpa berlaku perubahan dasar iaitu tauhid. Hikmah dalam dakwah merupakan satu perkara yang penting dalam menyebarkan Islam, Keterikatan dengan perkara tradisional dan adad bukanlah nilai yang ada dalam Islam.

Buku: Anak Apak

Sinopsis

MEMOIR, Politik Kewartawanan yang diberikan judul ANAK APAK, membentangkan pengalaman hidup dan pahit getir penulis sebagai anak keturunan Jawa di tengah-tengah masyarakat Melayu kampung ketika mula mengenal dunia dalam kesengsaraan musim Jepun melanda Tanah Melayu.

MEMOIR ini diberi judul ANAK APAK justeru Apak mahu mendidik dan menyekolahkan saya sepertinya dan kemudian keluar sebagai ahli ilmu agama mengikut jejaknya menjadi Tok Guru kepada masyarakat dan  ummah. Tetapi saya tidak menjadi Tok Guru seperti Apak. Ada sebabnya; kejatuhan ekonomi, sawah tidak menjadi, getah yang  menjadi sumber kemakmuran rakyat tiba-tiba tidak berharga lantaran  Perang Korea yang berlaku pada awal tahun 50-an.

Apak tidak menjadi aktivis politik dan tidak berminat dalam dunia persuratkhabaran tetapi saya menjadi wartawan dan aktivis politik sepenuh masa.

Saya terdedah dengan alam politik sejak zaman kanak-kanak dan boleh memahami politik sejak remaja, tetapi tidak pernah bercadang untuk menjadi orang politik. Pada saya ketika itu, adalah lebih senang hidup sebagai orang yang memahami politik tetapi tidak terlibat dalam sebarang aktiviti politik supaya kita disenangi oleh semua dan dapat diterima oleh semua. Akan tetapi kekalahan teruk PAS di Kelantan pada hujung tahun 70-an sesudah berkuasa sejak tahun 1959 menyebabkan saya terasa seolah-olah demokrasi seperti akan berakhir di Malaysia.
 
Semoga Memoir ANAK APAK ini dapat memenuhi maksud sebuah penulisan buku berbentuk memoir dan dapat memberikan perkhidmatan dalam bidang penulisan memoir dalam persuratan  Melayu untuk tatapan masyarakat. Tiada apa-apa yang dapat saya tinggalkan kepada masyarakat melainkan Memoir ini

Pandangan Peribadi

Membaca anak apak seolah-olah membawa saya beberapa tahun kebelakang untuk memahami situasi politik dari sudut pandang rakyat biasa.

Sejarah dan pengalaman hidup seseorang yang akan membentuk personaliti dan pemikiran seseorang. 

Apa yang kita rancangkan tidak semestinya akan menjadi satu kenyataan, walaupun perangncangan yang baik namun dengan adanya halangan dan sebagainya akan membantu kita dalam mencapai kejayaan walaupun bukan apa yang kita hajatkan.

Menjadi orang yang cakna dan peka dalam masalah negara dan masyarakan akan membentuk satu persenoliti hebat kerana cabaran biasanya akan mendewasakan.

Kesimpulan

Takdir Allah merupakan jalan terbaik dalam hidup kita

June 15, 2012

Masihkah ada lagi.


Pemikiran Ustaz Yahya Uthman yang banyak menyemarak pertumbuhan idea tarbiyyah dan dakwah dalam konteks sebuah harakah Islamiah seperti PAS didakwa telah menonjolkan ketokohan beliau sebagai seorang ulama haraki. Penglibatan beliau secara langsung gerakan antarabangsa sejak zaman pelajar bukan sahaja menjadikan beliau sebagai seorang tokoh murabbi yang kaya dari pengalaman tetapi juga menawarkan suatu perspektif dakwah baru yang sesuai dengan perkembangan ilmu dakwah yang dinamik. Namun demikian, tulisan ini hanya menyorot ketokohan Ustaz Yahya Uthman khususnya dalam konteks perjuangan gerakan Islam. Ia meliputi latarbelakang hidup beliau yang banyak terdedah kepada pendidikan Islam haraki, bakat kepimpinan samada dalam organisasi pendidikan dan gerakan politik serta sorotan ringkas terhadap hasil karya beliau yang boleh dijadikan bahan dalam mengupas pemikiran dakwah haraki semasa.

Latar Belakang
  •  Anak bongsu daripada 3 beradik 
  •  Nama beliau diambil sempena nama Syeikh Hj Yahya Banggol (Ulama' Tanah Melayu yang mengajar di Masjidil Haram)
Pendidikan
  • Sekolah Melayu Labok selama 2 tahun setengah 
  • Tahun 1947 dihantar kedua ibu bapanya ke Tanah Suci Mekah untuk menimba ilmu - Darul Ulum al-Diniyah, Makkah (tamat 1958) 
  • Universiti Al-Azhar Asy-Syarif (BA Syariah wal Qanun) (MA Politik Islam) 
Keperibadian
  • Seorang yang kuat berdikari 
  • Pencinta sastera dan bahasa 
  • Menguasai syair-syair karya Taha Hussien, Mustafa Rifaie, al-Manfaluti dan sebagainya. 
  • Seorang pencinta ilmu yang arif tentang liku-liku cabaran dan riwayat hidup para ulama silam - Mengembara di bumi Syria setelah tamat pengajian di Makkah sebelum ke Mesir. 
Kepimpinan
  • Dilantik sebagai Penolong Setiauasa Jawatankuasa Belia Negeri Kelantan di Mekah ketika berusia 15 tahun 
  • Ahli Jawatankuasa Biro Kebajikan di dalam Persatuan Pelajar-Pelajar Melayu Mesir pada tahun 1961
  • Setiusaha Biro Pendidikan pada tahun 1962 - wakil pelajar Malaysia dalam Kelab Pelajar Asing Antarabangsa (tahun 1963)

 
عن عبدالله بن عمرو بن العاص:
قالَ سَمِعْتُ رَسُولَ اللهِ صَلَّى اللهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ يَقُول: إِنَّ الله لا يَقْبضُ الْعِلْمَ انْتِزَاعاً يَنْتَزعُهُ مِنَ الْعِبَادِ ، وَلَكِنْ يَقْبِضُ الْعِلْمَ بِقِبْضِ الْعُلَمَاءِ حَتَّ إذَا لَمْ يُبْقِ عَالِمًا اتَّخَذَ النَّاسُ رُؤوسَاً جُهَّالاً ، فَسُئِلُوا ، فَأَفْتَوْا بِغَيْرِ عِلْم ، فَضَلُّوا وأَضَلُّوا
(متفق عليه)
Terjemahan:
Daripada Abdullah Bin ‘Amr Bin Al-‘Ash, katanya: Aku mendengar Rasulullah (sallallahu alaihi wasalam) bersabda: Sesungguhnya Allah tidaklah mencabut ilmu dengan menariknya daripada hamba-hambaNya, tetapi Dia mencabut ilmu dengan mematikan ‘ulama (orang-orang ‘alim) sehingga jika tidak ada lagi seorang ‘alim pun maka manusia akan mengangkat Juhalaa’ (orang-orang jahil) sebagai pemimpin mereka. Lalu (jika) mereka ditanya, maka merekapun memberi fatwa tanpa ilmu, (akhirnya) mereka sesat dan menyesatkan orang lain.
(Muttafaq ‘Alaih = HR Bukhari dan Muslim)

Catatan Hujung:Semalam seorang sahabat mesej membawa berita sedih yang menyatakan pemergian murabbi ini, sungguh saat terdengar berita ini saya merasa sangat sayu dan terkejut, pemergian orang hebat seperti ini umpama tiada ganti. Sosok yang merupakan meastro tarbiyyah di negara ini yang tidak pernah mengenal erti penat dan lelah telah mengadap pergi berjumpa kekasihnya. Beliau meninggalkan ratusan hasil didikannya untuk terus menyumbang pada Islam.  Namun persoalannya masihkan ada lagi yang akan mengganti sosk ini untuk terus istiqamah dalam mendidik kader-kader dakwah tanpa penat dah lelah, semoga masih ada lagi.