January 3, 2012

Apa Erti 3 Januari?

Setiap kali hadir tiga Januari, aku bermuhasabah seorang diri. Berfikir dan merenung jauh, jauh ke dalam dasar Laut China Selatan, jauh terbang menebak awan. Tiga haribulan Januari buat aku berfikir sendiri, apa erti tarikh ini?


Dua puluh dua tahun yang lalu, aku hadir kedunia di tarikh ini. Aku hadir berbekalkan janji yang sudah dimeterai, diantara aku dan pencipta ulung, yang maha besar lagi maha berkuasa. Tatkala Yang Maha Esa itu bertanya ," bukankah Aku ini tuhan mu?" lalu dengan yakin jawabku, "betul aku menjadi saksi".

Dan (ingatlah), ketika Tuhanmu mengeluarkan keturunan anak-anak Adam dari sulbi mereka dan Allah mengambil kesaksian terhadap jiwa mereka (seraya berfirman): "Bukankah Aku Ini Tuhanmu?" mereka menjawab: "Betul (Engkau Tuban kami), kami menjadi saksi". (Kami lakukan yang demikian itu) agar di hari kiamat kamu tidak mengatakan: "Sesungguhnya kami (Bani Adam) adalah orang-orang yang lengah terhadap Ini (keesaan Tuhan)",
 (Al-A'raf :172)

Di atas janji ini, setiap tiga haribulan januari, aku menjadi keluh kesah, sudahkah aku tunaikan janji ini? 

Bagaimana jika aku ditanya nanti? 

Mampukah aku menjawab dengan yakinnya?

Benarkah dua puluh dua tahun ini aku melunas janji, atau janji itu aku lupai dengan sewenang-wenangnya? 

Siapakah aku untuk melupa janji sedang aku hanya hamba yang tiada harga. Hamba yang kerjanya hanya patuh, hamba yang tiada hak untuk melawan atau menyerang. Aku tiada hak untuk mempetikai dan mempersoal. malah sejak awal lagi aku sudah diingatkan bahawa aku hanya hamba!

"Tidak Aku (Allah) jadikan jin dan manusia melainkan untuk mengabdikan diri kepada-Ku." 
(az-Zariyat: 56) 

Muhasabahku kian panjang, sedar tidak sedar sebak menguasai dada, resah menghimpit dada, ternyata aku bukannya hamba yang baik, aku hamba yang ingkar, banyak yang aku langgar!
Setiap kali hadir tiga Januari, aku bermuhasabah seorang diri. Berfikir dan merenung jauh, jauh ke dalam dasar Laut China Selatan, jauh terbang menebak awan. Tiga haribulan Januari buat aku berfikir sendiri, apa erti tarikh ini?



Dua puluh dua tahun dulu aku hadir kedunia sebagai seorang ketua, untuk memimpin dan dipimpin, lahir membawa harapan dan hasrat agama. Ya! itulah hakikatnya kerana aku lahir dari bangsa manusia, satu bangsa yang mulia, satu bangsa yang menjadi khalifah di dunia.

"Dan Ku jadikan manusia untuk menjadi khalifah di muka bumi ini." 
 (Al Baqarah: 30)

Tapi sudahkan aku menjadi khalifah itu?

Sudahkah ku bawa hasrat dan harapan agama?

Atau tanggungjawab khalifah itu sering kali aku lupa, sering kali aku tidak laksana, sering kali aku tidak endahkannya.

Aku insan kerdil yang hina, sungguh menjadi khalifah bukan pilihan tetapi kewajipan yang harus aku jalankan, menjadi tanggungjawab untuk penuhi ilmu di dada, supaya menjadi khalifah yang berguna, membimbing manusia kejalanNya.

Setiap kali hadir tiga Januari, aku bermuhasabah seorang diri. Berfikir dan merenung jauh, jauh ke dalam dasar Laut China Selatan, jauh terbang menebak awan. Tiga haribulan Januari buat aku berfikir sendiri, apa erti tarikh ini?



Dua puluh dua tahun sudah berlalu, aku bermuhasabah lagi, apa yang telah aku lakukan, selain hanya memenuhi kehendak nafsu dan dunia.

Aku sedih bila mengenang Al-Fateh yang membuka sejarah dunia hanya pada umur dua puluh satu tahun, sedang aku sudah dua puluh dua tahun tiada apa yang aku lakukan!

Aku sedih bila mendengar nama Usamah bin Zaid, yang memimpin pasukan tentera baginda pada umur sembilan belas tahun, sedang aku sudah dua puluh dua tahun memimpin diri sendiri masih belum berjaya!

Aku muhasabah sendirian, berharap impian bukan angan-angan berharap menjadi khalifah dan hamba tuhan yang meredhai dan diredhai.