July 31, 2011

Ramadhan

Ramadhan acap kali di sinonimkan dengan puasa dan menahan lapar dan dahaga. Kewajiban berpuasa dalam Ramadhan diraikan oleh umat Islam seluruh dunia. Kita dapat lihat sambutan dan cara meraikan Ramadhan yg berlainan mengikut negara. Tidak kurang juga kempen-kempen memperbanyakkan amalan puasa dan galakkan beribadah terutamanya qiamulail dan Terakwih dalam bulan ini.



Sebagai satu bulan yang penuh berkat dan satu-satunya bulan yang ada di dalamnya satu malam yang lebih baik dari seribu bulan, sebagaimana firman Allah dalam surah Al-Qard ayat 1-5 "Sesungguhnya kami Telah menurunkannya (Al Quran) pada malam kemuliaan. Dan tahukah kamu apakah malam kemuliaan itu?. Malam kemuliaan itu lebih baik dari seribu bulan. Pada malam itu turun malaikat-malaikat dan malaikat Jibril dengan izin Tuhannya untuk mengatur segala urusan. Malam itu (penuh) kesejahteraan sampai terbit fajar", sewajarnya Ramadhan menjadi satu bulan yang dinanti-nantikan oleh umat Islam seluruhnya.

Tetapi dalam keghairahan menyambut Ramadhan, pernahkah kita fikirkan nilai Ramadhan yang sebenarnya? hal ini adalah kerana dewasa ini Ramadhan lebih dilihat sebagai satu budaya ataupun perayaan daripada satu tuntutan agama. Kesan daripada pemikiran seperti ini menjadikan Ramadhan hilang keindahanya dan akhirnya sebilangan besar daripada kita hanya mendapat lapar dan dahaga.

Bulan kejayaan.

Menyelusur sejarah kegemilangan Islam, Ramadhan memberi satu makna yang besar yang mana didalamnya terkandung kemenagan-kemengan yang besar, yang mana keperitannya lebih perit dari menahan lapar dan dahaga dibawah terik matahari dan lebih indah dan bahagia dari menunggu saat berbuka.



Diantaranya peperangan Badar yang berlangsung dalam bulan Ramadhan yang mana dalam peperangan itu Islam menang walau hanya dengan jumlah yang sedikit. Juga berlaku dalam bulan Ramadhan beberapa pembukaan-pembukaan kota seperti pembukaan kota Mekah dan juga pembukaan kota Andalus.

Meski pun kemenangan ini dilihat mustahil dari kaca mata adad kebiasaan, kerana tentera Islam dilihat kurang dari pelbagai sudut malahan ditambah dengan tidak makan dan minum, namun hakikatnya kemenagan itu adalah milik-Nya yang mana diberikan kepada hamba-Nya yang taat dan patuh.

Yang mana Ramadhan mendisiplinkan tentera Islam untuk menjadi hamba Allah yang patuh, yang mana syarat kemenangan itu adalah sejauh mana hubungan kita dengan Allah. Sebagai mana kata-kata Saidina Umar r.a kepada panglima tenteranya "yang aku takuti bukanlah kekuatan tentera musuh tetapi maksiat yang berlaku antara kamu."

Natijah Ramadhan.

Hebatnya dan indahnya Islam adalah kesan disebalik setiap perintah dan arahan. Yang mana disebaliknya terkandung seribu kabaikan sama ada dunia mahupun akhirat. Lihatlah orang yang patuh pada agama sihat tubuh badanya, hebat pemikirannya dan gerun musuh padanya.

Allah berfirmana dalam surah Al-Baqarah ayat 183 "Hai orang-orang yang beriman, diwajibkan atas kamu berpuasa sebagaimana diwajibkan atas orang-orang sebelum kamu agar kamu bertakwa."

Natijah bagi puasa Ramadhan adalah Taqwa, yang mana Taqwa ini adalah bukan setakat melaksanakan perintah dan meninggalkan larangan. Bukan setakat menunai ketaatan dan menjauhkan kemaksiatan. Bukan setakat membuat apa yang disuruh dan meninggalkan apa yang dilarang. Bukan juga setakat meninggalkan apa yang haram dan menunaikan apa yang fardhu. Bukan setakat menjauhkan yang syirik dengan beramal dan taat kepada Allah. Bukan setakat menjauhkan diri dari segala apa yang akan menjauhkan diri kita daripada Allah. Bukan setakat menghadkan diri kepada yang halal sahaja.



Kebanyakan orang tidak faham apa sebenarnya taqwa. Walaupun istilah taqwa selalu disebut tetapi ilmu tentang taqwa tidak pernah diajar. Jalan untuk mendapatkan taqwa beramal untuk menjuruskan ketaatan kepada Allah semata-mata. Inilah kupasan dan kefahaman tentang taqwa yang dibawa oleh para ustaz, para muallim, orang yang hafaz Quran dan Hadis bahkan juga para mufti dan kadhi.

Taqwa itu tersangat dipermudahkan sehingga orang tidak merasakan bahawa taqwa itu penting dan perlu diperjuangkan demi untuk mendapat keselamatan di dunia dan Akhirat. Maksud taqwa sebenarnya lebih dalam dan lebih luas dari itu. Taqwa adalah antara perkara yang terpokok dalam agama.

Perkara sebesar Taqwa inilah yang merupakan natijah kepada Ramadhan, andai kata jalan Taqwa yang dibentang seluasnya dalam Ramadhan ini tidak diselusuri maka satu kerugian yang amat besar kepada kita.

Kesimpulan.

Ramadhan bukanlah bulan beribadat kerana ibadat itu bukanlah untuk sebulan sahaja tetapi setiap masa. Ada orang sungguh solatnya, zikirnya dan bacaan Al-Qurannya dalam Ramadhan tetapi selepas Ramadhan segala kebiasaan itu hilang begitu sahaja, lebih malang lagi ianya diganti dengan perbuatan maksiat yang melalaikan.

Mari lah kita melakukan perubahan dengan menjadi hamba Allah bukan hamba Ramadhan, hamba Allah ibadatnya bukan hanya pada Ramadhan dan bukan juga kerana Ramadhan tetapi hamba Allah amalannya istiqamah dan hanya mengharap pada redha Allah semata-mata.

Sungguh Ramadhan itu adlah satu proses pendidikan untuk membentuk insan Taqwa yang habat. Hayatilah dan ikutilah proses Ramadhan supaya kita tidak termasuk dalam golongan yang rugi.

"Bahawa di dalam syurga terdapat bilik bilik, dilihat dari luar nampak di dalamnya dan dilihat dari dalam kelihatan di luarnya, berkata sahabat : untuk siapakah ya Rasulullah? Lantas Baginda menjawab : Ialah bagi orang yang baik percakapannya, bagi orang yang memberi makan makanan, bagi orang yang sentiasa berpuasa, bagi orang yang sembahyang di tengah malam sedang manusia banyak tidur." (Al Hadith)