September 16, 2010

Edisi Khas: Sejarah Pembentukan Malaysia

Pada 31 Ogos 1957, Persekutuan Tanah Melayu mencapai kemerdekaan. Selepas merdeka, Tunku Abdul Rahman telah mengemukakan cadangan kepada Kerajaan British supaya Brunei, Sabah dan Sarawak digabungkan dengan Persekutuan Tanah Melayu menjadi Malaysia. Namun, Kerajaan British menolak cadangan itu kerana Singapura diketepikan.

Sementara itu, Lee Kuan Yew, Ketua Menteri Singapura pada masa itu juga menyarankan percantuman Singapura dengan Persekutuan Tanah Melayu. Cadangan Lee Kuan Yew ditolak oleh Tunku Abdul Rahman. Namun begitu, senario politik yang berlaku di Singapura mengubah sikapnya terhadap saranan Lee Kuan Yew.

Pada 27 Mei 1961, Tunku Abdul Rahman dalam ucapannya di Persidangan Wartawan-wartawan Luar Negeri di Asia Tenggara di Hotel Adelphi, Singapura mencadangkan supaya Brunei, Sabah, Sarawak dan Singapura digabungkan dengan Tanah Melayu membentuk Persekutuan Malaysia. Cadangan ini menimbulkan pelbagai reaksi.

Pada 23 Julai 1961, Jawatankuasa Perundingan Perpaduan Malaysia (JPPM) ditubuhkan. JPPM memberi peluang kepada pemimpin di Sabah dan Sarawak untuk mengemukakan pandangan memandangkan mereka masih menentang gagasan. Akhirnya Sabah dan Sarawak menerima gagasan ini dan menyusun satu memorandun untuk dihantar kepada Suruhanjaya Cobbold. Suruhanjaya ini kemudian menjalankan tugasnya iaitu meninjau pandangan rakyat Sabah dan Sarawak dan membuat syor perlembagaan baru.

Kemudian pada Ogos 1962, Jawatankuasa Antara Kerajaan (JAK) ditubuhkan bagi merangka Perlembagaan Malaysia. JAK mengeluarkan laporannya pada 27 Februari 1963. Laporan ini diterima dan diluluskan. Berdasarkan laporan ini, Perjanjian Malaysia ditandatangani di London pada 9 Julai1963. Pada 16 September 1963, Malaysia diisytiharkan.


Sebab pembentukan Malaysia

Senario politik di Singapura

Sebab utama penubuhan Malaysia ialah untuk menentang kegiatan komunis yang kian bertambah di Singapura pada tahun 1950-an. Ejen-ejen komunis telah meresap masuk ke sekolah Cina dan kesatuan sekerja.

Pada tahun 1954, komunis telah menganjurkan satu permogokan di sebuah syarikat bas. Mogok ini merebak menjadi rusuhan. Selain itu, komunis juga merampas pucuk pimpinan Parti Tindakan Rakyat (PETIR) yang sejak tahun 1959 menguasai Kerajaan Singapura di bawah pimpinan Lee Kuan Yew. Mereka menjadi ahli PETIR sehingga menubuhkan satu kumpulan berhaluan kiri dalam PETIR.

Pada mulanya, Lee Kuan Yew berbaik-baik dengan mereka tetapi akhirnya pertelingkahan telah berlaku. Pertelingkahan ini menyebabkan PETIR kalah dalam pilihanraya kecil pada tahun 1961 iaitu Pilihanraya Hong Lim dan Pilihanraya Anson. Kekalahan PETIR menunjukkan pengaruh komunis bertambah kuat. Akibatnya, Lee Kuan Yew mengusir golongan berhaluan kiri ini dari PETIR. Pengaruh komunis turut berkembang sehingga satu parti berhaluan komunis iaitu Barisan Sosialis dibawah pimpinan Lim Chin Siong ditubuhkan. Tunku Abdul Rahman bimbang komunis meresap masuk Tanah Melayu. Diharapkan melalui gagasan Malaysia, hasrat komunis menguasai Singapura gagal yang seterusnya dapat menyekat kemaraan mereka.

Senario politik di Sarawak

Pada tahun 1951, Liga Belia Demokratik Cina Seberang Laut yang berhaluan komunis ditubuhkan tetapi dibubarkan semasa Darurat. Walau bagaimanapun, satu pertubuhan komunis sulit iaitu Persatuan Belia Maju Sarawak telah bergerak di kalangan kesatuan sekerja, pelajar dan petani. Mereka menghasut masyarakat Cina menentang British. Parti Bersatu Rakyat Sarawak (SUPP) telah dipengaruhi oleh komunis. Lalu, Kerajaan British melancarkan operasi pisang untuk menyekat pengaruh komunis dalam SUPP tetapi gagal. Diharap melalui gagasan ini, kestabilan politik yang diperolehi dapat menentang ancaman komunis.

Mengimbangi penduduk

Penubuhan Malaysia juga bertujuan mengimbangi jumlah penduduk. Tunku Abdul Rahman menjangkakan Sabah, Sarawak dan Brunei kalau digabungkan dengan Tanah Melayu akan membawa kepada faedah sosial. Penggabungan Tanah Melayu dengan Singapura menimbulkan masalah ketidakseimbangan kaum. Hal ini disebabkan ¾ daripada penduduk Singapura berbangsa Cina. Kemasukan Sabah, Sarawak dan Brunei akan mengimbangi kadar kaum-kaum kerana 70% daripada penduduk Borneo Utara ialah bumiputera.

Kemajuan ekonomi bersama

Pembentukan Malaysia membolehkan kelima-lima buah kawasan menikmati kemajuan ekonomi bersama. Singapura, Brunei dan Tanah Melayu telah mencapai kemajuan ekonomi yang amat memuaskan, manakala Sabah dan Sarawak ialah negeri yang masih mundur. Penubuhan Persekutuan Malaysia membolehkan Sabah dan Sarawak dimajukan. Hal ini bermaksud kekayaan dari kawasan maju akan dipindah ke kawasan mundur untuk membiayai projek pembangunan.

Mempercepatkan proses kemerdekaan

Penubuhan gagasan Malaysia bertujuan mempercepatkan proses kemerdekaan bagi Sabah, Sarawak, Brunei dan Singapura. British berjanji akan memberi kemerdekaan yang lebih awal sekiranya Sabah, Sarawak, Brunei dan Singapura bergabung dengan Tanah Melayu bagi membentuk Malaysia. Penggabungan ini juga akan menamatkan penjajahan British di rantau ini dan menjamin kedaulatan dan keselamatan wilayah-wilayah itu daripada ancaman kuasa luar.

Reaksi-reaksi negeri terlibat


Singapura

Lee Kuan Yew selaku Ketua Mentei Singapura menyokong gagasan ini kerana PETIR dapat meneruskan kekuasaannya di Singapura, ancaman komunis dapat dikawal, perkembangan ekonomi Singapura menjadi lebih pesat dan Singapura dapat merdeka dengan lebih awal. Namun demikian, Barisan Sosialis dan Parti Buruh menentang gagasan ini. Pada 1 September 1962, Lee Kuan Yew telah mengadakan satu pungutan suara bagi mendapatkan persetujuan rakyat Singapura mengenai penyertaan Singapura dalam Malaysia. Mengikut keputusan, 71.1% daripada rakyat Singapura menyokong penubuhan Malaysia. Melalui gagasan Malaysia, taraf pelabuhan bebasnya dikekalkan, Singapura mempunyai kuasa autonomi dalam bidang kewangan, pendidikan dan perburuhan dan Singapura akan mendapat 15 kerusi dalam Parlimen Malaysia.

Sabah dan Sarawak

Pemimpin di kedua-dua negeri ini amat terperanjat dengan penubuhan Malaysia. Pemimpin-pemimpin di kedua-dua negeri ini membentuk Barisan Bersatu pada 9 Julai 1961 bagi menentang gagasan Malaysia. Pemimpin-pemimpin itu termasuk Ong Kee Hui (Pengerusi SUPP), Temenggung Jugah Anak Berieng (Yang Dipertua Parti Negara Sarawak – PANAS), Dato' Mustapha bin Dato' Harun dan Donald Stephen (ahli tak rasmi Majlis Undangan Sabah). Mereka menentang gagasan kerana takut Sabah dan Sarawak akan dikuasai oleh Tanah Melayu. Mereka takut kedudukan politik mereka terjejas. Mereka juga bimbang keperibadian negeri masing-masing akan hilang.

Golongan peniaga Cina pula bimbang kuasa ekonomi akan dirampas oleh Tanah Melayu dan Singapura. Selain itu, mereka juga berpendapat Sabah dan Sarawak perlu diberi kemerdekaan dahulu sebelum menyertai Malaysia. Kaum bumiputera bukan Islam turut menentang gagasan Malaysia. Bantahan mereka disuarakan melalui Parti Kebangsaan Sarawak (SNAP), Pertubuhan Kebangsaan Kadazan Bersatu (UNKO) dan sebagainya. Pemimpin di kesua-dua negeri menganggap gagasan Malaysia merupakan satu helah untuk meluaskan kuasa Tanah Melayu dan menggantikan penjajahan British.

Pada bulan Jun 1961, Tunku Abdul Rahman berangkat ke Sabah dan Sarawak dan mendapati rakyat di sana telah salah faham mengenai gagasan Malaysia. Oleh itu, sebuah persidangan Persatuan Parlimen Komanwel diadakan di Singapura pada Julai 1961. Beberapa orang daripada Barisan Bersatu telah dihantar oleh British ke persidangan ini. Mereka membincangkan tentang gagasan Malaysia. Akhirnya, Jawatankuasa Perundingan Perpaduan Malaysia (JPPM) ditubuhkan untuk mengumpulkan pendapat Sabah dan Sarawak mengenai gagasan ini.

Pada bulan Ogos 1961, Abang Haji Mustapha (Pengerusi PANAS) menyokong gagasan Malaysia. Kemudian, Donald Stephen dan Dato' Mustapha turut menyokong gagasan ini selepas melawat ke Tanah Melayu dan berunding dengan Tunku Abdul Rahman.

Brunei

Sultan Omar Ali Saifudin menyokong gagasan ini tetapi Parti Rakyat Brunei (PRB) yang dipimpin oleh A.M. Azahari menentangnya. A.M. Azahari menentang gagasan ini kerana Brunei akan menjadi jajahan Malaysia. Beliau mahukan Brunei merdeka dahulu sebelum menyertai Malaysia. Beliau juga merancang menggabungkan Brunei, Sabah dan Sarawak menjadi Persekutuan Borneo Utara di bawah pimpinan Sultan Brunei. PRB menang dalam pilihanraya Majlis Daerah dan Majlis Undangan yang diadakan pada Ogos dan September 1962. Kemenangan ini menyakinkan Azahari bahawa rakyat Brunei turut menentang gagasan Malaysia. Selain itu, Azahari juga merasa dirinya kuat kerana Filipina dan Indonesia menyokongnya. Dengan keyakinan bahawa gagasan ini akan gagal, PRB melancarkan pemberontakan bersenjata pada 7 Disember 1962.

Pemberontakannya ditumpaskan oleh Kerajaan Brunei dengan bantuan tentera dari British dan Tanah Melayu. Azahari melarikan diri ke Filipina dan mengisytiharkan dirinya sebagai Perdana Menteri dan Sultan Omar Ali Saifudin sebagai Ketua Kerajaan Persekutuan Borneo Utara. Walaupun pada mulanya Sultan Brunei menyokong gagasan ini tetapi baginda telah menarik diri pada Julai 1963 kerana baginda tidak mahu membayar cukai hasil daripada pengeluaran minyaknya kepada kerajaan pusat Malaysia dalam tempoh 10 tahun. Selain itu, baginda juga tidak berpuas hati kerana diberi kedudukan yang paling rendah dalam senarai nama Sultan-sultan. Tambahan pula, rakyat Brunei juga tidak bersetuju menyertai Malaysia.

sumber: http://www.carigold.com/portal/forums/archive/index.php/t-73673.html

No comments:

Post a Comment