August 19, 2011

Generasi Al-Quran yang unik

17 Ramadhan merupakan satu tarikh yang mana diturunkan satu mukjizat besar yang mana masih lagi kita dapat rasai dan hayati. Tanpa mukjizat ini manusia seolah-olah berada dalam kegelapan, hilang cahaya dan pedoman, hilang arah dan tujuan. Lihatlah keadaan sekarang biarpun tamadun tinggi menjulang namun hidup kosang dan suram, negara tidak aman tenteram, masyarakat saling hilang kepercayaan, keluarga rosak tak berpedoman, diri tak mengenal tuhan. Segalanya kerana kufur kepada nikmat yang hebat ini.

Al-Quran perlukan penghayatan, apakah peranan dan tujuan diturunkan. Andai betul penghayatan dan kita memainkan peranan maka Al-Quran membawa kepada satu pembentukkan insan. Yang mana ini dapat dibuktikan dengan kelahiran generasi Al-Quran dizaman sahabat.

Andai kata kita melihat dan merenung kepada sejarah, kita akan dapat melihat bahawasanya dakwah yang paling hebat dan berkesan adalah dakwah yang dilakukan oleh para sahabat Rasulullah s.a.w. Mereka inilah yang merupakan perintis kepada gerakkan Islam yang mana mereka merupakan satu generasi yang menjaga, mengembangkan dan membela Islam dalam segenap sudut. Kerana mereka inilah nikmat iman dan Islam dapat kita nikmati dan rasai sekarang.



Generasi ini terus-terusan dijadikan contoh dan tauladan, baik dari sudut pemerintahan mahupun kehidupan seharian, keperibadian yang ditunjukkan merupakan satu contoh yang tiada bandingan.

Generasi yang hilang

Persoalan besar yang harus kita renung dan fikirkan adalah kenapa dan mengapa generasi ini hanya kekal kepada satu generasi sahaja. Yang mana selepas generasi sahabat tidak ada lagi generasi Al-Quran yang lahir, yang mana generasi umat islam selepas itu tidak lagi menjadi seperti sahabat. Tidak dapat dinafikan lahirnya beberapa individu hebat yang mempunyai akhlak Al-Quran, tetapi ianya dalam bentuk perseorangan bukannya satu generasi.

Sedangkan Al-Quran yang ada bersama-sama kita ini adalah Al-Quran yang sama ada pada zaman sahabat, malahan tidak ada perubahan sedikit pun. Al-Quran yang Abu Bakar baca adalah Al-Quran yang sama terbentang di hadapan mata kita, Al-Quran yang Umar rujuk adalah Al-Quran yang sama yang dirujuk kita, Al-Quran yang Uthman kumpulkan masih ada bersama kita, dan Al-Quran yang Ali gunakan sebagai hujah juga sepatutnya menjadi hujah kita.

Sehingga hari kiamat keaslian Al-Quran ini dijamin Allah.



Yang mana perbezaan antara generasi pada masa itu hanyalah kehadiran Rasulullah s.a.w bersama mereka. Adakah alasan ini, iaitu kehadiran Rasulullah s.a.w cukup untuk menjadi sebab mengapa hilangnya generasi Al-Quran pada masa kini?

Sudah tentunya tidak! Andai kata ini boleh dijadikan alasan sudah tentu sehingga akhir zaman Allah akan sediakan seorang rasul untuk kita, andaikata syarat wajib kejayaan dakwah kita perlukan peribadi seorang rasul bersama kita sudah pasti Allah tidak akan serahkan urusan dakwah ini kepada manusia.

Hakikatnya Allah maha mengetahui bahawasanya amanat dan tugas dakwah ini mampu dijalankan dan dijayakan oleh manusia biasa. Lalu setelah 23 tahun menyampaikan dakwah Allah mewafatkan kekasihNya dan urusan ini diserahkan kepada kita iaitu umatnya.

Faktor Penyebab

Kegagalan melahirkan generasi Al-Quran sebagaimana yang pernah ada pada zaman Rasulullah adalah sikap kita kepada Al-Quran itu sendiri, yang mana ternyata berbeza anda dibandingkan dengan sikap para sahabat kepada Al-Quran. Berikut adalah faktor-faktor mengapa berjayanya para sahabat menjadi generasi Al-Quran.

1. Al-Quran sabagai sumber utama.

Sahabat menjadikan Al-Quran sebagai sumber utama tanpa bercampur langsung dengan perkara lain, Al-Quran menjadi rujukan utama dalam menyelesaikan masalah dalam apa bidang sekalipun.

Sedangkan pada masa itu tanah arab sudahpun dikelilingi banyak tamadun-tamadun hebat, rom dengan tamadun kebudayaannya yang mana buku-buku perundangan dalam rom masih lagi diikuti di eropah kini, Yunani dengan falsafah, mantik dan keseniaannya yang merupakan menjadi pemikiran barat sehingga sekarang,Parsi dengan peradaban, kebudayaan, kesenian, cerita-cerita hikayat dan banyak lagi, dan tidak lupa juga pada tamadun India dan China yang sudahpun wujud pada masa itu.
Rasulullah menyarankan sahabat hanya mengambil Al-Quran sebagai sumber utama, dalam satu riwayat pernah di catatkan bahawasanya Rasulullah marah akan Saidina Umar membaca Taurat dengan menyatakan andainya Nabi Musa masih hidup nescaya dia sendiri akan mengikut Al-Quran.

Sebab kenapa Al-Quran harus menjadi satu-satunya rujukan adalah Rasulullah bertujuan untuk membentuk generasi ini menjadi golongan yang bersih hatinya, bersih pemikirannya, bersih bersih perasaannya dan murni jalan hidupnya dari pada unsur lain selain Al-Quran.

Hasil dari rujukan kepada sumber tunggal ini lahirlah generasi Al-Quran yang mencipta sejarah yang tersendiri.

2. Perasaan belajar untuk laksana.

Para sahabat tidak mengambil Al-Quran sebagai tempat menimba ilmu, tidak juga sebagai buku cerita penglipur lara, jauh sekali sebagai alunan lagu penyedap halwa telinga.

Para sahabat mempunyai satu sikap dimana mereka memandang Al-Quran sebagai manual untuk kehidupan. Yang mana mereka membaca Al-Quran untuk diamalkan, setiap patah dan baris ayat yang turun diserap kepada amalan. Al-Quran mengalir dalam pembuluh darah mereka, berdenyut bersama nadi mereka.

Penurun Al-Quran secara berperingkat dan bukan sekali gus menunujukkan Al-Quran turun mengikut perkembangan dan setiap masalah yang dihadapi masyarakat. Yang mana Al-Quran bertindak dalam membentuk para sahabat, setiap masalah yang dihadapi mendapat jawapan terus dari Allah dan mereka merasakan pemerhatian Allah terhadap mereka, setiap kesalahan dan kesilapan ditegur dalam bentuk wahyu.

Al-Quran memberi kepada yang ingin terima, Al-Quran akan menjadi petunjuk yang sebenar jika kita sendiri menggunakan dengan sebetulnya. Apabila betul amalan dan caranya sudah pasti kita sendiri akan merasa hikmahnya. Kita akan jumpa ilmu didalamnya akan jumpa kisah didalamnya dan akhirnya akan membawa kepada penghayatan dalam diri kita.

3. Berpisah dengan Jahiliyyah

Setelah menerima cahaya Islam para sahabat melakukan revolusi dalam diri dan kehidupan mereka yang mana mereka menolak jahiliyyah secara total, segala amalan hidup yang selari dengan Jahiliyyah langsung ditinggalkan walaupun itu merupakan adad resam dan budaya mereka. Mereka tidak sekali-kali bersetongkol dengan amalan jahiliyyah ini.

Hakikatnya Islam itu sendiri berdiri di atas keruntuhan jahiliyyah, Islam tidak akan berjalan seiring dengan jahiliyyah walaupun selangkah. Andai dicampur adukkan Islam dengan jahiliyyah rosaklah ummah sebagaimana kita pada hari ini, Islam hilang ketulenannya hasil bercampur aduk dengan kebatilan, kesannya ummat islam sendiri mengenal Islam dengan cara yang salah.

Kesimpulan

Sesungguhnya ummat rindukan generasi Al-Quran. Masyarakat yang kian parah ini perlukan pedoman perlukan cahaya dihujung jalan.

Generasi Al-Quranlah pedoman dan cahaya itu, marilah kita bersama-sama membina generasi ini agar ummat terbela agama terpelihara.






No comments:

Post a Comment