January 10, 2013

Owh my Arab!

Pagi ini di laman muka buku terbaca kisah seorang senior di Sekolah Izzudin Shah, senior yang terkenal sebagai motivator dan penulis prolifik, Ust.Hasrizal Abdul Jamil. Kisahnya seperti berikut:

Satu perkara yang berjaya ditanam oleh pelajaran saya di Sekolah Izzuddin Shah ialah, saya tidak dapat membayangkan diri saya nanti menjadi seorang Muslim yang tidak tahu berbahasa Arab! Itu sangat melekat di kepala pada usia 15 tahun. Maka selepas SRP, masuk kelas Sains di sekolah yang bagus, dek kerana aliran tersebut tidak memungkinkan saya mengambil Bahasa Arab di dalam SPM, maka saya nekad berhenti sekolah dan kembali ke sekolah asal, untuk pastikan Bahasa Arab kekal dalam hidup. Selepas SPM, saya memohon biasiswa untuk mengambil ijazah Bahasa Arab di Morocco tetapi JPA mensyaratkan Bahasa Melayu SPM mesti A1 dan saya tidak cukup syarat itu. Lalu saya diarahkan mengambil Ekonomi di USA. Saya merayu agar tidak dihantar ke USA dan memohon dipertimbangkan ke Jordan. Saya bersyukur diberikan rezeki.

Pemergian ke Jordan berjaya akhirnya menjadikan saya seorang Muslim yang boleh berbahasa Arab. Tidaklah bagus sangat, namun cukup untuk kegunaan saya menjadi Muslim.

Itulah harga yang saya bayar untuk memastikan saya tidak menjadi Muslim yang tidak tahu berbahasa Arab. Saya ceritakan kisah ini agar sahabat sèmua bertanya, sungguhkah sahabat rela akhirnya menjadi Muslim yang tidak berbahasa Arab? Tidak rugi? Tidak menyesal? Tidak rasa cacat? Tidak sedih?

Tidak pernah terlambat...

Bahasa Arab lebih mudah daripada perubatan, kejuruteraan, dan bidang-bidang anda yang rumit itu. Ruginya, anda mampu menjadi apa yang ramai orang lain tidak mampu, tetapi anda tidak mampu berbahasa Arab. Bahasa Nabi anda, bahasa Quran anda. Bahasa Syurga anda...

Buatlah sesuatu... Buatlah sesuatu... Buatlah sesuatu

Usai membaca apa yang saya boleh katakan sambil menggeleng kepala adalah, arabku..arabku..arabku.

No comments:

Post a Comment