April 8, 2011

Daulah itu Amanah


Firman Allah dalam ayat 57 surah al-Maidah :Wahai orang-orang Yang beriman! janganlah kamu mengambil orang-orang Yang menjadikan ugama kamu sebagai ejek-ejekan dan permainan - dari orang-orang Yang telah diberikan Kitab sebelum kamu, dan orang-orang kafir musyrik itu: menjadi penolong-penolong; dan bertaqwalah kepada Allah, jika kamu benar-benar orang Yang beriman.

Jika kita lihat kepada sejarah sebelum serangan Ahzab, maka kita dapati bagaimana jahatnya yahudi yang sepatutnya bersama Rasulullah s.a.w dan umat Islam, tetapi bertindak menghasut kuffar yang lain terutama Quraisy agar meruntuhkan Daulah Islamiah Madinah. Walau pun yahudi mengetahui bahawa negara Islam pimpinan Rasulullah s.a.w adalah negara yang adil terhadap semua agama, namun atas rasa dendam serta benci kepada Islam yang berjaya menghapuskan sistem riba serta beberapa lagi bentuk penindasan yang mereka lakukan sebelum ini, maka yahudi melakukan pengkhianatan yang besar ini.

Sikap yahudi ini kadang-kadang ditiru oleh umat Islam sendiri, akibat gila kuasa, pangkat dan harta sehingga mereka sanggup melawan golongan yang telah mengharamkan arak dan judi serta hiburan yang melalaikan. Mereka terpengaruh dengan makna Islam mengikut tafsiran Lord Reid, iaitu untuk adat dan ibadat khusus sahaja serta berkaitan individu, bukannya agama yang merangkumi seluruh aspek kehidupan. Mereka menganggap Islam sebahagian daripada negara bukannya negara sebahagian daripada Islam. Mereka faham bahawa Islam agama yang diperintah sehingga boleh diambil apa yang berkenan dan ditolak apa yang bercanggah dengan nafsu. sedangkan Islam agama memerintah, yang memastikan kita tunduk kepada semua kehendak wahyu dengan menolak segala hasutan nafsu.

Apabila menyebut tentang Daulah Islamiah maka kita perlu tekankan bagaimana usaha dalam mendirikannya seterusnya peranan dalam mengisi segala tuntutannya serta kewajipan dalam mempertahankannya. Marilaj kita menyentuh bagaimana usaha Rasulullah s.a.w, mendirikan Daulah Islamiah dalam memastikan segala aspek kehidupan yang telah digariskan oleh Islam dapat dilaksanakan, di mana pada bulan Zulhijjah tahun ke 13 selepas kenabian, telah berlangsungnya Bai'ah Aqabah Kedua antara nabi dengan rombongan Aus dan Khazraj dari Madinah.

Jika dalam Bai'ah Aqabah Pertama yang berlangsung setahun sebelum itu di mana isi kandungan taat setia lebih banyak menyebut tentang pembinaan peribadi dan masyarakat muslim yang berkaitan aqidah dan akhlak antaranya mengenai ikrar untuk menjauhi mencuri, zina, membunuh anak-anak, berbohong serta perlaksanaan Islam dalam semua bidang. Manakala dalam Bai'ah Aqabah Kedua mula disebut tentang kesanggupan dalam mempertahankan Rasulullah s.a.w setelah berhijrah ke Madinah nanti, disamping sanggup memerangi siapa sahaja yang memusuhi Islam termasuk yahudi yang merupakan rakan kongsi Aus dan Khazraj selama ini.

Antara pengajaran yang boleh diambil daripada peristiwa besar dan bersejarah ini ialah, persiapan ke arah mendirikan Daulah Islamiah adalah penting, antaranya usaha dalam memberi penjelasan kepada rakyat tentang keperluan dan kebaikan yang ada pada Daulah Islamiah, untuk mencapai kebahagiaan hidup di dunia dan akhirat. Umat Islam juga perlu diberi keyakinan bahawa tugas mendirikan Daulah Islamiah, merupakan antara perkara yang wajib didirikan bagi membolehkan kesemua sistem Islam dapat dilaksanakan.

Daulah Islamiah yang mempunyai roh agama, yang memastikan pembinaan tamadun kemanusiaan dan kebendaan dapat berjalan serentak, merupakan suatu yang diakui oleh umat manusia termasuk bukan Islam tentang keadilannya. Namun akibat telah lama tidak didirikan, maka di sana banyak persoalan dan pertanyaan yang timbul disamping sikap permusuhan terhadap Islam yang begitu menebal dalam hati musuh Islam, yang memandang jika sekiranya tertegak Daulah Islamiah, maka akan tergugat kepentingan agama masing-masing, apabila manusia sudah menerima Islam sebagai cara hidup. Sebab itulah pelbagai usaha yang dilakukan bagi memastikan Daulah Islamiah tidak ditegakkan. Musuh Islam menanamkan pelbagai tuduhan buruk dan melemparkan dengan pelbagai ancaman terhadap Daulah Islamiah agar usaha dalam membinanya terbantut.

Dewasa ini, Umat Islam dilanda dengan krisis keyakinan terhadap Islam sebagai Ad-deen. Umat Islam sendiri yang kurang yakin terhadap Qadha' dan Qadar serta hari akhirat, kadang-kala sampai keperingkat menghina dan mempertikaikan hukum Islam. Mereka boleh menerima hukum bahawa orang Islam sahaja yang wajib sembahyang dan puasa bulan Ramadhan sedangkan orang kafir tidak wajib, tetapi mereka tidak boleh menerima orang Islam dikenakan hudud contohnya dalam kes zina dan sebagainya. Mereka juga tidak yakin bahawa orang Islam yang dikenakan hudud akan dilepaskan daripada hukuman neraka di akhirat, sedangkan orang bukan Islam yang tidak dikenakan hudud tidak terlepas daripada siksaan akhirat.

Kita mesti yakin terhadap janji Allah S.W.T yang menjanjikan pencegahan melalui perundangan Islam, kerana jika kita lihat kepada kes-kes seperti rogol dan bunuh yang berlaku pada hari ini, maka didapati ada pelakunya adalah orang Melayu yang beragama Islam. Mengapa tidak dipersoalkan bagaimana perundangan sekular yang sedia ada bukan sahaja tidak mampu menjaga orang bukan Islam malah umat Islam sendiri. Inilah yang dikatakan pandangan berat sebelah, di mana apabila disebut sahaja Islam maka ada saja alasan untuk menolaknya, tetapi apabila disebut ideology dan perundangan ciptaan manusia, maka boleh ditelan bulat-bulat tanpa banyak persoalan.

Jika manusia boleh menerima pemimpin sebuah negara komunis adalah komunis, negara sosialis adalah sosialis dan sekuler adalah pemimpin sekuler sendiri bukan penentangnya, maka mengapakah dipersoalkan negara Islam mesti melantik pemimpin beragama Islam. Jika rakyat negara ini boleh menerima perundangan penjajah yang tidak bersangkut paut dengan agama mereka, maka mengapa mereka mesti menolak perundangan Islam sedangkan Islam adalah agama rasmi negara ini. Mengapakah kegagalan demi kegagalan perundangan manusia dalam menangani masalah jenayah diteruskan juga.

Hukum bunuh dalam perundangan dunia tidak sama dengan hukum bunuh dalam Qisas. Begitu juga hukum sebat perundangan manusia tidak sama dengan hukum rotan perundangan hudud. Mengapa ada umat Islam yang boleh terima hukum bunuh perundangan manusia sedangkan mereka tidak boleh menerima hukum bunuh balas mengikut Qisas. Mengapa mereka boleh terima hukuman sebat perundangan manusia sedangkan tidak dapat menerima hukuman rotan Hudud. Ingatlah bahawa manusia adalah makhluk ciptaan Allah S.W.T di mana tidak boleh sama sekali kita menzalimi mereka walau pun mereka adalah penjenayah, dengan menjatuhkan hukuman yang bercanggah dengan perundangan Allah S.W.T.


Setiap pemerintah akan dipertanggungjawabkan dengan setiap hukuman yang dijatuhkan, samada bertepatan dengan apa yang disuruh oleh Allah S.W.T atau sebaliknya. Setiap rakyat akan ditanya tentang sebab mengekalkan pemimpin yang melaksanakan hukuman yang bercanggah dengan Islam pada hari akhirat nanti. Oleh itu kembalilah kepada ajaran Islam yang menyeluruh, agar kita tidak dibangkitkan di hadapan Allah S.W.T sebagai orang yang zalim dan bersalah samada sebagai pemimpin atau pengikut.

Adapun orang-orang Yang beriman dan mengerjakan amal-amal soleh, maka Allah akan menyempurnakan pahala mereka; dan (ingatlah), Allah tidak suka kepada orang-orang Yang zalim
. Al Imran, 57