September 8, 2010

Maaf TV3


Saya ingin mengucapkan tahniah dan saya berbesar hati dengan ucapan maaf dan penarikkan iklan oleh TV3. Sebagai seorang mukmin saya merasa cukup lega dan bahagia dengan tindakan TV3.

Tak dapat bayangkan bagaimana perasaan dan betapa bergolaknya iman tatkala menatap iklan yang terang-terang merosakkan aqidah, menjahanamkan iman. Resah gelisah memikirkan nasib anak-anak pada masa hadapan dengan senario sekarang. Kalau hari ini sudah begini, cuba bayangkan macam mana 10 ttahun nanti.

Hati sedikit terubat dengan reaksi masyarakat. Masyarakat mengasak TV3 di segenap ruang, Facebook, Blog, hinggalah laporan polis. Masyarakat betul-betul menggesa dan inginkan iklan seperti ini ditarik balik. Masyarakat tidak redha dan betul-betul marah.

Saya ingin mngucapkan ribuan terima kasih kepada pihak yang menggerakkan usaha bagi menyedarkan masyarakat dengan apa yang berlaku. Semoga segala usaha-usaha jihad kalian diberkati dan diredhai Allah, semoga usaha ini membawa kalian ke syurga-Nya. Disini juga saya titipkan setinggi harapan supaya kalian terus istiqamah dan menyedarkan masyarakat tentang betapa banyaknya kepincangan yang berlaku saat ini.

Senario Pasca Maaf dan Penarikkan Balik Iklan.


Kemarahan masyarakat seolah-olah tidak reda, walaupun TV3 secara terang-terang memohon kemaafan dan menarik balik iklan tersebut. Ada suara-suara menolak kemaafan dan menjangkakan perkara ini akan berulang. Sebagaimana yang saya katakan dalam post sebelum ini, populariti TV3 jatuh menyembah bumi, bagai menjadi orang dagang sehingga maaf pun tidak dipandang.

Kepada yang dipenuhi kemarahan, maafkanlah untuk kali ini, saya petik kata-kata ustaz Hasrizal sebagai pedoman untuk kita semua ; Sikap melampau-lampau menolak permohonan maaf TV3 dengan alasan kejadian mungkin berulang lagi, adalah satu kesombongan yang terlupa bahawa itulah sikap kita sendiri kepada Allah. Buat dosa, istighfar. Lepas tu buat balik! Bagaimana kalau istighfar kita sudah tidak laku di sisi Allah? Jangan remehkan permohonan maaf orang, nanti Allah 'remehkan' istighfar kita.

Pandangan Peribadi.


Pembaca sekalian, saya tidak ingin mempertikaikan keikhlasan ucapan maaf TV3, jauh sekali untuk mencari kesalahan. Apa yang saya nukilkan adalah pandangan peribadi saya untuk kita sama-sama fikirkan.

Saya petik kenyataan yang menimbulkan rasa tidak enak dalam hati saya.

"Tindakan itu diambil setelah mengambil kira maklum balas yang kami terima daripada penonton dan orang ramai"

Ini bukan isu siapa tidak puas hati tapi ini isu agama! Soalnya Islam dihina, mengapa tiada satupun ayat memohon maaf kerana melakukan perbuatan bersalah Aqidah?

Cukup! saya tidak mahu mengulas panjang, fikir-fikirkanlah, jangan jadi orang yang kurang fikir dan zikir.

Pengajaran.


Suka saya memetik ucapan Presiden Pas. Cukup menyentuh hati; Kami rela kalah kerana melaksakan islam, kami rela ditolak rakyat kerana malaksanakan suruhan Allah. Apalah maknanya sebuah pemerintahan tanpa Redha Allah.

Pembaca sekalian, apa yang patut kita kejar, kita cari, dan yang sepatutnya menjadi matlamat hidup kita adalah keredhaan Allah.

Pengajaran yang saya dapat dan saya ingin sekali berkongsi dengan para pembaca ialah biar dibenci manusia, jangan dimurka Allah. Perkara yang kita lakukan apabila di niatkan kerana mencari redha manusia sia-sialah. Berapa ramai dikalangan kita hari ini bermati-matian memenuhi hati orang yang mereka sayang. Bergolak gadai, lebih malang lagi ada yang menggadai maruah dan agama.

Tidak sayangkah kita pada Allah? Mengapa kita tidak bermati-matian mencari redha Allah? Sedangkan cukup banyak yang Allah beri pada kita. Sedarkah kita orang yang kita sayang hingga sangup gadaikan segalanya itu pemberian Allah..sayang kita itu pemberian Allah..

Kesimpulan


Saya lebih suka jika TV3 menyatakan maaf kerana telah melakukan perkara yang bersalahan dengan Aqidah, supaya masyarakat faham, Islam lebih gemilang. Ingatlah jangan kita menjadi orang yang melakukan sesuatu demi manusia. Andai perkara yang kita lakukan untuk cinta Allah biarlah dibenci sekalian manusia sekalipun tetaplah pada pendirian.