January 20, 2010

Mahasiswa patut menyokong kerajaan.

Mahasiswa merupakan satu aset yang begitu penting dalam sesebuah negara. Hal ini adalah kerana mahasiswa merupakan pemimpin yang mecorakkan negara pada masa akan datang. Mahasiswa juga merupakan satu entiti yang mempunyai banyak kelebihan terutamanya dari segi fizikal,mental,semangat dan idealisme. Sifat-sifat ini merupakan satu pekej lengkap yang sepatutnya menjelmakan mahasiswa yang berjasa dan berguna pada negara.

Sememangnya tanggungjawab kerajaan untuk membiayai kos pembelajaran mahasiswa, umpama bapa menanggung anak. Atas disebabkan ini mahasiswa sepatutnya menghargai dan memberi sokongan kepada kerajaan yang memerintah. Idea atau gagasan untuk melawan kerajaan dianggap sesuatu yang tidak bermoral dan perbuatan yang tidak mengenang jasa. Mengapa harus menjadi anak derhaka sedangkan kita dibela dan diasuh dari kecil.

Kerajaan sepatutnya mendapat sumbangan dan dapat mengunakan tenaga mahasiswa semaksimum mungkin. Lantaran dari peruntukkan yang disediakan kerajaan kepada mahasiswa hasilnya patut dirasai oleh kerajaan. Universiti seharusnya menjadi tempat yang melahirkan pelajar yang yang mempunyai sifat negarawan yang berkualiti dan semangat patriotik yang tinggi.

Melihat dari perspektif sendiri dan kondisi sebagai seorang mahasiswa seruan yang menyuruh mahasiswa menyokong kerajaan seolah-olah menjadi agenda utama kerajaan pada masa kini. Sehinggakan di surat tawaran ke universiti dinyatakan jumlah yang ditanggung oleh kerajaan, tidak cukup setakat itu perkara ini dicanang-canangkan oleh individu-individu yang memegang jawatan dalam pengurusan HEP universiti dan juga peringkat kolej. Hal ini membuktikan betapa perlunya kerajaan terhadap sokongan seorang mahasiswa. Sejarah membuktikan bertapa hebatnya pengaruh mahasiswa dalam sesebuah kerajaan sebenarnya. Seperti mana yang berlaku di Iran dimana mahasiswa merupakan salah satu tunjang utama revolusi Iran.

Sikap kerajaan yang mengungkit tanggungjawab sendiri ini juga serupa dengan firaun yang mengungkit jasanya dihadapan nabi Allah Musa as sebagaimana Allah rakamkan dalam surah As-syuara' ayat 18 dan 19 " Fir'aun menjawab: "Bukankah kami telah mengasuhmu di antara (keluarga) kami, waktu kamu masih kanak-kanak dan kamu tinggal bersama kami beberapa tahun dari umurmu," "dan kamu telah berbuat suatu perbuatan yang telah kamu lakukan itu dan kamu termasuk golongan orang-orang yang tidak membalas guna."

Ya menjadi tanggungjawab seorang mahasiswa untuk menyokong kerajaan, setiap mahasiswa harus sedar akan hakikat ini. Tapi mahasiswa juga mempunyai peranan untuk menentang mana-mana kerajaan yang zalim dan menindas, kerana pada dasarnya yang membiayai mahasiswa adalah rakyat kerajaan hanyalah pengurus yang mengurus wang rakyat. Kerajaan adil dan berkebajikanlah yang seharusnya mendapat sokongan mahasiswa bukannya kerajaan yang penuh dengan korupsi dan mementingkan kepentingan sendiri.

Rakyatlah yang menanggung mahasiswa dan kepada rakyatlah harus mahasiswa balas. Malang bagi rakyat andai kata mahasiswa terus hanyut dan mengejar pointer yang tinggi demi kesenangan sendiri denagn melupakan jasa rakyat. Situasi yang mencengkam negara masa kini adalah universiti hanyalah menjadi yempat melahirkan tenaga kerja semata-mata yang bekerja untuk pulangan kocek sendiri, Rasulullah SAW pernah bersabda "Celakalah orang yang memperbudakkan dirinya kepada wang dan harta. apabila diberi ia puas dan apabila tidak diberi ia gelisah" (Bukhori). Kekurangan mahasiswa yang mempunyai sifat negarawan meripakan satu situasi yang amat bahaya pada negara. Cuba bayangkan andai si tamak haloba ini menjadi pemerintah habislah khazanah negara tergadai kepada orang-orang luar yang sentiasa menanti peluang.

Di kalangan rakyat ada nelayan yang melawan badai dilaut, petani yang begelimpangan lumpur, buruh yang dibasahi peluh, mereka yang merupakan aset yang menguntungkan kerajaan dan memajukan negara. Sedangkan kita, mahasiswa yang berada di bilik-bilik kuliah berhawa dingin, yang mengidap kolej-kolej serba baru dan mewah, sedarkah kita betapa susah nya orang lain demi kita?!.

Bangkitlah mahasiswa bangkitlah, janganlah menjadi mundur dan lemah, diluar lingkungan keselesaan dan kemewahan varsiti ini ada golongan yang pondok buruk menjadi mahligai,sesuap nasi hanya mampu dikecap dalam bayangan, inilah realiti rakyat yang berada dalam sebuah negara yang ditadbir dengan zalim. Yang kaya terus kaya yang miskin takkan terbela. Jadilah mahasiswa berguna yang membantu rakyat yang sangat berjasa pada kita.

Jihad yang paling besar adalah jihad menentang kezaliman pemerintah. Varsiti merupakan satu medan latihan kepada kita. Janganlah kita siakan segala ruang dan peluang yang ada, jadilah seorang hamba yang mensyukuri nikmat-Nya bukan seorag yang kufur ingatlah amaran Allah dalam surah Ibrahim Ayat 7 yang berbunyi Dan (ingatlah juga), tatkala Tuhanmu memaklumkan; "Sesungguhnya jika kamu bersyukur, pasti Kami akan menambah (ni'mat) kepadamu, dan jika kamu mengingkari (ni'mat-Ku), maka sesungguhnya azab-Ku sangat pedih".


 

No comments:

Post a Comment