Aku termenung sejenak, dalam diam setuju dengan apa yang dikatakan. Dakwah itu perlu hikmah dan mendekati ianya tidak bersifat menghukum tetapi mendidik. Aku juga sangat akui adakalanya ada pendakwah yang kadang-kadang teremosi dan kesannya tegurannya menjadi keras, lantas yang ditegur menjauh.
Tapi.
Jika kita mahu kebaikan, kita harus mencarinya dan mendapatkannya walaupun dengan cara yang pahit. Kerana kebaikan tidak selalunya datang dalam keadaan yang baik. Teguran yang kasar dan pedih itu lebih kita ingati berbanding pujuk rayu lembut yang kita mudah tolak dengan lembut.
Sedarkah kita, tidak akan ada jalan senang untuk berubah dan mendapat kebaikan. Untuk berubah kita perlu menghadapi segala dugaan dalaman dan luaran, sikap kawan-kawan, orang sekeliling. Perlu rasa makan hati, ingin berputus asa, dan banyak lagi.
Kita sendiri menjadi terlalu cerewet dengan dengan pendakwah yang datang berkongsi dengan kita. mesti cakap lembut-lembut, mesti perlahan-lahan, mesti memahami, mesti baik, mesti..mesti..mesti..
Ingatlah ingin ke syurga itu ada jalan yang perlu dilalui dan ditempuhi. Adakah kita hanya ingin duduk diam menunggu syurga datang kepada kita? Bukan apa, takut nanti Neraka-lah tempatnya.
Ataupun, sebenarnya kita tidak ingin pun kebaikan itu.
Lantas pendakwah kita jadikan alasan untuk lari dan terus lari.
Malanglah.
No comments:
Post a Comment