Neraka dan seluruh isinya menjadi satu ancaman yang benar
kepada setiap ummat manusia, malahan dengan siksaan yang tidak dapat dibayang oleh mata, mendengarnya sudah pasti menimbulkan perasaan gerun dan gentar. Kadang-kadang boleh mengalirkan air mata dan menggetarkan jiwa.
Neraka merupakan satu tempat yang Allah sediakan untuk hamba-hambanya yang ingkar akan perintahNya, untuk hambaNya yang tidak bersyukur dan kufur akan nikmatNya. Neraka adalah tempat orang kafir, munafik, mushrik, dan zalim.
Sebagai orang yang beriman kita diarahkan untuk menyelamatkan ahli keluarga dan diri kita dari azab Allah ini. Ini jelas Allah nyatakan dalam firmanNya:
“Wahai orang-orang beriman, selamatkanlah dirimu dan keluargamu dari
Neraka, sedangkan bahan bakarnya adalah manusia dan batu. Neraka itu
dijaga oleh malaikat-malaikat yang kasar dan keras. Mereka sama sekali
tidak pernah durhaka pada Allah dan melaksanakan apa saja yang
diperintahkan pada mereka”.
(At-Tahrim; ayat 6)
Pilihan di tangan anda! |
Selamatkan
Bila kita sebut menyelamatkan sudah pasti ianya bukan satu perkara yang merupakan paksaan atau tindakan yang kita lakukan dalam keadaan terdesak. Tindakan menyelamatkan adalah satu perbuatan yang lahir kerana kasih sayang ataupun kerana kasihan. menyelamatkan itu lahir dengan ikhlas dan hati yang rela.
Menyelamatkan diri dan keluarga dari api neraka adalah satu bukti kasih sayang yang wujud dalam diri kita kepada diri sendiri dan ahli keluarga. Malahan kerana kasih sayang itu misi menyelamat ini haruslah dilakukan dengan ikhlas dan walau apa cara sekalipun harus dijayakan dengan jayanya.
Selamatkanlah dengan penuh kasih sayang, dengan memahami dan mendalami, dengan simpati dan empati, kerana ini menjadi asas kejayaan dalam misi menyelamat ini, jangan menghukum dan meletakkan tanggungjawab yang besar. Berilah kesedaran senthlah hatinya dengan perlahan. Misi menyelamat ini bukanlah misi mustahil tetapi hakikatnya ianya bukan misi yang mudah. Tugas kita hanya usaha, sedang hidayah itu milik Allah.
Diri dan Keluarga
Sebelum menyelamatkan keluarga dari api neraka, sudah pasti kita mesti mebebaskan diri daripadanya. Ya, tidak dinafikan bahawasanya neraka dan syurga itu milik Allah, kita bukanlah orang yang menentukan arah mana kita atau orang lain akan pergi. Kita tidak boleh menetapkan sama ada orang itu ahli syurga ataupun neraka, tetapi tugas kita adalah menjauhkan diri dari mengikut ciri-ciri ahli neraka sebagaimana disebut dalam hadis dan Al-Quran.
Menunjukkan melalui peribadi adalah perkara terbaik, menjadi contoh terbaik sebelum mengajak orang lain menjadi baik adalah satu kaedah dakwah yang dituntut dalam Islam itu sendiri. Dengan mangajak tanpa menunujukan contoh yang baik bukan sahaja ajakan itu tidak berkesan, malahan membawa nama buruk kepada kita kembali.
Namun tidak perlu menjadi sempurna untuk menegur orang lain, kerana kesempurnaan itu merupakan suatu yang mustahil. Hakikatnya pembaikan diri itu perlulah terus di jalankan, tegurlah sekadar yang termampu.
Kesimpulan
Sesungguhnya neraka itu merupakan satu ancaman yang dasyat, dan atas dasar kasih sayang hendaklah kita selamatkan keluarga dan diri kita daripadanya. Ingatlah sayang di dunia hanya berttahan sementara, malah tiada makna jika sayang di dunia tetapi tidak bertemu di syurga.
Menegur itu bukanlah kerana timbul benci di dada, tetapi ingin menelamatkan dari api neraka lantaran sayang yang tidak terhingga. Walau terkadang teguran melukakan jiwa, tetapi teguran itu kerana tidak ingin melihat orang yang di sayangi dilukai Neraka yang azabnya tiada tara.
Sayang korang semua! |