November 7, 2011

Sempena AidulAdha1432: Pengorbanan dan Kesabaran

AidilAdha merupakan salah satu hari raya yang kita sambut saban tahun, yang mana peristiwa disebaliknya adalah kisah pengorbanan Nabi Allah Ibrahim A.S dan keluarganya. Andai kita teliti dan fahami kita akan dapat lihat betapa banyaknya dan hebatnya kisah pengorbanan Nabi Ibrahim dan keluarganya.

Bermula dengan sejak lahirnya Nabi Ismail, Allah telah memerintahkan supaya Nabi Ibrahim meninggalkan anak dan isterinya di satu padang pasir yang kontang. Pengorbanan pertama ini bukanlah satu perkara yang mudah, Nabi Ibrahim sendiri yang ketika itu baru sahaja mendapat cahaya mata terpaksa meninggalkan permata hatinya tanpa dapat melihat Nabi Ismail membesar. Yang lebih menakjubkan adalah jawapan Siti Hajar tatkala mendengar bahawasanya ini perintah Allah, beliau redha dan yakin Allah akan menjaganya.

Telaga zam-zam
Hasilnya Allah bangunkan dan majukan kawasan itu, bermula dari padang pasir yang kontang akhirnya menjadi satu bandar yang maju. Berkat telaga zam-zam yang tidak pernah kering, tanah Mekah membangun dengan pesatnya. Saat ini Nabi Ibrahim datang menjenguk keluarganya yang ditinggalkan dahulu, tidak berapa lama setelah bertemu turunlah ayat memerintahkan supaya Nabi Ibrahim menyembelih anaknya Nabi Ismail, sebagaimana Allah rakamkan dalam Al-Quran;

Maka tatkala anak itu sampai (pada umur sanggup) berusaha bersama-sama Ibrahim, Ibrahim berkata: “Hai anakku Sesungguhnya Aku melihat dalam mimpi bahwa Aku menyembelihmu. Maka fikirkanlah apa pendapatmu!” ia menjawab: “Hai bapakku, kerjakanlah apa yang diperintahkan kepadamu; insya Allah kamu akan mendapatiku termasuk orang-orang yang sabar”
(Ash Shaffat:102).
Dalam kisah ini ada dua persoalan besar yang harus kita rungkai dan fikirkan. yang pertama bagaimana menjadikan diri sanggup berkorban dan yang kedua adalah bekal apakah yang terbaik untuk menghadapi kesan berkorban.

Kesanggupan Berkorban
Tidak ramai yang sanggup berkorban terutamanya bila melibatkan perkara yang kita sayang, dalam kes di atas Nabi Ibrahim dan Siti Hajar mengorbankan keluarga mereka demi untuk mematuhi sagala perintah Allah, dan Nabi Ismail mengorbankan nyawanya demi mematuhi perintah Allah.

Bagaimanakah mereka ini sanggup berkorban, bukankah hasinya tidak dapat kita rasa dengan pancaindera kita. Apa guna tinggal anak isteri di padang pasir yang kontang? Apa faedah sembelih anak yang baru sahaja berjumpa?

Tak semua sanggup berkorban
Semua ini tidak akan dapat dicapai melainkan dengan keimanan dan keyakinan yang tinggi kepada Allah s.a.w. Seumpama seorang kekasih yang menanti kekasihnya dengan keyakinan bahawa kekasihnya akan kembali kepadanya, walaupun dia sendiri tidak tahu akan keadaan kekasihnya.

Laksana kereta diatas jalanraya yang memerlukan minyak, pengorbanan juga seperti itu ia memerlukan bekal untuk orang yang berkorban terus yakin dan redha dengan janji Allah. Persoalannya apakah bekal yang patut ada pada orang yang berkorban?


Bekalan Pengorbanan
Melihat ayat di atas Nabi Ismail rela berkorban kerana dia termasuk golongan orang yang sabar, ya! sabar adalah bekal kepada sebuah pengorbanan jika ingin berkorban maka perlu ada sabar. Lumrahnya pengorbanan  merupakan perkara yang menyakitkan, jadi sabar adalah ubat yang terbaik untuk menghadapi kesakitan.

Jadilah seorang yang penyabar kerana dalam kehidupan banyak pengorbanan yang perlu dilakukan. Tidak rugi sabar, kerana dalam kesakitan bersabar dihujungnya ada manis yang tidak terduga.

Perjalan yang panjang perlukan kesabaran
Sabar itu bukanlah berdiam diri, sabar juga bukan hanya redha tidak tentu hala. Tetapi sabar yang sebenar adalah dengan mengubah sesuatu itu mengikut landasan islam walau apa pun cubaan mendatang. Sebagai contoh bapa dan anak, jika anak nakal, seorang bapa yang sabar bukanlah hanya dengan melihat kenakalan anak tetapi sabar mengubahnya menjadi baik.

Kesimpulan

Jadi tunggu apa lagi? bersedialah untuk berkorban dan siapkanlah sabar sebagai bekalan. Andai kita punya pilihan untuk sebuah pengorbanan, maka renung dan fikirlah kisah Habil dan Qabil, yang mana kedua-duanya menyediakan korban kepada Allah, dan sudah semestinya yang terbaik itu menjadi pilihan.