January 4, 2012

aku kah yang salah?

 Memikirkan minyak motosikal yang hampir kering bangun pagi-pagi saya sudah bergegas untuk mengisi minyak di Shell belakang UTM. Alhamdulillah sempat sampai sebelum minyak habis, sebaik sahaja sampai saya letakkan moto di kawasan untuk mengisi minyak dan terus ke kaunter untuk membuat bayaran.

Mungkin kerana masih pagi tidak ramai yang mengisi minyak pada masa itu, stesen kelihatan tidak banyak kenderaan dan pekerja di kaunter pembayaran minyak juga tidak terlalu sibuk.

Ketika saya sampai di kaunter, penjaga kaunter itu seorang perempuan sedang sibuk menulis sesuatu dan tidak perasan akan kehadiran saya. Sebelum menegurnya saya memerhatikannya supaya dapat menggunakan bahasa terbaik untuk menegurnya. Perempuan itu tidak bertudung dan rambutnya diwarna perang, putih dan berpakaian agak ketat, sebijik macam cina.

Lalu dengan penuh yakin saya menegurnya, "hello miss.."

Perempuan itu menoleh dengan pandangan yang tajam dan berkata, " apa miss-miss?! tak reti bagi salam ke?! sesama orang Islam kena la bagi salam macam ni assalamulaikum.."

Saya terdiam, terus membayar RM5, dan beredar untuk mengisi minyak motosikal. Seusai isi minyak kepala saya berat dengan persoalan, 'aku kah yang salah?'

Mungkin saya yang salah kerana tidak bagi salam, tetapi bukan sengaja. Saya tidak bagi salam kerana ingatkan dia bukan orang Islam kerana penampilan dia sendiri. 

Ketika motosikal saya memecut sehingga kelajuan 110 km/j di atas jalan untuk pulang ke UTM, saya tersenyum sendiri tatkala mengenang firmannya; 

Wahai Nabi, suruhlah isteri-isterimu dan anak-anak perempuanmu serta perempuan-perempuan yang beriman, supaya melabuhkan pakaiannya bagi menutup seluruh tubuhnya (semasa mereka keluar); cara yang demikian lebih sesuai untuk mereka dikenal (sebagai perempuan yang baik-baik) maka dengan itu mereka tidak diganggu. Dan (ingatlah) Allah adalah Maha Pengampun, lagi Maha Mengasihani.
 (Al-Ahzab:59)

Aku tak salah =)