November 25, 2013

Menang Pada-mu Kawan.

 Kawan, dalam perjuangan ini apa yang kau inginkan? Benarkah kemenangan yang benar-benar kau tagihkan. Hilangkah nilai perjuangan kerana hilangnya kemenangan?

Kawan, jalan yang kau rintis ini susah dan panjang. Penuh onak dan duri sepanjang jalan. Lantas jika sudah berkali-kali kau cuba kemenangan bukan dalam genggaman. Apa yang ingin kau hairankan?

Kawan, hak manusia masih ditindas, yang mewakili mereka hanya anjing penindas, lalu tugas-mu kawan untuk tidak terus jatuh dalam perjungan.

Kawan, walau kau tidak dipilih orang, walau kau tewas kerana kau serba kekurangan. Ingatlah perjuangan harus diteruskan.

Teruslah memberi buah fikiran dan peringatan, kepada perwakilan-perwakilan yang kononnya buat kerja. Yang katanya membela hak manusia. Sedangkan menjadi aparat kepada regim yang zalim.

Pastikan, hak manusia terus terbela, jangan ada yang memperbodohkan orang, jangan ada yang ambil kesempatan.

Kawan, jalan masih panjang, namun hujungnya, redha dan Syurga dari tuhan.


STUDENT POWER!: Hilangnya HEMA Kurang Ajar

DI UTM ada sebuah bangunan yang dinamakan Student Union Building yang mana didalamnya ditempatkan bilik-bilik persatuan mahasiswa dan juga kemudahan-kemudahan yang diberi untuk mahasiswa seperti kedai buku, bank, pejabat pos dan sebagainya. Namun kerana kerakusan HEMA yang mahukan tempat yang lebih luas dan selesa, semua persatuan di arahkan pindah kerana HEMA ingin mengambil alih bangunan tersebut. Yang lebih mendukacitakan cara mahasiswa di arahkan pindah sama seperti penduduk setinggan dihalau, diberi sekian-sekian masa untuk mengambil barang, jika tidak barang akan dibuang dan bilik akan dikosongkan. Malah, tiada satu bilik pun diganti oleh HEMA. Hasil dari perjuangan semua pihak membangkitkan isu ini, akhirnya HEMA memberi sebuah bangunan yang dinamakan Geleria Siswa sebagai ganti.

Dalam sistem pendidikan di UTM, mahasiswa akan menjalani latihan industri samaada luar semester, dalam cuti semester, atau dalam semester. Biasiswa masuk biasanya di awal semester dan biasanya cukup-cukup hingga akhir semester. Maka, mana-mana mahasiswa yang menjalani latihan industri dalam semester boleh dikatakan untung kerana ada duit belanja. Berbeza dengan yang menjalani latihan semester di luar semester. Biasanya mereka ini terpaksa bergantung kepada ibu-bapa masing-masing atau sedikit alaun yang diberi oleh syarikat yang memberi latihan. Dalam beberapa tahun lepas HEMA mengenakan bayaran yuran sebanyak tiga ratus lebih kepada yang berlatihan industri di luar semester, dan ini benar-benar menyusahkan mahasiswa, terutamanya yang keluarganya susah. Dari cerita rakan-rakan, ada yang sampai terpaksa meminta zakat di pusat islam kerana terdesak. Sehingga hari ini HEMA tidak pernah mengkaji perkara ini dan lebih malang lagi tidak ada mahasiswa pun yang membantah perkara ini secara serius.

Pilihanraya Kampus merupakan tempat mahasiswa memilih pemimpin dan wakil mereka untuk membawa suara mahasiswa kepada pihak pentadbiran dalam pelbagai isu yang melibatkan mahasiswa. Selayaknya pilihanraya kampus bebas dan tiada langsung campur tangan dari pihak pentadbiran. Mahasiswa layak memilih wakil mereka dalam membawa suara mereka. Tapi, malangnya tanpa segan silu pihak pentadbiran dari kampus sehingga kolej masuk campur dan tolong kempen untuk calon-calon pilihan mereka. Hasilnya Majlis Perwakilan Mahasiswa tidak berjalan dengan yang sepatutnya dan mahasiswa tidak dibela. Bagi menyelesaikan perkara ini satu gerakkan telah dilancarkan. Gerakkan yang bernama 6t ini telah menghantar memorandum kepada TNC dan beberapa siri penerangan telah dijalankan. Malangnya sehingga kini tiada jaminan dari pihak HEMA untuk perkara ini.

Semasa pesta konvokesyen yang lepas, bayaran yang dikenakan kepada semua graduan adalah dua ratus ringgit. Dalam dua ratus ringgit itu tidak langsung dinyatakan bayaran untuk apa. Graduan diberi pilihan bayar atau tidak, jika tidak mungkin transkip akan disekat dan sebabgainya, dan yang lebih mengecewakan, datang atau tidak, bayar! saya mengikuti keluhan rakan-rakan yang tidak dapat hadir kerana sudah menyambung pelajaran di luar negara atau bekerja diluar negara. Sungguh mengecewakan.

Di atas merupakan sedikit bingkisan tentang peragai HEMA yang langsung tidak menghormati hak mahasiswa, mahasiswa diperas, dihalau, dan dikhianati dengan sewenang-wenangnya. Sedangkan HEMA merupakan satu badan yang diamanahkan untuk menjaga mahasiswa, dan sikap tidak menghormati ini merupakan satu sikap yang kurang ajar.

Persoalan yang ingin saya lontarkan disini adalah mengapa perkara ini berlaku dan apa kaitanya dengan STUDENT POWER yang selalu dilontarkan. STUDENT POWER merupakan sata frasa yang membawa maksud kuasa mahasiswa, yang mana yang dikatakan dengan kuasa mahasiswa bukanlah beerti mahasiswa ingin mengambil alih universiti mahupun ingin menghapuskan HEMA. Tetapi frasa STUDENT POWER merupakan satu frasa yang menunjukkan bahawa sebagai penuntut di universiti mahasiswa punya hak yang harus dijaga. Bukan sahaja hak yang berkaitan dengan kebajikan seperti kolej dan sebagainya, tetapi hak-hak lain seperti hak berfikir, hak bersuara, hak berpolitik, dan hak berpersatuan.

Bila STUDENT POWER tiada HEMA akan jadi kurang ajar, dengan sewenang-wenangnya menginayai mahasiswa dengan peraturan tidak masuk akal dan hanya untuk kepentingan HEMA.

STUDENT POWER!

Ibrahim Khalil Noh
Majlis Politik
Gamis Johor

Buat Pengerang.

Rakyat di Pengerang sedang berada dalam ancaman serius, bakal kehilangan tempat tinggal dan pekerjaan. Tanah yang diwarisi bertahun-tahun bakal diambil pemerintah bagi menjalankan projek mega untuk menebalkan poket kroni dan kapitalis yang gila.

Bumi di Pengerang pun berada dalam situasi yang serius, sangat serius. Dilingkari dengan pencemaran dan pelupusan haiwan yang mendiami tempat tersebut sekian lama. Hasil eko-sistem yang diganggu oleh pembanggunan.  

Siapa yang turun melihat dengan mata kepala sendiri keadaan Pengerang saya yakin pasti akan marah, dan sedih dalam masa yang sama. Lihat bagaimana alam terseksa dengan tambakkan laut, tengok macam mana penduduk di halau dengan akta pengambilan tanah sedang mereka ini hanya golongan marhean, dan kerana itu mereka ditindas, pandang macam mana kubur dibongkar dan jenazah allayarham dan Allayarhamah yang ada dilayan bagaimana.

Namun Pengerang tidak keseorangan, muncul satu golongan marhaen yang bangkit dan dan membela nasib mereka yang tertindas di sana. Juga bersama membela alam yang rakus dicedera atas nama pembanggunan negara. Lalu tertubuhlah satu badan bukan kerajaan atau NGO dengan nama Pengerang. NGO ini diketuai oleh anak muda yang bernama Anis Afida Azli.

Namun lumrah bertemu dengan golongan gila dunia. Ancaman hadir tanpa henti, pihak yang berkepentingan akan cuba menghalang sedaya mungkin. Tempoh hari, batu nisan bersiap tarikh digantung di pagar, ancaman bunuh! Hari ini, cat merah menghiasi rumah, tanda darah!

Kami mewakili, mahasiswa islam di Johor, menentang sekeras-kerasnya perkara ini. Sudahlah merampas tanah, melayan jenazah, dan memperlakukan alam secara samseng. Tidak cukup dengan itu cuba menghalang gerakkan yang membawa kesedaran dengan cara samseng jua.

Kaedah dan golongan samseng ini hanya diterima pakai pada zaman Ali-Baba, orang sekarang sudah intelek, rakyat mampu akses internet. Orang muda dahaga hujah bernas dan logik. Rakyat muak dengan politik fitnah dan samseng ini.

Jadi, kami menyeru kepada golongan yang masih berpemikiran begini supaya berubah, dan kepada rakyat sekalian, kami mahasiswa mohon kita tolak orang begini demi masa depan generasi akan datang.

Buat NGO Pengerang, juga saudari Anis Afida Azli, kami mahasiswa secara amnya, dan Gamis Johor khususnya kami akan setia bersama kalian, untuk pengerang dan negara yang kami cintai ini.

Ibrahim Noh
Majlis Politik,
Gamis Johor.

Speker’s Corner: Suara kecil yang ditakuti Regim Universiti.

Beberapa tahun yang lepas saya antara mahasiswa di Universiti Teknologi Malaysia(UTM) yang menyambut baik dengan perasmian tapak sudut pidato oleh Timbalan Menteri Pengajian Tinggi, Dato Saifudin Abdullah. Saya melihat ini sebagai satu platform yang baik bagi mahasiswa UTM melatih diri dengan dengan kemahiran berpidato dan juga satu tempat perkongsian matlumat yang baik. 

Saya juga secara langsung dan tidak langsung melibatkan diri dalam beberapa siri anjuran sudut pidato di UTM. Dari pemegang kain rentang, pemegang pembesar suara sehinggalah menjadi salah seorang yang berpidato. Saya dan sahabat-sahabat cuba memanfaatkan sudut pidato dengan sebaiknya. Menyahut saranan perasmi, pastinya.  

Namun sepanjang pengalaman saya dengan sudut pidato banyak perkara yang sangat saya kesalkan. Ada beberapa siri sudut pidato yang saya dan sahabat-sahabat terpaksa batalkan dek kerana arahan dari pihak pentadbiran. Banyak alasan dan amaran yang dikeluarkan, dan setiap kali sudut pidato dijalankan penuh pengawai keselamatan turun seolah-olah kami akan lakukan rusuhan.

Birokrasi yang ada setiap kali sudut pidato ingin dijalankan sangat dikesalkan. Kami perlu hantar surat kepada pihak keselamatan dan HEMA, surat perlu disertakan dengan lampiran apa yang ingin dikatakan dan banyak lagi. Jika kelulusan diberi banyak halangan yang akan diberi, hanya sekian-sekian orang yang dibenarkan berucap, ada tempoh masa tertentu untuk berucap, dan apa yang diucapkan perlu sama dengan apa yang dilampirkan-baca tekslah kalau begitu.

Ini sangat berlawanan dengan aspirasi sudut pidato, sejarah dan asal-usul sudut pidato saya rasa kita boleh cari dalam internet. Dalam dunia serba canggih ini segala matlumat hanya dihujung jari. Bermula di England sehinggalah ke Universiti Malaya. Sudut pidato banyak melahirkan pemimpin mahasiswa yang berjiwa rakyat. Semestinya sudut pidato yang melahirkan pemidato seperti mereka tidak punya birokrasi dan halangan-halangan sebegini.

Segala halangan dan birokrsi yang dilakukan menunjukkan sudut pidato sangat ditakuti oleh pentadbiran Universiti, kerana apa saya sendiri tidak pasti. Semestinya sudut pidato yang dilakukan di Dataran Agora itu suaranya sangat kecil, didengari oleh sejumlah kecil mahasiswa dan kesannya hanya sedikit, bahkan tidak tergugat sedikit pun kedudukan Naib Censelor dan Timbalan Naib Censelor. Apa lagi pengawai pendaftar di HEMA.

Segala pembodohan kepada mahasiswa ini sepatutnya dihentikan. Biar mahasiswa bersuara dengan apa yang ingin disuarakan. Jangan tutup ruang dan peluang mahasiswa untuk menunjukkan bakat dan potensi sendiri, jikapun mahasiswa itu tiada bakat biarlah sudut pidato menjadi tempat mengasah bakat mahasiswa. Mahasiswa cukup intelek untuk memilih sendiri tajuk dan perkara yang ingin dikatakan agar tidak menyentuh sensitiviti kaum dan agama. Biarlah mahasiswa yang berjiwa besar ingin menyampaikan sesuatu di sudut yang kecil itu.

Hari ini, jumaat 1/3/13 satu lagi sudut pidato menerima arahan batal dan ini bukan perkara baru, tapi seringkali berlaku. Saya masih tidak dapat lupakan sudut pidato anjuran saya dan rakan-rakan dirampas oleh pengawai HEMA dengan dia sendiri berucap dalam sudut itu. Tidak termasuk saya dan rakan-rakan berkali-kali dipanggil ke pejabat HEMA dan balai keselamatan untuk berunding.

Maaf jika kasar pada pandangan saya bukan ini cara mendidik manusia, haiwan mungkin. Mungkin orang-orang seperti ini selayaknya dihantar ke sarkas untuk mendidik haiwan dari dibiarkan menjadikan manusia di unversiti seperti haiwan sarkas.

Ibrahim Noh
Majlis Politik
Gamis Johor

Bilik dan Persatuan.

Berpersatuan menjadi satu kewajiban kepada mahasiswa dalam melatih dan mendidik diri menghadapi realiti dunia kerjaya.  Yang mana dunia ini memerlukan mahasiswa yang baik dari sudut pengurusan dan kepimpinan.  

Kita memuji HEMA yang memainkan peranan dalam membantu mahasiswa menggerakkan persatuan. Tambahan, HEMA juga memainkan peranan sebagai bapa kepada mahasiswa,  yang mana menjadi pihak yang memberi tunjuk ajar dan bantuan kepada mahasiswa. Namun, beberapa kelemahan atas beberapa perkara yang berlaku amat kita kesali.

Bilik dan Persatuan.

Bilik menjadi satu perkara penting bagi sesebuah persatuan. Bilik memainkan peranan sebagai nadi kepada persatuan. Menjadi tempat menyimpan aset, tempat dan juga tempat berkumpul sesama ahli persatuan. Agak rumit bagi sesebuah persatuan untuk bergerak tanpa bilik.

Situasi di UTM, tidak semua persatuan mempunyai bilik sendiri. Hanya beberapa persatuan utama yang mempunyai bilik sendiri. Yang ada pun terpaksa berkongsi dengan persatuan lain. Ini amat menyukarkan persatuan dan banyak masalah antara persatuan yang timbul angkara dari perkongsian bilik, masalah seperti kehilangan barang dan sebagainya menimbulkan kedinginan antara persatuan.

Peranan Hema

Ini bukan masalah baru, tetapi sudah berlarutan sekian lama. Lebih buruk lagi pengambilan Student Union Building (SUB) untuk dijadikan pejabat HEMA, menambah parahkan lagi masalah bilik persatuan ini.

Yang amat dikesali adalah persatuan yang kehilangan bilik tidak diganti dengan selayaknya. HEMA tidak menguruskan perkara ini dengan sebaiknya, banyak persatuan yang menjadi mangsa akibat daripada pengambilan SUB. Hakikatnya, sebagai bapa HEMA tidak memainkan peranan selayaknya, malahan mengorbankan kepentingan mahasiswa demi untuk kesenangan dan keselesaan HEMA.

Kezaliman yang Dikesali


Tidak meletakkan sesuatu pada tempatnya itu zalim, dan sebagai orang yang diberi amanah, dengan tidak melaksanakan amanah itu sebaiknya adalah suatu bentuk kezaliman. Islam sebagai rahmat kepada sekalian alam, cukup memandang berat akan kezaliman ini. Tuntutan untuk melaksanakan amanah dengan keadilan adalah sangat dititik beratkan oleh Islam.

Islam amat menuntut kepada perlakuan adil, walaupun kepada musuh kita perlu hukum dengan hukum yang adil, Allah berfirman dalam Al-Quran;

"Dan janganlah sekali-kali kebencianmu terhadap suatu kaum, mendorong kamu untuk berlaku tidak adil. Berlaku adillah, karena itu lebih dekat kepada takwa. Dan bertakwalah kepada Allah, sungguh Allah Mahateliti apa yang kamu kerjakan "( QS. Al- Maidah : 8 )

Lihatlah contoh tauladan daripada Saidina Ali yang mana dia ditikam ketika dia ingin menunaikan solat subuh, yang mana orang yang menikam Saidina Ali dapat ditangkap. Ketika itu nasihat Saidina Ali kepada anaknya “jangan kamu zalimi dia, jangan kamu aniaya dia, jika dengan tikaman ini aku mati maka hukumlah dia dengan khisas dan jika aku tidak mati hukumlah dia dengan hukum takzir” Bahkan ketika mana Saidina Ali merasakan ajalnya sudah dekat dia mengarahkan supaya makanannya diberikan kepada orang yang menikamnya.

Kesimpulan

Andai pihak yang diharapkan tidak dapat memainkan peranan dengan sepatutnya, mungkin sudah masanya bagi mahasiswa yang matang ini untuk menguruskannya sendiri. Apa makna ada HEMA yang dikatakan menjaga kebajikan mahasiswa jika hanya mementingkan kebajikan sendiri.

Demokrasi Kampus: Kembalikan!

Kampus merupakan tempat mendidik bakal pemimpin dan aktivis masyarakat yang paling ideal. Suasananya, kehidupan di dalamnya, program-programnya, dan banyak lagi dapat membentuk satu golongan profesional yang selayakkanya mampu memimpin negara suatu hari nanti.

Lantas, tempat yang ideal bagi membentuk aktivis dan pemimpin masyarakat ini selayaknya dihidupkan sebaiknya. Antara faktor penting yang perlu dihidupkan dalam kampus adalah demokrasi kampus. Hidupnya demokrasi dalam kampus akan membantu mahasiswa belajar dan bereksperimen bagi mengutip pengalaman untuk di praktikkan dalam lapangan sebenar nanti.

Namun, setelah sekian lama, demokrasi kampus hari ini masih dalam cengkaman ketidak adilan dan kebebasan sepenuhnya. Demokrasi kampus di Malaysia masih dalam penguasaan pihak yang tidak selayaknya. Mahasiswa tidak diberi kuasa sepenuhnya untuk memilih wakil mereka yang akan membawa suara dan memperjuangkan hak mereka di kampus. Lebih malang lagi aktiviti pembodohan terancang secara tersusun membuatkan demokrasi kampus semakin tenat dan sesak. Hari ini, demokrasi kampus menunggu masa untuk lenyap sepenuhnya dari kampus-kampus seluruh negara.

Walaubagiamanapun, perjuangan bagi menuntut demokrasi kampus tidak pernah lenyap dan padam, bagi aktivis mahasiswa di kampus-kampus seluruh negara, apa lagi yang tidak lakukan. Mengusung keranda demokrasi, mengangkat nisan demokrasi, menghantar memorandum menyatakan hasrat dan harapan, dan banyak lagi. Dari pegawai HEP hinggalah ke pak menteri, suara menginginkan demokrasi kampus yang adil dan subur terus disuarakan tanpa penat dan jemu.Walaupun segala usaha ini dipandang sepi dan tiada tindakan, usaha menyuburkan demokrasi kampus tidak pernah padam.

Kampus-kampus bahagian selatan tidak terkecuali dalam penindasan terancang ini. Malahan usaha-usaha membunuh demokrasi kampus secara terancang ini berjalan dengan hebatnya. Beberapa isu yang berlaku di kampus-kampus utama seperti di UTM dan UTHM saban tahun setiap kali mejelang Pilihanraya kampus membuktikan betapa parahnya keadaan ini.

Keadaan ini hendaklah dihentikan sepenuhnya, demokrasi kampus hendaklah dipulihkan sepenuhnya, campur tangan HEP dalam urusan pilihanraya hendaklah dikaji dan dikurangkan. Biarlah politik kampus berjalan secara sihat dan matang. Tak salah membiarkan mahasiswa belajar dari pengalaman yang hanya mereka mampu kutip di kampus. Tuntutan bagi mengembalikan demokrasi kampus hendaklah dipandang berat dan dikaji, laksanakan kerana ianya bukan sahaja baik untuk mahasiswa tetapi baik untuk negara.

Enam tuntutan dari UTM:
a) Membenarkan sistem parti semasa pilihanraya kampus.
b) Mengoptimumkan jumlah kerusi yang dipertandingkan bagi setiap fakulti.
c) Tarikh pilihanraya kampus yang tetap
d) Penglibatan mahasiswa dalam jawatankuasa pilihanraya kampus
e) Mahasiswa diberi kebebasan berkempen sepenuhnya
f) Memperuntukkan dana kepada setiap calon

dan, sembilan tuntutan dari UTHM:
a) Pengumuman tarik PRK
b) Peruntukkan kewangan kepada calon
c) Membenarkan bahan kempen berwarna
d) Penyerahan poster dan manifesto serentak
e) Peraturan PRK yang jelas dan terperinci
f) Kebenaran kempen di media elektronik
g) Lima hari bercuti sewaktu berkempen
h) Penyerahan kepetusan rasmi secara hardcopy
i) Memaparkan struktur organisasi Jawatankuasa pemilihan sebelum tarikh penamaan calon.

Tuntutan ini menunujukkan hasrat dan harapan yang tinggi mahasiswa untuk melihat demokrasi kampus subur. Tuntutan ini tidak memberi kelebihan pada mana-mana pihak, tapi memberikan ruang keadilan dan kesamarataan bagi semua calon yang bertanding.

Bagi pihak yang berwajib, memandang sepi tuntutan ini merupakan satu kezaliman yang pastinya kan disoal di akhirat kelak. kaji dan jawablah semua tuntutan, nyatakan sebab yang munasabah jika tuntutan ini tidak boleh dijalankan. Jika tiada halangan, tiada tangguh lagi ianya perlu dijalankan secepatnya.

Bagi mahasiswa, selagi di tekan demokrasi kampus, lagi kuatlah kita melawan. Perjuangan hak dan menentang kezaliman merupakan satu seruan yang tidak boleh ditolak.

STUDENT POWER!

Ibrahim Khalil Noh
Majlis Politik,
Gamis Johor.

ISLAMIC GARDEN: Ruang untuk berkongsi

Pebezaan pendapat dan pandangan hidup sering kali membuatkan manusia bertelagah semasa sendiri. Masing-masing dengan hujah dan pandangan masing-masing, yang mana pandangan dan hujah itu terbentuk dari pengalaman hidup dan suasana tersendiri. Pertelagahan ini akan membawa pada permusuhan dan pepecahan. Sedangkan, perbezaan hakikatnya adalah keindahan yang melengkapkan kehidupan.

Kemasukkan artis dan program-program yang dirasakan tidak wajar oleh sesetengah orang dalam Festival Konvokesyen baru-baru ini menyebabkan berlakunya pertelagahan. Perbezaan ini gagal difahami antara satu sama lain. Semua merasakan diri mereka tidak difahami dan merasakan diri mereka dipersalhkan oleh orang yang tidak sepatutnya. Mungkin niat menegur oleh sesetengah pihak yang dirasakan tidak layak menegur kerana tidak pernah membuat program sukar diterima dan dihadam.

Perkara ini tidak akan selesai jika kita tidak berlajar antara satu sama lain, berkongsi dengan mengambil pengalaman dan berdialog adalah satu perkara yang amat digalakkan oleh Islam itu sendiri. Program seperti ini akan membuka lebih banyak ruang untuk bersama dan memahami antara satu sama lain.

Pada 29/11 sehingga 1/12 tahun ini, PMIUTM akan menganjurkan semua program yang bernama Islamic Garden. Yang mana program berteraskan keilmuan dan pemahaman Islam ini merupakan satu program besar yang akan dianjurkan oleh PMI.



Saya menyeru kepada semua mahasiswa untuk turut serta dalam program ini, pada FESKO yang lepas kita berkata tentang kritikan tanpa saranan, juga kritikan tanpa pengalaman. Saranan yang saya rasa PMIUTM boleh beri dapat diterjemahkan dalam program Islamic Garden ini, manakala pengalaman, di sinilah PMIUTM belajar dan mengajar.

Saya melihat program Islamic Garden ini menjadi ruang yang indah untuk kita berkongsi harapan dan ilmu. Juga ruang yang luas untuk kita saling belajar dan memahami kehendak dan pemikiran antara kita. Malanglah, jika ruang yang baik ini kita gagal manfaatkan antara satu sama lain.

Maka, datanglah, semoga ada manfaatnya, semoga kita boleh saling bersama dan belajar. Semoga kita dapat rasakan indahnya perbezaan itu.

Yang benar, saudara kamu..
Ibrahim Khalil Noh
Majlis Politik,
Gamis Johor.

November 18, 2013

Lumpuh Tanpamu.

Aku mampu melihat,
tetapi tidak bayang-mu.

Aku mampu mendengar,
tetapi tidak suara-mu.

Aku mampu menyentuh,
tetapi tidak diri-mu.

Aku mampu bersuara,
Tetapi takkan kau dengari,

 Aku mampu merasa,
Tetapi tidak sentuhan-mu,

Aku mampu bermimpi,
Tetapi bukan bersama-mu.

Aku sedang merindu,
Tapi kau tidak pernah tahu.

Lalu,

Aku terdampar,
Tidak berdaya,

Mengisi sisa hidup,
Bersama kenangan lama,

Selamanya.

Ibrahim Khalil Noh
Seri Manjung Perak
Isnin, 18/11/2013

November 3, 2013

Lari

"Sebab pendakwah macam kau-lah kami-kami ini jauh dengan Islam, lari dari kebaikan! Dakwah kau keras, kasar dan langsung tidak berhikmah." Bentak seorang rakan di dalam ruangan komen di muka buku.

Aku termenung sejenak, dalam diam setuju dengan apa yang dikatakan. Dakwah itu perlu hikmah dan mendekati ianya tidak bersifat menghukum tetapi mendidik. Aku juga sangat akui adakalanya ada pendakwah yang kadang-kadang teremosi dan kesannya tegurannya menjadi keras, lantas yang ditegur menjauh.

Tapi.

Jika kita mahu kebaikan, kita harus mencarinya dan mendapatkannya walaupun dengan cara yang pahit. Kerana kebaikan tidak selalunya datang dalam keadaan yang baik. Teguran yang kasar dan pedih itu lebih kita ingati berbanding pujuk rayu lembut yang kita mudah tolak dengan lembut.

Sedarkah kita, tidak akan ada jalan senang untuk berubah dan mendapat kebaikan. Untuk berubah kita perlu menghadapi segala dugaan dalaman dan luaran, sikap kawan-kawan, orang sekeliling. Perlu rasa makan hati, ingin berputus asa, dan banyak lagi.

Kita sendiri menjadi terlalu cerewet dengan dengan pendakwah yang datang berkongsi dengan kita. mesti cakap lembut-lembut, mesti perlahan-lahan, mesti memahami, mesti baik, mesti..mesti..mesti..

Ingatlah ingin ke syurga itu ada jalan yang perlu dilalui dan ditempuhi. Adakah kita hanya ingin duduk diam menunggu syurga datang kepada kita? Bukan apa, takut nanti Neraka-lah tempatnya.

Ataupun, sebenarnya kita tidak ingin pun kebaikan itu.

Lantas pendakwah kita jadikan alasan untuk lari dan terus lari.

Malanglah.