April 26, 2013

Purdah dan Akhlak: PM pun kalau..

Hari ini saya terdengar beberapa kisah kurang enak berkenaan Bahagian Keselamatan UTM. Kisah sahabat saya yang baru sahaja pulang dari mendengar kuliah di luar UTM. Oleh kerana tempatnya jauh, dan kuliahnya bermula selepas solat isyak jadinya pukul satu pagi baru sampai di UTM. Buka sahaja cermin kereta, mereka mengatakan bahawa mereka di tegur dengan kasar dan dimarahi oleh pengawal keselamatan yang bertugas kata pengawal itu;

"Itu(purdah) bukan aurat,
bagi dalil apa aurat?
buka purdah tu,
buka la!
bukan wajib pun..
bukan aurat.
tahu kan itu bukan aurat?
dalam dua ribu kat utm ni, kamu dua org saja yg pakai mcm ni!
minta kad matrik,
kalau sekali lagi jumpa saya kenakan tindakan!"

Pada pandangan saya mereka memang salah, di UTM semua mahasiswa perlu berada dalam kawasan UTM sebelum dua belas tengah malam. Hukuman kesalahan lambat masuk di UTM adalah nama akan direkodkan dengan kad matrik di scan, kemudiannya terserah kepada kolej masing-masing untuk tindakan lanjut.Ini kesalahan pertama, lambat.

Yang kedua adalah purdah, didalam AUKU memang purdah merupakan suatu kesalahan dari sudut pemakaian, benar purdah tidak dibenarkan dalam kawasan kampus.

Jadinya saya hendak mengajak kita berfikir tentang dua kesalahan ini. Yang pertama lambat, selambat mana pun pelajar, prosedurnya adalah ambik kad matrik scan dan benarkan masuk. Ini yang saya faham setelah hampir empat tahun di UTM. Jadi di sini tiada persoalan dikenakan tindakan, di marah, atau diherdik. Kita mengalu-alukan teguran dari pengawal keselamatan yang bertugas, tapi perlu berhemah dan biarlah dengan senyuman. Apa-pun jika lambat saya yakin semua pelajar punya alasan tersendiri.

Yang kedua purdah, pengharaman ini bersebab, untuk kenal pasti pelajar dan mengelakkan berlaku penipuan identiti. Jadinya dalam sesetengah keadaan pelajar dilarang berpurdah, dan saya yakin setakat ini pelajar yang berpurdah terbuka untuk buka purdah dalam keadaan tertentu. Saya ambil contoh pada hari kejadian, pengawal bertugas boleh saja mengarahkan mahasiswi berkenaan untuk buka purdah untuk pengecaman, dengan berhemah pastinya. Saya yakin isu ini tidak timbul dan mahasiswi yang terliba tiada masalah untuk membuka purdah bagi tujuan pengecaman. 

Kesimpulannya tiada masalah dengan purdah. Apa salahnya untuk hormati mahasiswi kita yang ingin menjaga dirinya lebih, yang punya rasa untuk mujahadah dalam hidupnya? sedangkan kita boleh hormati orang yang tidak Islam buka aurat kerana agamanya tidak menyuruh menutup aurat-walaupun kadang-kadang macam tidak berseluar- kenapa kita tidak boleh hormati mahasiswi kita yang ingin amalkan lebih dalam agama?

Saya seringkali berurusan dengan Bahagian Keselamatan di UTM, saya amat kagumi cara En.Halim selaku pengarah keselamatan dan pegawai keselamatan yang lain dalam berurusan dengan mahasiswa. Amat berhemah dan penuh rasa bersahabat, berlainan dengan sikap beberapa pengawal bawahan yag kadang-kadang senyum kita pun tidak dibalasnya. Jadinya saya rasa tak salah pengawal keselamatan lain contohi pegawai atasan Bahagian Keselamatan yang lebih baik dalam menyantuni mahasiswa.

Kita perlu hormati orang lain untuk minta orang lain hormati kita. Perdana Menteri pun kalau tak reti hormat orang, orang tidak akan hormatnya. Kalau Perdana Menteri rasuah, bunuh orang, curi duit rakyat adakah ruang untuk kita sayang atau hormatinya. Lainlah kalau sayang itu berkepentingan dan berbayar. 

Saya sarankan kepada semua mahasiswa dan mahasiswi jika berlaku perkara sebegini kepada anda. Sila ambil nama dan no. pengawal terbabit dan laporkan kepada Pengarah Keselamatan.

April 16, 2013

Ruang Songsang: Tayangan Tanda Putra di UTM?

Menjelang PRU 13 Politik kampus menunjukkan satu perkembangan menarik. Yang mana sebagai seorang pemerhati yang telah lama-saya rasa-terlibat dalam politik kampus, saya melihat sedikit ruang untuk mahasiswa berpolitik kini telah terbuka. Sedikit demi sedikit.

Bermula dengan penubuhan kelab BN IPT sehinggalah pengumuman akan membantu BN dalam PRU secara terbuka oleh mahasiswa dari UTHM dan USM, sehinggalah baru-baru ini ini saya saya dengar akan ada tayangan filem kontroversi di UTM, Tanda Putra. Saya melihat ruang berpolitik mahasiswa mula terbuka. Bukan secara biasa tetapi ruang politik kepartian mula di buka oleh pentadbiran universiti dan kerajaan.

Secara peribadi saya melihat ini satu perkembangan yang baik. Dengan semangat demokrasi, saya berpendapat mereka ada hak untuk sokong dan menyebarkan propaganda mereka.

Semua orang tahu filem adalah salah satu alat propaganda, filem boleh digunakan untuk mengangkat penjahat menjadi hero. Boleh juga digunakan bagi menyalahkan pihak yang tak bersalah, sebagai contoh pearl harbor yang menunjukkan Jepun sebagai penjahat dan Amerika sebagai pencinta keamanan no.1 di dunia.

Sejak diterbitkan, semua orang tahu filem Tanda Putra alat propaganda yang bersifat rasis dan menyentuh sensitiviti kaum. Jika tidak masakan punya masalah untuk penerbitannya! Dan cerita ini akan ditayangkan secara meluas untuk seluruh warga UTM di dewan besar. Saya secara peribadi juga tiada masalah dengan perkembangan ini. Sebar propaganda ini di universiti saya tidak risau mana, masing-masing golongan intelek boleh fikir mana sejarah mana propaganda kaum.

Apa yang saya kesalkan adalah, ruang politik yang dibuka ini songsang. Kenapa saya katakan ianya songsang? Sedang hak menyokong parti dan berpropaganda bagi BN dibuka seluas-luasnya hak kami untuk menyebar luaskan fahaman perjuangan mahasiswa ditindas! Saya tekankan di sini bagi kami gerakkan mahasiswa bebas dari dokongan dan kongkongan mana-mana pihak atau parti. Mahasiswa lebih bergerak secara non partisan dan bertindak sebagai semak imbang pada negara.

Pengalaman saya, dalam mengendalikan speaker corner dan wacana ilmu saya hadapi banyak masalah. Hanya kerana ada perkataan politik dalam tajuk, program akan disekat dan dihalang, sekerasnya. Sedang untuk pihak lain, filem sesadis Tanda Putra ditayang seluasnya.

Ruang songsang ini pastinya menimbulkan rasa mual dan loya kepada sesiapa yang berada dalamnya mahupun para pemerhati. Perbukaan ruang songsang ini menunjukkan ketakutan dan kecetekkan akal pihak yang terlibat.

Hidup dalam ruang songsang ini menjadikan diri tidak selesa sekaligus semangat melawan kian kuat dan diri menjadi semakin teguh. Teruslah menghimpit, kelak mahasiswa akan terus bangkit!

Takut?

Saya ke Arked Cengal, UTM sebentar tadi, tiada yang istimewa cumanya saya memakai baju Gelombang Anak Muda Tolak Umno/Bn - TOLAK. Kemudiannya saya terlihat seorang staf HEMA turut ada di situ. Dia melihat saya, pandangnya tajam.

Dia menghampiri saya seraya berkata "awak tak takut?"

Saya memandangnya sambil tersenyum dan angkat kening. Jawap saya, "takut?"

Dia terus diam dan berlalu pergi dan saya meneruskan aktiviti saya tanpa menghiraukannya. Dia terus memandang saya dan kemudiannya berlalu pergi dengan kenderaan universiti.

Pada saya tiada apa-apa salah dengan baju saya, kalau kata saya berkempen untuk mana-mana parti saya rasa tidak. Saya hanya menunjukkan pendirian saya. Saya yakin apa yang saya pakai tidak menyentuh sensitivi mana-mana kaum atau agama.

Ruang demokrasi kampus kian sempit dan menyesakkan. Semuanya menjadi sensitif dan pelbagai peraturan pembodohan diperkenalkan bagi menyekat arus perubahan di kalangan anak muda.

Mentang-mentanglah jenayah pembodohan tidak pernah diadili, gejala pembodohan mahasiswa dilakukan sewenang-wenangnya. Dibuka seluas-luasnya pintu hiburan yang melalaikan seluas-luasnya. Namun jika hendak fikir tentang negara pun menjadi masalah. Program yang ada tajuk politik, kertas kerjanya tanpa dibaca terus ditong sampahkan.

Demokrasi geli ala HEMA ini sudah jijik dan basi. Kepada mahasiswa ini masa untuk kita berubah! Takut? Mengapa takut?

Sihat itu Nikmat

Setiap perkara yang ada pada kita merupakan satu nikmat dari-Nya. Yang mana bilamana dikatakan nikmat, maka mahu atau tidak perlu untuk kita menjaganya. Allah jelas menyatakan dalam firman-Nya dalam surah ibrahim ayat tujuh yang bermaksud; dan jika kamu bersyukur akan Ku tambahkan, jika kamu kufur,sesungguhnya azab-Ku sangat pedih!

Salah satu nikmat yang perlu kita jaga adalah kesihatan. Nikmat kesihatan adalah satu nikmat yang besar, kerana ianya menjadi penentu kepada banyak perkara.

Jika kita tidak sihat bagaimana kita ingin berjuang?

Jika kita tidak sihat macam mana kita ingin beribadat?

Jika kita tidak sihat macam mana kita ingin membantu orang lain?

Pokoknya sihat merupakan perkara yang membantu kita dalam usaha mencapai redha-Nya. Jadi kepada kalian, sementara masih sihat jagalah kesihatan, dan kepada yang tidak sihat berusahalah dalam mengubati.

Saya? Saya akui saya bukanlah golongan yang mengambil berat dalam kesihatan sendiri. Namun semuanya bermula dengan kesedaran, kan?

Untuk islam, untuk ummat, Jom sihat!

#pesanan buat yang tersayang.

April 15, 2013

Jelajah TOLAK UMNO Johor: Mentaliti Masyarakat Kita.

Saya baru selesai memberi taklimat kepada semua peserta jelajah TOLAK UMNO di Johor. Rata-rata anak muda yang menyertainya merupakan ahli GAMIS Johor dan juga anak-anak muda sekitar negeri Johor.

Sebelumnya saya baru sahaja di marahi oleh setiausaha masjid Taman U di Skudai. Yang lebih mengejutkan, sesampainya saya di Masjid Taman U saya lihat sudah penuh anggota polis berkawal sekitar masjid. Saya mengambil tindakan beralah dan menukar tempat kami berkumpul di masjid Sri Putri.

Di masjid Sri Putri, habis sahaja taklimat ringkas seorang lelaki yang berumur pertengahan, berbaju kuning datang. Terus kepada saya dan bertanya kepada saya tentang program. Dia mengarahkan kami beredar dan kebetulan memang kami hendak beredar.

Kami berbicara dengan nada sahabat dan menghormatinya sebagai orang tua. Namun tiba-tiba tidak semena-mena dia mengamuk sakan, tidak terkawal dan gila!

Kami serahkan kepada pihak polis dan beredar. Malas dan meluat, jadual kami juga masih padat dan panjang. Dan dia terus memaki orang sekelilingnya.

Sepajang program hari itu, kami dikerumuni polis dan SB. Golongan gila seperti lelaki tadi juga ada. Memerhati dari jauh.

Apa yang boleh saya kata, sebagai rakyat yang sudah 56 tahun merdeka, saya kecewa pemikiran dan sikap begini masih ada dalam masyarakat pada hari. Hakikatnya ini bukanlah kejadian pertama, politik samseng ini menjadi budaya baru dalm masyarakat yang kononnya maju pada hari ini.

Belum lagi kita tambah dengan cerita politik lucah yang mejadi senjata bagi memusnahkan karier politik sesetengah tokoh.

Hari ini kita dabik dada dan angkat kepala dengan KLCC,KLIA, dan lain-lain, tapi jika dinilai dari menteliti, memalukan!

Ramai yang tanya saya, mengapa tidak marah dan bagi ke penumbuk pada lelaki biadap itu?

Jawapan saya, saya bukan macam dia. :-)

PRU 13: Masa depan sudah sampai.

Menyoroti suasana pilihanraya di Malaysia pada ini, saya merasakan susuatu yang sangat menarik akan berlaku. Tiada siapa-siapa yang masuk gelanggang PRU dengan keyakinan sepenuhnya. Masing-masing punya helah dan permainan politik masing-masing dalam memenangi hati pengundi.

Dari sudut pengundi pada kali ini juga pastinya amat berbeza. Golongan atas pagar yang melakukan perubahan pada PRU lepas bertambah dengan galaknya. Golongan yang boleh dikatakan sebagai generasi Y yang matlumat hanya di hujung jari, dilihat punya mood dan pandangan yang berbeza. Jika PRU yang lepas-lepas kebanyakkan yang ada adalah golongan yang memilih berdasarkan parti dokongan masing-masing, tetapi generasi baru ini memilih berdasarkan pretasi calon dan parti.

Suasana politik baru yang wujud pada masa kini adalah rahmat buat negara. Tiada siapa-siapa boleh dabik dada menjadi kuku besi dan mengkayakan kroni. Jika ada ruang demokrasi akan menjatuh lingkupkan mereka. Serta merta!

Melihat manifesto PR saya merasakan masa depan sudah sampai. Gsgasan dan tawaran ywng dikemukaksn menjanjikan Malaysia yang baru berdasarkan teras utama yang menarik. Semangat dan pencerahan konsep manifesto merupakan satu perkara baru yang harus diteliti dan difahami rakyat Malaysia seluruhnya.

Perpaduan rakyat, kebajikan rakyat, dan kerajaan rakyat dan pembelanjaan secara income base seharusnya diberi peluang untuk dilaksanakan.

Seterusnya semuanya bergantung di tangan rakyat. Masa depan sudah sampai  mahu atau tidak pilihan di tangan anda!