September 27, 2011

Warkah Dari Hati

Assalaimualaikum,

Buatmu,

Skudai kurasakan sepi tanpa khabar berita daripadamu, alunan angin yang mengalun pohon itu bagai membawa gemersik suaramu. Tetapi aku tetap sedar bahawa engakau tidak pernah berada di sisi. Semenjak dahulu, kini dan selamanya. Hanya aku bermain ilusi sendiri. Justeru aku datang dengan  wajah seorang kawan. Tidak minta dikasihi dan tidak minta dibenci. Hadirku untuk membantu melerai kekusutan. Aku yang memulakan salam pertemuan, selayaknya aku juga yang melafazkan salam perpisahan.


Ingatkah, sewaktu kita meletakkan harapan tinggi pada hubungan ini. Waktu itu betapa kita yakin bahawa hubungan ini kan utuh dan kukuh. Kita yakin susah senang mampu diharung dengan sabar. Masa itu kita masih baru mengenal erti cinta, kita penuh semangat dan azam. Kita kadang-kadang lupa dengan tribulasi, melihat cabaran dengan mata yang kurang terbuka. Biar jauh atau dekat, biar senang atau susah, kita tetap mahu pastikan agar hubungan ini berjaya.

Dahulu pernah kuungkap "jangan terbang tinggi kalau jatuh akan parah" , tapi bukankah kalau tidak kita cuba terbang tinggi, sampai bila pon kita takut untuk mencuba. Lagipun kita tetap mendapat nikmat berusaha dan mencuba.


Kalam ini memberi kesan kepada diriku.

Aku terasing jauh dari bumi sendiri, terbang sepanjang semenanjung akhirnya terdampar di hujung. Apabila diimbau sejarah kita, terasa seolah suatu kisah yang kita karang bersama aduanan rasa jujur dan tulus. Walaupun hubungan kita tidak disuburkan dengan pertemuan. Kesefahaman dan kepercayaan telah menyemai benih-benih kemesraan, kita menjadi pasangan toleransi dan saling cuba  memahami. Ah, sebuah kisah mitos yang tidak wujud, tetapi ia telah berlaku dalam hidup kita.

Antara kita, ada peristiwa yang menjadi kenangan abadi,namun tidak bermaksud kita mengagungkannya. Jadikan ia sekadar memori untuk diri sendiri. Sekadar nostalgia untuk diimbau. Biarlah ia menjadi khazanah yang berharga atau mungkin saja hilang dipupus masa. Tuhan yang menentukan.

Benarlah, cinta tidak mampu memenangkan segalanya. Cinta tidak membawa segala kesempurnaan hadir ke sisi. Tetapi ia mengajar kita menerima sesuatu seadanya. Cinta bukan semestinya bersama. Cinta itu memastikan orang yang dicintai itu bahagia. Terima kasih kerana pernah menerima diri ini sebagai insan istimewa.

Terima kasih....

Sekian.

Saasatul Ibaad
10.38 malam 27 September 2011
M43, 207 KTDI
Skudai, JB