December 1, 2009

Doa Laknat


Bismillahirahmanirrahim

Akhir-akhir ini negara kita hangat dengan isu doa laknat yang dinyatakan oleh Tuan Guru Nik Abdul Aziz Nik Mat. Segalanya bermula apabila tuntutan royalti yang sepatutnya menjadi hak milik rakyat kelantan dinafikan oleh kerajaan pusat. Royalti yang sepatutnya menjadi hak milik kelantan dinafikan haknya dan ditukar kepada wang ihsan. Satu perbuatan yang amat memalukan oleh kerajaan pusat kerana tindakan ini merupakan satu pengkianatan terhadap rakyat kelantan. Sepatutnya kerajaan yang menjadi satu badan yang menjaga kebajikan rakyat tapi hakikat kerajaan sesekarang mengkianati rakyat dan mengamalkan kronisme dan kepentingan peribadi semata-mata.

Tuntutan kerajaan Kelantan bukanlah satu omongan kosong tetapi berada dalam Akta Malaysia Thailand Joint Development Authority (MTJDA) 1990 dimana kawasan yang dituntut ialah kawasan bersama Thailand - Malaysia, di bawah tuntutan bersama itu ada di bawah satu akta yang diluluskan oleh Parlimen pada 1990. Selain itu perjanjian ini turut termaktub dalam Akta Penggunaan Petroleum 1973 dimana akta ini memperuntukkan setiap penyerahan hasil minyak kepada kerajaan pusat mestilah dibalas dengan pemberian royalti sebanyak 5%.Tetapi apa yang terjadi ialah pembayaran wang ehsan kepada Kelantan. Seperti mana yang diumumkan oleh PM dalam parlimen.

Beberapa tindakan diambil oleh Tuan Guru dan pimpinan PAS untuk menunutut hak ditentang oleh pihak kerajaan pusat. Dan baru-baru ini Tuan guru mengeluarkan kenyataan yang menimbulkan kontroversi "Saya doa tadi ramai-ramai minta Allah SWT perbetulkan pemikiran Perdana Menteri, biar dia beri (royalti)...kalau tak kita doa supaya Allah musnahkan masa depan dia, parti dia, kumpulan dia, proksi dia semua akan musnah, tak mustahil benda ini akan berlaku."

Berikutan dengan kenyataan Tuan Guru beberapa pimpinan BN mengeluarkan kenyataan mengecam tindakan Tuan Guru antaranya:

"Saya sendiri tidak pernah mendoakan kemusnahan kepimpinan dan parti lain sebaliknya sentiasa mengharapkan Umno dan Pas dapat duduk semeja untuk berbincang mengenai cara menyatupadukan bangsa Melayu di negara ini."

Timbalan Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri (Miti), Datuk Mukhriz Mahathir

"Alangkan kepada bukan Islam pun kita doakan yang baik untuk mereka, termasuk diberi taufik dan hidayah. Inikan pula kepada saudara seagama.Sebagai orang Islam sepatutnya kita mendoakan yang baik untuk saudara seagama kita. Kenyataan itu tidak patut dikeluarkan oleh seorang yang bergelar Tok Guru,"

Ketua Penerangan Umno, Datuk Ahmad Maslan

"Saya percaya apa yang diluahkan Nik Aziz kebelakangan ini, menunjukkan masalah perpecahan dalam Pas begitu kritikal dan beliau sedaya upaya mahu mengalih perhatian umum (dengan membuat pelbagai kenyataan) tetapi akhirnya ia menimbulkan kontroversi kerana tidak dibuat dengan teliti.Kita dalam Umno bukannya mendoakan perpecahan Pas, tetapi apa yang berlaku sekarang ialah kesan daripada perbuatan mereka sendiri yang sering melemparkan pelbagai tuduhan kepada kita selama ini dan saya percaya semua tuduhan itu kini sudah memakan diri,"

Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Hishammuddin Hussein

"Bukan pertama kali Nik Aziz berdoa demikian, sebab itu di Permatang Pasir dan di Port Dickson, beliau pun (ada) berdoa supaya jahanamlah Menteri Pertahanan dan Perdana Menteri (Datuk Seri Najib Razak), (malah doa untuk) saya ada dalam (juga terdapat dalam) Youtube.Beliau berdoa supaya kami berdua jahanam dan dianggap orang yang paling jahat ialah Perdana Menteri dan Menteri Pertahanannya... saya tak tahulah apa nyanyuknya (Nik Aziz mendoakan seperti itu), dan ini sekali lagi beliau (Nik Aziz) kata begitu,"

Naib Presiden Umno, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi

Persoalannya rasionalkah tindakan Tuan Guru dengan mendoakan kemusnahan mereka. Sebagaimana yang diucapkan pemimpin Umno bukankah lebih baik mendoakan kebaikan daripada keburukan. Apa yang dapat diperhatikan disini dan menimbulkan persoalan ialah mengapakah Tuan Guru dikecam sebegitu rupa?andai Tuan Guru sesat nyanyuk sebagaimana yang diperkatakan olem pimpinan-pimpinan diatas mengapa kenyataan itu dikecam ataupun mereka berasa terancam dengan apa yang dikata oleh Tuan Guru. Ingatlah! sesungguhnya orang yang terinaya dekat dengan Allah dan doa orang-orang yang alim biasanya makbul

Sedarkah kita dan sedarkah mereka bukankah pada pemulaan doa Tuan Guru supaya Allah membuka pintu hati najib "Saya doa tadi ramai-ramai minta Allah SWT perbetulkan pemikiran Perdana Menteri, biar dia beri (royalti)" yang kemudiannya barulah Tuan Guru kata"kalau tak kita doa supaya Allah musnahkan masa depan dia, parti dia, kumpulan dia, proksi dia semua akan musnah" bukankah ada perkataan kalau tak disitu.Kalau kita perhatikan akhbar tidak meletakkan kenyataan penuh Tuan Guru bukankah ini boleh menimbulkan keraguan ataupun akhbar takut rakyat paham apa yang dikatakan tuan guru.

Sedarkah kita dalam takbir raya yang kita lafazkan dengan penuh semangat terdapat frasa yang berbunyi "Dan Yang Memuliakan tenteraNya dalam mengalahkan tentera al-Ahzab dengan sendiri (KekuasaanNya)" bukankah dalam takbir kita pun ada doa menghapuskan tentera Ahzab. Apa yang berlaku di Kelantan adalah satu penindasan dan satu kezaliman. Dan ia juga merupakan satu penipuan dan pengkhianatan terhadap perjanjian yang telah dibuat oleh bapak mereka sendiri. Dalam satu hadis ynag masyur berbunyi "Tanda-tanda orang munafik ada tiga iaitu, apabila berbicara ia bohong, apabila berjanji ia berkhianat dan apabila dipercaya ia curang" (Bukhori dan Muslim). Bukankah salah satu dari tentera Ahzab kaum munafik. Jadi tak salahlah doa laknat ini kan.

Royalti adalah hak kerajaan Kelantan manakala ihsan adalah belas dari kerajaan pusat. Dua perkara ini takkan jadi sama kerana secara teori dan hakikatnya berbeza sama sekali. Umpama zakat dan sedekah. Zakat merupakan hak orang lain tetapi sedekah adalah hak kita yang diberikan kepada orang lain. Dan apa yang diperjuangkan di Kelantan bukanlah hak peribadi tetapi hak rakyat kelantan dan mengambil hak orang itu adalah satu kezaliman dan kezaliman harus dimusnahkan dimuka bumi ini.

Islam datang untuk memelihara hak dan menjaga keadilan. Bila Islam dipinggirkan dari perundangan inilah jadinya. Wahai sahabat jihad yang paling besar adalah jihad menentang kezaliman marilah bersama-sama menegakkan islam dan mejatuhkan kezaliman ini.