October 1, 2012

Falsafah Cinta HAMKA.


Memang berbeza sekali perasaan jiwa lelaki dan perempuan, sebagaimana berlainannya kejadian tubuh kasarnya. Lelaki dan perempuan sama-sama saling melengkapi dalam kehidupan pencintaan. Tetapi falsafah kedua belah pihak dalam perkara cinta, amat berbeza, laksana siang dengan malam, tegasnya perbezaan Adam dengan Hawa.


Lelaki bilamana telah menentukan cintanya untuk seorang perempuan, maka perempuan itu mesti jadi haknya seorang, tidak boleh orang lain hendak ikut berkongsi dengannya. 


Jika perempuan itu cantik, maka kecantikkannya biarlah diketahui olehnya seorang.

Jika suara perempuan itu nyaring, biarlah dia seorang yang mendengarnya.

Sebab itu, kalau ada orang lain hendak memuji kecintaannya, atau mengatakan suaranya nyaring, atau menyanjung budi baiknya, semua itu tidaklah diterima oleh lelaki yang mencintainya tadi. 

Bertambah banyak orang memuji kecintaannya, bertambah timbullah cemburu didalam hatinya. Sebab perempuan itu untuk dia, buat dia, tidak boleh buat orang lain.

Tetapi takdirnya ada orang yang mencela, mengatakan perempuan yang dicintainya itu buruk dan tidak serupa dengan orang lain, kalau ada orang yang menunujukkan belas kasihan kepadanya, sebab dia telah memberikan cinta hati kepada seorang perempuan, yang kecantikkannya tidak patut mendapat penghargaan setinggi itu, kalau ada orang mencacat, merendahkan, maka semuanya itu bagi lelaki yang bercinta tadi, akan bertambah patri cintanya dan menambah harga perempuan itu di matanya.

Tetapi cinta perempuan kepada lelaki sebaliknya dari itu. Lelaki pada pemandangan perempuan adalah laksana rantai emas yang tergelung di lehernya, atau gelang bertahta belian yag melilit ditanganya, perhiasan yang akan dibanggakan kepada kawan sesama gedangnya.

Seburuk-buruk kecintaanya akan lupa dia keburukkan itu, kalau lelaki lain atau perempuan lain memujinya dekat dia, mengatakan dia seorang lelaki yang tangkas berbudi, ternama, termasyur dan lain-lain sebagainya. 


(Petikan dari novel Tenggelamnya Kapal Van Der Wijk, Prof Dr. HAMKA.)