April 7, 2011

Kaum Muslimin Hadapi Serangan Dalam Krisis Ivory Coast


Souleyman Sissouma menjadi korban ketiga imam yang dibunuh dalam bulan Mac dalam satu pembunuhan yang kejam. Keluarga mangsa menyembunyikan diri dan takut untuk keluar walaupun hanya untuk menghadiri upacara pengkebumiannya.

Ketika ramai penduduk sedang berkabung dan berkumpul di perkarangan masjid, tiba-tiba sebuah kereta dibakar, diterbalikan dan diletakkan di hadapan masjid. Ini merupakan antara tanda bahawa sedang berlakunya peningkatan kempen keganasan terhadap umat Islam yang menyokong Alassane Outtara, di mana kemenangannya diiktiraf secara antarabangsa dalam pilihanraya presiden November baru-baru ini. Outtara, seorang Muslim, kini terperangkap dalam pertempuran terhadap kedegilan Presiden Laurent Gbagbo yang mahu terus berkuasa dan konflik ini berlarutan sehingga bertukar menjadi keganasan antara agama. Sekurang-kurangnya 10 masjid di seluruh Abidjan telah dibakar dan sebuah lagi terpaksa ditinggalkan selepas diserang dengan bom tangan melalui tingkap ketika waktu solat.

“Kami penduduk Muslim tidak selamat. Kami menjadi objek bagi setiap jenis keganasan. Kami berasa takut. Kami tidak tahu bilakah perkara ini akan berakhir,” kata Imam Idriss Koudouss, Presiden Majlis Islam Kebangsaan. “Dan malah kami langsung tidak terlibat dalam politik.” Penyokong Outtara juga telah dipukul sehingga mati dengan batu bata dan ada juga yang dibakar hidup-hidup. Rakaman video melalui telefon bimbit terhadap kengerian ini telah dijual beli dan disebarkan di jalanan dan di media massa televisyen dalam negeri bersama-sama dengan seruan untuk membalas dengan mengangkat senjata.

“Ini adalah manipulasi politik terhadap kumpulan etnik”, kata Corinne Dufka, pengkaji senior dalam Human Right Watch.

“Akar kepada konflik ini adalah perebutan kuasa politik dan kesilapan berlaku apabila isu agama, etnik dan nasional diheret masuk.”

Piliharaya Presiden pada bulan November lalu sepatutnya menyatukan semula negara yang telah terpecah dalam perang saudara yang berlaku pada 2002-2003 yang mengakibatkan ia berpecah kepada dua iaitu kawasan yang dikawal pemberontak di sebelah utara dan penyokong setia kerajaan berada di bahagian selatan. Tetapi apabila Gbagbo enggan untuk mengiktiraf keputusan piliharaya yang dikeluarkan oleh PBB yang menunjukkan bahawa dia telah kalah, Ivory Coast telah diheret semula ke kancah keganasan.

“Kami sedang ketakutan. Semua orang sedang melarikan diri”, kata Abdias Goita, ayah kepada dua anak yang menanti di luar kedutaan Mali untuk pelarian Jumaat lalu. “Pintu rumah abang saya telah dipecah oleh askar militia pro-Gbagbo. Dia memberikan semua duit yang ada sebanyak 200000 francs ($430), tetapi mereka menyembelih lehernya juga”. Ketika kempen piliharaya presiden, gambaran awal kemenangan dapat dilihat bahawa Outtara bakal menjadi presiden Muslim yang pertama di Ivory Coast, dan ini menarik lebih banyak sokongan dari utara.



Dalam pada itu, polis dan askar yang pro-Gbagbo telah dituduh menjadikan kaum Muslimin sebagai sasaran kerana mereka menganggap semuanya menyokong Outtara. Minggu sebelum itu, polis perusuh muncul di masjid di mana imam Sissouma berada dan menahannya termasuk anak lelaki dan mengambil kotak yang mempunyai barang untuk ibadat. Sahabat kepada imam tersebut segera menghubungi Menteri Dalam Negeri untuk merayu supaya dilepaskan.

Dia beranggapan bahawa semuanya sudah kembali tenang setelah isteri Sissouma memberitahu bahawa suami dan anaknya telah pulang ke rumah dan selamat.

Tetapi isteri Sissouma telah menghubunginya semula setengah jam kemudian untuk memaklumkan bahawa polis perusuh telah datang membunuh suami dan anaknya bersama-sama 5 orang yang lain termasuk ibunya yang telah tua.

Menteri Dalam Negeri, Emile Guirieoulou mengetahui menerima panggilan tersebut tetapi dia enggan untuk mengesahkan penahanan atau pembunuhan yang berlaku, kerana memberi alasan bahawa siasatan sedang dijalankan.

“Di Ivory Coast, tidak pernah timbul masalah antara agama. Kristian dan Muslim hidup berjiran antara satu sama lain. Kejadian tragis yang berlaku ini adalah akibat daripada krisis politik”, kata Imam Moussa Drame, yang mana masjidnya diserang pada bulan Disember lalu.

Sebanyak 38.6 peratus rakyat Ivory adalah Muslim manakala 32.8 peratus adalah Kristian berpandukan Buku Fakta Dunia CIA. Sebuah Majlis Antara Agama yang ditubuhkan oleh ketua Kristian dan Muslim di sini adalah salah satu institusi yang paling dihormati di negara ini.



Xenofobia ataupun perasaan takut terhadap warga asing atau keadaan politik telah lama menjadi masalah di dalam negara ini, dan keadaan ini telah memikat jutaan pekerja imigran dari negara jiran seperti Mali dan Burkina Faso. Mereka datang untuk bekerja di sektor peladangan, khususnya ladang koko yang menghasilkan bahan mentah utama produk coklat di dunia. Untuk menyelesaikan masalah siapakah yang layak untuk mengundi presiden mengambil masa bertahun-tahun lamanya. Sekarang golongan muda bersenjata yang pro Gbagbo sentiasa membuat sekatan jalanraya dengan memberhentikan orang ramai dan mengancam mereka yang merentasi Abidjan. Mereka yang berasal dari sebelah utara atau yang mempunyai nama Muslim akan dituduh sebagai pemberontak yang pro-Outtara, akan dipukul atau dibunuh, menurut para aktivis.

Human Rights Watch melaporkan bahawa pembunuhan yang berunsurkan etnik dan agama yang berlaku pada awal bulan lalu sering dibawa oleh polis atau golongan muda yang pro-Gbagbo dengan kebenaran polis. Penyokong Outtara telah dipukul sehingga mati dengan batu bata, belantan dan kayu, atau dituangkan dengan minyak sebelum dibakar hidup-hidup”. Rakaman video melalui telefon bimbit yang merakam insiden-insiden ini telah dimuatnaik di dalam laman web Youtube dan Facebook dengan diselitkan bersama komen-komen yang menghina dan anti-Muslim.

Menyemarakkan api adalah satu kempen yang akan berterusan dan PBB menganggap stesen televisyen negara yang dikawal oleh Gbagbo sebagai “penipuan” dan “propaganda”. Sesetengah wartawan asing menganggap Radio-Televisyen Ivorienne sebagai TV Mille Collines, di mana ia merujuk kepada stesen radio yang menggalakkan pembasmian kaum di Rwanda pada 1994.

Di dalam satu laporan berita yang ditayangkan bulan lalu, seorang tekong dengan penuh senyuman menerangkan bahawa berpuluh-puluh orang yang dikatakan sebagai pemberontak telah dibunuh oleh askar pro-Gbagbo di tengah Abidjan, dan digambarkannya seperti membunuh burung-burung kecil. Gambar menunjukkan jasad-jasad penuh darah bergelimpangan di sana sini dengan diiringi oleh sorak gembira dan oleh para askar.

“Masa depan yang Gbagbo cadangkan untuk negaranya adalah perang, anarki dan keganasan, dalam dimensi etnik, agama dan xenofobia,” tulis Louise Arbour, Presiden International Crisis Group dalam surat terbukanya bulan lalu.

Sumber : Khilafah.com