November 25, 2013

Bilik dan Persatuan.

Berpersatuan menjadi satu kewajiban kepada mahasiswa dalam melatih dan mendidik diri menghadapi realiti dunia kerjaya.  Yang mana dunia ini memerlukan mahasiswa yang baik dari sudut pengurusan dan kepimpinan.  

Kita memuji HEMA yang memainkan peranan dalam membantu mahasiswa menggerakkan persatuan. Tambahan, HEMA juga memainkan peranan sebagai bapa kepada mahasiswa,  yang mana menjadi pihak yang memberi tunjuk ajar dan bantuan kepada mahasiswa. Namun, beberapa kelemahan atas beberapa perkara yang berlaku amat kita kesali.

Bilik dan Persatuan.

Bilik menjadi satu perkara penting bagi sesebuah persatuan. Bilik memainkan peranan sebagai nadi kepada persatuan. Menjadi tempat menyimpan aset, tempat dan juga tempat berkumpul sesama ahli persatuan. Agak rumit bagi sesebuah persatuan untuk bergerak tanpa bilik.

Situasi di UTM, tidak semua persatuan mempunyai bilik sendiri. Hanya beberapa persatuan utama yang mempunyai bilik sendiri. Yang ada pun terpaksa berkongsi dengan persatuan lain. Ini amat menyukarkan persatuan dan banyak masalah antara persatuan yang timbul angkara dari perkongsian bilik, masalah seperti kehilangan barang dan sebagainya menimbulkan kedinginan antara persatuan.

Peranan Hema

Ini bukan masalah baru, tetapi sudah berlarutan sekian lama. Lebih buruk lagi pengambilan Student Union Building (SUB) untuk dijadikan pejabat HEMA, menambah parahkan lagi masalah bilik persatuan ini.

Yang amat dikesali adalah persatuan yang kehilangan bilik tidak diganti dengan selayaknya. HEMA tidak menguruskan perkara ini dengan sebaiknya, banyak persatuan yang menjadi mangsa akibat daripada pengambilan SUB. Hakikatnya, sebagai bapa HEMA tidak memainkan peranan selayaknya, malahan mengorbankan kepentingan mahasiswa demi untuk kesenangan dan keselesaan HEMA.

Kezaliman yang Dikesali


Tidak meletakkan sesuatu pada tempatnya itu zalim, dan sebagai orang yang diberi amanah, dengan tidak melaksanakan amanah itu sebaiknya adalah suatu bentuk kezaliman. Islam sebagai rahmat kepada sekalian alam, cukup memandang berat akan kezaliman ini. Tuntutan untuk melaksanakan amanah dengan keadilan adalah sangat dititik beratkan oleh Islam.

Islam amat menuntut kepada perlakuan adil, walaupun kepada musuh kita perlu hukum dengan hukum yang adil, Allah berfirman dalam Al-Quran;

"Dan janganlah sekali-kali kebencianmu terhadap suatu kaum, mendorong kamu untuk berlaku tidak adil. Berlaku adillah, karena itu lebih dekat kepada takwa. Dan bertakwalah kepada Allah, sungguh Allah Mahateliti apa yang kamu kerjakan "( QS. Al- Maidah : 8 )

Lihatlah contoh tauladan daripada Saidina Ali yang mana dia ditikam ketika dia ingin menunaikan solat subuh, yang mana orang yang menikam Saidina Ali dapat ditangkap. Ketika itu nasihat Saidina Ali kepada anaknya “jangan kamu zalimi dia, jangan kamu aniaya dia, jika dengan tikaman ini aku mati maka hukumlah dia dengan khisas dan jika aku tidak mati hukumlah dia dengan hukum takzir” Bahkan ketika mana Saidina Ali merasakan ajalnya sudah dekat dia mengarahkan supaya makanannya diberikan kepada orang yang menikamnya.

Kesimpulan

Andai pihak yang diharapkan tidak dapat memainkan peranan dengan sepatutnya, mungkin sudah masanya bagi mahasiswa yang matang ini untuk menguruskannya sendiri. Apa makna ada HEMA yang dikatakan menjaga kebajikan mahasiswa jika hanya mementingkan kebajikan sendiri.