Meskipun tidak mempunyai pendidikan asas agama yang mendalam tetapi semangat untuk menghayati perjuangan agama begitu kental. Sebelah siangnya beliau membuka kedai runcit di kampung dan malam pula dipenuhi dengan aktiviti keagamaan seperti mengaji al Quran, mengikut kuliah pengajian agama dan berusrah di tapak muassasah itu. Bermalam di sana memang mencabar kerana bertemankan nyamuk dan kedinginan malam. Mereka juga melibatkan diri dalam kerja sosial di kawasan setempat.
Idea untuk berjihad bersama mujahidin di bumi Afghanistan tercetus selepas menyaksikan kekejaman kaum kuffar menzalimi saudara-saudara seagama di sana. Ekoran dari itu mereka bersepakat untuk mewakafkan diri sebagai anggota mujahiddin. Setelah bersusah payah mencari wang perbelanjaan untuk pergi ke bumi yang sedang bergelora itu, akhirnya sebilangan anak muda dari tapak muassasah ini berjaya menyertai lain-lain sukarelawan perang jihad dari berbagai negara.
As Syahid dan rakan-rakannya berpeluang kali pertama melawat kem musuh dan bandar Argoon yang telah menjadi padang jarak padang terkukur ditawan oleh mujahiddin. Bangkai musuh masih terbiar di jalanan tetapi keadaan cuaca yang begitu sejuk di sana menyebabkan bangkai tersebut tidak busuk. Berjuang di sini begitu mencabar ketika di musim sejuk kerana kedinginannya begitu mencengkam hingga ke tulang hitam.
Di Khemah, mereka berkawal dan bertugas mengikut jadual. Berpuasa sunat, sholat malam dan latihan jasmani dilakukan. Suatu pagi, dikisahkan assyahid ini bangun mandi sedangkan waktu itu musim sejuk. Rupa-rupanya beliau telah berhadas kerana malamnya bermimpi didatangi bidadari. Dikatakan bahawa bermimpi bidadari di kalangan mujahiddin adalah perkara biasa dan kebanyakannya mereka inilah yang akan terpilih sebagai syuhada dan berpeluang menghampiri bidadari.
Dimaklumkan setelah pasukan mujahiddin berjaya menawan daerah Khost, mereka telah pergi ke wilayah Jalalabad untuk bergabung dengan mujahiddin Arab di sana. Beliau telah diarahkan menjaga kubu di atas bukit yang sederhana tingginya di waktu malam. Bertemankan seorang rakan dari bangsa Arab, mereka mengawal kubu tersebut dan kawasan itu memang kerap disinggah peluru musuh. Telah ramai pula yang menemui syahid di bukit itu.
Memang sudah ditakdirkan antara ratusan biji bom dari kereta kebal musuh itu, ada peruntukan oleh Allah untuk assyahid Fauzi Ismail. Dengan gugurnya ledakan bom itu, berterbanganlah bidadari dari syurga Firdaus menyambut assyahid. Janji Allah itu benar, mimpi beliau sebelum ini memang menjadi kenyataan. Allah telah membayar nyawanya dengan keharuman kasturi dan bidadari yang serba suci. Anak muda itu syahid pada 28 Julai 1989. Allahu Akbar!!
As Syahid Fauzi gugur di kubu itu dan rakannya yang parah dibawa turun untuk mendapat rawatan. Walaupun hampir 10 jam jenazah beliau berada di atas bukit itu, darah merah masih segar bugar dan panas mengalir.
"Jangan kamu mengira bahawa orang-orang yang gugur di jalan Allah itu mati, bahkan mereka itu hidup di sisi Tuhannya dengan mendapat rezeki" - Ali Imran 169
Manakala ibu-bapanya di kampung pula, telah dipertemukan Allah dengan anak lelaki mereka bergelar syuhada itu melalui alam mimpi. Mimpi mereka lebih mendahului berita dari manusia. Wajah anak mereka tersenyum sayang dengan berjubah dan berserban merah. Mengertilah mereka bahawa dagang anaknya telah dibeli Allah dan tentunya mereka juga akan mendapat imbuhan dari pelaburan yang termahal ini.
Apabila ditanya kepada bapanya tentang anaknya itu, beliau menjawab:
"Dia tak mahu dunia. Dia tinggalkan kedai dan motornya untuk cari akhirat. Sekarang dia dah dapat saya bersyukur."