January 5, 2013

Kencing Dalam Seluar


Anak Pak Ali, Hasan, 9 tahun di dalam kelas khusyuk mendengar kuliah ustaz Idris tetiba mendapati seluarnya basah dan ada air di bawah kerusinya.

Hasan terkejut kerana dia tidak tahu bagaimana ia berlaku kerana ia tak pernah berlaku. Apa yang Hasan tahu ialah apabila rakan sekelasnya tahu… dia akan mendapat malu besar dan perkara ini bakal jadi ejekan yang memalukannya tak putus-putus.

Hasan menundukkan kepalanya dan terus berdoa memohon Allah memberi pertolongan untuk menyelamatkan diri daripada aib.

Pada masa yang sama, Ustaz Idris sedang bergerak ke arah Hasan yang sedang menundukan kepala.

Tetiba rakan Hasan yang duduk di sebelahnya, Anak Che Ali, Ibrahim dengan cepat menumpahkan bekas air dia di atas meja ke arah Hasan dan membasahi seluruh seluar dan bawah kerusi Hasan.

Hasan mengambil peluang untuk menunjukkan dia berang terhadap rakannya Ibrahim dengan memaki hamunnya di depan Ustaz Idris menyebabkan seluarnya basah untuk menutup aibnya.

Tapi dalam hati, Hasan gembira kerana ‘pertolongan’ sudah tiba.

Hasan mengambil kesempatan daripada hampir menjadi orang yang bakal mendapat aib di kelas kepada orang yang mendapat simpati.

Ustaz Idris membawa Hasan ke bilik sukan dan memberikan satu seluar untuk ditukarkan.

Rakan-rakan lain pula sibuk membersihkan lantai yang basah dengan air daripada bekas air Ibrahim dan najis Hasan.

Simpati yang didapati Hasan semakin banyak tapi sebaliknya Ibrahim pula dicemuh kerana menyebabkan kuliah terhenti dan rakan-rakan sekelas terpaksa membersihkan kelas kerana tidak sengaja menumpah bekas airnya.

“Cukuplah Ibrahim, enta ini menyusahkan sahaja,” kata Hasan, yang tidak mengucapkan terima kasih kepada Ibrahim walaupun sedar tindakan tidak sengaja tadi telah menyelamatkan dia daripada keaiban.

Semasa sekolah tamat, Ustaz Idris memanggil Hasan ke biliknya.

“Hasan, besok ucap terima kasih kepada Ibrahim kerana menyelamatkan Hasan daripada aib tadi ya,” Ustaz Idris berpesan kepada Hasan.

“Mengapa? Dia menyebabkan seluar saya basah dan semua orang kena membersihkan kelas,” Hasan cuba pertahankan peristiwa aibnya.

“Hasan, awak ini kena bertaubat. Ibrahim tadi sengaja menumpahkan air pada Hasan untuk menutup aib Hasan kencing dalam seluar. Tadi, Ibrahim datang memohon maaf pada Ustaz kerana tindakan dia menyebabkan kuliah terhenti dan memberitahu dia terpaksa buat supaya Hasan tidak diaibkan. Hasan dahlah maki hamun pada dia, walhal dialah orang yang menyelamatkan Hasan,” kata Ustaz Idris.

Hasan tersentak dengan penjelasan Ustaz Idris dan keesokkan harinya memohon maaf kepada Ibrahim.

“Mengapa bantu ana semalam?” tanya Hasan.

“Ana pun pernah terkencing dalam seluar. Ana faham keadaan itu dan tidak mahu Hasan melaluinya,” jawab Ibrahim.

Kita semua akan melalui fasa-fasa kehidupan yang mencabar semasa di muka bumi ciptaan Allah swt ini. Kita harus sering mengingatkan diri mengenai perasaan kesusahan ketika waktu mencabar dan jangan menghina orang yang turut berada dalam situasi yang sama. Cuma memahami keadaan orang lain sebagaimana diri sendiri di dalam situasi tersebut, dan berdoalah kepada Allah untuk kita dapat menghulurkan bantuan sewaktu orang memerlukannya

Oleh: Ust. Tuan Ibrahim Tuan Man