February 1, 2011

Hidup sama hidup, mati sama mati-Memoir Cinta Zulkifli Muhammad

Add Image

Dalam sebuah perjuangan yang memenatkan, perjuangan yang panjang dan penuh onak, tercatat satu kisah cinta yang hebat. Manis untuk dikenang, sayu saat mengenang. Moga kisah cinta yang saya catatkan ini menjadi contoh dan tauladan kepada pemuda dan pemudi yang menyambung rantai perjuangan pasangan ini.

Zulkifli Muhammad mungkin satu nama yang kurang dikenali pada zaman ini, sedangkan beliau merupakan seorang tokoh besar yang juga merupakan seorang pejuang kemerdekaan. Tulisannya tentang falsafah, akhlak, ekonomi, kemerdekaan, pendidikan, bahasa, kebudayaan, dan politik islam menyerlahkan lambang kekatan pemikiran dan kekentalan perjuangan. Pidatonya memukau hadirin, beliaulah yang berucap empat jam tanpa henti dalam parlimen ketika membentangkan rang undang-undang di Dewan Rakyat.

Kisah percintaan

Kalau ada Hajar disebalik perjuangan Nabi Ibrahim, kalau ada Khadijah disebalik perjuangan Rasulullah, maka disebalik perjuangan Zulkifli Muhammad berdiri teguh Asiah Kamaruddin yang merupakan seorang isteri yang setia hingga hujung nyawa.

Zulkifli selalu berkata “ Asiah ni kalau tak ada dia entahlah saya, dialah yang memimpin saya berjalan kesana kemari”

Pernah juga orang-orang kampung berkata “Zulkifli ini, dimana ada Asiah adalah dia”,jawab Zulkifli “kami ni, hidup sama hidup, mati sama mati.”

Asiah Kamaruddin juga merupakan saudara kepada Zulkifli yang mana selalu datang kerumah Zulkifli untuk menuntut pelbagai ilmu termasuk Bahasa Arab. Beliau merupakan gadis tercantik yang menjadi kegilaan di Kuala Kangsar Perak ketika itu, banyak ibu-ibu yang ingin menjadikan dia sebagai menantu.

Beberapa minggu sebelum ke Mesir, cinta mula hadir diantara Asiah dan Zulkifli. Namun perasaan fitrah itu di jaga dengan penuh hati-hati. Mereka bercinta dengan penuh ketenangan, tidak tergopoh-gopoh dalam membuat keputusan dan tidak kalut dalam bertindak. Nilai cinta mereka cukup tinggi dengan adab dan batasan syariat, mereka tidak pernah keluar berdua-duan yang menjadi penghubung hanyalah surat-surat cinta.

Saat berada di Mesir Zulkifli dikejutkan dengan berita pertunangan Asiah, saat itu Zulkifli mula dilanda murung dan sentiasa mengeluh, namun nama dan pujian buat Allah tidak pernah luput dari bibir dan hatinya, walau apa pun perjuangannya tetap diteruskan. Pada waktu itu juga Zulkifli dilamar oleh seorang gadis yang kagum akan dirinya namun dia menolak, pernah Zulkifli nyatakan jika dia tidak akan berkahwin jika tidak dapat mengahwini gadis yang dicintainya.

Rencana Allah siapa yang dapat menduga, andai sudah jodoh tidak akan kemana. Tidak lama selepas itu Zulkifli jatuh sakit dan pulang ke tanah air, manakala Asiah memutuskan pertunangan kerana pertunangan itu bukanlah pilihan hatinya. Allah membalas keteguhan cinta mereka dengan menyatukan mereka dengan pertemuan seindah bayangan firdausi, akhirnya mereka diijabkabulkan sebagai suami isteri.



Alam Rumah Tangga.

Rumah tangga Zulkifli dengan Asiah dihias dengan begitu cantik sekali, asasnya adalah iman dan taqwa. Sebagai isteri seorang pejuang Asiah memainkan peranan dengan cukup baik, sehinggakan ada yang mengatakan Ustazah Asiah merupakan setiausaha sulit Professor Zulkifli.

Bagi Asiah rumahtangga yang dibina seolah-olah gedung ilmu baginya, Zulkifli sebagai guru baginya segala ilmu yang ada dikongsi dan diturunkan kepada masyarakat dan zuriat.

Sebagai isteri seorang pejuang tiada istilah cemburu bagi Asiah dalam kamus hidupnya, Asiah bangga menjadi pembantu perjuangan Zulkifli Muhammad. Asiah juga tidak bangga diri dengan kedudukannya sebagai Ketua Muslimat Pas pada waktu itu, dan juga tidak bangga diri sebai isteri seorang negarawan ulung.

Pernah beberapa wanita Umno bertemu dengannya dan beramah mesra, namun beliau hanya mengenalkan diri sebagai Asiah.

Sudah sunnah berjuang, Asiah dahulunya berasa takut kerana ditinggalkan suaminya ketika berjuang dimalam hari, naman perasaan itu hilang ketika mempunyai anak malahan dia merelakan pemergian suaminya untuk berbakti pada nusa dan agama

Hidup sama hidup, mati sama mati.

Pagi itu, ketika Zulkifli pulang dari pasar dia melihat Asiah dan dua orang puterinya berada dalam kereta untuk pulang ke Perak.

Ketika sampai dihalaman rumah, Zulkifli berkata “hai..Asiah nak balik?”

Asiah menjawab “ Asiah nak balik la biar Aisah balik dahulu petang ni, nanti Nyah nak balik juga”

“Asiah nak biar Nyah mati sorangkah? Biar kita mati bersama”
ujar Zulkifli dengan penuh cinta sambil tersenyum.

Mendengar kata-kata Zulkifli, dengan muka yang manis Asiah turun daripada kereta dengan dua puteri mereka.

“Biarlah Asiah balik dengan Nyah
”, katanya.

Beberapa jam selepas itu mereka meninggalkan rumah di Bachok dengan sebuah kereta Fiat kecil bernombor JB9977.

Ketika di Kuantan disebuah jalan yang sempit muncul sebuah landrover yang dipandu laju, lantas menghentak kereta Professor Dr Zulkifli Muhammad dan Ustazah Asiah. Professor Dr Zulkifli yang menjadi pemandu ketika itu terperosok di bawah stereng dan Ustazah Asiah terjatuh di atas ribanya, pergilah isteri yang setia itu diatas riba suaminya dan Professor Dr Zulkifli meninggal ketika dalam perjalanan ke hospital.



Kisah ini berakhir dengan perginya dua orang kekasih dan perjuang, hidup mereka bukan hanya untuk berkasih sayang dan mati dalam mendapatkan cinta masing-masing sebagaimana Romeo dan Juliet, Laila dan Majnun, tetapi hidup mereka penuh dengan pengorbanan, saling bantu membantu dalam menegakkan agama Allah dan mencapai redha Allah. Cinta sepatutnya begini, penuh dengan pengorbanan dan Syurga menjadi tempat berkasih sayang

Professor Dr Zulkifli Muhammad dan Ustazah Asiah Kamaruddin pergi pada 6 Mei 1964, mereka disemadikan di Kuala Kangsar Perak dalam satu liang.

"Mereka sama-sama berjanji untuk sehidup semati dan sama-sama memegang janji untuk itu, bahagialah mereka, "Muhammad Haji Arshad .

P/S: ini merupakan kisah benar yang penulis ambil dari buku Wasiat Perjuangan Zulkifli Muhammad.