August 19, 2012

True Colour

Ramai orang kata bahawasanya kesenangan seperti harta, pangkat, wanita, orang terdekat, dan sebagainya mampu mengubah manusia.

Ialah bukankah kebiasaannya anak yang taat akan menjadi derhaka kepada ibu yang miskin apabila sudah menjadi kaya.

Kebiasaannya kawan kita masa susah akan tinggalkan kita bila dia sudah senang atau ada kawan yang lebih baik.

Ini kan kebiasaannya yang berlaku dalam masyarakat, dan inilah realiti kehidupan.

Persoalannya, benarkah kesenangan mengubah manusia?

Jawapannya, tidak! kesenangan tidak mengubah manusia tetapi kesenangan hanya menunjukkan sikap sebenar seseorang itu.



August 13, 2012

Darah dan Air Mata Rohingya.


Rohingya merupakan satu golongan masyarakat yang tinggal di sempadan Myanmar dengan Bangladesh. Masyarakat Rohingya tinggal di kampung-kampung Rakhine di Rakhine, Myanmar. Mereka ini merupakan satu golongan yang dianggap sebagai pendatang asing di Myanmar dan kehadiran mereka sebagai sebahagian dari Myanmar ditolak dengan keras oleh pemerintah dan rakyat Myanmar.

Perlembagaan Myanmar menutup semua pilihan untuk Rohingya menjadi warganegara atas alasan bahawa nenek moyang mereka tidak tinggal di sana apabila tanah itu di bawah pemerintahan British pada abad ke-19 (hujahan pertikaian Rohingya). Walaupun sekarang, pemerintah tentera telah mula melonggarkan cengkaman mereka, tiada tanda perubahan untuk Rohingya. Sebaliknya, orang Burma cuba untuk membuang mereka keluar.

Nasib Rohingya yang bermula dengan ketiadaan kewarganegaraan mereka - penafian kewarganegaraan sendiri, yang mana Myanmar secara langsung bertanggungjawab. Suu Kyi, walaupun tidak berkuasa sebagai pegawai tentera yang mengawal peralihan Myanmar, tidak seharusnya meminggirkan persoalan mengenai Rohingya. 



Sebaiknya, beliau perlu menggunakan suara beliau dan reputasi beliau untuk menunjukkan bahawa kerakyatan adalah hak asasi semua manusia. Pada 5 Julai, setiausaha agung Organization of Islamic Cooperation, Ekmeleddin Ihsanoglu, merayu kepada dia untuk bercakap untuk membantu menamatkan keganasan.

Perbuatan kejam ini bukanlah perkara baru tetapi telah berlarutan begitu lama, bemula dari 1784 Masihi lagi. Apa yang berlaku di Rakhine Myanmar, dan apa yang dilalui oleh etnik Rohingya merupakan satu kekejaman yang tidak dapat dibayangkan, Rogol, bunuh, sembelih, dan lain-lain berlaku setiap masa.

Kronologi Penderitaan etnik Rohingya di Rakhine, Myanmar

Berikut adalah Kronologi Penderitaan etnik Rohingya di Rakhine, Myanmar;

1784

Burma menyerang Rakhine pada 1784M, penduduk Muslim Rakhine telah dijadikan sasaran untuk dihapuskan dan dibunuh secara besar-besaran. Motif mereka adalah untuk menukar Rakhine menjadi satu wilayah Buddha yang berpengaruh di Burma. Menyusul pemisahan Burma dari India-British dan pengenalan Peraturan Rumah (Home Rule) 1937, peluang mereka untuk menghapuskan umat Islam terbuka luas.

1942

British keluar dari Rakhine. Penduduk Burma mengambil kesempatan ini untuk memprovokasi penganut Buddha di Rakhine. Akibatnya terjadilah kerusuhan besar yang menyebabkan 100,000 kaum Muslimin dibunuh dan ratusan ribu lagi telah melarikan diri ke Bengal Timur.

Menyusul pemisahan Burma dari India-British dan pengenalan Peraturan Rumah (Home Rule) 1937, peluang mereka untuk menghapuskan umat Islam terbuka luas.

1962

Junta tentera mula berkuasa, senario politik di Burma berubah dengan drastik. Dengan kuasa dan kekuatan ketenteraan yang ada, penindasan besar-besaran ke atas kaum Muslimin terus meningkat berlipat kali ganda. Selama hampir empat dekad sahaja, lebih kurang 1.5 juta Muslim Rohingya dipaksa keluar dari tanah air mereka , sementara yang masih tinggal, hanya menghitung hari dengan penuh ketakutan dan penderitaan.
1949

Rusuhan dicetuskan oleh Burma Territorial Forces (BTF) yang melakukan keganasan dan pembunuhan ke atas ribuan Muslim dan ratusan tempat kediaman mereka dimusnahkan.

1978

Satu kod operasi yang dikenali sebagai Naga Ming (King Dragon Operation) telah dilancarkan oleh Majlis Negeri Rakhine (Rakhine State Council) di bawah selian Majlis Negara Burma (State Council of Burma) melalui Rencana 20-tahun Pembasmian Rohingya (the 20-year Rohingya Extermination Plan).

Operasi ini dimulai pada 6 Februari 1978 di sebuah perkampungan Muslim terbesar, Sakkipara di Akyab, yang telah menghantar satu gelombang kejutan ke seluruh kawasan dalam masa yang singkat.

Berita mengenai penangkapan dan pembunuhan besar-besaran kaum Muslimin, lelaki dan wanita, muda dan tua, penyiksaan, pembunuhan dan rogol di Akyab ini telah meresahkan kaum Muslimin di Rakhine Utara.

Pada bulan Mei 1978, operasi telah sampai ke Buthidaung dan Maungdaw. Ratusan Muslim lelaki dan wanita ditangkap dan dimasukkan ke dalam penjara dan banyak yang disiksa dan dibunuh. Kaum wanita pula telah diperkosa di pusat tahanan. Ketakutan melihat kekejaman yang tidak berperikemanusiaan ini dan ditambah dengan nyawa, harta, kehormatan dan masa depan yang tidak menentu, membuatkan sebahagian besar Muslim Rohingya lari meninggalkan kediaman masing-masing dan lari ke sempadan Burma-Bangladesh. 

1991

Pada 18 Julai 1991, satu lagi pembasmian etnik dilancarkan dengan nama kod ‘Pyi Thaya’. Terjadilah pembunuhan dan pemerkosaan kejam ke atas kaum Muslimin Rohingya, pemusnahan tempat tinggal mereka, termasuklah masjid-masjid. Keadaan ini sekali lagi memaksa Muslim Rohingya lari beramai-ramai meninggalkan kampung halaman mereka mencari perlindungan di Bangladesh. Akan tetapi, kerana ada perjanjian Bangladesh-Myanmar, sebahagian mereka telah dikembalikan ke Rakhine. Sebahagian lagi hidup dalam buangan dan ketakutan.

1992 hingga 1995

Lebih dari 1,500 Muslim (kebanyakannya pemuda) telah dibunuh, ribuan lagi telah ditangkap dan disiksa. Muslimah pula senantiasa menjadi korban pemerkosaan dan hidup dalam ketakutan.

Masjid-masjid yang telah sekian lama ada dirobohkan dan diganti dengan pagoda-pagoda baru penganut Buddha. Yang lebih menyedihkan, semua pagoda itu dibangun dengan peluh dan keringat kaum Muslimin yang dipaksa bekerja keras dan disiksa untuk menyiapkannya.

Dalam waktu yang sama , pemerintah ‘mencipta’ satu keadaan kelaparan di kawasan tersebut yang memaksa Muslim Rohingya keluar dari situ dan ada yang mati kelaparan
1999

Tidak kurang dari 20 operasi besar telah dilancarkan terhadap Muslim Rohingya oleh pemerintah junta.

2001

Rusuhan terjadi lagi di Rakhine di mana ratusan masjid dirobohkan dan 10 Muslim serta 2 orang penganut Buddha dilaporkan terbunuh. Rusuhan ini meletus antara lain kerana pemusnahan patung Buddha yang dijumpai di Lembah Bamiyan, Afghanistan oleh Taliban dan juga kerana tersebarnya berita yang memfitnah kaum Muslimin yang dilakukan oleh penganut Buddha dan anggota-anggota ‘State Peace and Development Council (SPDC)’ pimpinan Than Shwe (Ketua Tertinggi Junta).

SPDC memang terkenal dengan gerakan ‘anti-Muslim’ yang sering mereka lancarkan di mana ulama dan guru-guru agama Muslim Rohingya sering menjadi korban kekejaman mereka, disamping wanita dan pemuda-pemuda Muslim. Kebanyakan dari pemimpin Muslim Rohingya sekarang ini sedang menjalani masa penjara yang lama atas dakwaan-dakwaan palsu yang diada-adakan terutamanya berkaitan kewarganegaraan. Selain kerusuhan dan pembunuhan, propaganda anti-Muslim merupakan satu perkara rutin yang dimainkan oleh media arus perdana Myanmar.

2003

Buku-buku dan pita-pita rakaman yang menghina Islam dan kaum Muslimin didapati dengan mudah di seluruh Burma, malah ada yang dibahagi-bahagikan secara percuma. Pemerintah Burma percaya dapat menguasai wilayah Rohingya-Rakhine selamanya jika Rakhine berhasil diubah menjadi negeri Buddha sepenuhnya. Hasilnya, rakyat Burma dan penganut Buddha di Rakhine khususnya yang telah diracun pemikiran mereka ini terus-terusan berusaha menghapuskan Islam dan kaum Muslimin Rakhine.

2004

Muslim Rohingya telah dipaksa untuk mengamalkan ajaran Buddha dan dipaksa ikut upacara Buddha . Mereka dipaksa menyumbang wang di dalam setiap acara Buddha yang sering dilakukan.

Kawasan ibadat kaum Muslimin juga sering dicemari dengan dijadikan tempat mengubur mayat penganut Buddha. Sementara kaum Muslimin dipaksa membayar biaya pengebumian mayat saudara mereka yang meninggal dunia.

Rakhine Utara dijadikan zon tentera dengan pelbagai kezaliman yang mereka lakukan atas kaum Muslimin. Muslim dieksploitasi menjadi buruh paksa untuk membangun asrama tentera, jalan, jambatan, tambak, kuil pagoda, gudang, kolam dan sebagainya tanpa bayaran apa-apa. Kaum wanita pula mengalami ketakutan dengan peristiwa pemerkosaan yang sering terjadi di kawasan tersebut, baik oleh tentera atau pihak kontraktor yang ada.

Hari Ini-2012

Para ekstrimis Buddha Theravadha Rakhine dan Xenophobia telah membuat banyak propaganda-propaganda anti Muslim Rohingnya. Semua itu disebarkan di dalam dan di luar Burma. Sambil melaung-laungkan slogan lama iaitu "Rohingya bukan rakyat Burma, mereka adalah pendatang asing dari Bangladesh". 


Tujuan mereka tidak lain dan tidak bukan sebenarnya hendak mengusir Kaum Muslimin di sana. Lebih pelik lagi, seluruh protes dan sebagainya bagaikan telah dirancang dan serupa dengan kenyataan dan ucapan yang pernah dikeluarkan oleh beberapa Menteri dan Pihak Pemerintah yang berkuasa.

Menurut Amnesty International dan Human Rights Watch, pasukan keselamatan negeri kini telah menjalankan tangkapan beramai-ramai umat Islam dan mereka memusnahkan beribu-ribu rumah.

Antara kekejaman yang dilakukan;

3 Jun 2012

Rombongan Jemaah Muslim Yanggon@Rangoon baru sahaja kembali dari pembelajaran ilmu agama di Masjid Thetsa di daerah Thandwe di bahagian Selatan Rakhine. Para Jamaah ini sedang menaiki bas menuju ke daerah Rangoon, namun di tengah perjalanan mereka dihadang oleh masyarakat Budha Rakhine di bandar Taungup di Negara Rakhine bahagian selatan.


Sekumpulan masyarakat ini tiba-tiba mengamuk dan berusaha membunuh semua penumpang. Seorang pemandu, pembantu pemandu dan seorang wanita terkorban. 8 orang Jemaah turut terbunuh. Lima Jamaah sempat melarikan diri.

Pihak pemerintah Burma kemudiannya telah mengeluarkan arahan darurat selepas kejadian itu. Ini sekaligus memaksa masyarakat Muslim Rohingnya dari Maungdaw tidak boleh keluar dari rumahnya ketika pegawai keamanan memasuki kawasan mereka. Sebaliknya orang-orang Rakhine bebas berkeliaran sehinggakan mereka bebas menyerang, merompak dan membunuh kaum muslimin di sana.

Petugas Keamanan Rakhine Merompak dan Membakar Seluruh Harta Benda Kaum Muslimin Rohingnya Ketika Darurat 


8 Jun 2012

Pegawai Keamanan dan orang-orang Budha Rakhine telah melakukan penyerangan. Mereka membakar rumah beberapa orang. Lebih dari lima kedai pakaian dirompak, dimana jumlah kerugian sekitar 150,000,000 kyat (lebih RM 500 ribu). Sebuah masjid di kampung Sawmawna dimusnahkan. Lebih dari 200 Muslim Rohingnya cedera.

9 Jun 2012

Penyerangan oleh para pengganas Budha Rakhine dan Pegawai Keamanan, dimana 100 orang terbunuh dan hampir 500 orang cedera.

Pembunuhan terhadap Kaum Muslim di Rakhine terus berlaku walaupun pihak tentera telah menyatakan mereka sudah berjaya mengawal keadaan. Sebahagian besar kaum Muslimin Rohingnya melarikan diri ke Bangladesh dmelalui Akyab. Ini kerana keganasan yang terjadi di Negara bahagian Rakhine tersebut, dimana desa-desa Muslim Rohingnya dibakar dan ramai Muslim Rohingnya yang dibunuh oleh polis, Pegawai Kemanan dan para pengganas Budha. Kaum Muslimin Rohingnya beramai-ramai telah menuju ke Bangladesh, kerana memikirkan bahawa Bangladesh adalah Negara Islam, kerana sesama Muslim maka mereka akan membantu.

Pemerintah Bangladesh dan tenteranya telah menolak dan melarang Muslim Rohingnya memasuki Bangladesh. Jika ada rakyat Muslim tempatan (Bangladesh) memberi bantuan atau membantu pelarian Muslim Rohingnya ini maka mereka akan ditangkap dan Muslim Rohingnya akan dihantar pulang.

Sehingga hari ini, sejumlah lebih 1,000,000 rakyat Rohingya hidup dalam pelarian kenegara-negara sekitar termasuk Malaysia. Sejumlah lebih 10,000 pelarian Rohingya di bangladesh hidup dalam kedaifhan yang teramat kerana kerajaan Bangladesh tidak mempunyai peruntukan dan kemudahan khusus untuk mereka.

Mereka ibarat pendatang di tanah sendiri, hak-hak tanah mereka di rampas, masjid-masjid dan rumah-rumah di bakar, anak-anak dan wanita di bunuh dengan kejam oleh Rakhine Buddhist. Kebanyakan Rohingya adalah beragama islam, jadi sedikit sebanyak isu mengenai berlainan agama juga memainkan peranan dalam penindasan terhadap mereka.

Ini bukan keganasan mazhab, ia adalah pembersihan etnik negeri disokong dan negara-negara dunia yang tidak menekan pemimpin Myanmar untuk menghentikan.

Kesimpulan

Rohingya memerlukan saudaranya untuk bantu dan menyelamatkan mereka. Setakat artikel ini ditulis, hanya Turki Negara yang membantu Rohingya dan menterinya turun padang bagi berkongsi rasa dengan rakyat Rohingya.

Tidak sempurna iman seorang muslim jika dia tidur dalam kekenyangan sedangkan jiranya kelaparan. Kita hari ini lena diulit mimpi sedangkan jiran kita di Myanmar diseksa hari-hari.



Bibliografi
  • Why Is the World Ignoring the Ethnic Cleansing in Myanmar?- The New York Times Moshahida Sultana Ritu, an economist, teaches at the University of Dhaka in Bangladesh
  • Rakyat Malaysia Bersama Muslim Rohingya's Page-Facebook


August 9, 2012

Pesanan.

Yang Dikasihi,Ibrahim Noh.

Saudara,

Ingatlah bahawa Dunia itu racun, Zuhud itulah ubatnya.

Harta itu racun, zakatlah ubatnya.

Perkataan sia-sia itu racun, Zikirlah ubatnya.

Seluruh umur itu racun, taat itu ubatnya.

Seluruh tahun itu racun, Ramadhanlah ubatnya.

Ingatlah pesan aku ini wahai saudara,

Kerana aku ini rumah yang terpencil, jika saudara ingin senang. maka dengan selalu membaca Al-Quran saudara akan senang.

Aku ini juga rumah yang gelap, jika saudara ingin terang maka dengan selalu solat malam aku akan terang.

Aku juga rumah yang penuh tanah dan debu, jika saudara inginkan hamparan, maka bawalah amal soleh saudara sebagai hamparan.

Ikhlas dari,

Kubur



August 7, 2012

Rintik Rindu


Niat!


Dari Amirul Mukminin Abi Hafsh Umar Bin Khattab r.a berkata, aku mendengar Rasulullah saw bersabda: "Sesungguhnya amal perbuatan itu disertai niat dan setiap orang mendapat balasan amal sesuai dengan niatnya. Barangsiapa yang berhijrah hanya kerana Allah dan Rasul-Nya, maka hijrahnya itu menuju Allah dan Rasul-Nya. Barangsiapa hijrahnya hanya kerana dunia yang dia harapkan atau kerana wanita yang ingin dia nikahi, maka hijrahnya itu menuju apa yang dia inginkan." (H.R Bukhari dan Muslim) [Hadis Sahih)

Ada orang kaya menderma dengan banyaknya kemudian tulis nama besar-besar dekat dinding masjid, niatnya satu supaya anak cucunya dapat mengikut jejak langkah dia, sedekah. 

Ada juga orang kaya yang derma banyak-banyak tulis besar-besar dengan niat nak riak.

Dua perbuatan yang sama, tapi ganjaran yang berbeza. Tak semua perbuatan baik bermaksud baik dan yang buruk itu bermaksud buruk. 

Inilah yang dinamakan ijtihad, bila salah dapat satu bila betul dapat dua. Cara kita fikir dengan orang lain fikir sudah semestinya berbeza. 

Persoalannya siapa kita nak pertikai perbuatan orang..? 

Kitakah yang bagi pengampunan? tak kan..Allah yang bagi..

Kitakah yang punya Syurga? tak kan..Allah yang punya Syurga..

Kitakah yang pegang rezeki orang? tak kan..Allah yang pegang..

Sebab tu dalam banyak perkara husnuzhan lebih baik. Teruslah beranggapan dan berharap perkara yang terbaik akan berlaku, tetapi sentiasalah bersedia dengan perkara terburuk yang kita tak jangka..Ya!


"Padahal, mereka hanya diperintah menyembah Allah, dengan ikhlas mentaati-Nya semata-mata kerana (menjalankan) agama, dan juga agar melaksanakan solat dan menunaikan zakat, dan yang demikian itulah agama yang lurus (benar).." (Surah Al-Baiyyinah, 98:5)

August 6, 2012

Nuzul Quran: Ibu segala Sastera.

Sastera adalah satu medium yang menyatukan dan mendidik manusia. Yang mana kita sendiri fahami bahawa dengan mengunakan sastera dalam kehidupan seharian kita, kita berhubung antara satu sama lain. Ya, bahasa perhubungan sehari-hari itu satu kesasteraan yang kita amalkan, bezanya adalah nilai satera itu.

Perbezaan nilai dalam sastera itu datang dengan pelbagai faktor, antaranya peribadi dan juga pengalaman hidup seseorang. Kerana itulah orang-orang dahulu punya perbezaan antara bahasa rakyat bawahan dan juga seorang bangsawan. Yang mana bangsawan kebiasaannya mempunyai bahasa yang lebih indah dan juga teratur berbanding rakyat bawahan. 


Kasta bahasa ini tidak sahaja berlaku hanya di Malaysia yang mana di istana dan rumah rakyat jelata sebagaimana yang kita tahu lain bunyi dan penggunaan perkataan. Kasta ini berlaku di mana-mana, di London juga bahasa istananya lain jika dibandingkan dengan bahasa orang jalanan. Ini juga berlaku di Jerman, yang mana kaum bangsawan di Jerman tidak menggunakan bahasa Jerman tetapi menggunakan bahasa Perancis dan juga Latin, sehinggalah Linguis Jerman melakukan reformasi bahasa bagi membangsawankan bahasa Jerman supaya lebih sesuai digunakan bagi semua lapisan masyarakat.

Banyak negara-negara dunia hari ini membuang kasta bahasa ini dan menjadikan bahasa masing-masing sebagai satu bahasa yang lebih standard dan sesuai pada masa kini. Jadi pengajaran sastera itu berlaku dimana-mana dan mudah di dapati, di Malaysia sendiri kita memuji penubuhan Dewan Bahasa dan Pustaka sebagai pusat sastera dan pembudayaan bahasa kita.

Ya, bahasa itu jiwa bangsa, dengan mengenali bahasa  kita dapat menenali bangsa. Atas sebab inilah eropah  sebelum melakukan penjajahan mereka datang ke negara-negara yang ingin dijajah untuk belajar bahasa dan budaya bagi memahami pemikiran dan sikap rakyat dalam negara tersebut. 

Allah memilih bahasa arab dan juga merupakan bahasa tempatan sebagai bahasa pengantar Al-Quran. Selain banyak lagi kelebihan dan kehebatan bahasa arab ini, penggunaan bahasa arab juga menepati kehendak semasa masyarakat pada ketika itu. Ialah dengan nilai sastera yang ada dalam bahasa arab memudahkan dan memukau masyarakat untuk lebih memahami dan mendalami Al-Quran.

Jadi persoalannya apakah yang Al-Quran bawa dalam penghayatan dan aplikasi sastera?

Sebagaimana yang disebut di atas bahasa mengambarkan peribadi bukan sahaja individu tetapi masyarakat keseluruhannya. Al-Quran meletakkan nilai pada bahasa, yang mana Al-Quran mengangkat darjat seseorang di mata masyarakat apabila dia mengunakan nilai sastera yang adalah dalam Al-Quran sebagai jalan untuk berkomunikasi dan menyebarkan Islam itu sendiri.



Antaranya beberapa nilai dan aplikasi sastera yang patut kita contohi dalam Al-Quran :

Kehebatan dan keindahan kesusasteraannya. 

Kehebatan kesusasteraan al-Quran ini wajar dimanfaatkan oleh para penulis Islam yang menghasilkan karya sastera untuk menyampaikan dakwah kepada umat manusia. Yang pasti kisah dalam al-Quran sememangnya benar, merupakan sebaik-baik kisah dan ia paling berkesan. Perhatikan saja bagaimana baik dan indahnya kisah Nabi Yusuf a.s. dalam Surah Yusuf. Ketika mentafsirkan ayat 3 dalam Surah Yusuf yang bermaksud, "Kami menceritakan kepadamu kisah yang paling baik dengan mewahyukan al-Quran ini kepadamu," Syeikh Muhammad Soleh al-Uthaimin dalam Al-Usul fi al-Tafsir menyatakan bahawa ini kerana ianya mengandungi ketinggian dalam sastera dan intipati yang penuh sempurna. 

Tidak membicarakan sesuatu yang tidak penting, tidak ada faedah dan juga remeh-temeh. 

Ibn Taimiyyah menukilkan dalam Muqaddimah fi Usul al-Tafsir antara perkara yang tidak ada faedah itu ialah seperti nama pemuda ashab al-kahfi, warna anjing ashab al-kahfi dan juga jumlah bilangan mereka. Di negara manakah terletaknya gua ashab al-kahfi itu juga tidak diberitahu kerana ia termasuk dalam hal yang tidak penting dan tidak ada manfaat.

Tapi perkara yang penting dan mempunyai banyak faedah pula disebutkan dengan jelas dalam kisah ashab al-kahfi ini seperti bagaimana cara mereka tidur dan juga keadaan tidur mereka. Bagaimana cara Allah memelihara tidur mereka bagi membolehkan mereka kekal tidur selama lebih 300 tahun juga diperincikan dengan nyata.

Tempoh masa mereka tidur ini sangat penting bagi membuktikan kekuasaan Allah yang mampu melakukan segala-galanya termasuklah hal yang tidak pernah terlintas dalam akal fikiran manusia hinggakan mereka sendiri menyangka bahawa mereka hanya tidur sekadar sehari atau separuh hari sahaja. Ini tertera jelas dalam sebahagian ayat 15 surah tersebut, "Salah seorang di antaranya bertanya: Berapa lama kamu tidur? (sebahagian dari) mereka menjawab: Kita telah tidur selama sehari atau sebahagian dari sehari. (Sebahagian lagi dari) mereka berkata: Tuhan kamu lebih mengetahui tentang lamanya kamu tidur."

Penggunaan Bahasa perumpamaan yang indah dan mengagumkan

Bahasa perumpamaan yang begitu indah dan mengagumkan untuk dijadikan iktibar kepada pembacanya. Renungkan saja bagaimana al-Quran menggunakan binatang sebagai objek perumpamaan bagi menerangkan sesuatu keadaan agar lebih difahami manusia. Binatang yang dijadikan alat perumpamaan itu antaranya ialah seperti anjing, lalat, labah-labah dan juga keldai. Lihat saja betapa benarnya perumpamaan al-Quran ini kerana memang kita tidak pernah menemukan sarang yang lebih reput daripada sarang labah-labah.

Gaya perulangannya yang berpatutan, bersesuaian dan mengasyikkan. 

Ada kisah yang disebut hanya sekali dalam al-Quran dan ada yang diulang beberapa kali dengan tidak membosankan kerana ia bersebab dan mempunyai alasan yang sangat wajar. Syeikh Muhammad Soleh al-Uthaimin menghuraikan tentang perkara ini, "Terdapat kisah al-Quran yang disebut sekali sahaja seperti kisah Luqman dan Ashab al-Kahfi. Ada pula kisah yang berulang mengikut keperluan dan maslahah (manfaat). Kisah-kisah ini diulang dalam olahan yang berbeza-beza, ada yang panjang, pendek, keras, lembut dan menerangkan sudut-sudut yang tidak disentuh pada tempat lain." 

Syeikh Soleh turut menyenaraikan hikmah di sebalik perulangan kisah-kisah tersebut antaranya ialah untuk menerangkan betapa pentingnya kisah itu, menekankan kisah itu supaya kekal dalam sanubari manusia, mengambil kira zaman dan keadaan para pendengar, menjelaskan kesusasteraan al-Quran yang dapat menonjolkan kisah-kisah ini dalam dua bentuk yang lain mengikut keadaan dan menonjolkan ketepatan dan kebenaran al-Quran serta pengesahan bahawa ia datang daripada Allah apabila kisah-kisah ini berulang-ulang tanpa percanggahan.

Kesimpulan

Al-Quran itu mempunyai banyak sekali faedah dan hikmahnya. Yang mana perlu kita korek dan hayati dan mengamalkannya. Sebagai salah seorang pengamal sastera, walaupun tidak hebat dan sangat aamtur, saya melihat perlunya aplikasi Al-Quran dalam penghasilan pelbagai jenis karya. 

Bukan sahaja yang bersifat tasawuf sebagai mana hasil karya ulama' dan ahli sufi terdahulu seperti Bait-bait syair Imam Syafi`e ketika beliau sakit sebelum menghembuskan nafas terakhir, Sastera juga patut digunakan bagi menyampaikan sesuatu seperti Tunggu Teduh Dulu juga untuk menerangkan sesuatu seperti yang saya lakukan dalam sajak Aku peduli. Sastera juga sepatutnya digunakan untuk menyampaikan situasi sosial masyarakat dan juga kritikkan-kritikkan yang bersifat kemanusiaan seperti unggun bersih.

Dua sikap yang saya rasa tidak wajar adalah, pertama menganggap semua sajak, syair dan hasil karya selain dari Al-Quran, Hadis dan juga karya-karya ulama terdahulu adalah tidak bernilai dan juga hanya sia-sia. Saya tidak nafikan wujudnya karya-karya roman picisan yang banyak merosakkan manusia dan menjatuhkan nilai tetapi yang salah adalah isinya bukan sasteranya.

Manakala yang kedua menolak jauh-jauh kepentingan sastera dan juga penggunaannya. orang yang buta seni akan gagal memahami AL-Quran secara mendalam. Bukankah jika hendak mentafsir Al-Quran alatnya adalah sastera arab yang tidak mudah untuk dikuasai dan begitu tinggi nilai sasteranya.

"Tak salah nak bersastera yang salah adalah kita yang menilainya"( Ibrahim Noh, 2012)

Bibliografi
  • Al-Quran Nul Karim
  • Langsir Biji Remia, Noor Suraya, JSAdiwarna, 2011
  • Contohi Sastera Al-Quran, Salman Sulaiman, Utusan Malaysia 29.11.2009



August 5, 2012

Ya! Ampun~

Dalam sebuah hadis, jelas nabi bagitau yang malam fasa kedua Ramadhan ini malam pengampunan. Tapi malangnya yang jelas itu sering kali manusia dibutakan hatinya. Makin jauh berlalu Ramadhan makin jauh manusia dengan Tuhan.

Mungkin kerana tawaran pengampunan ini tidak dapat dilihat sebagaimana tawaran harga murah di pasaraya. Yang mana tawaran pengampunan ini tidak dapat kita hitung dan lihat nilainya. Berapa peratus? Berapa banyak? Berapa besar?

Mungkin juga kerana tawaran pengampunan ini tidak mengiurkan sebagaimana tawaran free gift di kedai-kedai sempena perayaan. Hebatkah? Mudahkah? Berbaloikah?

Mungkin juga tawaran pengampunan ini tidak bernilai pada pandangan manusia sebagai mana bonus perayaan.

Dan mungkin juga manusia tidak akan merasa ralat jika pengampunan ini tidak dapat diperolehi sebagaimana rasa ralat kerana tidak memakai baju baru dan perabot baru di hari raya.

Tuhan itu pemurah dan penyayang, dihadirkan Ramadhan untuk hambanya minta pengampunan. Dibukakan pintu syurga untuk hamba-hambanya yang disayangi.

Malang kerana tak semua manusia itu akan dapat pengampunan, bukan kerana Allah tidak mengampunkan tetapi manusia itu sendiri tidak ingin akan keampunan Allah itu.

August 2, 2012

Allah! bukan mana-mana manusia

Suasana tepi pagar rumah Zainab sepi, Zainab sedang termenung memikirkan nasibnya yang dikahwin paksa. Zaman itu di tanah melayu belum ada kereta, belum juga ada motosikal berkuasa besar, apalagi kapal terbang yang memnuhi udara.

Perbincangan ibunya dengan belahan jiwanya, Hamid jelas kedengaran lalu memimbulkan satu kegusaran di hatinya. 

Zainab tahu, Hamid akan menemuinya disini, ya, di tepi pagar tempat mereka bertemu dahulu. Satu pertemuan yang pagar menjadi hijabnya.



Hamid datang perlahan, berjalan dengan hati yang rawan, masakan tidak! Zainab itu pujaan hatinya, hati mana yang sanggup menyuruh kekasih hati menikah dengan orang lain. Namun hormatnya kepada mak engku, ibu Zainab, segala permintaan dituruti juga.


Sebelum sempat Hamid ,menyusun kata, Zainab bersuara, lirih dan sedih..

" Sebetulnya ada yang mau aku bicarakan kepadamu mid, tapi belum bertemu waktu yang tepat"

Hamid lantas meneruskan hasratnya, dalam sopan dia mengatur kata, biarlah katanya hanya melukai dirinya bukan Zainab.

"Soal perjodohanmu dengan keponakkan ku, Rustam?"

"ya.." jawab Zainab. Sebak.

"Seperti baru saja ibuku sampaikan kepadamu" sambung Zainab lagi.

"jadi soal perjodohan itu.." Hamid menjawab, tetapi tidak dapat meneruskan kata-katanya, sebak menguasai relung dadanya. Ayat yang tersusun rapi tersekat di kerongkong.

Zainab memandang pagar tepi rumahnya dengan penuh sayu, segala memori bersama Hamid seolah-olah diulang tayang sebagaimana dalam peti televisyen.

Hamid mengumpul kekuatan dan meneruskan bicaranya, " Zainab semua orang tua menginginkan yang terbaik untuk anaknya"

Zainab perlahan menjawab, matanya masih melekat di pagar itu, seolah-olah matanya enggan memandang Hamid, menahan sayu di dada mungkin.

" Mak dan kaum kerabat menginginkan aku menikah dengan keponakkan mamak Rustam, supaya harta benda Almarhum lebih terjaga dengan baik. Padahal bisa aku urus sendiri semua peninggalan Almarhum, ayah sudah mengajar semuanya kepada aku." Pantas sahaja Zainab menerangkannya kepada Hamid.

"Lalu apa yang kau ingin lakukan ?" soal Hamid, lembut.

"Sampai kapan pun aku tetap memegang doaku, Hamid. Doa yang pernah aku titipkan kepadamu, menikah dengan lelaki yang aku cintai dan mencintai aku!. Apa kau lupa itu Hamid." tegas Zainab.



"Aku selalu ingat Zainab.." Jawab Hamid serba salah. Hamid teringat dia menyatakan impiannya untuk melihat rumah Allah, lantas Zainab menitipkan doa itu kepadanya.

"Lalu kenapa kau meminta aku untuk berhenti percaya dengan doa itu Hamid?" sayu jawab Zainab sambil memerhatikan Hamid.

Hamid bergerak perlahan pergi mengadap Zainab yang laju berpaling darinya selepas usai mengungkapkan kata-katanya tadi.

 "Aku tidak pernah meminta kau berhenti percaya dengan doa itu Zainab, tapi pada akhirnya bukan kita yang menentukan jalan hidup kita sendiri tetapi"

"ALLAH!" Balas Zainab sebelum Hamid habis berkata-kata.

"Allah yang menentukan jalan hidup kita Hamid, bukan manusia lain " lirih Zainab menjawab.

"Tidak ada suatu musibah apapun di muka bumi dan (tidak pula) pada dirimu sendiri melainkan telah tertulis di dalam Kitab (lohmahfuz) sebelum Kami menciptakannya. Sesungguhnya yang demikian itu adalah mudah bagi Allah. Kami jelaskan yang demikian itu supaya kamu jangan berduka cita terhadap apa yang luput dari kamu, dan supaya kamu jangan terlalu bergembira terhadap apa yang diberikan-Nya kepadamu. Dan Allah tidak menyukai orang sombong lagi membanggakan diri." 

Sayu sahaja suara Hamid mengalunkan ayat-ayat Allah surah Al-Hadid ayat 22 dan 23 pada malam itu.