Seterusnya bermula petang 16 September gerombolan pertama daripada sejumlah 1,500 orang militia Falangis, yang termasuk juga anggota-anggota Tentera Bebas Lubnan pimpinan Saad Haddad, masuk ke dalam kawasan perkhemahan dengan menaiki jip-jip yang dibekalkan oleh tentera Yahudi dan bersenjatakan senapang, pisau dan parang. Mereka lalu menjalankan "tugas" membunuh dan menyembelih pelarian Palestin di sana, malah merogol wanita-wanita juga, sambil tentera Zionis berkawal di luar sepanjang sempadan perkhemahan agar tiada siapa yang lepas lari keluar. Di sebelah malam tentera Yahudi menembak roket suluh (flares) ke atas perkhemahan bagi meneranginya - dikatakan sehingga terang benderang bagaikan padang bola, agar pihak militia Kristian di dalam dapat terus menjalankan pembantaiannya.
Pembunuhan beramai-ramai yang kejam tersebut berjalan terus-menerus selama lebih daripada dua hari, tanpa mempedulikan sama ada lelaki, wanita atau kanak-kanak, dan tanpa ada pembelaan atau pertahanan daripada sebarang pihakpun. Setelah tiba pagi sabtu 18 September barulah pengganas-pengganas Falangis meninggalkan perkhemahan, menghela mereka yang masih hidup keluar bersama untuk dibawa ke stadium pula untuk diinterogasi. Apabila kumpulan pemberita yang pertama dapat masuk ke dalam kawasan perkhemahan, mereka dapati jasad-jasad bertaburan di seluruh kawasan, banyak daripadanya telah dikerat-kerat. Hanya setelah itulah baru berita pertama mengenai pembantaian ini sampai ke pengetahuan masyarakat dunia.
Wartawan Amnon Kapeliouk, yang beliau sendiri juga seorang Yahudi, daripada akhbar Perancis Le Monde Diplomatique menganggarkan sejumlah 3,000-3,500 orang pelarian Palestin lelaki, wanita dan kanak-kanak telah dibunuh dan disembelih dalam tempoh dua hari tersebut dengan penuh kejamnya. Ini mengambilkira sebanyak 2,000 mayat yang diselenggarakan selepas pembantaian, daripada sumber-sumber rasmi dan Palang Merah, dan seramai dianggarkan 1,000 hingga 1,500 lagi yang dibereskan sendiri oleh pihak pengganas Falangis. Selama begitu lama dunia tidak melihat suatu pembunuhan beramai-ramai pihak yang tidak bersalah yang bukan kombatan sebegitu, yang tidak dapat mempertahankan diri sendiri, dengan begitu kejam dan tidak berperikemanusiaan.
Sehingga hari ini tidak seorangpun yang bertanggungjawab ke atas pembantaian kejam ini telah dibawa ke pengadilan, jauh sekali daripada dihukum setimpalnya. Ariel Sharon malah kemudiannya naik menjadi Perdana Menteri entiti Zionis pula. Komander Falangis, Elie Hobeika, juga terlepas daripada hukuman dunia malah kemudiannya menjadi Menteri Kabinet Lubnan pula dalam tahun1990an. Walau bagaimanapun ia mati lantaran bom kereta pada Januari 2002.
sumber : http://www.muslimsocial.com/blogs/blog_messages?blog_id=4058830 , http://www.harakahdaily.net/v2/index.php?option=com_content&view=article&id=28664:memperingati-penyembelihan-di-sabra-shatila&catid=1:utama&Itemid=50
No comments:
Post a Comment