December 1, 2009

Dunia kutuk keputusan Switzerland

GENEVA: Negara Islam, badan bukan kerajaan (NGO) termasuk pemimpin Barat di seluruh dunia mengutuk tindakan Switzerland mengeluarkan larangan pembinaan menara masjid dalam satu undian yang diadakan di sini kelmarin.

Sebanyak 57.5 peratus pengundi membabitkan 22 daripada 26 bahagian di Switzerland menyokong larangan pembinaan menara masjid bagi melaungkan azan.

Menteri Luar Perancis, Bernard Kouchner menganggap warga Switzerland tidak bersikap toleransi selepas keputusan itu didedahkan.

Menyifatkannya sebagai skandal, Kouchner melabel keputusan undi itu sebagai negatif kerana ia seolah-olah perbuatan menindas agama.

Amnesty International menyifatkan larangan itu ‘mencabul kebebasan beragama dan tidak sesuai dengan perjanjian yang ditandatangani Switzerland.’ Switzerland hanya mempunyai empat masjid dan menaranya tidak dibenarkan menyampaikan azan.

Parti Green bercadang membuat aduan kepada Mahkamah Hak Asasi Kesatuan Eropah di Strasbourg kerana tindakan itu mencabul kebebasan beragama seperti yang dijamin oleh Konvensyen Eropah mengenai Hak Asasi Manusia.

Di Maghribi, seorang Ahli Parlimen Parti Islam Keadilan dan Pembangunan terkejut dengan keputusan Switzerland itu.

“Saya berpendapat Muslim Switzerland dan mereka yang tinggal di negara Eropah, perlu berusaha lebih keras bagi menunjukkan lebih banyak toleransi,” kata Saad Eddine Othmani.

“Keputusan itu petanda rakyat Switzerland membenci Muslim. Mereka tidak mahu lihat orang Muslim ada di negara mereka dan kebencian amat sangat ini punca mereka tidak boleh bertolak ansur,” kata Maskuri Abdillah, ketua kumpulan terbesar Muslim di Indonesia, Nahdlatul Ulama.

Beliau menggesa orang Islam membalas dendam terhadap keputusan itu dengan apa cara sekali pun. Mufti Mesir, Ali Gomaa turut mengutuk larangan itu dan menyifatkannya menghina Muslim di seluruh dunia.

“Cadangan ini saja bukan saja mencabul kebebasan beragama, tapi juga cubaan untuk menimbulkan kemarahan masyarakat Muslim di dalam dan luar Switzerland,” katanya yang dipetik agensi berita rasmi Mesir.

Switzerland mempunyai hubungan tidak selesa dengan penduduk Muslim, yang mewakili lima peratus daripada 7.5 juta penduduknya. Islam adalah agama kedua terbesar di sini selepas Kristian.

Sebuah masjid di Geneva diganggu tiga kali ketika kempen antimenara itu, lapor media tempatan.

Bagi kira-kira 400,000 masyarakat Muslim di sini, ‘apa yang paling menyakitkan bukan sekadar larangan bagi pembinaan menara itu, tetapi mesej simbolik yang dihantar dalam bentuk undi.’

“Masyarakat Muslim terasa mereka tidak diterima di sini,” kata Farhad Afshar, yang mengetuai penyelaras pertubuhan Islam di Switzerland.

Parti berhaluan kanan, Parti Rakyat Swiss (SVP), parti terbesar Switzerland mendesak undian itu diadakan selepas mengumpulkan 100,000 tanda tangan daripada pengundi layak dalam tempoh 18 bulan.

Mereka menuduh menara masjid itu tidak mempunyai ciri-ciri seni bina yang ada kaitan dengan agama, tetapi sebaliknya melambangkan ‘tuntutan keagamaan-politik terhadap kuasa, yang mencabar hak asasi asas.’

Dengan majoriti pengundi 53 peratus yang keluar mengundi, inisiatif itu kini akan dimasukkan dalam Perlembagaan negara berkenaan.

“Majlis Persekutuan (kerajaan) menghormati keputusan itu. Justeru selepas ini menara masjid tidak dibenarkan dibina lagi di Switzerland,” kata kerajaan, yang dengan secara tegas menolak larangan itu, dalam satu kenyataan.

Menteri Kehakiman, Eveline Widmer-Schlumpf berkata keputusan itu ‘mencerminkan kebimbangan di kalangan penduduk mengenai kecenderungan fundamentalis Islam.’ - AFP