November 3, 2013

Lari

"Sebab pendakwah macam kau-lah kami-kami ini jauh dengan Islam, lari dari kebaikan! Dakwah kau keras, kasar dan langsung tidak berhikmah." Bentak seorang rakan di dalam ruangan komen di muka buku.

Aku termenung sejenak, dalam diam setuju dengan apa yang dikatakan. Dakwah itu perlu hikmah dan mendekati ianya tidak bersifat menghukum tetapi mendidik. Aku juga sangat akui adakalanya ada pendakwah yang kadang-kadang teremosi dan kesannya tegurannya menjadi keras, lantas yang ditegur menjauh.

Tapi.

Jika kita mahu kebaikan, kita harus mencarinya dan mendapatkannya walaupun dengan cara yang pahit. Kerana kebaikan tidak selalunya datang dalam keadaan yang baik. Teguran yang kasar dan pedih itu lebih kita ingati berbanding pujuk rayu lembut yang kita mudah tolak dengan lembut.

Sedarkah kita, tidak akan ada jalan senang untuk berubah dan mendapat kebaikan. Untuk berubah kita perlu menghadapi segala dugaan dalaman dan luaran, sikap kawan-kawan, orang sekeliling. Perlu rasa makan hati, ingin berputus asa, dan banyak lagi.

Kita sendiri menjadi terlalu cerewet dengan dengan pendakwah yang datang berkongsi dengan kita. mesti cakap lembut-lembut, mesti perlahan-lahan, mesti memahami, mesti baik, mesti..mesti..mesti..

Ingatlah ingin ke syurga itu ada jalan yang perlu dilalui dan ditempuhi. Adakah kita hanya ingin duduk diam menunggu syurga datang kepada kita? Bukan apa, takut nanti Neraka-lah tempatnya.

Ataupun, sebenarnya kita tidak ingin pun kebaikan itu.

Lantas pendakwah kita jadikan alasan untuk lari dan terus lari.

Malanglah.


October 28, 2013

Resah

Di dadaku,
Ada segumpal resah,
Menghimpit buatku sempit,
Menekan jiwaku rawan.

Resah itu datang,
Bersama berita dari jauh,
Cerita tentang orang yang jauh,
Jauh dari mata,
Jauh dengan hati.

Aku mencari,
Tempat meredah resah ini,
Hilang kekuatan untuk berdiri,
Menahan air jatuh ke pipi.

Tuhan pada siapakah?
Harus kuadukan resah ini,
Dari mana lagikah?
Akan ku dapatkan kekuatan,

Selainmu Tuhan..

Mencari tempat melepas rindu yang sudah tidak tertahan. Mencari kekuatan menghadapi sebuah kenyataan. Mencari hati untuk terus sabar dan bertahan, dengan takdir.

August 23, 2013

Masa

Kita sering kali ingin bermain dengan masa.
Kadang-kadang kita harapkan ia terus berhenti.
Kadang-kadang kita ingin ianya terus berlalu pergi.
Kadang-kadang kita terasa supaya ia berulang kembali.

Namun Masa.
Terus berjalan tanpa henti.
Hingga nanti masa.
Terus memamah kita.

Masa membawa kenangan.
Dan harapan.
Dan kenangan dan harapan itu.
Indah, seindah masa.

August 10, 2013

Syiria, Apa Harapan kita.

Bismillah, 2 Syawal 1434.

Saat saya menulis artikel ini, polemik Syiria masih terus berjalan tanpa menunjukkan tanda-tanda akan reda. Pertempuran antara Free Syirian Army dan Regim Basyar Assad masih berlangsung dengan meriah meskipun kudua-dua pihak terdiri dari kalangan orang Islam yang menyambut hari raya dan puasa. Terbaru, khabar angin mengkhabarkan Basyar berjaya dibunuh ketika solat sunat Eidulfitri.

Pelbagai propaganda dan isu yang dimainkan sepanjang isu Syiria meletus. Banyak yang melontar pandangan masing-masing dalam isu ini. Antaranya ada yang menganggap isu ini merupakan perbalahan mazhab yang membawa kepada perang saudara, iaitu perbalahan antara Syiah-Sunni. Tidak kurang juga yang menganggap ini merupakan permainan kotor Amerika dan Yahudi bagi menjga kepentingan politik dan ekonomi mereka di rantau itu. 

Akibat dari pertembungan fakta dan emosi kerana masing-masing menyokong hujah masing-masing saya tidak ingin mengulas panjang tentang faktor dan punca perang yang sedang berlangsung di Syiria sekarang, saya bukan ahlinya. Apa yang saya ingin ketengahkan adalah, dalam isu ini apa harapan kita?

Di hujung konflik ini apa yang ingin kita lihat di Syiria? 

Adakah kita ingin semua kaum Syiah yang ada di Syiria mati dibunuh dan disembelih sebagaimana kita lihat dalam video-video yang tidak terbukti kesahihannnya di laman-laman sosial?

Ataupun, kita ingin lihat Basyar mati samaada ditembak, dibom atau secara hina seperti Muammar Ghadaffi?


Kadang-kadang emosi menjadikan kita sama seperti orang yang kita benci kerana kezalimannya, dengan emosi kita turut bertindak sebagaimana pihak yang kita katakan zalim. Jika dia pembunuh kita juga ingin membunuh, jika dia menghina kita turut sama melebel dan mengkafirkan dia. Jika tidak masakan timbul panggilan tentera syaitan, kafir dan penghalalan darah, yang mana perkara-perkara yang tidak sepatutnya ini kita laungkan dengan bangga.

Dalam isu ini saya sangat bersetuju dengan pandangan Tuan Guru Hadi. Sebagaimana yang beliau sarankan dalam tulisannya di Harakah;

"Bagi penyelesaiannya,  semua  negara serantau, Arab, Turki dan Iran bersama seluruh negara umat Islam sepatutnya bebas daripada pengaruh negara pengacau yang datang dari timur dan barat dan bersatu strategi  kembali kepada Islam.

Selesaikan masalah umat dengan Islam, khusus Palestin dan ancaman Zionis negara haram Israel, sebagai perkara paling mudah untuk difahami dan sepatutnya menyentuh hati sanubari setiap umat Islam.

Ada pun  perbezaan mazhab yang masih berpegang dengan rukun-rukun Islam yang asasi, boleh dibincang secara ilmu oleh kalangan ilmuan  yang bebas daripada pengaruh kerajaan yang menolak Islam, jangan serah  kepada yang jahil, sama ada individu  atau media. Perbezaan kebangsaan dan sempadan negeri di kalangan umat Islam boleh disatukan oleh ajaran Islam sekiranya kita benar-benar berpegang kepadanya. Tolonglah diri sendiri, jangan  bersekongkol dengan kuasa besar Timur dan Barat. Kembalilah kepada Islam"


Harapan saya, agar Syiria hentikan peperangan dan kembalikan kuasa kepada rakyat dengan pilihanraya bagi memilih Presiden yang baru. Biarlah rakyat Syiria yang menilai, peperangan tiada untungnya kecuali kepada musuh-musuh Islam. Sejak zaman dahulu lagi masalah umat Islam adalah mereka tidak kenal musuh dan tidak reti bergaduh. Pergaduhan sesama sendiri banyak merosakkan kekuatan umat Islam dalam dunia ini. Dunia Islam menjadi lemah dan mangsa buli kepada pihak-pihak regim yang jahat. 

Kejahatan dan kekejaman Basyar Assad di Syiria biarlah diselesaikan di muka pengadilan dan dia selayakan diadili atas kekejaman dan kejahatannya membunuh rakyat sendiri. Biarlah Syiria terus stabil dan rakyatnya mendapat pembelaan selayaknya. Kita tidak mahu campur tangan luar yang merosakkan dan mengheret saudara-saudara kita di Syiria dalam konflik yang lebih dalam dan panjang. 

Saya tinggalkan firman Allah dalam surah Al-Maidah ayat 8 sebagai renungan  kita;

"Wahai orang-orang yang beriman, hendaklah kamu semua sentiasa menjadi orang-orang yang menegakkan keadilan kerana Allah, lagi menerangkan kebenaran dan jangan sekali-kali kebencian kamu terhadap sesuatu kaum itu mendorong kamu kepada tidak melakukan keadilan. Hendaklah kamu berlaku adil (kepada sesiapa jua) kerana sikap adil itu lebih hampir kepada takwa dan bertakwalah kepada Allah, sesungguhnya Allah Maha Mengetahui dengan mendalam akan apa yang kamu lakukan."





August 7, 2013

Raya 1434

Kenangan, ianya seindah harapan.

Kenangan, selagi dikenang ianya akan kekal, selamanya.

Harapan, selagi diusahakan tidakkan pernah padam.

Datanglah kenangan, mengisi hari-hari mendatang.

Hiduplah harapan, datang membuka jalan.

Indah hidup dalam kenangan, 

Terus hidup dengan harapan.



Selamat Hari Raya, semoga sentiasa dalam dakapan kasih-Nya. Sentiasa dalam jagaan-Nya. Taqabbal Allahu Minna Wa Minkum.

August 6, 2013

Yang Pergi

Beberapa tahun dulu ketika menuntut di Izzudin Shah, setiap kali minum pagi jika yang disediakan adalah kuih kariap kami masing-masing akan cepat-cepat ke dewan makan. Sebabnya kuih karipap dewan makan Izzudin tidak dapat disangkal lagi kesedapannya. 

Malangnya, kesedapan kuih karipap datang dalam saiz yang sangat kecil. Jadinya yang datang awal semestinya akan ada kutu-kutu yang makan dua tiga ketul, natijahnya yang lambat hanya dapat tengok bakul sambil ketap gigi. Ini menimbulkan kemarahan pelajar, dan antara komen pelajar pada pengusaha dewan makan yang paling diingati adalah, "tak sempat rasa dah habis!"



Saat artikel ini di tulis Ramadhan 1434 Hijrah sudah sampai ke penghujungnya. Hanya beberapa hari lagi umat Islam akan menyambut Hari Raya Eidulfitri. 

Ramadhan berlalu dengan cepat sekali rasanya, seolah-olah baru lagi berazam untuk penuhi hari-hari dalam Ramadhan sebaiknya, seolah-olah baru sedikit munajat dan doa yang dipohon, serasa tidak puas berpuasa, tidak habis berqiamulail dan tidak lagi cukup membaca Al-Quran.

Seolah-olah cerita kuih karipap tadi, belum sempat rasa dah habis..

Ramadhan akan pergi, hari dan waktu itu akan berlalu tanpa mampu untuk dihentikan dan ditahan tahan. Namun perjuangan untuk mencari redha Allah tidak akan berhenti, kerja islam perlu diteruskan, amalan terus dipertingkatkan, dan rahmat dan berkat perlu terus di tadah.



Notakaki: Beberapa tahun dulu saya termasuk dalam kutu-kutu yang suka ambil kuih lebih, sampai satu hari epoi tegur "ko, ambik lebih ni kembung perut baru tau.."


July 25, 2013

Rindu, Gembira-ku.

Dalam tiap detik hari-hari ku,
Tidak pernah sehari pun berlalu,
Tanpa memikirkan-mu,
Gembira-ku.

Lantas dimana harus ku adukan,
Rasa rindu yang mencengkam,
Hati dan perasaan-ku,
Gembira-ku.

Lalu tika sunyi malam,
Aku menadah tangan kepada pemilik-mu,
Juga kepada pemilik rasa dan hati-ku,
Memohon kau hilang dari-ku,
Gembira-ku.

Tika saat ini,
Rasa itu,
Perasaan itu,
Masih pada-mu,
Gembira-ku.

Ku mencari hikmah dari-Nya,
Ku pasrah pada-Nya.

16 Ramadhan
Seri Manjung
Perak.



June 29, 2013

Aku Musafir padang Pasir.

Aku musafir di padang pasir,
Dahaga mencari-mu,
Sedang kau jauh dari-ku,
Mana bisa kau hidup di ruang ini,
Untuk berada di samping-ku.

Aku musafir di padang pasir,
Dahaga mencari-mu,
mengenang-mu buat-ku sayu,
meneguk bisa merindu,
Kau yang takkan ada disisi-ku.

Aku musafir di padang pasir,
Dahaga mencari-mu,
Turunlah hujan-ku,
Agar hilang dahaga-ku.


June 25, 2013

Turun-lah. Hujan!

Hujan.

Andai kata kau tahu,
Andainya dapat kau selami hati-ku,
Andai kau faham perasaan-ku.

Ku pasti.

Kau-kan turun tanpa henti,
Membasahi setiap ruang atas bumi,
Dengan titisan yang bisa sampai ke hati.

Hujan.

Sedar-kah kamu?
Aku di sini sedang rindu,
Separuh mati menunggu,
Hari-hari dalam hidup-ku,
Umpama neraka yang menyiksa-ku,
membisa di setiap urat dan saraf-ku.

Ku tahu.

Kau juga merindui-ku,
Buang-lah segala peraturan-mu,
dan,
Turun membahasi-ku tanpa jemu.

Hujan.

Aku masih menunggu,
Sampai hujung waktu-ku,
dan di setiap detik selepas itu,

Aku menunggu-mu.




May 3, 2013

Ubah!: Bukan Sekadar Kerajaan

Politik yang ada pada hari ini adalah politik sentimen dan dipengaruhi kepada ketaksuban pada satu-satu pihak. Tidak kiralah sama ada ketaksuban pada bangsa mahupun ketaksuban pada agama, tidak kurang juga ketaksuban pada induvidu seperti Perdana Menteri dan Tok Guru.

Antara kesan besar dari politik sentimen ini, politik menjadi sesuatu perkara sensitif yang membawa kepada perpecahan. Sama ada hilang peraahabatan atau juga persaudaraan. Masakan tidak, benteng taksub ini tidak dapat dipecahkan dengan menggunakan rasional dan hujah ilmiah. Mana-mana perkara yang bercanggah dengan mana-mana pihak yang berlawanan akan menimbulkan persengketaan, luar atau dalam.

Kesannya politik menjadi satu topik sempit yang hanya boleh dibincangkan di tempat-tempat tertentu, walaupun di musim pilihanraya dan di masa berkempen. Dengan beralasanankan menjaga ukhwah, politik tidak boleh dihincangkan di dalam kelas dan mana-mana medium yang tidak berkaitan misalnya. Maka, kita akan kerugian ruang dalam perbincangan ilmiah dan pendedahan fakta lantaran beberapa pihak yang tidak boleh terima kerana masih berada dalan sempadan ketaksuban.

Jadinya sempadan ketaksuban ini harus kita lepasi, benteng ketaksuban ini harus kita lebur dan hancurkan. Kita perlu ubah politik sentimen ini kepada politik nilai. Politik yang mana kita boleh berbincang secara terbuka dan penuh fakta. Politik yang tidak tidak terikat dengan mana-mana bangsa dan tok guru. Politik yang mana kita bebas untuk berubah mengikut selera dan kepentingan kita yang mengikut prinsip dan falsafah hidup kita.

Untuk memastikan perubahan politik sentimen hari ini kepada politik nilai kita perlu merdekakan minda rakyat dengan menjatuhkan golongan yang memainkan politik sentimen ini sebagai senjata mengekalkan kuasa. Kerajaan UMNO BN yang ada hari ini perlu diubah untuk masa depan yang lebih cerah.

Ini Kalilah, Ubah! Reformasi. Sekian.