September 8, 2010

Hak Istimewa Melayu dari Sudut Pandangan Islam

"Hak istimewa Melayu tak boleh dipadamkan kecuali Melayu setuju"

Mata terhenti sejenak tatkala menatap helaian Berita Harian bertarikh 6 september 2010. Tajuk yang cukup menarik bagi saya. Malah pernah menjadi topik hangat perbahasan bersama kawan-kawan ketika di Sekolah Izzuddin Shah dan Kolej Mara Kuala nerang. Yang menariknya isu ini saya tidak pernah ada pendirian yang tetap sehinggalah masuk UTM.

Saya tidak mahu mengulas tajuk surat khabar, apa yang ingin saya nukilkan adalah secebis pengalaman tentang hak istimewa Melayu, dengan harapan ilmu yang diperolehi dapat dikongsi.

SIS.

Ketika barada di SIS saya merupakan antara yang cukup kuat mempertahankan hak istimewa ini. Waktu itu semangat Nasionalis dalam diri boleh tahan kuat. Hasil pengaruh kawan-kawan yang begitu melayu. Teringat saat membelek majalah massa, yang mana dalam ruangan kata-kata seorang profesor yang terkenal di negara malaysia ini mengunakan perkataan yang tidak enak apabila kaum lain mempertikaikan hak istimewa ini. Yang akhirnya perkataan itu menjadi zikir rakan-rakan.



Pendirian saya pada masa itu lebih kepada semangat tanah air. Bagi saya ini tanah orang melayu, bukankah namanya dulu 'tanah melayu' sudah terang lagi bersuluh, nak pertikai hak istimewa orang melayu buat apa? Cukup pantang dan cukup tidak selesa dengan kaum lain. Terutama dalam persoalan hak istimewa, kadang-kadang terasa ingin menghalau orang yang bercakap mengenai hak istimewa ini. Tak tahu diuntung, jerit saya dalam hati ketika itu.

Lepas SPM.

Setelah tamat SPM, saya mula mengikuti ayah ke usrah-usrah dan kuliah-kuliah selain mula membaca buku-buku harakah. Pemahaman Islam yang sedia ada meningkat, saat inilah pembinaan fikrah saya. Mula memahami harakah islamiah dan aqidah perjuangan.

Saya begitu menghayati ayat surah Al-Hujurat yang berbunyi ;
Wahai manusia! Sesungguhnya kami telah menjadikan kamu dari seorang lelaki dan seorang perempuan, kemudia kami jadikan kamu berbangsa-bangsa dan bersuku-suku agar kamu saling mengenali, sesungguhnya yang paling mulia dikalangan kamu disisi Allah ialah orang yang paling bertaqwa,Sungguh Allah Maha Mengetahui, Maha Teliti.

KMKN.



Ketika berada di KMKN saya berpendirian bahawa hak istimewa orang melayu tidak relevan mengikut Islam. Bukankah ayat diatas sudah jelas lagi terang, orang yang ,mulia adalah orang yang tinggi taqwanya. Apa ada pada bangsa? Kejadian manusia yang berbangsa-bangsa dan berlainan adalah semata-mata untuk berkenal-kenalan. Melayu, cina, mahupun india kalau tiada iman tiada yang istimewanya.

Kebetulan keadaan di KMKN orang-orang didalamnya cukup kuat semangat melayunya, asal bercakap soal bangsa merekalah wira, bila agama hanya di musolla. Saya cukup tidak suka akan keadaan begini, seperti yang saya katakan diatas apa ada pada bangsa?

Menjadi seorang melayu apa istimewanya?

Solat Zohor dua rakaat?

Puasa separuh hari?

Sebelah kaki sudah jamin di syurga?

Sudah semestinya tidak! Allah langsung tidak pandang pada bangsa. Jadi mengapa perlu kita beriya-iya dengan hak istimewa? Sedangkan bangsa arab sekalipun, tidak sedikitpun dinaikkan darjatnya, bukankah Nabi kesayangan kita orang Arab?

Hakikatnya




Pertambahan umur dan ilmu perlu seiring, barula kita menjadi seorang yang cukup matang. Dalam setiap persoalan yang timbul dalam hidup kita, jawapan tidak cukup hanya sekadar persepsi. Perlu bersandarkan al-Quran dan sunnah.

Alhamdulillah, dalam pencarian jawapan saya menjumpai satu jawapan yang cukup untuk meneguhkan pendirian saya dalam isu ini.

Sirah sahabat membuktikan bahawa dalam islam ada hak istimewa pada sesuatu kaum.

Diwaktu pemerintahan Khalifah Umar Al-khattab, setelah Parsi menerima Islam, yang mana kebanyakkan penduduk Parsi pada masa itu adalah orang-orang yang miskin. Sedangkan yang datang berniaga adalah pedagang-pedagang Arab yang kaya. Apa yang berlaku adalah orang-orang Parsi yang miskin terpaksa menjual tanah kepada pedagang-pedagang Arab yang kaya. Kesannya orang-orang Parsi kehilangan tanah.

Saidina Umar mengambil tindakan untuk mengeluarkan larangan membeli tanah orang Parsi kepada orang Arab, yang mana ianya bertujuan melindungi tanah orang Parsi. Hal ini adalah kerana jika ini dibiar berterusan, orang Arab akan menguasai tanah dan ekonomi Parsi, sekaligus orang Parsi akan terpinggir dibumi sendiri.

Samalah dengan apa yang apa yang berlaku di negara kita sekarang, hak istimewa orang Melayu diwujudkan bagi melindungi orang-orang melayu yang lemah dari segi ekonomi pendidikan dan sebagainya.

Kesimpulan

Tiada salahnya hak istimewa orang Melayu. Apa yang saya hendak tekankan disini adalah kita harus mempunyai satu hujah yang cukup kuat untuk pendirian kita, tidak boleh semberono sahaja, perlu bersandar pada sumber rujukan yang sahih. Apa saja isu siasat betul-betul bukankah kita disuruh bersifat adil pada semua.

Islam adil untuk semua.

No comments:

Post a Comment