August 23, 2013

Masa

Kita sering kali ingin bermain dengan masa.
Kadang-kadang kita harapkan ia terus berhenti.
Kadang-kadang kita ingin ianya terus berlalu pergi.
Kadang-kadang kita terasa supaya ia berulang kembali.

Namun Masa.
Terus berjalan tanpa henti.
Hingga nanti masa.
Terus memamah kita.

Masa membawa kenangan.
Dan harapan.
Dan kenangan dan harapan itu.
Indah, seindah masa.

August 10, 2013

Syiria, Apa Harapan kita.

Bismillah, 2 Syawal 1434.

Saat saya menulis artikel ini, polemik Syiria masih terus berjalan tanpa menunjukkan tanda-tanda akan reda. Pertempuran antara Free Syirian Army dan Regim Basyar Assad masih berlangsung dengan meriah meskipun kudua-dua pihak terdiri dari kalangan orang Islam yang menyambut hari raya dan puasa. Terbaru, khabar angin mengkhabarkan Basyar berjaya dibunuh ketika solat sunat Eidulfitri.

Pelbagai propaganda dan isu yang dimainkan sepanjang isu Syiria meletus. Banyak yang melontar pandangan masing-masing dalam isu ini. Antaranya ada yang menganggap isu ini merupakan perbalahan mazhab yang membawa kepada perang saudara, iaitu perbalahan antara Syiah-Sunni. Tidak kurang juga yang menganggap ini merupakan permainan kotor Amerika dan Yahudi bagi menjga kepentingan politik dan ekonomi mereka di rantau itu. 

Akibat dari pertembungan fakta dan emosi kerana masing-masing menyokong hujah masing-masing saya tidak ingin mengulas panjang tentang faktor dan punca perang yang sedang berlangsung di Syiria sekarang, saya bukan ahlinya. Apa yang saya ingin ketengahkan adalah, dalam isu ini apa harapan kita?

Di hujung konflik ini apa yang ingin kita lihat di Syiria? 

Adakah kita ingin semua kaum Syiah yang ada di Syiria mati dibunuh dan disembelih sebagaimana kita lihat dalam video-video yang tidak terbukti kesahihannnya di laman-laman sosial?

Ataupun, kita ingin lihat Basyar mati samaada ditembak, dibom atau secara hina seperti Muammar Ghadaffi?


Kadang-kadang emosi menjadikan kita sama seperti orang yang kita benci kerana kezalimannya, dengan emosi kita turut bertindak sebagaimana pihak yang kita katakan zalim. Jika dia pembunuh kita juga ingin membunuh, jika dia menghina kita turut sama melebel dan mengkafirkan dia. Jika tidak masakan timbul panggilan tentera syaitan, kafir dan penghalalan darah, yang mana perkara-perkara yang tidak sepatutnya ini kita laungkan dengan bangga.

Dalam isu ini saya sangat bersetuju dengan pandangan Tuan Guru Hadi. Sebagaimana yang beliau sarankan dalam tulisannya di Harakah;

"Bagi penyelesaiannya,  semua  negara serantau, Arab, Turki dan Iran bersama seluruh negara umat Islam sepatutnya bebas daripada pengaruh negara pengacau yang datang dari timur dan barat dan bersatu strategi  kembali kepada Islam.

Selesaikan masalah umat dengan Islam, khusus Palestin dan ancaman Zionis negara haram Israel, sebagai perkara paling mudah untuk difahami dan sepatutnya menyentuh hati sanubari setiap umat Islam.

Ada pun  perbezaan mazhab yang masih berpegang dengan rukun-rukun Islam yang asasi, boleh dibincang secara ilmu oleh kalangan ilmuan  yang bebas daripada pengaruh kerajaan yang menolak Islam, jangan serah  kepada yang jahil, sama ada individu  atau media. Perbezaan kebangsaan dan sempadan negeri di kalangan umat Islam boleh disatukan oleh ajaran Islam sekiranya kita benar-benar berpegang kepadanya. Tolonglah diri sendiri, jangan  bersekongkol dengan kuasa besar Timur dan Barat. Kembalilah kepada Islam"


Harapan saya, agar Syiria hentikan peperangan dan kembalikan kuasa kepada rakyat dengan pilihanraya bagi memilih Presiden yang baru. Biarlah rakyat Syiria yang menilai, peperangan tiada untungnya kecuali kepada musuh-musuh Islam. Sejak zaman dahulu lagi masalah umat Islam adalah mereka tidak kenal musuh dan tidak reti bergaduh. Pergaduhan sesama sendiri banyak merosakkan kekuatan umat Islam dalam dunia ini. Dunia Islam menjadi lemah dan mangsa buli kepada pihak-pihak regim yang jahat. 

Kejahatan dan kekejaman Basyar Assad di Syiria biarlah diselesaikan di muka pengadilan dan dia selayakan diadili atas kekejaman dan kejahatannya membunuh rakyat sendiri. Biarlah Syiria terus stabil dan rakyatnya mendapat pembelaan selayaknya. Kita tidak mahu campur tangan luar yang merosakkan dan mengheret saudara-saudara kita di Syiria dalam konflik yang lebih dalam dan panjang. 

Saya tinggalkan firman Allah dalam surah Al-Maidah ayat 8 sebagai renungan  kita;

"Wahai orang-orang yang beriman, hendaklah kamu semua sentiasa menjadi orang-orang yang menegakkan keadilan kerana Allah, lagi menerangkan kebenaran dan jangan sekali-kali kebencian kamu terhadap sesuatu kaum itu mendorong kamu kepada tidak melakukan keadilan. Hendaklah kamu berlaku adil (kepada sesiapa jua) kerana sikap adil itu lebih hampir kepada takwa dan bertakwalah kepada Allah, sesungguhnya Allah Maha Mengetahui dengan mendalam akan apa yang kamu lakukan."





August 7, 2013

Raya 1434

Kenangan, ianya seindah harapan.

Kenangan, selagi dikenang ianya akan kekal, selamanya.

Harapan, selagi diusahakan tidakkan pernah padam.

Datanglah kenangan, mengisi hari-hari mendatang.

Hiduplah harapan, datang membuka jalan.

Indah hidup dalam kenangan, 

Terus hidup dengan harapan.



Selamat Hari Raya, semoga sentiasa dalam dakapan kasih-Nya. Sentiasa dalam jagaan-Nya. Taqabbal Allahu Minna Wa Minkum.

August 6, 2013

Yang Pergi

Beberapa tahun dulu ketika menuntut di Izzudin Shah, setiap kali minum pagi jika yang disediakan adalah kuih kariap kami masing-masing akan cepat-cepat ke dewan makan. Sebabnya kuih karipap dewan makan Izzudin tidak dapat disangkal lagi kesedapannya. 

Malangnya, kesedapan kuih karipap datang dalam saiz yang sangat kecil. Jadinya yang datang awal semestinya akan ada kutu-kutu yang makan dua tiga ketul, natijahnya yang lambat hanya dapat tengok bakul sambil ketap gigi. Ini menimbulkan kemarahan pelajar, dan antara komen pelajar pada pengusaha dewan makan yang paling diingati adalah, "tak sempat rasa dah habis!"



Saat artikel ini di tulis Ramadhan 1434 Hijrah sudah sampai ke penghujungnya. Hanya beberapa hari lagi umat Islam akan menyambut Hari Raya Eidulfitri. 

Ramadhan berlalu dengan cepat sekali rasanya, seolah-olah baru lagi berazam untuk penuhi hari-hari dalam Ramadhan sebaiknya, seolah-olah baru sedikit munajat dan doa yang dipohon, serasa tidak puas berpuasa, tidak habis berqiamulail dan tidak lagi cukup membaca Al-Quran.

Seolah-olah cerita kuih karipap tadi, belum sempat rasa dah habis..

Ramadhan akan pergi, hari dan waktu itu akan berlalu tanpa mampu untuk dihentikan dan ditahan tahan. Namun perjuangan untuk mencari redha Allah tidak akan berhenti, kerja islam perlu diteruskan, amalan terus dipertingkatkan, dan rahmat dan berkat perlu terus di tadah.



Notakaki: Beberapa tahun dulu saya termasuk dalam kutu-kutu yang suka ambil kuih lebih, sampai satu hari epoi tegur "ko, ambik lebih ni kembung perut baru tau.."