May 5, 2014

Coretan Hati 1: Alasan.

Kepada:

Kamu,
Hati-ku.
___________________________________________________________________________________
Daripada:

Aku,
Ruang Rindu.

5 Mei 2014.

Sejak pertama kali bertemu, bersahabat, dan mengikat janji, sehinggalah segalanya terurai, tidak pernah dalam sehari hidup aku berlalu tanpa mengingati-mu. Ketika kita mula bertemu aku hanyalah seorang pelajar yang hanya mampu menabur janji kosong yang tidak langung aku pasti dapat tunaikan atau tidak. Hari ini, setelah beberapa tahun berlalu. Alhamdulillah aku menjadi seorang yang Allah permudahkan jalan dan pemurahkan rezeki. Lantaran itu persoalan jodoh mula orang tua-ku ajukan pada-ku.

Kamu, bagaimanakah dapat aku menjawap segala persoalan yang timbul berkenaan jodoh-ku. Sedangkan ruang-ruang dalam hati-ku yang Allah sediakan untuk membajak sayang pada cinta fitrah-ku sudah pun aku penuhkan dengan kamu. Ya, kamu yang tidak lagi bersama-ku. Kamu, yang sedang menghitung hari bersama kasih hati-mu.

Lantas, aku mula memberi syarat-syarat kepada orang tua-ku untuk mencari pengganti-mu di hati-ku. Segala nama yang diberi telah ku tolak semudahnya. Kadang kala tidak logik akal, manakan tidak, pernah-ku menolak hanya kerana asalnya kawasan kampungan, yang ujar-ku pada orang tua-ku, orang kampungan itu layakkah dengan orang bandar seperti aku.

Segala alasan yang ku berikan mengingatkan aku pada soalan yang kerap kau tanya pada-ku suatu ketika dulu:

"Kenapa kau pilih aku? mengapa sayang-mu tumpah kepada-ku? Apa lebihnya aku?"

Seperti biasa akan ku beri jawapan yang sama setiap kali soalan itu kau ajukan:

"Aku  tidak perlukan alasan untuk menyayangi-mu. Kamu, bukan kerana cantik-mu aku sayang pada kamu, kerana ketahuilah aku bisa cari yang berganda-ganda lebih cantik dari kamu. Kamu, bukan kerana baik-mu aku menyayangi-mu, kerana aku bisa mencari yang berganda-ganda lebih baik dari-mu. Tapi kamu, sayang aku itu tumpah kepada kamu kerana kamu adalah kamu. Yang aku sayang itu, kamu."

***

Kamu,

Kehidupan ini penuh dengan ujian, segala janji akhirnya telah kita putuskan dan membawa haluan masing-masing. Yang mana sehingga kini itulah penyesalan yang paling besar dalam hidup aku. Melepaskan-mu pergi. 

Saat itu sayang yang aku tumpahkan itu membengkak dihati menjadi benci. Saat kau ajukan padaku:

"Mengapa kasar sekali kau jawap aku, sudah hilangkah sayang kamu pada-ku. Sudah bertukarkah sayang itu menjadi benci?"

Sebagaimana yang aku jawapkan pada kamu:

"Aku membenci-mu kerana aku terlalu sayang pada kamu."


***

Kamu,

Hari ini setelah beberapa tahun berlalu, sayang itu masih tumpah kepada kamu, tidak hilang walaupun sedikit. Tidak kurang walaupun setitik, malahan makin bertambah dari hari ke hari. Lantas aku tersekat disini. Digenggam masa silam yang tidak dapat aku luputkan walau sedikit. Kerana yang silam itu kamu dan, kerana sehingga hari ini, aku belum punya alasan untuk tidak menyayangi-mu.

 Yang benar,
 Aku.