December 26, 2013

Cinta itu

Cinta itu kadang-kadang hanya menurut perintah hati, bukan menurut pendapat otak. Dia belum berbahaya sebelum mendalam. Kalau dia telah mendalam, kerap kali kalau yang kena cinta tak pandai, ia merosakkan kemahuan dan kekerasan hati lelaki.

Cinta itu adalah jiwa, antara cinta yang sejati dengan jiwa tak dapat dipisahkan, cinta pun merdeka sebagaimana jiwa. Ia tidak membezakan di antara darjat dan abngsa, diantara kaya dan miskin, mulia dan papa.


Cinta itu 'adil' sifatnya, Allah telah mentakdirkan dia dalam keadilan, tidak membeza-bezakan di antara raja-raja dengan orang minta-minta, tidak menyisihkan orang kaya dengan orang miskin, orang hina dengan orang mulia, bahkan kadang-kadang tiada juga berbeza baginya antara bangsa dengan bangsa.

Cinta itulah yang telah merupakan dirinya menjadi satu ketakutan, cinta itu kerap kali berupa putus harapan, takut cemburu, hiba hati dan kadang-kadang berani.


December 25, 2013

Airmata

Bahawasanya airmata tidaklah ia memilih tempat untuk jatuh, tidak pula memilih waktu untuk turun.

Airmata adalah kepunyaan berserikat, dipunyai oleh orang melarat yang tingal di dangau-dangau yang buruk, oleh tukang sabit rumput yang masuk ke padang yang luas dan ke tebing yang curam, dan juga penghuni gedung-gedung yang permai dan istana-istana yang indah.

Bahkan disitu lebih banyak orang yang menekan ratap dan memulas tangis. Luka jiwa yang meraka hidapkan, dilingkung oleh tembok dinding yang tebal dan tinggi, sehingga yang kelihatan oleh orang luar atau mereka ketahui, hanya senyumannya saja, padahal senyum itu penuh dengan kepahitan.

Kesedihan orang lain lebih merdeka dan lebih luas dapat dia menerangkan fahamnya yang terumbuk kepada alam sekelilingnya, dapat pula mereka melupakan dan menghilangkan. Tetapi dirumahtangga yang sebagai ini, kedukaan dirasakan sendiri, airmata akan dicucurkan seorang, rumah dan gedung menjadi kuburan kesedihan yang tiada berpenghujung.


December 23, 2013

Merenung Laut dan Hujan


Ada rindu yang mencengkam..
Ada pilu yang terpendam..
Ada kasih yang membungkam..
Ada cinta yang tidak terpadam..

December 18, 2013

Tak Berpendakian Tak Turun Lagi

"Sudah demikian mestinya hidup itu, habis kesulitan yang satu akan menimpa pula kesulitan yang lain. Kita hanya beristirehat buat sementara, guna untuk mengumpul kekuatan untuk menempuh perjuangan yang baru dan mengatasinya.

Sebab itulah maka tidak usah kita menangis pada waktu mendaki, sebab dibalik puncak perhentian pendakian itu telah menunggu daerah yang menurun. Hanya satu yang akan kita jaga di sana iaitu kuatkan kaki supaya tidak tergelincir. Dan tak usah kita tertawa sewaktu menurun kerana kelak kita akan menempuh pendakian pula yang biasanya lebih tinggi dan menggoyahkan lutut daripada pendakian yang dahulu.

Dan barulah kelak pada akhir sekali, akan berhenti pendakian dan penurunan itu, di satu sawang luas terbentang bernama maut. Di sana akan bertemu alat datar, tak berpendakian tak turun lagi."

Merantau ke Deli, HAMKA m/s 36,37


December 14, 2013

PENGALAMAN HOSPITAL 4 -Redha Ilahi

Dalam empat hari aku dekat dalam wad, hari kedua merupakan hari paling kritikal. Satu badan tumbuh ruam-ruam, dada jadi sesak, dan perut belah kanan rasa sakit. Aku tanya doktor kenapa sakit, dia cakap ruam tu jadi bila darah keluar dari salurnya dan kesannya dia menjadi merah-merah seluruh badan, dada yang sakit kerana paru-paru yang ada masalah bila air dalam badan tak cukup, dan perut yang sakit ada kaitan dengan hati yang mungkin bengkak.

Aku dengar ucapan doktor tu dengan khusyuk sambil menahan sakit badan. Aku sandarkan badan pada katil, dan berfikir. Bila hati jantung masalah, aku mula rasa yang masa aku dah tak lama. Mungkin malam ini malam yang terakhir, mungkin pagi tadi subuh yang terakhir.

Bila rasa nyawa sudah tidak lama, aku tidak lagi fikir kerjaya yang aku baru nak bina.

Bila rasa masa sudah tiada, tidak lagi aku fikir perempuan yang aku suka.

Bila rasa masa sudah tidak lama, aku tidak lagi fikir harta yang aku kejar.

Aku pegang dada, gosok pelahan, secara berbisik aku mula berdoa,

" Laailahailaanta subhanainni kuntum minazzalimin"

Aku pejam mata, menggumam doa nabi Yunus perlahan dan berulang-rulang, aku mula merasa panas di pipi, air mata mula mengalir pelahan.

Saat itu hanya satu yang ku ingat.

"Ya Allah, jika Kau ambil aku hari ini, redhakah Kau pada-ku?"




p/s: Saat terasa nyawa dipenghujungnya, wanita yang kita cinta, harta yang kita cita, sudah hilang nilainya. Yang kita ingin hanyalah redha-Nya.

December 13, 2013

Selamat Jalan Pahlawan Agama

Saat terasa sudah sampai masanya. Apa yang lebih penting dari redha-Nya. Apakah ada cara yang lebih indah dalam menggapai redha-Nya selain syahid di jalan-Nya.

Selamat jalan murabbi-ku. Doakan hujung hayat-ku seperti kamu. Supaya kita dapat bertemu. Di sana.

Amin.

PENGALAMAN HOSPITAL 3-Indahnya Sujud.

Bila masuk hospital, jarum wayar dalam tangan, macam mana nak rasa solat dengan sempurna, kan? Nak ambil wudu' kena sapu air di sekitar anggota wudu'. Tak semua yang boleh kena, benda yang halang tak mampu nak hilang. Plaster, jarum, wayar, dan lain-lain.

Nak bergerak kena bawa sekali tiang tempat letak air, kalau main bawak je bekas air, nanti wayar nak guna untuk masuk air penuh dengan darah, bising akak-akak nurse. Jadinya, dari ambil wudu' sudah ala kadar.

Nak solat kena duduk, tak boleh nak berdiri, duduk atas kerusi atau atas katil. Bergantung pada rezeki masa tu. Kalau tak ada kerusi, bersila atas katil. Bila dah solat macam tu, macam mana ruku', sujud? Sekadar boleh sahaja. Cukup jadi isyarat.

Saat yang macam ini, kadang-kadang rasa nak mengalir air mata, rindu rasa nak letak kepala sujud dengan sempurna. Teringin rasa nak sujud lama-lama pada Tuhan.

Masa sihat tak rasa, masa boleh solat sempurna tak rasa nikmatnya. Bila dah boleh solat sempurna, rasa syukur sangat, sujud lama-lama. Nasib baik duduk hospital hanya sekejap, masih lagi boleh sujud. Macam mana ye, kalau satu hari nanti Allah tarik nikmat sujud?

Agak-agak bila lagi boleh rasa?





p/s: Dah boleh solat sempurna, mula la leka. Hai, manusia~

PENGALAMAN HOSPITAL 2 -Menghormati Jarum.

Sepanjang aku hidup dekat dunia ni, aku memang pandang sebelah mata je orang yang takut dekat jarum hospital ni. Bagi aku tak ada apa yang nak ditakutkan dengan jarum hospital, yela, jarum kecik je, bukan panjang pun, apa mau takut.

Sebelum aku masuk wad, dengar-dengar jugak yang kalau kes denggi dia ambik darah 6 jam sekali, dalam erti kata lain setiap 6 jam akn dicucuk untuk ambil darah. Macam biasa benda tu aku tak ambik kisah pun. Jarum je pun~

Perkara ini berterusan sehingga hari pertama aku masuk wad. Pandangan alam aku pada jarum terus berubah 180 darjah. Aku mula respek jarum dan orang yang takut jarum, ini semua terjadi setelah aku kenal dengan jarum di tahap yang baru. Branula.

Branula ni, Doktor akan cucuk dekat tangan dan biarkan dia di situ, gunanya untuk ambil darah dan masukkan air dalam badan. Panjangnya usah dikenang, tengok pun dah takut, bila cucuk mana ada pakai bius apa, main masuk ja, memang merana setiap kali cucuk.

Selama empat hari dalam hospital tuh, branula meratah tangan aku sebanyak enam kali.

Sakit? Try masuk la tengok..


Dr.Khadijah Noh sedang mencuba-cuba cucuk Branula, cubaan yang ini gagal kerana kulit penulis keras macam besi. keh3


p/s: Aku tak pasti betoi ke dak aku eja branula tu, nama pun dah dekat-dekat nama dinasour.

PENGALAMAN HOSPITAL1 -Misteri Katil No.6

Pihak hospital letak aku kat wad 3 katil no.5, sebelah aku ada sebijik katil yang misteri. Katil no.6. Misterinya katil no.6 ni, setiap malam pukul 3 pagi akan ada penghuni baru, dan penghuni katil no.6 takkan tahan lama. Cukup sehari saja!

Sepanjang aku duduk dekat hospital, aku hanya sempat kenal dengan dua orang penghuni katil no.6 saja. Yela aku duduk pun tiga hari saja. Yang pertama pakcik dari Pantai Remis, dia masuk hospital sakit kencing manis, yang kedua anak muda dari Pasir Salak, dia sakit sama dengan aku, suspek denggi. Dua-dua manusia ini mengalami nasib yang sama, masuk pukul tiga pagi, esok pergi.

Aku yang dekat sebelah semestinya tidak boleh membiarkan perkara ini terus terjadi depan mata aku. Jadi aku plan satu perancangan. Aku nak pindah katil! Jadi aku tunggu akak-akak Nurse datang cek aku untuk menjayakan misi aku.

"Akak saya nak pindah katil boleh?, saya nak duduk katil no.6 ni, tapi saya tak nak tukar sekarang, tunggu pukul tiga nanti."

"Hah, kenapa?"

"Yela, penghuni katil no.6 semua sehari je, saya duduk katil no.5 ni dah dua hari dah ni, duduk katil no.6 cepat sikit balik."

Akak Nurse tu pandang aku atas bawah, jelas raut wajah tak puas hati dengan permintaan tulus aku. Dengan jelas dan terang aku dengar dia cakap.

"Jangan harap"



Katil yang kosong sebelah itulah katil no.6


p/s: Sepanjang aku duduk wad tak ada lagi penghuni katil no.6 mati, balik adalah. he

November 25, 2013

Menang Pada-mu Kawan.

 Kawan, dalam perjuangan ini apa yang kau inginkan? Benarkah kemenangan yang benar-benar kau tagihkan. Hilangkah nilai perjuangan kerana hilangnya kemenangan?

Kawan, jalan yang kau rintis ini susah dan panjang. Penuh onak dan duri sepanjang jalan. Lantas jika sudah berkali-kali kau cuba kemenangan bukan dalam genggaman. Apa yang ingin kau hairankan?

Kawan, hak manusia masih ditindas, yang mewakili mereka hanya anjing penindas, lalu tugas-mu kawan untuk tidak terus jatuh dalam perjungan.

Kawan, walau kau tidak dipilih orang, walau kau tewas kerana kau serba kekurangan. Ingatlah perjuangan harus diteruskan.

Teruslah memberi buah fikiran dan peringatan, kepada perwakilan-perwakilan yang kononnya buat kerja. Yang katanya membela hak manusia. Sedangkan menjadi aparat kepada regim yang zalim.

Pastikan, hak manusia terus terbela, jangan ada yang memperbodohkan orang, jangan ada yang ambil kesempatan.

Kawan, jalan masih panjang, namun hujungnya, redha dan Syurga dari tuhan.


STUDENT POWER!: Hilangnya HEMA Kurang Ajar

DI UTM ada sebuah bangunan yang dinamakan Student Union Building yang mana didalamnya ditempatkan bilik-bilik persatuan mahasiswa dan juga kemudahan-kemudahan yang diberi untuk mahasiswa seperti kedai buku, bank, pejabat pos dan sebagainya. Namun kerana kerakusan HEMA yang mahukan tempat yang lebih luas dan selesa, semua persatuan di arahkan pindah kerana HEMA ingin mengambil alih bangunan tersebut. Yang lebih mendukacitakan cara mahasiswa di arahkan pindah sama seperti penduduk setinggan dihalau, diberi sekian-sekian masa untuk mengambil barang, jika tidak barang akan dibuang dan bilik akan dikosongkan. Malah, tiada satu bilik pun diganti oleh HEMA. Hasil dari perjuangan semua pihak membangkitkan isu ini, akhirnya HEMA memberi sebuah bangunan yang dinamakan Geleria Siswa sebagai ganti.

Dalam sistem pendidikan di UTM, mahasiswa akan menjalani latihan industri samaada luar semester, dalam cuti semester, atau dalam semester. Biasiswa masuk biasanya di awal semester dan biasanya cukup-cukup hingga akhir semester. Maka, mana-mana mahasiswa yang menjalani latihan industri dalam semester boleh dikatakan untung kerana ada duit belanja. Berbeza dengan yang menjalani latihan semester di luar semester. Biasanya mereka ini terpaksa bergantung kepada ibu-bapa masing-masing atau sedikit alaun yang diberi oleh syarikat yang memberi latihan. Dalam beberapa tahun lepas HEMA mengenakan bayaran yuran sebanyak tiga ratus lebih kepada yang berlatihan industri di luar semester, dan ini benar-benar menyusahkan mahasiswa, terutamanya yang keluarganya susah. Dari cerita rakan-rakan, ada yang sampai terpaksa meminta zakat di pusat islam kerana terdesak. Sehingga hari ini HEMA tidak pernah mengkaji perkara ini dan lebih malang lagi tidak ada mahasiswa pun yang membantah perkara ini secara serius.

Pilihanraya Kampus merupakan tempat mahasiswa memilih pemimpin dan wakil mereka untuk membawa suara mahasiswa kepada pihak pentadbiran dalam pelbagai isu yang melibatkan mahasiswa. Selayaknya pilihanraya kampus bebas dan tiada langsung campur tangan dari pihak pentadbiran. Mahasiswa layak memilih wakil mereka dalam membawa suara mereka. Tapi, malangnya tanpa segan silu pihak pentadbiran dari kampus sehingga kolej masuk campur dan tolong kempen untuk calon-calon pilihan mereka. Hasilnya Majlis Perwakilan Mahasiswa tidak berjalan dengan yang sepatutnya dan mahasiswa tidak dibela. Bagi menyelesaikan perkara ini satu gerakkan telah dilancarkan. Gerakkan yang bernama 6t ini telah menghantar memorandum kepada TNC dan beberapa siri penerangan telah dijalankan. Malangnya sehingga kini tiada jaminan dari pihak HEMA untuk perkara ini.

Semasa pesta konvokesyen yang lepas, bayaran yang dikenakan kepada semua graduan adalah dua ratus ringgit. Dalam dua ratus ringgit itu tidak langsung dinyatakan bayaran untuk apa. Graduan diberi pilihan bayar atau tidak, jika tidak mungkin transkip akan disekat dan sebabgainya, dan yang lebih mengecewakan, datang atau tidak, bayar! saya mengikuti keluhan rakan-rakan yang tidak dapat hadir kerana sudah menyambung pelajaran di luar negara atau bekerja diluar negara. Sungguh mengecewakan.

Di atas merupakan sedikit bingkisan tentang peragai HEMA yang langsung tidak menghormati hak mahasiswa, mahasiswa diperas, dihalau, dan dikhianati dengan sewenang-wenangnya. Sedangkan HEMA merupakan satu badan yang diamanahkan untuk menjaga mahasiswa, dan sikap tidak menghormati ini merupakan satu sikap yang kurang ajar.

Persoalan yang ingin saya lontarkan disini adalah mengapa perkara ini berlaku dan apa kaitanya dengan STUDENT POWER yang selalu dilontarkan. STUDENT POWER merupakan sata frasa yang membawa maksud kuasa mahasiswa, yang mana yang dikatakan dengan kuasa mahasiswa bukanlah beerti mahasiswa ingin mengambil alih universiti mahupun ingin menghapuskan HEMA. Tetapi frasa STUDENT POWER merupakan satu frasa yang menunjukkan bahawa sebagai penuntut di universiti mahasiswa punya hak yang harus dijaga. Bukan sahaja hak yang berkaitan dengan kebajikan seperti kolej dan sebagainya, tetapi hak-hak lain seperti hak berfikir, hak bersuara, hak berpolitik, dan hak berpersatuan.

Bila STUDENT POWER tiada HEMA akan jadi kurang ajar, dengan sewenang-wenangnya menginayai mahasiswa dengan peraturan tidak masuk akal dan hanya untuk kepentingan HEMA.

STUDENT POWER!

Ibrahim Khalil Noh
Majlis Politik
Gamis Johor

Buat Pengerang.

Rakyat di Pengerang sedang berada dalam ancaman serius, bakal kehilangan tempat tinggal dan pekerjaan. Tanah yang diwarisi bertahun-tahun bakal diambil pemerintah bagi menjalankan projek mega untuk menebalkan poket kroni dan kapitalis yang gila.

Bumi di Pengerang pun berada dalam situasi yang serius, sangat serius. Dilingkari dengan pencemaran dan pelupusan haiwan yang mendiami tempat tersebut sekian lama. Hasil eko-sistem yang diganggu oleh pembanggunan.  

Siapa yang turun melihat dengan mata kepala sendiri keadaan Pengerang saya yakin pasti akan marah, dan sedih dalam masa yang sama. Lihat bagaimana alam terseksa dengan tambakkan laut, tengok macam mana penduduk di halau dengan akta pengambilan tanah sedang mereka ini hanya golongan marhean, dan kerana itu mereka ditindas, pandang macam mana kubur dibongkar dan jenazah allayarham dan Allayarhamah yang ada dilayan bagaimana.

Namun Pengerang tidak keseorangan, muncul satu golongan marhaen yang bangkit dan dan membela nasib mereka yang tertindas di sana. Juga bersama membela alam yang rakus dicedera atas nama pembanggunan negara. Lalu tertubuhlah satu badan bukan kerajaan atau NGO dengan nama Pengerang. NGO ini diketuai oleh anak muda yang bernama Anis Afida Azli.

Namun lumrah bertemu dengan golongan gila dunia. Ancaman hadir tanpa henti, pihak yang berkepentingan akan cuba menghalang sedaya mungkin. Tempoh hari, batu nisan bersiap tarikh digantung di pagar, ancaman bunuh! Hari ini, cat merah menghiasi rumah, tanda darah!

Kami mewakili, mahasiswa islam di Johor, menentang sekeras-kerasnya perkara ini. Sudahlah merampas tanah, melayan jenazah, dan memperlakukan alam secara samseng. Tidak cukup dengan itu cuba menghalang gerakkan yang membawa kesedaran dengan cara samseng jua.

Kaedah dan golongan samseng ini hanya diterima pakai pada zaman Ali-Baba, orang sekarang sudah intelek, rakyat mampu akses internet. Orang muda dahaga hujah bernas dan logik. Rakyat muak dengan politik fitnah dan samseng ini.

Jadi, kami menyeru kepada golongan yang masih berpemikiran begini supaya berubah, dan kepada rakyat sekalian, kami mahasiswa mohon kita tolak orang begini demi masa depan generasi akan datang.

Buat NGO Pengerang, juga saudari Anis Afida Azli, kami mahasiswa secara amnya, dan Gamis Johor khususnya kami akan setia bersama kalian, untuk pengerang dan negara yang kami cintai ini.

Ibrahim Noh
Majlis Politik,
Gamis Johor.

Speker’s Corner: Suara kecil yang ditakuti Regim Universiti.

Beberapa tahun yang lepas saya antara mahasiswa di Universiti Teknologi Malaysia(UTM) yang menyambut baik dengan perasmian tapak sudut pidato oleh Timbalan Menteri Pengajian Tinggi, Dato Saifudin Abdullah. Saya melihat ini sebagai satu platform yang baik bagi mahasiswa UTM melatih diri dengan dengan kemahiran berpidato dan juga satu tempat perkongsian matlumat yang baik. 

Saya juga secara langsung dan tidak langsung melibatkan diri dalam beberapa siri anjuran sudut pidato di UTM. Dari pemegang kain rentang, pemegang pembesar suara sehinggalah menjadi salah seorang yang berpidato. Saya dan sahabat-sahabat cuba memanfaatkan sudut pidato dengan sebaiknya. Menyahut saranan perasmi, pastinya.  

Namun sepanjang pengalaman saya dengan sudut pidato banyak perkara yang sangat saya kesalkan. Ada beberapa siri sudut pidato yang saya dan sahabat-sahabat terpaksa batalkan dek kerana arahan dari pihak pentadbiran. Banyak alasan dan amaran yang dikeluarkan, dan setiap kali sudut pidato dijalankan penuh pengawai keselamatan turun seolah-olah kami akan lakukan rusuhan.

Birokrasi yang ada setiap kali sudut pidato ingin dijalankan sangat dikesalkan. Kami perlu hantar surat kepada pihak keselamatan dan HEMA, surat perlu disertakan dengan lampiran apa yang ingin dikatakan dan banyak lagi. Jika kelulusan diberi banyak halangan yang akan diberi, hanya sekian-sekian orang yang dibenarkan berucap, ada tempoh masa tertentu untuk berucap, dan apa yang diucapkan perlu sama dengan apa yang dilampirkan-baca tekslah kalau begitu.

Ini sangat berlawanan dengan aspirasi sudut pidato, sejarah dan asal-usul sudut pidato saya rasa kita boleh cari dalam internet. Dalam dunia serba canggih ini segala matlumat hanya dihujung jari. Bermula di England sehinggalah ke Universiti Malaya. Sudut pidato banyak melahirkan pemimpin mahasiswa yang berjiwa rakyat. Semestinya sudut pidato yang melahirkan pemidato seperti mereka tidak punya birokrasi dan halangan-halangan sebegini.

Segala halangan dan birokrsi yang dilakukan menunjukkan sudut pidato sangat ditakuti oleh pentadbiran Universiti, kerana apa saya sendiri tidak pasti. Semestinya sudut pidato yang dilakukan di Dataran Agora itu suaranya sangat kecil, didengari oleh sejumlah kecil mahasiswa dan kesannya hanya sedikit, bahkan tidak tergugat sedikit pun kedudukan Naib Censelor dan Timbalan Naib Censelor. Apa lagi pengawai pendaftar di HEMA.

Segala pembodohan kepada mahasiswa ini sepatutnya dihentikan. Biar mahasiswa bersuara dengan apa yang ingin disuarakan. Jangan tutup ruang dan peluang mahasiswa untuk menunjukkan bakat dan potensi sendiri, jikapun mahasiswa itu tiada bakat biarlah sudut pidato menjadi tempat mengasah bakat mahasiswa. Mahasiswa cukup intelek untuk memilih sendiri tajuk dan perkara yang ingin dikatakan agar tidak menyentuh sensitiviti kaum dan agama. Biarlah mahasiswa yang berjiwa besar ingin menyampaikan sesuatu di sudut yang kecil itu.

Hari ini, jumaat 1/3/13 satu lagi sudut pidato menerima arahan batal dan ini bukan perkara baru, tapi seringkali berlaku. Saya masih tidak dapat lupakan sudut pidato anjuran saya dan rakan-rakan dirampas oleh pengawai HEMA dengan dia sendiri berucap dalam sudut itu. Tidak termasuk saya dan rakan-rakan berkali-kali dipanggil ke pejabat HEMA dan balai keselamatan untuk berunding.

Maaf jika kasar pada pandangan saya bukan ini cara mendidik manusia, haiwan mungkin. Mungkin orang-orang seperti ini selayaknya dihantar ke sarkas untuk mendidik haiwan dari dibiarkan menjadikan manusia di unversiti seperti haiwan sarkas.

Ibrahim Noh
Majlis Politik
Gamis Johor

Bilik dan Persatuan.

Berpersatuan menjadi satu kewajiban kepada mahasiswa dalam melatih dan mendidik diri menghadapi realiti dunia kerjaya.  Yang mana dunia ini memerlukan mahasiswa yang baik dari sudut pengurusan dan kepimpinan.  

Kita memuji HEMA yang memainkan peranan dalam membantu mahasiswa menggerakkan persatuan. Tambahan, HEMA juga memainkan peranan sebagai bapa kepada mahasiswa,  yang mana menjadi pihak yang memberi tunjuk ajar dan bantuan kepada mahasiswa. Namun, beberapa kelemahan atas beberapa perkara yang berlaku amat kita kesali.

Bilik dan Persatuan.

Bilik menjadi satu perkara penting bagi sesebuah persatuan. Bilik memainkan peranan sebagai nadi kepada persatuan. Menjadi tempat menyimpan aset, tempat dan juga tempat berkumpul sesama ahli persatuan. Agak rumit bagi sesebuah persatuan untuk bergerak tanpa bilik.

Situasi di UTM, tidak semua persatuan mempunyai bilik sendiri. Hanya beberapa persatuan utama yang mempunyai bilik sendiri. Yang ada pun terpaksa berkongsi dengan persatuan lain. Ini amat menyukarkan persatuan dan banyak masalah antara persatuan yang timbul angkara dari perkongsian bilik, masalah seperti kehilangan barang dan sebagainya menimbulkan kedinginan antara persatuan.

Peranan Hema

Ini bukan masalah baru, tetapi sudah berlarutan sekian lama. Lebih buruk lagi pengambilan Student Union Building (SUB) untuk dijadikan pejabat HEMA, menambah parahkan lagi masalah bilik persatuan ini.

Yang amat dikesali adalah persatuan yang kehilangan bilik tidak diganti dengan selayaknya. HEMA tidak menguruskan perkara ini dengan sebaiknya, banyak persatuan yang menjadi mangsa akibat daripada pengambilan SUB. Hakikatnya, sebagai bapa HEMA tidak memainkan peranan selayaknya, malahan mengorbankan kepentingan mahasiswa demi untuk kesenangan dan keselesaan HEMA.

Kezaliman yang Dikesali


Tidak meletakkan sesuatu pada tempatnya itu zalim, dan sebagai orang yang diberi amanah, dengan tidak melaksanakan amanah itu sebaiknya adalah suatu bentuk kezaliman. Islam sebagai rahmat kepada sekalian alam, cukup memandang berat akan kezaliman ini. Tuntutan untuk melaksanakan amanah dengan keadilan adalah sangat dititik beratkan oleh Islam.

Islam amat menuntut kepada perlakuan adil, walaupun kepada musuh kita perlu hukum dengan hukum yang adil, Allah berfirman dalam Al-Quran;

"Dan janganlah sekali-kali kebencianmu terhadap suatu kaum, mendorong kamu untuk berlaku tidak adil. Berlaku adillah, karena itu lebih dekat kepada takwa. Dan bertakwalah kepada Allah, sungguh Allah Mahateliti apa yang kamu kerjakan "( QS. Al- Maidah : 8 )

Lihatlah contoh tauladan daripada Saidina Ali yang mana dia ditikam ketika dia ingin menunaikan solat subuh, yang mana orang yang menikam Saidina Ali dapat ditangkap. Ketika itu nasihat Saidina Ali kepada anaknya “jangan kamu zalimi dia, jangan kamu aniaya dia, jika dengan tikaman ini aku mati maka hukumlah dia dengan khisas dan jika aku tidak mati hukumlah dia dengan hukum takzir” Bahkan ketika mana Saidina Ali merasakan ajalnya sudah dekat dia mengarahkan supaya makanannya diberikan kepada orang yang menikamnya.

Kesimpulan

Andai pihak yang diharapkan tidak dapat memainkan peranan dengan sepatutnya, mungkin sudah masanya bagi mahasiswa yang matang ini untuk menguruskannya sendiri. Apa makna ada HEMA yang dikatakan menjaga kebajikan mahasiswa jika hanya mementingkan kebajikan sendiri.

Demokrasi Kampus: Kembalikan!

Kampus merupakan tempat mendidik bakal pemimpin dan aktivis masyarakat yang paling ideal. Suasananya, kehidupan di dalamnya, program-programnya, dan banyak lagi dapat membentuk satu golongan profesional yang selayakkanya mampu memimpin negara suatu hari nanti.

Lantas, tempat yang ideal bagi membentuk aktivis dan pemimpin masyarakat ini selayaknya dihidupkan sebaiknya. Antara faktor penting yang perlu dihidupkan dalam kampus adalah demokrasi kampus. Hidupnya demokrasi dalam kampus akan membantu mahasiswa belajar dan bereksperimen bagi mengutip pengalaman untuk di praktikkan dalam lapangan sebenar nanti.

Namun, setelah sekian lama, demokrasi kampus hari ini masih dalam cengkaman ketidak adilan dan kebebasan sepenuhnya. Demokrasi kampus di Malaysia masih dalam penguasaan pihak yang tidak selayaknya. Mahasiswa tidak diberi kuasa sepenuhnya untuk memilih wakil mereka yang akan membawa suara dan memperjuangkan hak mereka di kampus. Lebih malang lagi aktiviti pembodohan terancang secara tersusun membuatkan demokrasi kampus semakin tenat dan sesak. Hari ini, demokrasi kampus menunggu masa untuk lenyap sepenuhnya dari kampus-kampus seluruh negara.

Walaubagiamanapun, perjuangan bagi menuntut demokrasi kampus tidak pernah lenyap dan padam, bagi aktivis mahasiswa di kampus-kampus seluruh negara, apa lagi yang tidak lakukan. Mengusung keranda demokrasi, mengangkat nisan demokrasi, menghantar memorandum menyatakan hasrat dan harapan, dan banyak lagi. Dari pegawai HEP hinggalah ke pak menteri, suara menginginkan demokrasi kampus yang adil dan subur terus disuarakan tanpa penat dan jemu.Walaupun segala usaha ini dipandang sepi dan tiada tindakan, usaha menyuburkan demokrasi kampus tidak pernah padam.

Kampus-kampus bahagian selatan tidak terkecuali dalam penindasan terancang ini. Malahan usaha-usaha membunuh demokrasi kampus secara terancang ini berjalan dengan hebatnya. Beberapa isu yang berlaku di kampus-kampus utama seperti di UTM dan UTHM saban tahun setiap kali mejelang Pilihanraya kampus membuktikan betapa parahnya keadaan ini.

Keadaan ini hendaklah dihentikan sepenuhnya, demokrasi kampus hendaklah dipulihkan sepenuhnya, campur tangan HEP dalam urusan pilihanraya hendaklah dikaji dan dikurangkan. Biarlah politik kampus berjalan secara sihat dan matang. Tak salah membiarkan mahasiswa belajar dari pengalaman yang hanya mereka mampu kutip di kampus. Tuntutan bagi mengembalikan demokrasi kampus hendaklah dipandang berat dan dikaji, laksanakan kerana ianya bukan sahaja baik untuk mahasiswa tetapi baik untuk negara.

Enam tuntutan dari UTM:
a) Membenarkan sistem parti semasa pilihanraya kampus.
b) Mengoptimumkan jumlah kerusi yang dipertandingkan bagi setiap fakulti.
c) Tarikh pilihanraya kampus yang tetap
d) Penglibatan mahasiswa dalam jawatankuasa pilihanraya kampus
e) Mahasiswa diberi kebebasan berkempen sepenuhnya
f) Memperuntukkan dana kepada setiap calon

dan, sembilan tuntutan dari UTHM:
a) Pengumuman tarik PRK
b) Peruntukkan kewangan kepada calon
c) Membenarkan bahan kempen berwarna
d) Penyerahan poster dan manifesto serentak
e) Peraturan PRK yang jelas dan terperinci
f) Kebenaran kempen di media elektronik
g) Lima hari bercuti sewaktu berkempen
h) Penyerahan kepetusan rasmi secara hardcopy
i) Memaparkan struktur organisasi Jawatankuasa pemilihan sebelum tarikh penamaan calon.

Tuntutan ini menunujukkan hasrat dan harapan yang tinggi mahasiswa untuk melihat demokrasi kampus subur. Tuntutan ini tidak memberi kelebihan pada mana-mana pihak, tapi memberikan ruang keadilan dan kesamarataan bagi semua calon yang bertanding.

Bagi pihak yang berwajib, memandang sepi tuntutan ini merupakan satu kezaliman yang pastinya kan disoal di akhirat kelak. kaji dan jawablah semua tuntutan, nyatakan sebab yang munasabah jika tuntutan ini tidak boleh dijalankan. Jika tiada halangan, tiada tangguh lagi ianya perlu dijalankan secepatnya.

Bagi mahasiswa, selagi di tekan demokrasi kampus, lagi kuatlah kita melawan. Perjuangan hak dan menentang kezaliman merupakan satu seruan yang tidak boleh ditolak.

STUDENT POWER!

Ibrahim Khalil Noh
Majlis Politik,
Gamis Johor.

ISLAMIC GARDEN: Ruang untuk berkongsi

Pebezaan pendapat dan pandangan hidup sering kali membuatkan manusia bertelagah semasa sendiri. Masing-masing dengan hujah dan pandangan masing-masing, yang mana pandangan dan hujah itu terbentuk dari pengalaman hidup dan suasana tersendiri. Pertelagahan ini akan membawa pada permusuhan dan pepecahan. Sedangkan, perbezaan hakikatnya adalah keindahan yang melengkapkan kehidupan.

Kemasukkan artis dan program-program yang dirasakan tidak wajar oleh sesetengah orang dalam Festival Konvokesyen baru-baru ini menyebabkan berlakunya pertelagahan. Perbezaan ini gagal difahami antara satu sama lain. Semua merasakan diri mereka tidak difahami dan merasakan diri mereka dipersalhkan oleh orang yang tidak sepatutnya. Mungkin niat menegur oleh sesetengah pihak yang dirasakan tidak layak menegur kerana tidak pernah membuat program sukar diterima dan dihadam.

Perkara ini tidak akan selesai jika kita tidak berlajar antara satu sama lain, berkongsi dengan mengambil pengalaman dan berdialog adalah satu perkara yang amat digalakkan oleh Islam itu sendiri. Program seperti ini akan membuka lebih banyak ruang untuk bersama dan memahami antara satu sama lain.

Pada 29/11 sehingga 1/12 tahun ini, PMIUTM akan menganjurkan semua program yang bernama Islamic Garden. Yang mana program berteraskan keilmuan dan pemahaman Islam ini merupakan satu program besar yang akan dianjurkan oleh PMI.



Saya menyeru kepada semua mahasiswa untuk turut serta dalam program ini, pada FESKO yang lepas kita berkata tentang kritikan tanpa saranan, juga kritikan tanpa pengalaman. Saranan yang saya rasa PMIUTM boleh beri dapat diterjemahkan dalam program Islamic Garden ini, manakala pengalaman, di sinilah PMIUTM belajar dan mengajar.

Saya melihat program Islamic Garden ini menjadi ruang yang indah untuk kita berkongsi harapan dan ilmu. Juga ruang yang luas untuk kita saling belajar dan memahami kehendak dan pemikiran antara kita. Malanglah, jika ruang yang baik ini kita gagal manfaatkan antara satu sama lain.

Maka, datanglah, semoga ada manfaatnya, semoga kita boleh saling bersama dan belajar. Semoga kita dapat rasakan indahnya perbezaan itu.

Yang benar, saudara kamu..
Ibrahim Khalil Noh
Majlis Politik,
Gamis Johor.

November 18, 2013

Lumpuh Tanpamu.

Aku mampu melihat,
tetapi tidak bayang-mu.

Aku mampu mendengar,
tetapi tidak suara-mu.

Aku mampu menyentuh,
tetapi tidak diri-mu.

Aku mampu bersuara,
Tetapi takkan kau dengari,

 Aku mampu merasa,
Tetapi tidak sentuhan-mu,

Aku mampu bermimpi,
Tetapi bukan bersama-mu.

Aku sedang merindu,
Tapi kau tidak pernah tahu.

Lalu,

Aku terdampar,
Tidak berdaya,

Mengisi sisa hidup,
Bersama kenangan lama,

Selamanya.

Ibrahim Khalil Noh
Seri Manjung Perak
Isnin, 18/11/2013

November 3, 2013

Lari

"Sebab pendakwah macam kau-lah kami-kami ini jauh dengan Islam, lari dari kebaikan! Dakwah kau keras, kasar dan langsung tidak berhikmah." Bentak seorang rakan di dalam ruangan komen di muka buku.

Aku termenung sejenak, dalam diam setuju dengan apa yang dikatakan. Dakwah itu perlu hikmah dan mendekati ianya tidak bersifat menghukum tetapi mendidik. Aku juga sangat akui adakalanya ada pendakwah yang kadang-kadang teremosi dan kesannya tegurannya menjadi keras, lantas yang ditegur menjauh.

Tapi.

Jika kita mahu kebaikan, kita harus mencarinya dan mendapatkannya walaupun dengan cara yang pahit. Kerana kebaikan tidak selalunya datang dalam keadaan yang baik. Teguran yang kasar dan pedih itu lebih kita ingati berbanding pujuk rayu lembut yang kita mudah tolak dengan lembut.

Sedarkah kita, tidak akan ada jalan senang untuk berubah dan mendapat kebaikan. Untuk berubah kita perlu menghadapi segala dugaan dalaman dan luaran, sikap kawan-kawan, orang sekeliling. Perlu rasa makan hati, ingin berputus asa, dan banyak lagi.

Kita sendiri menjadi terlalu cerewet dengan dengan pendakwah yang datang berkongsi dengan kita. mesti cakap lembut-lembut, mesti perlahan-lahan, mesti memahami, mesti baik, mesti..mesti..mesti..

Ingatlah ingin ke syurga itu ada jalan yang perlu dilalui dan ditempuhi. Adakah kita hanya ingin duduk diam menunggu syurga datang kepada kita? Bukan apa, takut nanti Neraka-lah tempatnya.

Ataupun, sebenarnya kita tidak ingin pun kebaikan itu.

Lantas pendakwah kita jadikan alasan untuk lari dan terus lari.

Malanglah.


October 28, 2013

Resah

Di dadaku,
Ada segumpal resah,
Menghimpit buatku sempit,
Menekan jiwaku rawan.

Resah itu datang,
Bersama berita dari jauh,
Cerita tentang orang yang jauh,
Jauh dari mata,
Jauh dengan hati.

Aku mencari,
Tempat meredah resah ini,
Hilang kekuatan untuk berdiri,
Menahan air jatuh ke pipi.

Tuhan pada siapakah?
Harus kuadukan resah ini,
Dari mana lagikah?
Akan ku dapatkan kekuatan,

Selainmu Tuhan..

Mencari tempat melepas rindu yang sudah tidak tertahan. Mencari kekuatan menghadapi sebuah kenyataan. Mencari hati untuk terus sabar dan bertahan, dengan takdir.

August 23, 2013

Masa

Kita sering kali ingin bermain dengan masa.
Kadang-kadang kita harapkan ia terus berhenti.
Kadang-kadang kita ingin ianya terus berlalu pergi.
Kadang-kadang kita terasa supaya ia berulang kembali.

Namun Masa.
Terus berjalan tanpa henti.
Hingga nanti masa.
Terus memamah kita.

Masa membawa kenangan.
Dan harapan.
Dan kenangan dan harapan itu.
Indah, seindah masa.

August 10, 2013

Syiria, Apa Harapan kita.

Bismillah, 2 Syawal 1434.

Saat saya menulis artikel ini, polemik Syiria masih terus berjalan tanpa menunjukkan tanda-tanda akan reda. Pertempuran antara Free Syirian Army dan Regim Basyar Assad masih berlangsung dengan meriah meskipun kudua-dua pihak terdiri dari kalangan orang Islam yang menyambut hari raya dan puasa. Terbaru, khabar angin mengkhabarkan Basyar berjaya dibunuh ketika solat sunat Eidulfitri.

Pelbagai propaganda dan isu yang dimainkan sepanjang isu Syiria meletus. Banyak yang melontar pandangan masing-masing dalam isu ini. Antaranya ada yang menganggap isu ini merupakan perbalahan mazhab yang membawa kepada perang saudara, iaitu perbalahan antara Syiah-Sunni. Tidak kurang juga yang menganggap ini merupakan permainan kotor Amerika dan Yahudi bagi menjga kepentingan politik dan ekonomi mereka di rantau itu. 

Akibat dari pertembungan fakta dan emosi kerana masing-masing menyokong hujah masing-masing saya tidak ingin mengulas panjang tentang faktor dan punca perang yang sedang berlangsung di Syiria sekarang, saya bukan ahlinya. Apa yang saya ingin ketengahkan adalah, dalam isu ini apa harapan kita?

Di hujung konflik ini apa yang ingin kita lihat di Syiria? 

Adakah kita ingin semua kaum Syiah yang ada di Syiria mati dibunuh dan disembelih sebagaimana kita lihat dalam video-video yang tidak terbukti kesahihannnya di laman-laman sosial?

Ataupun, kita ingin lihat Basyar mati samaada ditembak, dibom atau secara hina seperti Muammar Ghadaffi?


Kadang-kadang emosi menjadikan kita sama seperti orang yang kita benci kerana kezalimannya, dengan emosi kita turut bertindak sebagaimana pihak yang kita katakan zalim. Jika dia pembunuh kita juga ingin membunuh, jika dia menghina kita turut sama melebel dan mengkafirkan dia. Jika tidak masakan timbul panggilan tentera syaitan, kafir dan penghalalan darah, yang mana perkara-perkara yang tidak sepatutnya ini kita laungkan dengan bangga.

Dalam isu ini saya sangat bersetuju dengan pandangan Tuan Guru Hadi. Sebagaimana yang beliau sarankan dalam tulisannya di Harakah;

"Bagi penyelesaiannya,  semua  negara serantau, Arab, Turki dan Iran bersama seluruh negara umat Islam sepatutnya bebas daripada pengaruh negara pengacau yang datang dari timur dan barat dan bersatu strategi  kembali kepada Islam.

Selesaikan masalah umat dengan Islam, khusus Palestin dan ancaman Zionis negara haram Israel, sebagai perkara paling mudah untuk difahami dan sepatutnya menyentuh hati sanubari setiap umat Islam.

Ada pun  perbezaan mazhab yang masih berpegang dengan rukun-rukun Islam yang asasi, boleh dibincang secara ilmu oleh kalangan ilmuan  yang bebas daripada pengaruh kerajaan yang menolak Islam, jangan serah  kepada yang jahil, sama ada individu  atau media. Perbezaan kebangsaan dan sempadan negeri di kalangan umat Islam boleh disatukan oleh ajaran Islam sekiranya kita benar-benar berpegang kepadanya. Tolonglah diri sendiri, jangan  bersekongkol dengan kuasa besar Timur dan Barat. Kembalilah kepada Islam"


Harapan saya, agar Syiria hentikan peperangan dan kembalikan kuasa kepada rakyat dengan pilihanraya bagi memilih Presiden yang baru. Biarlah rakyat Syiria yang menilai, peperangan tiada untungnya kecuali kepada musuh-musuh Islam. Sejak zaman dahulu lagi masalah umat Islam adalah mereka tidak kenal musuh dan tidak reti bergaduh. Pergaduhan sesama sendiri banyak merosakkan kekuatan umat Islam dalam dunia ini. Dunia Islam menjadi lemah dan mangsa buli kepada pihak-pihak regim yang jahat. 

Kejahatan dan kekejaman Basyar Assad di Syiria biarlah diselesaikan di muka pengadilan dan dia selayakan diadili atas kekejaman dan kejahatannya membunuh rakyat sendiri. Biarlah Syiria terus stabil dan rakyatnya mendapat pembelaan selayaknya. Kita tidak mahu campur tangan luar yang merosakkan dan mengheret saudara-saudara kita di Syiria dalam konflik yang lebih dalam dan panjang. 

Saya tinggalkan firman Allah dalam surah Al-Maidah ayat 8 sebagai renungan  kita;

"Wahai orang-orang yang beriman, hendaklah kamu semua sentiasa menjadi orang-orang yang menegakkan keadilan kerana Allah, lagi menerangkan kebenaran dan jangan sekali-kali kebencian kamu terhadap sesuatu kaum itu mendorong kamu kepada tidak melakukan keadilan. Hendaklah kamu berlaku adil (kepada sesiapa jua) kerana sikap adil itu lebih hampir kepada takwa dan bertakwalah kepada Allah, sesungguhnya Allah Maha Mengetahui dengan mendalam akan apa yang kamu lakukan."





August 7, 2013

Raya 1434

Kenangan, ianya seindah harapan.

Kenangan, selagi dikenang ianya akan kekal, selamanya.

Harapan, selagi diusahakan tidakkan pernah padam.

Datanglah kenangan, mengisi hari-hari mendatang.

Hiduplah harapan, datang membuka jalan.

Indah hidup dalam kenangan, 

Terus hidup dengan harapan.



Selamat Hari Raya, semoga sentiasa dalam dakapan kasih-Nya. Sentiasa dalam jagaan-Nya. Taqabbal Allahu Minna Wa Minkum.

August 6, 2013

Yang Pergi

Beberapa tahun dulu ketika menuntut di Izzudin Shah, setiap kali minum pagi jika yang disediakan adalah kuih kariap kami masing-masing akan cepat-cepat ke dewan makan. Sebabnya kuih karipap dewan makan Izzudin tidak dapat disangkal lagi kesedapannya. 

Malangnya, kesedapan kuih karipap datang dalam saiz yang sangat kecil. Jadinya yang datang awal semestinya akan ada kutu-kutu yang makan dua tiga ketul, natijahnya yang lambat hanya dapat tengok bakul sambil ketap gigi. Ini menimbulkan kemarahan pelajar, dan antara komen pelajar pada pengusaha dewan makan yang paling diingati adalah, "tak sempat rasa dah habis!"



Saat artikel ini di tulis Ramadhan 1434 Hijrah sudah sampai ke penghujungnya. Hanya beberapa hari lagi umat Islam akan menyambut Hari Raya Eidulfitri. 

Ramadhan berlalu dengan cepat sekali rasanya, seolah-olah baru lagi berazam untuk penuhi hari-hari dalam Ramadhan sebaiknya, seolah-olah baru sedikit munajat dan doa yang dipohon, serasa tidak puas berpuasa, tidak habis berqiamulail dan tidak lagi cukup membaca Al-Quran.

Seolah-olah cerita kuih karipap tadi, belum sempat rasa dah habis..

Ramadhan akan pergi, hari dan waktu itu akan berlalu tanpa mampu untuk dihentikan dan ditahan tahan. Namun perjuangan untuk mencari redha Allah tidak akan berhenti, kerja islam perlu diteruskan, amalan terus dipertingkatkan, dan rahmat dan berkat perlu terus di tadah.



Notakaki: Beberapa tahun dulu saya termasuk dalam kutu-kutu yang suka ambil kuih lebih, sampai satu hari epoi tegur "ko, ambik lebih ni kembung perut baru tau.."


July 25, 2013

Rindu, Gembira-ku.

Dalam tiap detik hari-hari ku,
Tidak pernah sehari pun berlalu,
Tanpa memikirkan-mu,
Gembira-ku.

Lantas dimana harus ku adukan,
Rasa rindu yang mencengkam,
Hati dan perasaan-ku,
Gembira-ku.

Lalu tika sunyi malam,
Aku menadah tangan kepada pemilik-mu,
Juga kepada pemilik rasa dan hati-ku,
Memohon kau hilang dari-ku,
Gembira-ku.

Tika saat ini,
Rasa itu,
Perasaan itu,
Masih pada-mu,
Gembira-ku.

Ku mencari hikmah dari-Nya,
Ku pasrah pada-Nya.

16 Ramadhan
Seri Manjung
Perak.



June 29, 2013

Aku Musafir padang Pasir.

Aku musafir di padang pasir,
Dahaga mencari-mu,
Sedang kau jauh dari-ku,
Mana bisa kau hidup di ruang ini,
Untuk berada di samping-ku.

Aku musafir di padang pasir,
Dahaga mencari-mu,
mengenang-mu buat-ku sayu,
meneguk bisa merindu,
Kau yang takkan ada disisi-ku.

Aku musafir di padang pasir,
Dahaga mencari-mu,
Turunlah hujan-ku,
Agar hilang dahaga-ku.


June 25, 2013

Turun-lah. Hujan!

Hujan.

Andai kata kau tahu,
Andainya dapat kau selami hati-ku,
Andai kau faham perasaan-ku.

Ku pasti.

Kau-kan turun tanpa henti,
Membasahi setiap ruang atas bumi,
Dengan titisan yang bisa sampai ke hati.

Hujan.

Sedar-kah kamu?
Aku di sini sedang rindu,
Separuh mati menunggu,
Hari-hari dalam hidup-ku,
Umpama neraka yang menyiksa-ku,
membisa di setiap urat dan saraf-ku.

Ku tahu.

Kau juga merindui-ku,
Buang-lah segala peraturan-mu,
dan,
Turun membahasi-ku tanpa jemu.

Hujan.

Aku masih menunggu,
Sampai hujung waktu-ku,
dan di setiap detik selepas itu,

Aku menunggu-mu.




May 3, 2013

Ubah!: Bukan Sekadar Kerajaan

Politik yang ada pada hari ini adalah politik sentimen dan dipengaruhi kepada ketaksuban pada satu-satu pihak. Tidak kiralah sama ada ketaksuban pada bangsa mahupun ketaksuban pada agama, tidak kurang juga ketaksuban pada induvidu seperti Perdana Menteri dan Tok Guru.

Antara kesan besar dari politik sentimen ini, politik menjadi sesuatu perkara sensitif yang membawa kepada perpecahan. Sama ada hilang peraahabatan atau juga persaudaraan. Masakan tidak, benteng taksub ini tidak dapat dipecahkan dengan menggunakan rasional dan hujah ilmiah. Mana-mana perkara yang bercanggah dengan mana-mana pihak yang berlawanan akan menimbulkan persengketaan, luar atau dalam.

Kesannya politik menjadi satu topik sempit yang hanya boleh dibincangkan di tempat-tempat tertentu, walaupun di musim pilihanraya dan di masa berkempen. Dengan beralasanankan menjaga ukhwah, politik tidak boleh dihincangkan di dalam kelas dan mana-mana medium yang tidak berkaitan misalnya. Maka, kita akan kerugian ruang dalam perbincangan ilmiah dan pendedahan fakta lantaran beberapa pihak yang tidak boleh terima kerana masih berada dalan sempadan ketaksuban.

Jadinya sempadan ketaksuban ini harus kita lepasi, benteng ketaksuban ini harus kita lebur dan hancurkan. Kita perlu ubah politik sentimen ini kepada politik nilai. Politik yang mana kita boleh berbincang secara terbuka dan penuh fakta. Politik yang tidak tidak terikat dengan mana-mana bangsa dan tok guru. Politik yang mana kita bebas untuk berubah mengikut selera dan kepentingan kita yang mengikut prinsip dan falsafah hidup kita.

Untuk memastikan perubahan politik sentimen hari ini kepada politik nilai kita perlu merdekakan minda rakyat dengan menjatuhkan golongan yang memainkan politik sentimen ini sebagai senjata mengekalkan kuasa. Kerajaan UMNO BN yang ada hari ini perlu diubah untuk masa depan yang lebih cerah.

Ini Kalilah, Ubah! Reformasi. Sekian.

April 26, 2013

Purdah dan Akhlak: PM pun kalau..

Hari ini saya terdengar beberapa kisah kurang enak berkenaan Bahagian Keselamatan UTM. Kisah sahabat saya yang baru sahaja pulang dari mendengar kuliah di luar UTM. Oleh kerana tempatnya jauh, dan kuliahnya bermula selepas solat isyak jadinya pukul satu pagi baru sampai di UTM. Buka sahaja cermin kereta, mereka mengatakan bahawa mereka di tegur dengan kasar dan dimarahi oleh pengawal keselamatan yang bertugas kata pengawal itu;

"Itu(purdah) bukan aurat,
bagi dalil apa aurat?
buka purdah tu,
buka la!
bukan wajib pun..
bukan aurat.
tahu kan itu bukan aurat?
dalam dua ribu kat utm ni, kamu dua org saja yg pakai mcm ni!
minta kad matrik,
kalau sekali lagi jumpa saya kenakan tindakan!"

Pada pandangan saya mereka memang salah, di UTM semua mahasiswa perlu berada dalam kawasan UTM sebelum dua belas tengah malam. Hukuman kesalahan lambat masuk di UTM adalah nama akan direkodkan dengan kad matrik di scan, kemudiannya terserah kepada kolej masing-masing untuk tindakan lanjut.Ini kesalahan pertama, lambat.

Yang kedua adalah purdah, didalam AUKU memang purdah merupakan suatu kesalahan dari sudut pemakaian, benar purdah tidak dibenarkan dalam kawasan kampus.

Jadinya saya hendak mengajak kita berfikir tentang dua kesalahan ini. Yang pertama lambat, selambat mana pun pelajar, prosedurnya adalah ambik kad matrik scan dan benarkan masuk. Ini yang saya faham setelah hampir empat tahun di UTM. Jadi di sini tiada persoalan dikenakan tindakan, di marah, atau diherdik. Kita mengalu-alukan teguran dari pengawal keselamatan yang bertugas, tapi perlu berhemah dan biarlah dengan senyuman. Apa-pun jika lambat saya yakin semua pelajar punya alasan tersendiri.

Yang kedua purdah, pengharaman ini bersebab, untuk kenal pasti pelajar dan mengelakkan berlaku penipuan identiti. Jadinya dalam sesetengah keadaan pelajar dilarang berpurdah, dan saya yakin setakat ini pelajar yang berpurdah terbuka untuk buka purdah dalam keadaan tertentu. Saya ambil contoh pada hari kejadian, pengawal bertugas boleh saja mengarahkan mahasiswi berkenaan untuk buka purdah untuk pengecaman, dengan berhemah pastinya. Saya yakin isu ini tidak timbul dan mahasiswi yang terliba tiada masalah untuk membuka purdah bagi tujuan pengecaman. 

Kesimpulannya tiada masalah dengan purdah. Apa salahnya untuk hormati mahasiswi kita yang ingin menjaga dirinya lebih, yang punya rasa untuk mujahadah dalam hidupnya? sedangkan kita boleh hormati orang yang tidak Islam buka aurat kerana agamanya tidak menyuruh menutup aurat-walaupun kadang-kadang macam tidak berseluar- kenapa kita tidak boleh hormati mahasiswi kita yang ingin amalkan lebih dalam agama?

Saya seringkali berurusan dengan Bahagian Keselamatan di UTM, saya amat kagumi cara En.Halim selaku pengarah keselamatan dan pegawai keselamatan yang lain dalam berurusan dengan mahasiswa. Amat berhemah dan penuh rasa bersahabat, berlainan dengan sikap beberapa pengawal bawahan yag kadang-kadang senyum kita pun tidak dibalasnya. Jadinya saya rasa tak salah pengawal keselamatan lain contohi pegawai atasan Bahagian Keselamatan yang lebih baik dalam menyantuni mahasiswa.

Kita perlu hormati orang lain untuk minta orang lain hormati kita. Perdana Menteri pun kalau tak reti hormat orang, orang tidak akan hormatnya. Kalau Perdana Menteri rasuah, bunuh orang, curi duit rakyat adakah ruang untuk kita sayang atau hormatinya. Lainlah kalau sayang itu berkepentingan dan berbayar. 

Saya sarankan kepada semua mahasiswa dan mahasiswi jika berlaku perkara sebegini kepada anda. Sila ambil nama dan no. pengawal terbabit dan laporkan kepada Pengarah Keselamatan.

April 16, 2013

Ruang Songsang: Tayangan Tanda Putra di UTM?

Menjelang PRU 13 Politik kampus menunjukkan satu perkembangan menarik. Yang mana sebagai seorang pemerhati yang telah lama-saya rasa-terlibat dalam politik kampus, saya melihat sedikit ruang untuk mahasiswa berpolitik kini telah terbuka. Sedikit demi sedikit.

Bermula dengan penubuhan kelab BN IPT sehinggalah pengumuman akan membantu BN dalam PRU secara terbuka oleh mahasiswa dari UTHM dan USM, sehinggalah baru-baru ini ini saya saya dengar akan ada tayangan filem kontroversi di UTM, Tanda Putra. Saya melihat ruang berpolitik mahasiswa mula terbuka. Bukan secara biasa tetapi ruang politik kepartian mula di buka oleh pentadbiran universiti dan kerajaan.

Secara peribadi saya melihat ini satu perkembangan yang baik. Dengan semangat demokrasi, saya berpendapat mereka ada hak untuk sokong dan menyebarkan propaganda mereka.

Semua orang tahu filem adalah salah satu alat propaganda, filem boleh digunakan untuk mengangkat penjahat menjadi hero. Boleh juga digunakan bagi menyalahkan pihak yang tak bersalah, sebagai contoh pearl harbor yang menunjukkan Jepun sebagai penjahat dan Amerika sebagai pencinta keamanan no.1 di dunia.

Sejak diterbitkan, semua orang tahu filem Tanda Putra alat propaganda yang bersifat rasis dan menyentuh sensitiviti kaum. Jika tidak masakan punya masalah untuk penerbitannya! Dan cerita ini akan ditayangkan secara meluas untuk seluruh warga UTM di dewan besar. Saya secara peribadi juga tiada masalah dengan perkembangan ini. Sebar propaganda ini di universiti saya tidak risau mana, masing-masing golongan intelek boleh fikir mana sejarah mana propaganda kaum.

Apa yang saya kesalkan adalah, ruang politik yang dibuka ini songsang. Kenapa saya katakan ianya songsang? Sedang hak menyokong parti dan berpropaganda bagi BN dibuka seluas-luasnya hak kami untuk menyebar luaskan fahaman perjuangan mahasiswa ditindas! Saya tekankan di sini bagi kami gerakkan mahasiswa bebas dari dokongan dan kongkongan mana-mana pihak atau parti. Mahasiswa lebih bergerak secara non partisan dan bertindak sebagai semak imbang pada negara.

Pengalaman saya, dalam mengendalikan speaker corner dan wacana ilmu saya hadapi banyak masalah. Hanya kerana ada perkataan politik dalam tajuk, program akan disekat dan dihalang, sekerasnya. Sedang untuk pihak lain, filem sesadis Tanda Putra ditayang seluasnya.

Ruang songsang ini pastinya menimbulkan rasa mual dan loya kepada sesiapa yang berada dalamnya mahupun para pemerhati. Perbukaan ruang songsang ini menunjukkan ketakutan dan kecetekkan akal pihak yang terlibat.

Hidup dalam ruang songsang ini menjadikan diri tidak selesa sekaligus semangat melawan kian kuat dan diri menjadi semakin teguh. Teruslah menghimpit, kelak mahasiswa akan terus bangkit!

Takut?

Saya ke Arked Cengal, UTM sebentar tadi, tiada yang istimewa cumanya saya memakai baju Gelombang Anak Muda Tolak Umno/Bn - TOLAK. Kemudiannya saya terlihat seorang staf HEMA turut ada di situ. Dia melihat saya, pandangnya tajam.

Dia menghampiri saya seraya berkata "awak tak takut?"

Saya memandangnya sambil tersenyum dan angkat kening. Jawap saya, "takut?"

Dia terus diam dan berlalu pergi dan saya meneruskan aktiviti saya tanpa menghiraukannya. Dia terus memandang saya dan kemudiannya berlalu pergi dengan kenderaan universiti.

Pada saya tiada apa-apa salah dengan baju saya, kalau kata saya berkempen untuk mana-mana parti saya rasa tidak. Saya hanya menunjukkan pendirian saya. Saya yakin apa yang saya pakai tidak menyentuh sensitivi mana-mana kaum atau agama.

Ruang demokrasi kampus kian sempit dan menyesakkan. Semuanya menjadi sensitif dan pelbagai peraturan pembodohan diperkenalkan bagi menyekat arus perubahan di kalangan anak muda.

Mentang-mentanglah jenayah pembodohan tidak pernah diadili, gejala pembodohan mahasiswa dilakukan sewenang-wenangnya. Dibuka seluas-luasnya pintu hiburan yang melalaikan seluas-luasnya. Namun jika hendak fikir tentang negara pun menjadi masalah. Program yang ada tajuk politik, kertas kerjanya tanpa dibaca terus ditong sampahkan.

Demokrasi geli ala HEMA ini sudah jijik dan basi. Kepada mahasiswa ini masa untuk kita berubah! Takut? Mengapa takut?

Sihat itu Nikmat

Setiap perkara yang ada pada kita merupakan satu nikmat dari-Nya. Yang mana bilamana dikatakan nikmat, maka mahu atau tidak perlu untuk kita menjaganya. Allah jelas menyatakan dalam firman-Nya dalam surah ibrahim ayat tujuh yang bermaksud; dan jika kamu bersyukur akan Ku tambahkan, jika kamu kufur,sesungguhnya azab-Ku sangat pedih!

Salah satu nikmat yang perlu kita jaga adalah kesihatan. Nikmat kesihatan adalah satu nikmat yang besar, kerana ianya menjadi penentu kepada banyak perkara.

Jika kita tidak sihat bagaimana kita ingin berjuang?

Jika kita tidak sihat macam mana kita ingin beribadat?

Jika kita tidak sihat macam mana kita ingin membantu orang lain?

Pokoknya sihat merupakan perkara yang membantu kita dalam usaha mencapai redha-Nya. Jadi kepada kalian, sementara masih sihat jagalah kesihatan, dan kepada yang tidak sihat berusahalah dalam mengubati.

Saya? Saya akui saya bukanlah golongan yang mengambil berat dalam kesihatan sendiri. Namun semuanya bermula dengan kesedaran, kan?

Untuk islam, untuk ummat, Jom sihat!

#pesanan buat yang tersayang.

April 15, 2013

Jelajah TOLAK UMNO Johor: Mentaliti Masyarakat Kita.

Saya baru selesai memberi taklimat kepada semua peserta jelajah TOLAK UMNO di Johor. Rata-rata anak muda yang menyertainya merupakan ahli GAMIS Johor dan juga anak-anak muda sekitar negeri Johor.

Sebelumnya saya baru sahaja di marahi oleh setiausaha masjid Taman U di Skudai. Yang lebih mengejutkan, sesampainya saya di Masjid Taman U saya lihat sudah penuh anggota polis berkawal sekitar masjid. Saya mengambil tindakan beralah dan menukar tempat kami berkumpul di masjid Sri Putri.

Di masjid Sri Putri, habis sahaja taklimat ringkas seorang lelaki yang berumur pertengahan, berbaju kuning datang. Terus kepada saya dan bertanya kepada saya tentang program. Dia mengarahkan kami beredar dan kebetulan memang kami hendak beredar.

Kami berbicara dengan nada sahabat dan menghormatinya sebagai orang tua. Namun tiba-tiba tidak semena-mena dia mengamuk sakan, tidak terkawal dan gila!

Kami serahkan kepada pihak polis dan beredar. Malas dan meluat, jadual kami juga masih padat dan panjang. Dan dia terus memaki orang sekelilingnya.

Sepajang program hari itu, kami dikerumuni polis dan SB. Golongan gila seperti lelaki tadi juga ada. Memerhati dari jauh.

Apa yang boleh saya kata, sebagai rakyat yang sudah 56 tahun merdeka, saya kecewa pemikiran dan sikap begini masih ada dalam masyarakat pada hari. Hakikatnya ini bukanlah kejadian pertama, politik samseng ini menjadi budaya baru dalm masyarakat yang kononnya maju pada hari ini.

Belum lagi kita tambah dengan cerita politik lucah yang mejadi senjata bagi memusnahkan karier politik sesetengah tokoh.

Hari ini kita dabik dada dan angkat kepala dengan KLCC,KLIA, dan lain-lain, tapi jika dinilai dari menteliti, memalukan!

Ramai yang tanya saya, mengapa tidak marah dan bagi ke penumbuk pada lelaki biadap itu?

Jawapan saya, saya bukan macam dia. :-)

PRU 13: Masa depan sudah sampai.

Menyoroti suasana pilihanraya di Malaysia pada ini, saya merasakan susuatu yang sangat menarik akan berlaku. Tiada siapa-siapa yang masuk gelanggang PRU dengan keyakinan sepenuhnya. Masing-masing punya helah dan permainan politik masing-masing dalam memenangi hati pengundi.

Dari sudut pengundi pada kali ini juga pastinya amat berbeza. Golongan atas pagar yang melakukan perubahan pada PRU lepas bertambah dengan galaknya. Golongan yang boleh dikatakan sebagai generasi Y yang matlumat hanya di hujung jari, dilihat punya mood dan pandangan yang berbeza. Jika PRU yang lepas-lepas kebanyakkan yang ada adalah golongan yang memilih berdasarkan parti dokongan masing-masing, tetapi generasi baru ini memilih berdasarkan pretasi calon dan parti.

Suasana politik baru yang wujud pada masa kini adalah rahmat buat negara. Tiada siapa-siapa boleh dabik dada menjadi kuku besi dan mengkayakan kroni. Jika ada ruang demokrasi akan menjatuh lingkupkan mereka. Serta merta!

Melihat manifesto PR saya merasakan masa depan sudah sampai. Gsgasan dan tawaran ywng dikemukaksn menjanjikan Malaysia yang baru berdasarkan teras utama yang menarik. Semangat dan pencerahan konsep manifesto merupakan satu perkara baru yang harus diteliti dan difahami rakyat Malaysia seluruhnya.

Perpaduan rakyat, kebajikan rakyat, dan kerajaan rakyat dan pembelanjaan secara income base seharusnya diberi peluang untuk dilaksanakan.

Seterusnya semuanya bergantung di tangan rakyat. Masa depan sudah sampai  mahu atau tidak pilihan di tangan anda!

February 13, 2013

12 adab


12 adab atau antara cara-cara memenangi hati suami. Dipetik dari sebuah tulisan:-

1. Semasa suami bercakap hendaklah isteri diam mendengarnya dan jangan suka menyampuk atau memotong cakapnya.

2. Bila suami marah hendaklah isteri mendiamkan diri,jangan suka menjawab. Sikap suka menjawab, bertekak dan menegakkan kebenaran sendiri akan menambahkan lagi
kemarahan suami. Jangan terkejut jika suami angkat kaki meninggalkan rumah berhari-hari atau tidak mahu bertegur sapa dengan anda sebagai denda di atas kedegilan anda sebagai isteri. Sebaliknya, kalau suami kembali ke rumah jangan disambung atau diulang-ulangi cerita lama. Sambutlah suami dengan senyuman kasih sayang dan bersegeralah meminta maaf. Jangan kita tunggu suami meminta maaf dengan isteri, jatuhlah martabat keegoannya selaku seorang lelaki.

3. Kadang-kadang si suami sengaja suka mengusik isterinya. Bila dia menyakiti hati isteri hendaklah banyak bersabar, jangan cepat merajuk. Merajuk adalah sifat orang yang tidak matang dan seperti perangai keanak-anakan. Cuba kita perhatikan perangai kanak-kanak, mereka akan cepat menjerit bila ada sesuatu yang tidak kena tambahan pula kalau yang menegurnya itu ibunya sendiri. Sengaja dihentak-hentakkan kaki meraung sekuat hati meminta simpati dari ibunya.

4. Bila kuku, misai dan janggutnya panjang hendaklah segera dipotongkan (jika panjang janggutnya lebih dari segenggam). Pilihlah hari-hari yang terbaik iaitu hari Isnin, Khamis dan Jumaat.

5. Jika dia berhajat sesuatu hendaklah isteri cepat bertindak. Bangun segera bila disuruh. Jangan melengah-lengahkan kemahuannya supaya tidak mencetuskan kemarahan atau rasa tersinggung di hatinya. Jangan isteri buat acuh tak acuh, hatinya akan kecewa dan menandakan isteri sudah tidak taat padanya.

6. Hendaklah memasak mengikut kesukaan suami bukannya ikut selera isteri. Kalau suami suka makan gulai kari atau masak lemak cili api, janganlah kita masak lauk
asam pedas atau ikan goreng. Suami akan gembira bila seleranya ditepati. Janganlah pula ikan yang menjadi mangsa, diketuk lengkang-lengkung hingga hancur kerana
meradangkan sikap suami yang mahu lauk tersebut dimasak mengikut seleranya sedangkan isteri tidak menggemarinya.

7. Apabila pakaian suami koyak atau tercabut butangnya hendaklah segera dijahit. Jahitlah dengan secantik yang boleh supaya pakaian itu kelihatan kemas dan
cantik. Jangan dibuat sambil lewa kerana jahitan tersebut akan melambangkan peribadi isteri samada ikhlas atau terpaksa. Semua suami akan berasa bangga jika pakaiannya dijahit sendiri oleh jari-jemari halus isterinya, sekurang-kurangnya dapat menampung ekonomi rumahtangga.

8. Sentiasa sediakan barang-barang keperluan di dalam poket baju dan seluar suami iaitu sikat, celak, cermin kecil, minyak wangi dan kayu sugi. Tidak menjadi kesalahan seandainya si suami menolak segala persediaan tersebut tetapi sekurang-kurangnya sediakanlah minyak wangi dan kayu sugi.

9. Bila bertembung kehendak suami dan anak-anak,dahulukanlah kehendak suami, begitu juga dengan kehendak ibu ayah. Sekiranya suami ingin dilayan hendaklah ditaati meskipun isteri berada di dalam keadaan letih. Melayani suami merupakan satu pahala besar keatas setiap isteri kecualilah jika suami kita meredhainya.

10. Apabila menggunakan harta suami ataupun duit yang hendak kita hadiahkan kepada ibu bapa maka mintalah izin darinya terlebih dahulu. Jangan beri dahulu kemudian baharu diberitahu kepadanya. Siapa tahu mungkin wang itu amat diperlukan sedangkan isteri sewenang-wenangnya telah menghadiahkan kepada orang lain, suami dapat pahala sedangkan isteri tidak dapat apa-apa. Sebenarnya meminta izin itu ialah sebelum melakukan sesuatu tindakan bukannya setelah perkara itu berlaku diberitahu. Ini silap sebenarnya tapi kes-kes seperti inilah yang sering berlaku di kalangan
para isteri.

11. Sentiasa berada di dalam keadaan bersih dan kemas ketika suami berada di rumah. Isteri hendaklah berada di dalam keadaan berwangi-wangian supaya hatinya senang untuk bersenda gurau dengan isterinya.Ketahuilah bahawa bersenda gurau antara suami isteri juga merupakan salah satu ibadah yang diredhai oleh Allah swt.

12. Air minum suami hendaklah sentiasa disiapkan jangan sampai dia minta biarpun sekadar air masak sejuk. Sebaik-baiknya sediakanlah minuman panas seperti kopi, teh atau susu. Air panas elok disimpan di dalam termos supaya memudah dan menjimatkan masa kita. Kalau boleh sediakan kuih-kuih ringan seperti karipap, cucur, bubur, apam ataupun biskut kering. Hal ini juga dapat mengelak anak-anak dari membeli makanan ringan di kedai yang tidak mengandungi zat di samping tidak terjamin kebersihannya.
Muhasabah bersama buat para wanita bergelar isteri krn Rasulullah SAW pernah bersabda:

"Sekiranya daku dibenarkan memerintahkan seseorang bersujud kepada orang lain nescaya aku akan perintahkan para isteri bersujud kepada suaminya"

Riwayat Tarmizi dan Ibn Hibban.

Cerita Rumah Tangga

Sejak kecil saya sering melihat, papa sebelum keluar dari rumah untuk kerja, papa akan mencium dahi mak sambil membisik ‘I love you’ di telinga mama.

Mama pula akan senyum keriangan sepanjang hari, melakukan kerja-kerja rumah menanti kepulangan papa dari kerja.

Bila tiba waktu zohor, selepas solat, mama akan menghantar satu sms untuk papa bertanyakan sudah papa makan tengahari.

Bila lepas azar, mak akan mula ke dapur menyiapkan makanan untuk makan malam bersama papa.

Mama tidak bertanya apakah papa malam ini akan pulang makan. Mama selalu masak dan lepas itu barulah mak menghantar sms ke papa bertanya apakah papa akan pulang untuk makan.

Jika papa kata ya, mama akan tunggu sehingga papa balik baru makan, walaupun perut sudah berbunyi kuat tapi saya akan disuruh makan dulu tanpa menunggu papa.
Gambar Hiasan

Satu malam, mama bertengkar dengan papa kerana papa berkata sesuatu yang mama tidak suka.

Pada sebelah paginya, mama tetap menyediakan sarapan pagi untuk saya dan papa.

Tapi mama dan papa tetap tidak bercakap antara satu sama lain.

Pagi itu, ketika papa keluar pintu rumah, papa tidak mengucup dahi mama. Mama pula buat tidak tahu dan tidak memberikan salam pada papa.

Apabila kereta papa sudah keluar, mama menangis.

“Mama, mengapa ngangis?” tanya saya.

“Tak ada apa,” kata mak yang melihat ke ruang tempat ayah meletak kereta yang kini kosong.

Mama balik ke bilik melipat kain. Saya pula bersiap nak

15 minit kemudian, ada kereta henti di depan rumah. Saya keluar melihat.

Papa patah balik. “Mana mana?”

“Dalam bilik.”

Papa terus ke bilik. Saya mengikut. Papa terus memeluk mama dan mencium dahinya dan membisik ‘I love you’ di telinga mama.

Air mata mama mengalir lagi.

“Hati abang tak tenteram bila abang pergi kerja tanpa salam dan doa ayang,” kata papa sebelum beredar balik ke kerja.

Mama tersenyum semula riang.

“Mama tadi menangis pasal papa ke? Mama senyum ini pun pasal papa ke?”

“Anak mama ini. Ya, mama menangis dan senyum pun untuk papa?” jawab mama.

“Papa ini nakallah, sekejap buat mama ngangis, sekejap buat mama senyum,” kata saya.

“Tak. Papa orang baik. Mama yang sakitkan hati papa semalam. Apa yang mama nak papa beri, tapi itu bukan sumber kegembiraan mama. Mama merajuk semalam tatkala papa letih kerja kerana lupa belikan hadiah buat harijadi ayang. Papa kata terlupa, mama pula terlebih kata papa tiada hati untuk keluarga.

Biasalah perempuan ini mudah merajuk, walaupun salah, dia mengharapkan suaminya datang memujuknya semula. Tapi oleh kerana papa tak buat demikian, mama merajuk dalam hati tak cakap. Tapi bila papa pergi kerja tak cium dahi mama, mama menangis bukan kerana papa, tapi kerana mama terasa terlepas peluang untuk berbaik dengan papa, dan terasa papa tak sayang kat mama. Tapi apabila papa balik mencium dahi mama, mama terasa papa sangat sayang kat mama, dan mama sempat memohon maaf pada papa, sebab itu mama senyum,” kata mama.

Saya tak berapa faham kata-kata mama kerana masa itu kecil.

Sebelah malamnya, saya bertanya papa ketika mama sudah tidur keletihan.

“Papa, mengapa papa patah balik pagi tadi?” tanya saya.

“Mama dah bertungkus-lumus jaga keluarga ini dan ingin pastikan keluarga ini bahagia dan gembira. Tapi bila mama tahu papa terlupa beli harijadi ayang, mama naik berang kata papa tiada hati untuk keluarga. Papa terguris sedikit, tapi papa ada ego tak nak mengaku salah.

Masa memandu terfikir bagaimana mama setiap hari membuat yang terbaik untuk sarapan dan menunggu papa pulang untuk makan malam bersama, papa terasa bersalah bertindak kejam pada mama dengan tidak mencium dahi mama. Papa pulang kerana papa tahu mama adalah orang terpenting dalam hidup papa dan papa tak boleh biarkan mama sedih walaupun sesaat... ayang akan faham bila kahwin nanti,” terang papa.

Kini saya sudah berkahwin – saya akhirnya faham apa yang dilalui mama dan papa. Rupa-rupanya ombak yang melanda mama dan papa sekali-sekala ini bukan merosakkan hubungan tapi ia memperkuatkan lagi kesayangan dan keeratan dengan orang tersayang setelah ombak itu reda kerana kedua-dua akan memahami betapa pentingnya pasangan masing-masing dalam hidup mereka.

Sumber: Dato' Tuan Ibrahim bin Tuan Man (Official)
 

January 10, 2013

Owh my Arab!

Pagi ini di laman muka buku terbaca kisah seorang senior di Sekolah Izzudin Shah, senior yang terkenal sebagai motivator dan penulis prolifik, Ust.Hasrizal Abdul Jamil. Kisahnya seperti berikut:

Satu perkara yang berjaya ditanam oleh pelajaran saya di Sekolah Izzuddin Shah ialah, saya tidak dapat membayangkan diri saya nanti menjadi seorang Muslim yang tidak tahu berbahasa Arab! Itu sangat melekat di kepala pada usia 15 tahun. Maka selepas SRP, masuk kelas Sains di sekolah yang bagus, dek kerana aliran tersebut tidak memungkinkan saya mengambil Bahasa Arab di dalam SPM, maka saya nekad berhenti sekolah dan kembali ke sekolah asal, untuk pastikan Bahasa Arab kekal dalam hidup. Selepas SPM, saya memohon biasiswa untuk mengambil ijazah Bahasa Arab di Morocco tetapi JPA mensyaratkan Bahasa Melayu SPM mesti A1 dan saya tidak cukup syarat itu. Lalu saya diarahkan mengambil Ekonomi di USA. Saya merayu agar tidak dihantar ke USA dan memohon dipertimbangkan ke Jordan. Saya bersyukur diberikan rezeki.

Pemergian ke Jordan berjaya akhirnya menjadikan saya seorang Muslim yang boleh berbahasa Arab. Tidaklah bagus sangat, namun cukup untuk kegunaan saya menjadi Muslim.

Itulah harga yang saya bayar untuk memastikan saya tidak menjadi Muslim yang tidak tahu berbahasa Arab. Saya ceritakan kisah ini agar sahabat sèmua bertanya, sungguhkah sahabat rela akhirnya menjadi Muslim yang tidak berbahasa Arab? Tidak rugi? Tidak menyesal? Tidak rasa cacat? Tidak sedih?

Tidak pernah terlambat...

Bahasa Arab lebih mudah daripada perubatan, kejuruteraan, dan bidang-bidang anda yang rumit itu. Ruginya, anda mampu menjadi apa yang ramai orang lain tidak mampu, tetapi anda tidak mampu berbahasa Arab. Bahasa Nabi anda, bahasa Quran anda. Bahasa Syurga anda...

Buatlah sesuatu... Buatlah sesuatu... Buatlah sesuatu

Usai membaca apa yang saya boleh katakan sambil menggeleng kepala adalah, arabku..arabku..arabku.

January 5, 2013

Kencing Dalam Seluar


Anak Pak Ali, Hasan, 9 tahun di dalam kelas khusyuk mendengar kuliah ustaz Idris tetiba mendapati seluarnya basah dan ada air di bawah kerusinya.

Hasan terkejut kerana dia tidak tahu bagaimana ia berlaku kerana ia tak pernah berlaku. Apa yang Hasan tahu ialah apabila rakan sekelasnya tahu… dia akan mendapat malu besar dan perkara ini bakal jadi ejekan yang memalukannya tak putus-putus.

Hasan menundukkan kepalanya dan terus berdoa memohon Allah memberi pertolongan untuk menyelamatkan diri daripada aib.

Pada masa yang sama, Ustaz Idris sedang bergerak ke arah Hasan yang sedang menundukan kepala.

Tetiba rakan Hasan yang duduk di sebelahnya, Anak Che Ali, Ibrahim dengan cepat menumpahkan bekas air dia di atas meja ke arah Hasan dan membasahi seluruh seluar dan bawah kerusi Hasan.

Hasan mengambil peluang untuk menunjukkan dia berang terhadap rakannya Ibrahim dengan memaki hamunnya di depan Ustaz Idris menyebabkan seluarnya basah untuk menutup aibnya.

Tapi dalam hati, Hasan gembira kerana ‘pertolongan’ sudah tiba.

Hasan mengambil kesempatan daripada hampir menjadi orang yang bakal mendapat aib di kelas kepada orang yang mendapat simpati.

Ustaz Idris membawa Hasan ke bilik sukan dan memberikan satu seluar untuk ditukarkan.

Rakan-rakan lain pula sibuk membersihkan lantai yang basah dengan air daripada bekas air Ibrahim dan najis Hasan.

Simpati yang didapati Hasan semakin banyak tapi sebaliknya Ibrahim pula dicemuh kerana menyebabkan kuliah terhenti dan rakan-rakan sekelas terpaksa membersihkan kelas kerana tidak sengaja menumpah bekas airnya.

“Cukuplah Ibrahim, enta ini menyusahkan sahaja,” kata Hasan, yang tidak mengucapkan terima kasih kepada Ibrahim walaupun sedar tindakan tidak sengaja tadi telah menyelamatkan dia daripada keaiban.

Semasa sekolah tamat, Ustaz Idris memanggil Hasan ke biliknya.

“Hasan, besok ucap terima kasih kepada Ibrahim kerana menyelamatkan Hasan daripada aib tadi ya,” Ustaz Idris berpesan kepada Hasan.

“Mengapa? Dia menyebabkan seluar saya basah dan semua orang kena membersihkan kelas,” Hasan cuba pertahankan peristiwa aibnya.

“Hasan, awak ini kena bertaubat. Ibrahim tadi sengaja menumpahkan air pada Hasan untuk menutup aib Hasan kencing dalam seluar. Tadi, Ibrahim datang memohon maaf pada Ustaz kerana tindakan dia menyebabkan kuliah terhenti dan memberitahu dia terpaksa buat supaya Hasan tidak diaibkan. Hasan dahlah maki hamun pada dia, walhal dialah orang yang menyelamatkan Hasan,” kata Ustaz Idris.

Hasan tersentak dengan penjelasan Ustaz Idris dan keesokkan harinya memohon maaf kepada Ibrahim.

“Mengapa bantu ana semalam?” tanya Hasan.

“Ana pun pernah terkencing dalam seluar. Ana faham keadaan itu dan tidak mahu Hasan melaluinya,” jawab Ibrahim.

Kita semua akan melalui fasa-fasa kehidupan yang mencabar semasa di muka bumi ciptaan Allah swt ini. Kita harus sering mengingatkan diri mengenai perasaan kesusahan ketika waktu mencabar dan jangan menghina orang yang turut berada dalam situasi yang sama. Cuma memahami keadaan orang lain sebagaimana diri sendiri di dalam situasi tersebut, dan berdoalah kepada Allah untuk kita dapat menghulurkan bantuan sewaktu orang memerlukannya

Oleh: Ust. Tuan Ibrahim Tuan Man